Bab 24

Romance Series 59136

“Baiklah, kita ada lagi 45 minit sebelum kelas tamat, jadi kita akan main game.”

Habis sahaja aku berkata, semua anak muridku bersorak gembira. Seperti biasa, mereka tahu setiap Isnin sebelum balik aku kan buat sesi permainan. Aku mengeluarkan hasil kerjaku dari dalam kotak. Wheel of Fortune. Atau sesiapa yang pernah melihat permainan reality tv Roda Impian, yer, aku curi idea dari situ.

Bertungkus – lumus juga aku nak siapkan semuanya. Dari memotong kertas, kotak dan membuat bulatan, ke menampal semua benda dan memikir cara nak buat bulatan kotak tersebut berpusing. Ditambahkan lagi dengan mahu menghiasnya, aku bangga dengan hasil kerjaku yang tak seberapa.

Nasib aku ada bantuan Kak Syaf untuk membelikan hadiah kecil untuk mereka. Kalau tak, memang tak sempat, jadi aku terpaksa guna plan B.

“Okey, semua pecah kepada 3 kumpulan macam biasa. Nanti cikgu panggil satu kumpulan ke depan, korang kena pusing roda ni dan jawab soalan cikgu tau. Macam biasa, kalau dapat jawab soalan cikgu, kita kumpul mata lepas tu lima minit sebelum habis kelas baru kit umumkan pemenang dan bagi hadiah. Tahap susah soalan dan markah ikut dalam roda ni tau. Faham?”

“Faham cikgu!” jawab mereka serentak.

Laju anak – anak muridku masuk ke dalam kumpulan masing – masing. Tujuan aku sanggup buat macam ni pun sebab aku nak mereka semua ada semangat berpasukan, boleh berinteraksi antara ahli kumpulan dan nak pupuk semangat kerjasama.

Bagi aku, dari tahap ni, aku bertanggungjawab nak ajar mereka pupuk semangat ni. Kalau alam universiti ataupun bekerja, penting semua ni. Aku tak dapat nafikan. Aku seorang yang introvert. Sukar untuk aku berinteraksi dengan orang lain termasuk ahli kumpulanku. Kebanyakan kerja aku rela lakukan untuk disiapkan sebelum tarikh submition.

“Minggu lepas kita dah buat kuiz matematik. Jadi hari ni kita akan mengeja pula dalam bahasa Melayu!”

“Yay, korang semua siap sedia untuk kalah!” Budin bersorak gembira.

Aku menggelengkan kepala melihat gelagat mereka. Kepalaku menoleh memandang kak Syaf yang sudah siap sedia mahu mencatat markah mereka.

Satu per satu nama kumpulan aku panggil ke hadapan untuk diberikan peluang memutarkan roda tersebut. Ada yang mengeluh bila tidak berjaya mengeja dengan tepat. Kumpulan lain semestinya gembira dan riuh jadinya sebab peluang memungut mata kembali kepada mereka.

Mataku tajam memerhatikan mereka untuk memastikan setiap seorang dari anak muridku ikut serta dalam setiap aktiviti yang aku lakukan. Tidak mahu ada yang terlepas pandang meskipun seorang. Buat masa ni, Alhamdulillah, semua masih bersemangat mengambil bahagian. Aku pun gembira juga tengok mereka macam ni. Rasa macam usaha aku tak sia – sia.

“Okey, lima minit lagi nak habis kelas. Semua dengar markah kak Syaf nak umumkan. Shhhhh.”

Setelah semua kembali tenang. Aku memanggil kak Syaf untuk sebutkan nama kumpulan yang berjaya memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga.

“Tempat pertama, kumpulan Strawberi!”

Kumpulan yang diumumkan menjerit kegembiraan. Ketua kumpulan berlari mengambil hadiah untuk dibahagikan. Budin di sisi lain hanya mencebek melihat kumpulan lain yang menang.

“Aisyah, Rayyan, Ehmad, Wafiy dan Qaseh, sini ambil gambar lepas tu bahagikan hadiah tau.” Semua berlari ke tepi sudut untuk aku ambilkan gambar.

“Kumpulan yang dapat tempat kedua ialah, Anggur!” kumpulan anggur punya giliran pula untuk bersorak. Budin sekali lagi mencebek tidak puas hati. Aku tidak boleh sangkalkan, Budin sememangnya jaguh bab bahasa. Selalunya dia berjaya kalau menjawab setiap soalan kalau ianya berkaitan mengeja.

Kumpulan Anggur juga aku arahkan untuk berdiri ke sudut untuk bergambar sebelum menyuruh mereka membahagikan hadiah.

Akhir sekali barulah kumpulan Durian dipanggil kehadapan. Namun Budin masih mencebek tidak puas hati. Jelingan tajam dia berikan kepada ahli kumpulannya yang masih gembira menerima hadiah. Aku mengambil gambar mereka sebelum kumpulan Durian kembali ke meja mereka.

“Budin, sini kejap.”

Aku memanggil lembut. Budin memandang ke arahku, keluhan dia berikan sebelum mengikutku.
“Kenapa ni? Sedih ke?” tanyaku perlahan agar tidak didengari oleh yang lain. Ketika itu aku perasan mata Rayyan memandang ke arah kami berdua.

“Patutnya kita orang boleh menang, tapi tengok, kumpulan Budin semua tak boleh harap. Kalah tempat ketiga pula tu.”

Aduan Budin membuatkan aku terdiam. Macam mana aku nak selesaikan ni?

“Semua soalan cikgu kasi senang tapi dorang tak boleh jawab. Tak seronok satu kumpulan dengan dorang!” keluhnya.

Kes berat ni kalau aku tak selesaikan. Mataku merenung ahli kumpulannya yang sibuk mengagihkan hadiah yang mereka menang.

“Budin, cikgu nak tanya boleh?” si kecil itu mengangguk kepala. “Siapa cakap kalau dapat nombor tiga tu maksudnya kalah?”

Budin membuka mulut untuk menjawab. Namun dia memilih untuk diam dan menunduk.

“Tempat pertama ke, kedua ke ataupun ketiga, tak menentukan ilmu seseorang tau. Budin tak boleh nak salahkan sesiapa dalam ahli kumpulan kalau mereka ada kelemahan. Tapi kena terima dan tolong mereka baiki kelemahan tu. Macam minggu lepas, Budin tak dapat jawab soalan matematik cikgu bagi, ada tak Sofea, Mei Ling, Raju atau Yin marahkan Budin?”

Budin tersentak. Lama dia memikir sebelum menggelengkan kepala.

“Apa dorang buat lepas tu?” tanyaku.

“Dorang tolong Budin matematik.” Jawabnya perlahan.

“Jadi ahli kumpulan Budin semua boleh tolong Budin bila Budin lemah, jadi kenapa Budin tak boleh buat benda yang sama juga kan?” aku bertanya.

Budin masih menundukkan kepalanya. Perlahan, aku menyentuh bahu Budin. Tujuanku hanya untuk menegur dia. Aku risau sekiranya dah besar nanti lagi susah nak dibentuk kalau dia teruskan sikap menyalahkan orang lain macam ni.

“Cikgu buat game ni semua bukan sebab nak tahu siapa menang atau kalah tau. Tapi nak semua anak murid kesayangan cikgu ni belajar sesuatu dan berseronok. Jadi dah belajar apa yang kamu dapat hari ni?”

Dia mengangkat kepalanya dan mengangguk. “Budin kena selalu tolong kawan. Budin tak boleh salahkan kawan Budin.”

Aku tak boleh nak harapkan dia bagi jawapan 100 peratus macam dalam fikiran ku. Tapi mendengar jawapan dia tu pun aku dah tahu dia faham akan maksudku.

“Tu, kawan – kawan dah asingkan hadiah Budin. Pergi tegur dorang tau. Tak mau tarik muka lagi.” Tegurku.

Budin segera menganggukkan kepalanya dan berlari menuju ke arah rakannya yang sedang menanti. Selesai juga satu masalah.

“Akak tengok, kamu ni sayang betul kat dorang semua yer.”

Aku tersenyum mendengar komen kak Syaf.

“Mestilah kak. Dorang semua Mia tak anggap anak murid. Adik pun tak juga, mungkin dah macam anak sendiri? Kalau salah kita tegur.” Mataku masih lagi memerhatikan mereka sibuk mengemas beg mahu pulang ke rumah. Mungkin masing – masing gelisah melihat ada ibu dan ayah mereka yang sudah menanti di luar pintu.

“Mungkin sebab naluri keibuan Mia dah makin kuat. Yelah, nak ada anak sendiri.” Usikan kak Syaf hanya mendapat jelingan tajam dariku. “Apa jeling? Dua minggu lagi tau nak hujung bulan. Jangan nak jeling sangatlah. Hari ni baliklah awal, tu jejaka pujaanmu dah menanti kat luar pintu.”

Kak Syaf berjalan ke depan pintu sambil mengenyitkan mata kepadaku. Serius dia ada? Mataku laju mencari bayangan Adam. Ya, dia ada kat luar tu. Matanya memerhatiku dengan senyuman seperti mahu mengusikku. Terasa bahang di pipiku saat ketahuan diriku mencari dia.

“Cikgu,” Rayyan menghampiriku. “Jom.”

Tanganku ditarik menuju ke tempat beradanya si Adam. Dapat aku rasakan Rayyan seperti sudah berpakat dengan pak ciknya untuk berbuat sedemikian.

“Mia,” tegur Adam.

Tegurannya itu membuatkan dadaku tak keruan. Entah macam mana, aku jadi sukar untuk memandang Adam seperti sebelum ini.

“Hmm,” aku menjawab perlahan. “Kakak tak ambil Rayyan hari ni?”

Adam menggelengkan kepalanya. “Tak, dah janji dengan Rayyan nak bawa dia keluar hari ni.”

“Oh.”

Senyap seketika. Aku memerhatikan anak muridku yang lain balik seorang demi seorang. Sebelum lamunanku terhenti. “Ada plan lepas ni?”

“Tak pun.” Jawabku pantas.

“Kalau boleh, jom teman aku dengan Rayyan keluar nak?”

Aku perhatikan Rayyan dan Adam. Bunyinya macam nilah rancangan dorang berdua agaknya. Boleh agak dah sebab macam pelik jer perangai dorang berdua ni kalau diperhatikan betul – betul.

“Tunggu sampai ayah Saiful datang baru boleh. Okey?”

Adam menanggukkan kepalanya. Dia masuk ke dalam tadika dan duduk menunggu sehingga ayah Saiful akhirnya datang. Banyak kali juga kak Syaf menghalauku, tapi aku cuma memberi alasan untuk mengelak dari Adam selama yang boleh.

Tapi bukan dapat buang masa lama pun. Akhrinya ayah si Saiful hari ni ambil dia awal dari biasa. Aku tengah gelabah teruk bila berdepan dengan Adam. Macam mana ni?

“Balik cepat. Dia tunggu tu. Akak boleh tolong kemaskan setakat sikit jer.”

Jarangkan jumpa pembantu guru yang menghalau cikgu dia balik awal. Kak Syaf memang beria betul nak tengok aku luangkan masa dengan Adam dan Rayyan. Macam aku tak pernah luangkan masa dengan dorang berdua ni jer gayanya.

“Kereta?” aku bertanya Adam sambil menunjukkan ke arah kereta ku. “Nanti awak hantar saya ke sini semula ke?”
Adam memikir panjang.

“Bawa kereta tu balik dulu sekali dengan Rayyan. Aku follow dari belakang.” Adam merenung anak buahnya yang berlari memasuki keretaku tanpa banyak kerenah. Dia memang suka nak mengarah orang lain ke?

Tanpa banyak soal aku sekadar menurut permintaan Adam.

“Dah janji dengan pak su nak ke mana?” aku bertanya Rayyan yang sedari tadi leka merenung pemandangan di luar.

“Tak tahu, pak su janji nak bawa kita jalan – jalan hari ni.” Rayyan memandangku. “Pak su cakap hari ni kita boleh pergi mana – mana jer. Tapi Rayyan pun tak tahu nak pergi mana.” Rayyan memikir. Cara dia berfikir membuatkan aku teringatkan Adam. Sama sahaja mereka berdua ni. Mungkin muka berbeza, tapi kelakuan agak sama tanpa disedari.

“Pak su memang duduk dekat rumah Rayyan ke?”
Rayyan menyambung berfikir. Kenapa aku tanya soalan berat kat Rayyan yer? “Mama suruh. Pak su ada rumah sendiri, Rayyan selalu pergi rumah pak su masa cuti sekolah. Tolong bersihkan rumah. Mama cakap selagi tak ada yang jaga pak su, selagi tu mama suruh pak su duduk dengan mama.”

Nampaklah sayang si kakak terhadap adiknya tu. Aku pun fikir mesti si Adam susah nak uruskan makan minum sendiri, almaklum orang bujang, mana masak selalunya. Aku kalau bukan sebab faktor kena jaga pemakanan, mesti dah makan luar tiap hari setakat makan sorang.

Sampai di rumah, aku bertukar masuk ke dalam kereta Adam pula. Suasana sepi dan janggal. Hanya sesekali terdengar celoteh si Rayyan yang asyik bertanya pergi ke mana.

“Kita pergi Taman Rama – Rama lepas makan yer. Dah lama pak su janji tapi tak bawa kan?”
Rayyan di belakang bersorak kegembiraan.

“Sayang betul eh awak dekat Rayyan,” mataku merenung Rayyan yang bernyanyi kegembiraan di belakang.

“Memanglah, anak buah sendirikan.” Adam menjawab. Sesekali aku perhatikan dia merenung Rayyan dari front mirror. “Kalau ada anak sendiri nanti, dah susah nak luangkan masa selalu dengan Rayyan, sebab sibuk nak jaga si isteri dengan anak sekali.”

Aku tergamam merenung Adam. Macam mana dia boleh tanpa segan nak menyakat aku macam tu?

“Ingat nanti Mia nak ikat kaki tangan awak sampai tak boleh keluar rumah jumpa anak buah sendiri ke?”

Adam tertawa mendengarnya. “Bukan. Tapi lebih kurang macam hati aku nanti terikat sendiri sebab dah ada keluarga sendiri.”

Aku mengelak dari memandang Adam. Dadaku berdebar laju. Apa yang tak kena dengan aku ni? Tenang Mia, tenang. Jangan gemuruh sangat. Tarik nafas dalam – dalam, lepas tu hembus.

Sepanjang hari aku melihat Adam melayan kerenah Rayyan. Minta didukung, suruh bergambar, minta suapkan makanan. Ada sahaja kerenah Rayyan yang tak pernah aku lihat semasa menjadi gurunya. Bukan itu sahaja, aku juga melihat sisi Rayyan yang begitu penyayang kat anak buah dia. Perkara yang aku nak belajar tentang dia.

Aku merenung dari jauh Adam melayan Rayyan yang taksub melihat rama – rama bertebangan ke arahnya. Si kecil tu bukan main teruja dapat menyentuh rama – rama. Aku pun tak pernah lagi ke sini, jadi tak sangka pula Taman Rama – Rama memang biarkan rama – rama berterbangan dekat pengunjung. Ada satu hinggap kat bahu aku. Ada lagi kat tangan aku.
Cantik.

Mataku merenung kembali pada Adam selepas rama – rama di tanganku terbang menuju ke arah Adam dan Rayyan. Spontan aku tersenyum melihat dia. Mata dia, hidung dia, mulut dia, semua terletak indah. Selama ni aku tak sedar sebenarnya Adam boleh dikategorikan kacak? Ya, dia berupa.

Adam kelihatna lagi menarik pada aku bila dia melayan Rayyan. Mungkin aku mudah tertarik dengan lelaki yang ada ciri macam ni. Comel aku tengok mereka berdua.

“Dari tenung jer, baik kau buat macam aku.” Adam mendepakan tangannya dan baru aku sedar dia mengambil tanganku menggunakan kamera telefonnya. Laju aku menutup mukaku dengan tangan. “Baru tahan lama, bila rindu, buka galeri, boleh tengok selalu tanpa had.”

“Siapa cakap Mia tenung awak?” aku segera menidakkan. “Cepat padam gambar tu!”

“First of all, ada aku cakap kau tenung aku?” keningnya terjungkit menyakat. “Lepas tu aku ambil gambar kau ke? Jangan nak perasan sangat yer Cikgu Mia.”

Terasa bahang di mukaku naik kembali. Sengaja betul nak sakat aku! Aku tahu dia ada ambil gambar aku tadi. Aku melangkah pantas mahu mengambil telefon di tangan Adam, namun tangannya panas menjauhkan dariku. Aku mendengus menerima kekalahanku. Tak ada guna juga kalau aku nak berebut. Biarkanlah, nanti pandai dia padam sendiri kalau memori telefon dia penuh.

“Pak su, mak su, tengok ni. Cantik!” suara Rayyan mematikan situasi tegang tadi. Setelah beberapa ketika baru aku sedar nama aku bukan lagi cikgu bagi Rayyan. Laju aku merenung Adam yang pastinya dalang semua ni.

Seakan tahu makna renungan aku, dia laju pengangkat tangan.

“Kenapa Rayyan?” aku memberikan perhatianku kepada Rayyan.

Rayyan menunjuk rama – rama yang bewarna unik. Aku turut tertarik melihatnmya. “Adam, tengok!” aku memanggil dia sambil menunjuk. “Rugi kalau awak tak tengok. Rayyan jumpa rama – rama cantik betul!”

Adam tersenyum. Dia mendekati aku dan Rayyan yang mencangkung melihat rama – rama yang hinggap pada dahan di hadapanku ketika itu. Kemudian dia mengangguk setuju sambil memandangku di berkata, “Cantik sangat.”

Segera aku mengalihkan pandanganku. Dadaku kembali berdegup laju. Aku kena bertenang. Dia bukan cakap pasal kau. jangan perasan sangat

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience