Bab 38: Dalang

Romance Series 20066

LOKMAN. Hanya sebaris nama itu mampu membuatkan darah Syafiq rasa menggelegak. Dendamnya kepada Lokman menjulang-julang tinggi.

Dia tak menyangka bahawa Lokmanlah pelakunya apabila dia hadir di balai polis tadi. Sebaik saja pihak polis menyatakan maklumat tentang pelaku itu, hatinya redam. Jiwanya terasa tersiat-siat. Tak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa Lokman dalang di sebalik kebakaran itu.

Fikirnya dulu, setelah dia berkahwin dengan Damia, Lokman dapat menerima semuanya. Lokman juga dah lama tidak menampakkan dirinya setelah Damia lari dari hari pernikahannya. Jadi sebab tu Syafiq fikir Lokman sudah reda bahawa Damia bukan jodohnya.

Tetapi semua itu salah! Lokman menyimpan dendam terhadap dirinya. Dendam kesumat yang menyebabkan tergadainya nyawa Syafiqah yang tidak bersalah. Panas relung dada Syafiq mengingat semula kejadian itu. 

Mujur atas prosedur dan arahan polis, ahli keluarga mangsa tidak dibenarkan bertemu dengan pelaku jenayah kerana tidak mahu pelbagai masalah timbul. Kalau Syafiq dapat bersua muka dengan Lokman tadi, entah apalah nasib yang bakal diterima Lokman. Silap-silap Si Lokman tu pulak yang jadi arwah.

Syafiq takkan berlembut dengan Lokman tu. Mahu dia ajar Lokman itu sampai separuh mati. Tetapi sanggup ke dia bersemuka dengan lelaki yang membuatnya menderita sejak-sejak ni? Syafiq nak lihat muka Lokman pun rasa jijik.

Lokman sudah ditahan di jel dan akan disoal siasat untuk siasatan lanjut. Biarlah pihak polis sahaja yang melakukan kerja mereka mengikut undang-undang,

Undang-undang. Perkataan itu terngiang-ngiang dalam benak Syafiq. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika Lokman disabit kesalahannya kerana membunuh dengan niat.

Hutang nyawa dibayar nyawa! Setelah pelakunya ditangkap, hanya perbicaraan di mahkamah sahaja yang tinggal sekarang ini. Syafiq berharap keadilan memihak kepadanya. 

Dikhabarkan, Mak Cik Zainab juga sudah mengetahui tentang berita anaknya diberkas tadi. Dirinya terus dilarikan ke hospital kerana pengsan sebaik saja polis tiba di rumahnya.

Ibu mana yang dapat menerima anak mereka melakukan jenayah? Lebih-lebih lagi jenayah yang sudah meragut nyawa seseorang. 

Syafiq raup wajahnya berkali-kali. Rasanya dalam minggu ini, bertalu-talu masalah datang memukul dirinya. Tanpa henti. Tanpa sempat dia menarik nafas lega. Ada saja benda yang datang menerpa.

Memikirkan perihal Lokman sememangnya memeningkan kepala. Lokman, pelaku kebakaran itu sudah ditangkap tetapi kenapa dia tak boleh berasa lega? Adakah sebab dia masih tak boleh terima akan kematian Syafiqah?

Terlintas sahaja nama Syafiqah dalam kepala, Syafiq terus bertukar lemah. Matanya bertakung dengan air semula. Nafas dihela panjang sebelum dia buka langkah menuju ke sebuah meja kayu.

Di atas meja kayu itu, terletaknya senaskah al-Quran yang masih dibalut plastik lut sinar. Al-Quran peninggalan keluarganya. Al-Quran yang dipeluk Syafiqah ketika tragedi itu. Luarannya sedikit kehitaman kesan kebakaran itu tetapi isi kandungannya masih selamat tanpa sedikit cela.

Itu adalah salah satu keajaiban yang Syafiq saksikan di depan matanya. Tatkala harta benda walhal tubuh seseorang sudah rentung dimamah api, al-Quran itu masih elok fizikalnya.

Pernah dia membaca di dada akhbar dan kaca televisyen tentang kejadian itu. Rumah hangus terbakar, tetapi al-Quran tetap selamat. Tak sangka, perkara itu dia saksikan betul-betul di depannya.

Al-Quran itu diambil dan langkahnya diatur semula duduk di birai katil. Syafiq terus memeluk al-Quran itu seerat-eratnya. Apabila dia memeluk kitab itu, dirinya terasa dekat dengan keluarganya. Air mata turun dengan galak saking kesedihan yang ditanggung.

Kalau Syafiqah tak terfikir untuk selamatkan al-Quran ini, mungkin nyawa Syafiqah masih selamat. Tapi takkanlah Syafiq mahu salahkan al-Quran itu?

Jawapannya tidak. Syafiq tahu semua benda yang terjadi, ada sebab dan hikmahnya. Mungkin kerana al-Quran ni, Syafiqah mampu memperoleh ganjaran syurga di akhirat kelak. Insya-Allah ...

Pelaku tu dah kena tangkap. Pembunuh tu akan rasai hukuman yang setimpal dengan perbuatan dia. Lepas pembunuh tu dah kena tangkap, along dah dapat terima semua ni. Along pun nak bagitahu, yang along sentiasa titipkan doa untuk ayah, mak dan adik, setiap kali selesai solat. Bisik hati kecil Syafiq lalu al-Quran yang dipeluk erat itu dileraikan pelukannya.

Syafiq usap pipinya yang basah dek air mata. Tangannya juga merayap mengelus-elus al-Quran yang sedia dibalut dengan plastik itu. Akan dia jaga al-Quran ini sebaik mungkin!

Pintu bilik berbunyi mengisyaratkan ada seseorang menapak masuk. Tanpa mengangkat kepalanya, dia tahu gerangan yang membuka pintu itu siapa.

Tempat duduk bersebelahannya terasa dihenyak. Syafiq terus memalingkan wajah ke bahagian kirinya. Wajah isterinya dipandang sekilas sebelum segaris senyuman diberi. Lalu tumpuan matanya kini beralih kepada al-Quran itu semula.

Damia tatap dalam wajah suaminya. Dia tahu, suaminya baru melampiaskan kesedihannya tetapi dia tak nak bertanya lebih. Cukuplah dia simpan dalam hati.

"Sayang tahu tak kenapa al-Quran ni terlalu istimewa untuk abang, dan untuk arwah Syafiqah?" tanya Syafiq sambil matanya masih tak lepas memandang kitab itu.

Damia alihkan pula pandangannya ke arah al-Quran itu. Sebaik dia lihat al-Quran tu, rasa sebak semakin menyerang. Suaminya sungguh kuat. Dalam kesedihan, suaminya tetap mahu bercerita lebih perihal al-Quran itu biarpun Damia tak terfikirkan pun untuk bertanya.

"Sebab abang pernah bagitahu, al-Quran ni arwah mak dan arwah ayah abang yang bagi." Damia menjawab. Syafiq pernah sekali memberitahunya tentang al-Quran itu tak lama dulu, mana mungkin dia boleh terlupa.

Syafiq angguk. "Betul. Memang arwah mak dan arwah ayah bagi al-Quran ni kat abang dulu sebelum abang bagi kat arwah Syafiqah masa dia berumur 7 tahun. Seronok je dia dapat pegang al-Quran masa tu, sebab dia baru habis muqaddam."

Syafiq tertawa kecil apabila mengingatkan kenangan lalu. Apa yang arwah Syafiqah lakukan, sentiasa di dalam pengetahuannya.

"Lepas arwah mak dan arwah ayah meninggal, Syafiqah masa tu umur tiga tahun. Abang pulak dah habis SPM, baru nak cari kerja waktu tu. Jarak usia kami memang jauh, sebab arwah mak abang pernah gugur beberapa kali sebelum dapat Syafiqah. Tapi alhamdulillah, lepas beberapa tahun, Syafiqah selamat dilahirkan. Lepas dia lahir, abang memang sayangkan dia sangat-sangat. Sampaikan abang sanggup ponteng sekolah semata-mata nak tengok dan jaga Syafiqah."

Syafiq tersenyum-senyum teringat nostalgia lampau. Pernah sekali, dia ponteng sekolah sebab tak puas mahu cium dan layan adik kecilnya itu. Sudahnya, memang kena perhambatlah dengan ibunya untuk pergi sekolah pada waktu tu. 

Damia turut tersenyum simpul dengan cerita Syafiq itu. Sekarang baru dia tahu kisah lanjut tentang Syafiq dan arwah Syafiqah. 

"Berbalik pada cerita tadi, lepas arwah mak dan arwah ayah abang meninggal, abang kerja sebagai penoreh getah kat kebun getah Pak Ya dan dalam masa yang sama abang jugak jaga Syafiqah. Tapi abang tahu abang tak boleh buat dua kerja dalam satu masa waktu tu. Abang masih remaja. Tapi alhamdulillah, Pak Ya yang merupakan kawan baik arwah ayah tak pernah lupakan abang."

"Dialah yang jaga abang dan Syafiqah tak tumpah macam anak sendiri. Makan minum kami, dia jaga. Begitu jugak pakaian dan tempat tinggal. Ada satu tahap tu, Pak Ya pernah suruh abang sambung belajar tapi abang tolak. Abang berkeras nak bekerja jugak. Sebab abang berkeras nak bekerja itulah wujudnya gerai sate abang tu. Abang berhenti menoreh getah dan jadi penjual sate sampailah sekarang," cerita Syafiq panjang lebar.

Kepala Damia terangguk-angguk dengan cerita Syafiq itu. Sungguh perit kehidupan suaminya dulu. Malah, perit kehidupannya juga merambat sehingga kini. Kerana terkenang akan nasib suaminya, air matanya sudah tidak dapat dibendung lagi.

"Ya Allah, sayang ... kenapa nangis ni?" Syafiq mulai tak keruan apabila dia lihat air mata Damia mengalir deras. 

"Saya sedih sangat dengar cerita abang. Banyak dugaan yang abang kena tempuh, tapi abang kuat. Kalau saya kat tempat abang, saya rasa tak mampu tempuh semua tu." Damia seka air matanya yang laju mengalir di pipi. Dia menangis mengalahkan Syafiq pulak padahal dia hanya jadi tukang mendengar cerita aje. Terbalik pulak kisahnya dengan Syafiq yang dari tadi hanya memasang riak tenang.

Syafiq tersenyum manis sebelum bibirnya mengucup rerambut isterinya. Lalu tangannya membelai rambut ikal dan hitam pekat isterinya selembut mungkin. 

"Pak Ya pernah kata kat abang, Allah tak akan uji seseorang hamba-Nya di luar kemampuan mereka. Abang percaya benda tu. Ujian yang abang tempuh dulu lebih berat bagi abang. Tapi abang dapat terima, abang reda sekarang."

"Kematian Syafiqah pun abang dah reda?" Giliran Damia pula bertanya.

Syafiq lambat-laun angguk. "Abang terima takdir Allah. Bahkan tentang hal tadi pun abang usaha reda walaupun hati pedih nak terima." Bergetar sedikit suara Syafiq lantaran menahan rasa hiba.

"Pasal Lokman?"

Kali ni Syafiq terkedu seketika dengan soalan Damia tu. Senyumnya meluntur sebelum kepalanya mengangguk lagi. Tanpa mengeluarkan suara. 

Damia lepaskan nafas panjang. Bercakap pasal Lokman, tiba-tiba dirinya dihurung rasa geram. Sebaik saja dia menerima berita itu melalui mulut Syafiq sendiri, kakinya tiba-tiba terasa lemah. "Saya masih tak sangka Lokman sanggup buat macam tu. Saya tak pernah terfikir pun yang Lokman pelaku semua ni," tuturnya.

"Samalah macam abang. Abang terkejut sangat bila dapat tahu yang dia punca semua ni berlaku. Abang tak jangka, dia berdendam dengan kita sebab cinta. Sebab cinta dia pada sayang tak kesampaian, dia sanggup buat semua tu."

Damia diam. Dia turut rasakan apa yang suaminya rasa. Apabila orang yang tak dijangka melakukan khianat terhadap diri kita, pasti hal itu sukar untuk dihadam.

"Abang rasa, hukuman yang bakal Lokman terima tu setimpal tak dengan apa yang telah dia buat kat kita dan arwah Syafiqah? Lagi satu, kalaulah, kalau kita dapat jumpak Lokman, abang nak tak bersemuka dengan dia?" Damia mengasak bertubi-tubi soalan. 

Soalan yang sukar. Memang Syafiq tak pernah terfikir pun untuk merangka jawapan berkenaan itu. Tentang bersua muka dengan Lokman, dia sudah tak ada hati mahu bertemu. Dia tahu, kalau dia bertemu Lokman tak kiralah di lokap mahupun mahkamah, rasa berangnya boleh memuncak. Takut juga dia tak dapat mengawal perasaannya.

Tentang setimpalkah hukuman yang diterima Lokman itu? Separuh hatinya mengatakan ya kerana nyawa dibalas nyawa. Separuh lagi mengatakan tidak kerana Lokman itu terima hukuman kerana sudah terang dia bersalah dengan perbuatannya itu.

"Entahlah, sayang. Setimpal atau tak, abang tak nak fikir dah. Yang penting sekarang, kita dah tahu dalang sebenar berlakunya semua ini dan dia dah ditangkap polis. Biarlah polis dan pihak mahkamah jalankan tugas mereka. Abang pun macam tak nak tengok muka Lokman tu lagi. Jadi sayang, tak payahlah kita cakap pasal benda ni buat masa sekarang."

Damia angguk lemah. Benar, daripada membebankan otak memikirkan masalah dan memenuhkan isi hati dengan dendam, lebih baik mereka lupakan dalu perkara itu. 

"Sekarang kita cuba bina semula kehidupan baru kita. Sedikit demi sedikit. Abang tahu mesti payah tapi kita kena usaha teruskan kehidupan kita walaupun banyak dugaan yang datang," sambung Syafiq lagi. Kali ini tangannya mengusap bahu isterinya.

Damia tersenyum nipis lalu dilentokkan kepalanya ke bahu suaminya. Tak perlu bersedih lama-lama, kehidupan perlu diteruskan. 

"Abang dah solat isyak?"

"Belum, sayang dah solat ke?"

Damia menggeleng.

"Hmm ... kalau macam tu, ambil wuduk. Kita solat sama-sama. Lepas tu, kita baca Yasin sekali, boleh?"

"Baiklah, abang."

*****

Syafiq dan Damia turun tangga beriringan. Hari ni mereka bersarapan lambat sikit daripada kebiasaan. Semuanya sebab Damia yang terlajak bangun dari tidurnya.

Mujurlah Syafiq sudah bersiap-siap pergi membeli makanan di gerai tadi. Jadi balik je rumah, terus dia kejutkan isterinya, suruh mandi dan terus turun bersarapan bersama.

Tangga dituruni perlahan-lahan. Sebaik sahaja mereka menapak ke ruang dapur, mereka saling berpandangan. Nampak gayanya bukan mereka aje yang berada di situ. Mak Siti jugak tengah sibuk melantak kat meja makan.

Tubuh Mak Siti mengeras. Mak Siti berniat tadi, sengajalah dia turun makan lewat sedikit kerana mahu mengelak dari bertemu anak dan menantunya. Tetapi lain pula jadinya.

Adui ... lain yang dirancang, lain pula yang terjadi. Sudahlah nasi lemak yang dibeli Syafiq tadi dia sebat. Mujurlah menantunya tu beli tiga bungkus cukup-cukup untuk mereka makan. Nasi lemak yang dia makan sekarang pun masih tersisa separuh pula.

Takkan nak buang? Perutnya pula masih meronta minta diisi lagi. Jadi terpaksalah dia hadap muka anak dan menantunya dalam perasaan tak rela sementara menghabiskan sisa nasi lemaknya.

Sudah dua hari dia berkelakuan begitu. Lagaknya mahu mengelak dari bertemu Syafiq dan Damia. Selepas saja tersebar berita bahawa Lokman pelaku kebakaran itu, hati Mak Siti dihurung rasa malu.

Malulah nak menghadap muka anak dan menantunya tu. Dulu dia beria-ia sangat mahu menjodohkan Damia dengan Lokman. Sekarang baru dia tahu, bakal menantu yang dia nak jodohkan sangat tu, rupanya seorang pembunuh!

Ada hikmah jugak Allah jadikan semua ini berlaku. Lokman tidak jadi berkahwin dengan Damia, dan penggantinya adalah Syafiq. Semua itu adalah perancangan Allah kerana perancangan Allah sentiasa yang terbaik.

"Mak dah sihat ke?"

Lamunan Mak Siti terputus dengan suara anaknya itu. Mengelamun jauh sangat sampaikan tak perasan yang Syafiq dan Damia sudah menempatkan duduk mereka di depannya.

Mak Siti berdehem sebelum memasang wajah dinginnya. Dalam sesaat sahaja riak wajahnya berubah. "Kamu nak mak sakit lagi ke? Seronok tengok mak demam beberapa hari lepas?"

Allahuakbar! Boleh pulak Mak Siti berfikir macam tu. Padahal Damia bertanya sebab risaukan diri ibunya, bukan bermaksud apa-apa pun.

"Mak ni kenapa? Angah tanya elok-elok, kan? Angah dan Syafiq risaukan mak. Dua hari lepas, mak demam. Kelmarin pulak, batang hidung mak pun kami jarang nampak padahal kita tinggal serumah je ..." bidas Damia pula.

Syafiq segera menyuakan nasi lemak kepada isterinya. Nak menyampuk, segan pulak. Jadi dia biarkan ajelah dua beranak itu bertekak. Dia akan mencelah juga bila perlu.

Mak Siti membisu. Kunyahan makin laju. Nampak sangat kegeraman yang terbias pada wajah. Tengok cara dia kunyah tu, kalau letak besi dalam mulut pun boleh lumat!

Lama mereka diam. Masing-masing menikmati nasi lemak bilis telur itu. Bukan menikmati sangat cuma berpura-pura menikmati. Ditambah suasana yang penuh tegangnya, memang masing-masing tak ada hati nak buka mulut.

"Mak nak duit. Duit mak dah habis."

Serentak Damia dan Syafiq terkaku pergerakan mereka. Tiba-tiba je minta duit? Seriuslah Mak Siti ni?

Sudahlah layanan yang mereka dapat pun tak ubah seperti orang asing di dalam rumah ni. Boleh pulak Mak Siti dengan tak tahu malunya meminta itu ini.

"Du ... duit? Duit kita orang?" Teragak-agak Damia bersuara.

"Ye la ... duit koranglah. Takkanlah mak nak mintak duit dari Pak Ya kesayangan korang tu."

Panas pulak hati mendengar sindiran Mak Siti. Minta macam-macam, tapi perangai tak semenggah. Mulut lancang tu tetap tak berubah.

"Ala, korang ni. Tak payahlah nak jeling-jeling macam tu. Macamlah mak tak tahu yang korang ada dapat bantuan. Dapat bantuan lepas tu buat senyap," sambung Mak Siti.

Sudah! Hal tentang wang bantuan itu sudah ada dalam pengetahuan Mak Siti. Sah, Mak Siti curi dengar perbualan mereka di dapur kelmarin.

Sebelum ni, dia bertingkah macam tak berminat tentang hal anak dan menantunya, tetapi dalam masa yang sama nak tahu juga tentang perkembangan mereka. Sebab itulah dia sanggup jadi penyiasat tak berbayar kelmarin.

"Ha ... ya, mak. Kami baru je dapat duit bantuan kelmarin. Kenapa mak nak mintak kat kami? Nak buat apa dengan duit tu?" soal Syafiq pula.

Damia agak tak setuju dengan soalan Syafiq itu. Umpama suaminya itu mahu menyerahkan wang itu pula kepada ibunya. Padahal mereka dah merancang untuk menggunakan wang itu untuk membeli keperluan-keperluan yang telah musnah akibat kebakaran lepas.

Syafiq tak bersuara sebaliknya dia hanya senyum segaris kepada isterinya dan hanya menggambarkan semuanya akan okey melalui riak wajahnya. Sekarang mereka berdua hanya berkomunikasi melalui isyarat mata sahaja.

"Mak nak guna untuk bayar bil-bil rumah ni la. Selalu Si Nadia itu yang bayarkan. Lepas tu duit mak dalam purse tu tak pernah kering. Tapi sekarang, lepas budak tu lari rumah, memang kosonglah duit mak. Takkanlah nak harap duit kedai runcit tu je. Memang tak balik modal la jawabnya. Jadi koranglah yang kena tanggung bil rumah dan duit poket mak sekarang," terang Mak Siti selamba. Terselit jugak rasa kecewa dalam suaranya apabila menyebut tentang Nadia. Sampaikan nama panggilan 'along' itu pun dia dah tak mahu sebut lagi.

"Mak nak berapa?"

"Dalam ... RM5,000 macam tu?"

Syafiq dan Damia sama-sama melopong. RM5,000 hanya untuk Mak Siti seorang? Tak masuk akal langsung!

Padahal sebelum ini, Syafiq mahu beri wang hasil usaha menjual satenya pun Mak Siti tak nak terima. Katanya, jumlah gaji Syafiq terlalu sikit.

"Mak, duit zakat pun kami dapat dalam RM3,000. Duit sumbangan orang kampung yang Pak Ya kirimkan dalam RM7,000. Mana cukup tu, mak." Syafiq sedikit tak puas hati.

"Ha, cukuplah tu. Kau orang dapat dah RM10,000 hasil bantuan. Kasi kat mak RM5,000, kau orang ada baki lagi RM5,000 jugak. Apa yang nak dirisaukan? Tak luaklah duit kamu tu. Nak kata untuk perbelanjaan bina semula rumah, kerajaan negeri dah tanggung semua."

"Tapi kami nak simpan untuk keperluan rumah tu nanti."

"Ah! Laki bini sama je. Kedekut! Aku tak mintak semua pun duit kau tu. Bukan saja-saja aku nak mintak duit tu!" bentak Mak Siti.

Damia sudah tak tahan lagi. Apa yang suaminya jawab, ada saja ibunya mahu membalas. Dia tak boleh berdiam.

"Kalau macam tu, mak mintak je duit tu kat Lokman kesayangan mak tu. Dia kan kaya. Lepas tu baik pulak tu. Mak kan pernah nak jadikan dia menantu. Silap-silap, mak mintak RM5,000 dia bagi RM50,000 kat mak." Damia memulangkan paku buah keras. Dia sudah tak peduli, yang diperlinya itu ibu kandungnya asalkan dia puas hati dapat membidas perangai buruk ibunya tu.

"Kurang ajar kamu ni, ya? Apa kaitan Lokman dengan mak? Mak pun tak inginlah nak ambik duit dia. Yang kamu ni pun apa hal libatkan laki tu? Meroyan?"

Syafiq urut pelipisnya. Peperangan sebenar dah bermula. Dia tadah ajelah telinganya mendengar perang mulut isterinya dan ibu mentuanya tu.

Masing-masing tak nak kalah. Berdecit dan berlawan tak henti, depan rezeki pulak tu.

"Mak! Sayang! Sudahlah. Tak payah gaduh macam ni." Syafiq hentak sekali meja makan itu. Kalau dia tak hentikan, entah sampai bilalah mereka nak habis bergaduh.

Terdiam. Mata masing-masing kini tertumpu kepada Syafiq.

"Mak, kalau mak nak sangat duit tu, okey. Saya boleh bagi. Ambiklah RM5,000 tu kalau yang tu boleh buat mak puas hati. Nanti saya bagi duit tu. Saya dah malas nak bertekak pasal duit," marah Syafiq. Tak menunggu lama, dia cuci tangannya di singki dan menyambung langkahnya ke tingkat atas.

Damia garu kepalanya. Nampak jelas yang suaminya itu sudah menyampah dengan sikap tamak haloba ibunya. Bertekak pasal duit dengan ibunya, sampai bila pun tak habis.

Sambil memberi jelingan tajam, Damia juga berlalu pergi ke tingkat atas meninggalkan Mak Siti berseorangan di meja makan. Malas nak menghadap ibunya lagi. Lebih baik dia menemani suaminya itu di bilik. Tenang sikit hatinya.

Bersambung...

Setelah beberapa hari tak update... maaf sebab buat korang tertunggu-tunggu new chapter.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience