HMT 1 - LARI

Romance Completed 462538

RAISHA NAURA, sedang sibuk mengutip getah sekerap dari pot, untuk dimasukkan ke dalam kereta sorong. Pagi ini dia terpaksa menoreh getah seorang diri. Ayahnya pula, ada hal yang perlu dilakukan pada hari itu, dan tidak dapat datang untuk menoreh getah bersamanya.

“Sha!” laung Mak cik Tipah.

“Ye mak cik!”

“Sini. Marilah makan sama-sama. Kamu tak lapar ke?”

“Ha, kejap.”

Sarung tangan getah dibuka, lalu diletakkan di atas pemegang kereta sorong. Dia mula berjalan menuju ke arah Mak cik Tipah dan suaminya Pak cik Burhan, yang sedang duduk di bawah pohon getah. Mereka berdua merupakan jiran kampungnya. Dan mereka juga diupah oleh pemilik getah tersebut untuk menoreh getah di situ. Sama seperti dia dan ayahnya. Dan hasilnya akan diberikan separuh kepada pemiliknya.

“Kenapa ayah kamu tak datang?” soal Pak cik Burhan.

“Tak tahu dia. Apa dibuatnya entah. Ada hal katanya.” Raisha mula membasuh tangan dengan menggunakan air mineral. Setelah itu, dia mengambil bekal dari raga motosikalnya, yang dibawa dari rumah pagi tadi. Yang peliknya bekal tersebut terasa begitu ringan. Adakah dia dikenakan oleh mak tirinya lagi? Bekal tersebut dibuka. Ya, memang tiada langsung makanan di dalamnya. Kosong.

“Kenapa Sha?”

“Er, tak ada apa. Mak cik dengan pak cik, makanlah. Sha, nak sambung kutip getah.” Raisha mula mahu berlalu pergi.

“Sha, tak ada makanan ke dalam tu?” soal Pak cik Burhan sambil mengunyah nasi di dalam mulutnya.

Raisha menggeleng perlahan. Tiba-tiba dia berasa begitu marah. Sudahlah dipaksa keluar awal pagi oleh mak tirinya tadi. Dia pula silap, tidak melihat terlebih dahulu bekal tersebut, sebelum keluar pergi menoreh. Ini kerana, bekal tersebut sudah diletakkan oleh mak tirinya di dalam raga motosikal.

“Ambillah makanan kami sikit.”

“Tak payahlah. Lagipun Sha tak lapar. Okeylah, Sha pergi sambung kutip getah balik.” Raisha terus bangun dan menuju semula ke arah kereta sorong yang berisi dengan getah sekerap yang dikutipnya tadi.

Tak guna punya mak tiri! Getus Raisha.

PULANG sahaja dari menoreh getah, dia melihat wajah mak tirinya dan juga ayah kandungnya yang sedang tersenyum-senyum memandangnya. Menang loteri ke apa? Argh, persetankan semua tu. Sudahlah suka berjudi, suami isteri itu.

“Sha, sini,” panggil Razak.

Raisha berjalan malas menuju ke arah mereka berdua. “Ha, ada apa?”

“Sha, tadi ada orang datang meminang.”

“So, apa kena mengena dengan Sha?”

“Dah orang datang meminang, maksudnya orang nak meminang Sha la. Hujung bulan ni Sha nikah dengan dia. Wang hantaran kami dah terima. Lagipun, lelaki tu Datuk. Orang kaya. Lepas ni kita hidup senang, kalau Sha kahwin dengan dia,” jelas Razak.

“Apa? Kahwin dengan atuk? Orang tua ganyut, tak ada gigi?” Raisha yang tidak faham dengan kata ayahnya, membayangkan ‘Datuk’ adalah seorang atuk tua.

“Kamu cakap apa ni?” sampuk Melati, mak tiri kepada Raisha.

“Sha tak nak kahwin dengan atuk.” Raisha terus berjalan, tetapi lengannya ditarik Melati.

“Kamu jangan nak degil ya? Kami dah terima duit hantaran tadi. Jadi, kamu jangan nak membantah. Aku tak kira, hujung bulan ni kamu kahwin juga dengan dia.”

“Sha tak nak! Dahlah bekal tadi pun kosong!” Raisha membantah. Mana mungkin dia berkahwin dengan lelaki tua. Tidak!

“Bekal yang kamu fikir sekarang ni?” Melati menjongketkan keningnya.

“Kamu jangan nak degil ya Sha! Ayah bela kamu dari kamu kecil lagi! Mak kamu dulu, larikan diri tinggalkan kita. Ni balasan kamu dekat ayah? Yang dah bela kamu dari kecil?”

“Kalau ya pun, carilah yang berjenis sikit. Ni atuk juga yang dipilihnya. Yang sengsaranya Sha.”

“Eh, kami tak pedulilah. Lagipun buat apa nak fikir semua tu? Yang penting, lepas ni kita hidup senang.” Melati menyilangkan kedua-dua tangannya ke dada. Dia benar-benar tidak berpuas hati dengan anak tirinya itu, yang suka sangat membantah. Melawan pula nombor satu!

“Eh, mestilah. Sha ni dahlah cantik, takkan nak kena kahwin dengan orang tua? Kalau macam tu, mak cik jelah kahwin dengan atuk tu!”

“Eh, budak ni. Makin merepek, makin biul otaknya. Aku tak kira, kamu kena kahwin juga! Muktamad!”

Raisha terus sahaja berlari masuk ke dalam rumah. Sudahlah bekal makanan tadi kosong. Pulang ke rumah pula, tiba-tiba sahaja dipaksa kahwin dengan lelaki tua? Tak, tak. Jangan harap dia akan bersetuju dengan permintaan mereka.

RAISHA merenung wajahnya yang sudah siap disolek. Orang kampung sudah semakin ramai tiba di majlis pernikahannya, yang bakal berlangsung dalam masa satu jam sahaja lagi. Ya, majlis pernikahannya tetap akan diteruskan. Adakah dia akan menyerah sahaja? Tidak. Ini Raishalah. Tak mungkin dia nak membiarkan dirinya menjadi mangsa kepada lelaki tua.

Raisha mula menggoyangkan kakinya. Kuku digigit. Entah kenapa perasaannya ketika ini, semakin berkobar-kobar. Adakalanya itu, dia mengerling jam di tangannya.

“Kaki tu Raisha. Jangan goyang-goyang. Tak elok. Awak tu perempuan,” tegur Mak cik Peah, yang merupakan mak andam kepada Raisha.

“Saya nak terberak ni. Sebab tu saya goyangkan kaki saya.” Raisha tersengih seperti kerang busuk.

“Betul ke kamu sakit perut ni? Kalau betul, baik pergi tandas sekarang.”

“Tak jadilah mak cik. Tengok muka mak cik ni je, terus hilang sakit perut saya ni.”

“Kamu ni tak habis-habis dengan loyar buruk kamu. Tapi, cantik betul kamu ni, bila dah solek. Mesti ikut muka mak kamu kan?”

“Tak payahlah sebut mak saya. Menyampah pula dengar.” Raisha menjeling Mak cik Peah. Ya, maknya tidak tahu ke mana pergi. Maknya melarikan diri ketika umurnya 9 tahun. Dia pula ditinggalkan begitu sahaja.

“Maaflah, mak cik cakap macam tu. Tapi kamu betul-betul cantik. Kamu jangan risau ya? Kejap lagi, confirm bakal suami kamu tak lepas-lepas pandang kamu,” puji Mak cik Peah lagi.

Raisha menjeling Mak cik Peah. Tiada masa dia mahu memikirkan bakal suaminya yang langsung tidak dikenali rupanya. Setiap hari dia dipaksa oleh mak tiri dan ayah kandungnya. Raisha sudah penat menolak, tetapi tetap juga dipaksa. Mereka seronoklah, bermenantukan lelaki tua kaya. Yang terseksanya adalah dia!

“Yeke cantik? Saya tengok make-up Mak cik Peah, biasa je. Tak adalah cantik mana pun. Dah macam opera cina pun ada ni. Lagipun tak payah cantik-cantik sangat pun tak apa, bakal suami saya tu atuk sebenarnya. Dan saya ni ibarat cucu. Mak cik Peah pun boleh kahwin dengan dia. Dah alang-alang dua-dua tuakan?” Raisha tersenyum sinis.

“Eh, kamu ni. Apa cakap macam tu?” Mak cik Peah menggelengkan kepalanya.

Raisha mahu termuntah apabila mengenangkan dia bakal berkahwin dengan seorang Datuk. Sudah tentulah lelaki tua. Mungkin umurnya sebaya dengan arwah datuknya yang sudah meninggal dunia. Sampai hati ayahnya. Langsung tidak memikirkan perasaannya.

Kata ayahnya, selepas ini mereka tidak perlu lagi hidup susah. Dan boleh bergantung harap dengan lelaki tua itu selepas ini. Kerana wang, sanggup ayahnya menggadaikan anak sendiri.

Telefon bimbit diambil dari bawah bantal. Dari tadi dia menunggu arahan dari sahabatnya Qarina, yang kini sedang bekerja di Korea Selatan. Dia sudah berjanji dengan Qarina untuk melarikan diri ke sana.

Cepatlah! Aku tak nak kahwin dengan lelaki tua tu! Jerit hatil kecil Raisha.

Bunyi notifikasi WhatsApp mengejutkan Raisha dari lamunan.

-Cepat keluar dari rumah. Kawan aku, Meera dah ada dekat luar. Dia naik Proton Saga warna hitam. Cepat!-

Raisha merenung wajah Mak cik Peah yang sedang tersenyum memandangnya.

“Mak cik, mak cik boleh keluar tak kejap?”

“Eh, kenapa pula?”

“Saya sebenarnya nak cakap telefon dengan bakal suami saya kejap.” Raisha memegang telefon bimbitnya, dan ditayangkan di hadapan Mak cik Peah.

“Wah, dah tua-tua pun sweet juga ya bakal suami kamu tu. Lagi satu jam nak nikah pun, nak bercakap dekat telefon juga? Ha, baiklah mak cik keluar dulu.”

Raisha menjeling Mak cik Peah. Geli, apabila mendengar perkataan ‘sweet’ yang disebut Mak cik Peah tadi.

Sweet ke bendanya. Getus Raisha.

Setelah memastikan Mak cik Peah keluar, dengan pantas Raisha membuka pakaian pengantinnya. Baju sudah siap dikemas petang tadi. Passportnya juga telah dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Selama seminggu, dia berusaha untuk membuat passport secara senyap-senyap, dengan wang yang dikumpul, hasil menoreh getah.

Walau macam mana pun, aku kena larikan diri dari sini! Aku tak perlu nak ikut kehendak ayah aku! Dia memang dah tak sayang aku lagi. Ee, tak sanggup aku malam pertama dengan lelaki tua tu! Geli aku. Ayah lebih fikirkan mak cik je!

Raisha terus memanjat tingkap rumahnya. Matanya melilau kiri dan kanannya. Dia berharap tiada siapa yang akan nampaknya di situ.

Setelah memastikan tiada sesiapa di situ, Raisha terus sahaja terjun dari tingkap biliknya. Nasib baik jugalah majlis pernikahannya dilakukan pada waktu malam. Jadi, tiada sesiapa pun yang akan nampak dirinya ketika ini.

Raisha terus berlari menuju ke arah kereta Proton Saga, seperti yang dikatakan Qarina tadi.

“Sini!” Meera melambaikan tangannya ke arah Raisha.

Raisha memandang Meera yang sedang berdiri di tepi kereta Proton Saga. Laju sahaja kakinya melangkah menuju ke arah Meera.

“Cepat naik. Saya hantar awak ke airport.”

Raisha menganggukkan kepalanya, sambil berjalan masuk ke dalam perut kereta. Setelah itu, kereta meluncur laju meninggalkan kawasan rumahnya. Raisha menarik nafas lega, apabila kereta yang dipandu Meera, sudah semakin jauh dari kawasan rumahnya.

I’m free! I’m free! Padan muka kau atuk tua. Tak hingin aku nak kahwin dengan lelaki ganyut! Jerit hatil kecil Raisha.

Dia rasa mahu menangis gembira ketika ini.

DATUK HAYDEN HIDDELSTON, sedang khusyuk memandang tablet yang dipegangnya ketika ini. Walaupun sebentar lagi majlis pernikahannya bakal berlangsung, dia masih sibuk dengan kerjanya.

“Datuk dah nak nikah dah kejap lagi. Takkan masih sibuk dengan kerja?” tegur Alif iaitu pembantu peribadi kepada Datuk Hayden, yang begitu setia berada di sisinya.

“You tahu kan, kerja I macam mana?” Datuk Hayden masih tekun menatap tabletnya, tanpa memandang Alif.

“Tahu Datuk. Tapi Datuk nak nikah dah. Nanti-nanti pun boleh buat kerja tu. Sini tab tu. Ni kalau Nenda Sarimah tengok, confirm dia bising. Nasib baik dia naik kereta satu lagi.” Alif menghulurkan tangannya ke arah Datuk Hayden.

Datuk Hayden mengeluh perlahan sambil menghulurkan tabletnya kepada Alif. Setelah itu, dia merenung ke luar tingkap. Ya, sebentar lagi dia bakal bernikah dengan seorang wanita yang tidak dikenalinya. Itupun wanita tersebut adalah pilihan nendanya. Disebabkan tidak mahu membantah permintaan nendanya lagi, akhirnya dia bersetuju sahaja. Yang dia tahu, bakal isterinya itu bernama Raisha Naura.

~~~Imbas Kembali~~~

“Nikah dengan pilihan nenda,” pinta Nenda Sarimah.

“I’m not ready yet nenda.” Datuk Hayden mengeluh perlahan. Matanya masih tertancap ke arah tabletnya. Sibuk betul dia dengan kerjanya.

“Look at me!” jerkah Nenda Sarimah.

Hampir terlepas tablet dari tangan Datuk Hayden, apabila mendengar jerkahan dari nendanya.

“What?”

“Nenda nak kamu nikah dengan pilihan nenda. Muktamad. Next month, kita langsungkan pernikahan kamu. Not yet apanya? Umur dah berapa dah kamu sekarang ni. 36 tahun, kamu tahu tak?”

“But nenda, I’m not ready yet. Tolonglah jangan paksa Hay. Hay dah cakap banyak kali kan?” Datuk Hayden bangun dari sofa, dia mahu berlalu dari situ.

“Hayden Hiddelston!” laung Nenda Sarimah. Nama penuh cucunya disebut. Itu sahajalah cucu yang dia ada. Dia tiada waris lain lagi, selain dari Datuk Hayden.

Datuk Hayden berhenti, dan memandang ke arah nendanya.

“Sampai bila kamu nak membujang? Sudah-sudahlah tu. Takkan tak boleh nak move on lagi? Dia pun dah tak ada. Nenda cuma ada kamu sahaja Hay. Umur kamu pun makin meningkat. Bila lagi kamu nak ada anak? Siapa pula nanti, yang bakal menjadi pewaris Dedaun Kristal, kalau bukan anak kamu nanti?” Nenda Sarimah, duduk di sofa, sambil memegang dadanya.

Datuk Hayden mengeluh perlahan. Panjang berjela pula nendanya membebel. Dia melangkah menuju ke arah nendanya. Kedua-dua bahu nendanya dipaut lembut. Kalau boleh, dia memang langsung tak terfikirkan hal kahwin. Kalau boleh elak, dia akan cuba untuk mengelak.

“Dah la nenda. Nanti nenda sakit. Tak payahlah pening-pening kepala fikir pasal Hay. Nanti ada jodoh, barulah Hay kahwin. Sekarang ni Hay tak ada masa la nak fikir hal kahwin ni. Kerja Hay pun, makin banyak sekarang ni.”

“Tolonglah Hay. Kita tak ada waris lain lagi Hay. Kamu tak teringin ke nak ada isteri dengan anak?”

“Memanglah nak. Tapi biarlah Hay cari sendiri. Ni, entah siapa-siapalah yang nenda cari. Hay tak kenal la.”

“Hay, kamu tak percaya ke dengan pilihan nenda? Sampai bila kamu nak macam ni?”

“Ya, Hay tahu nenda. Tapi Hay tak nak kahwin lagi. Hay memang tak bersedia langsung.”

“Terpulanglah dekat kamu. Tak apalah. Nenda pun tak nak paksa dah. Lagipun nenda memang nak sangat dia jadi menantu cucu nenda. Sudahlah Hay.” Nenda Sarimah terus sahaja bangun dari sofa. Tangan Datuk Hayden ditolak dari menyentuh bahunya.

Datuk Hayden berdecit perlahan. “Nenda.”

Nenda Sarimah berhenti. Dia berpusing memandang cucunya.

“Okeylah, Hay ikut permintaan nenda. Hay pun tak nak melawan nenda. Sebab nenda sahaja yang Hay ada. Hay tak ada siapa-siapa lagi.”

Nenda Sarimah tersenyum. “Kamu nak tengok gambar perempuan tu?”

“Tak payahlah. Hay terima jelah siapa bakal isteri Hay.” Datuk Hayden berjalan lemah menuju ke arah perut lif. Dia juga sudah malas mahu menolak permintaan nendanya. Ini sudah kali ketiga dia dipaksa oleh nendanya untuk berkahwin dengan pilihannya. Yang peliknya, entah dari mana perempuan itu dicari nendanya. Hebat sangatkah perempuan tu?

Assalammualaikum semua. Jemput baca novel terbaru Alin, iaitu Hold Me Tight. Terlebih dahulu Alin nak beritahu, novel ini ada unlock chapter. Bab 1 - Bab 4, adalah pembacaan percuma. Dan bermula di bab 5, perlu diunlock dengan menggunakan ncoins.

Share this novel

Saphire
2022-03-19 01:06:53 

Hi, jemput singgah baca novel saya yang berjudul cinta yang tak didendangkan. Support dan komen amatlah dihargai. Terima kasih

Siti Zahara
2021-12-06 07:33:05 

sya dah top up tp X dpt coin pun

Aizan Raizan
2021-12-03 22:13:10 

nape saya pun x boleh buka..sedangckan sudah topup kat 7E


NovelPlus Premium

The best ads free experience