"SAYANG ..."
Terasa dirinya dipanggil, Damia terus palingkan wajahnya memandang suaminya di sebelah. "Ye, bang. Ada apa?"
Syafiq menahan senyumnya. Hari ini, dia sudah tekad untuk memberikan isterinya satu kejutan. Kejutan yang belum pernah dia bagi.
"Sua tangan boleh?"
Damia pasang muka pelik. Err ... nk buat apalah suaminya ni? Mahu bertanya lebih tapi dia biarkan saja.
Bukannya dia tak tahu, mesti suaminya tu nak bagi sesuatu. Jadi tangan kanannya disua dengan penuh gaya.
Syafiq tersenyum sebelum menyambut tangan Damia. Lalu dia ambil kotak bersaiz kecil berwarna merah di bawah bantal yang baru dia sorokkan tadi. Sebentuk cincin perak dalam kotak itu dikeluarkan dan pantas cincin itu disarung ke jari manis isterinya.
Damia membulatkan matanya. Tak sangka sesuatu yang mahu diberi oleh suaminya ialah cincin. Padahal tadi dia tak berharap pun suaminya memberi barang berharga seperti itu.
"Ab ... abang. Apa ni?"
Tak terus menjawab, Syafiq dahulukan mengucup belakang tangan isterinya. "Cincin kahwin. Masa kita bernikah, abang tak bagi pun cincin untuk sayang sebab abang tak cukup duit lagi masa tu. Simpanan pun, abang guna untuk mas kahwin dan persediaan nikah yang lain. Memandangkan abang dah cukup duit sekarang, abang belikan cincin ni untuk sayang."
Tubir mata Damia segera bergenang dengan air. Rasa tersentuh menghentam kalbu. Suaminya sanggup berhabis duit demi dirinya. Bukan dia tak tahu keadaan kewangan suaminya itu macam mana. Tak naklah suaminya terpaksa mengikat perut disebabkan dirinya.
"Abang tak beli cincin kat saya pun tak apa. Kita dah jadi suami isteri pun saya dah cukup bersyukur." Kedua-dua tangan Damia digenggam erat oleh Syafiq.
"Tak boleh. Abang kena dan mesti bagi cincin ni untuk sayang. Dan sayang kena pakai cincin ni setiap masa." Syafiq mengusap cincin yang sudah tersarung di jari isterinya itu. "Semua ni untuk membuktikan yang Damia Qistina hanya milik abang sorang je."
Air mata Damia yang tertahan tadi terus berderai jatuh. Ketulusan kata-kata suaminya membuatkan hatinya lentur. Sungguh, dia amat terharu sekarang ini. Banyak kali suaminya berkorban untuk kebahagiaan dirinya.
Tak perlu suami yang bermodalkan gaji mahal dan kereta mewah sebagai galang kasih, Syafiq sememangnya cukup sempurna bagi Damia. Damia sudah bahagia biarpun hidup mereka tidaklah semewah mana. Tiada kekurangan pada diri Syafiq di mata Damia.
"Abang ... tapi ni mahal, bang. Membazir je beli kat saya." Damia mengesat air mata yang mengalir.
"Tak mahal pun sayang. Bawah 200 ringgit. Sebab tu dapat cincin kosong je. Maaf sebab tak dapat beli cincin yang cantik macam orang lain. Cincin permata, cincin emas semua tu, abang tak mampu beli lagi," ujar Syafiq tayang senyum biarpun berat. Dia memang tak berharta tetapi takkan sesekali dia gunakan alasan itu untuk mengabaikan kasihnya kepada Damia.
Makin galak air mata Damia mengalir. Kepala digelengkan berkali-kali agar suaminya tak salah faham. Cincin yang dipakainya ini sudah cukup. Cukup sempurna dan cantik!
"Tak, abang. Abang sanggup berhabis beratus ringgit untuk saya ..." Semakin mendayu suara Damia. "Cincin kosong pun cantik. Pandai abang pilih."
Syafiq senyum nipis. "Tak kisahlah pasal duit tu. Sekali seumur hidup, kan? Tapi abang nak sayang janji dengan abang."
"Janji apa?"
"Pakai cincin ni bila-bila masa. Lagi-lagi masa nak keluar rumah. Abang tak nak lelaki kat luar sana usyar isteri abang yang comel ni. Wanita kat depan abang ni, milik abang sorang je, tau." Hidung Damia dicuit Syafiq.
Damia tertawa kecil dengan gurauan Syafiq itu. Tak jadi nak mengongoi lama-lama. Dia pun akhirnya menganggukkan kepalanya. "Saya janji, bang. Terima kasih. Abang pun milik Damia sorang."
Pelukan dihadiahkan kepada suaminya. Apabila Syafiq membalas pelukannya, makin erat pulak mereka berpeluk. Hari ini, mereka rasakan mereka adalah pasangan yang paling bahagia.
Kelmarin, Damia dihadiahi dengan tudung-tudung pemberian Syafiq. Tudung beraneka warna itu menjadi hadiah kepada dirinya. Bahkan, terselit juga tudung berwarna biru yang sempat dihadiahkan kepada dirinya sempena hari lahirnya beberapa bulan lepas. Tak sangka, suaminya masih menyimpan tudung tu untuk dirinya padahal kali terakhir Damia tengok tudung tu sudah lunyai akibat dipijak ibunya.
Syafiq menyatakan hasrat agar Damia dapat menutup aurat dengan sempurna memandangkan Damia tu sudah bergelar isteri. Bukan kerana takut menanggung dosa semata-mata, tetapi sudah tertera dalam syariat Islam bahawa aurat wajib dijaga tidak kiralah sudah berkahwin mahupun belum.
Tetapi Damia terpaksa menolak dahulu hasrat suaminya. Bukan kerana dia tak suka dengan arahan suaminya tetapi dia minta agar diberikan masa. Damia mahu berubah sedikit demi sedikit dan bukan secara drastik.
Syafiq sedikit kecewa tetapi dia hormati keputusan isterinya. Betul, tak semua orang mampu membuat perubahan mengejut. Biarlah isterinya berubah seiring berjalannya waktu. Lambat-laun, dia pasti isterinya bakal berhijab jua.
Hari ni, Damia dapat pula hadiah cincin dari suaminya. Hatinya sungguh tersentuh. Muncul rasa syukur yang tak terhingga kepada Allah kerana menghadirkan suami seperti Syafiq di dalam hidupnya. Cukup sempurna suaminya itu di matanya. Tapi, sempurnakah dirinya di mata Syafiq?
Pelukan antara mereka dileraikan. "Saya mintak maaf, bang. Saya tahu saya bukan isteri yang baik. Saya dah derhaka dengan mak. Saya tak reti masak. Semalam, abang suruh saya pakai tudung tapi saya tolak. Saya rasa macam saya ni ..."
"Sayang." Nada suara Syafiq ditekankan tanpa membiarkan isterinya menghabiskan kata. Dia amat tak suka bila Damia sering mengungkit perihal kekurangan dirinya. "Siapa kata sayang bukan isteri yang baik?" Syafiq mengesat air mata yang bercucuran di pipi Damia dengan jemarinya.
"Sayanglah isteri yang baik. Abang tak tipu. Sayang jadilah macam mana pun, abang tetap cintakan sayang. Jadi lepas ni, janganlah terlalu fikirkan kekurangan diri sendiri tu. Semua orang ada kekurangan, termasuk abang. Jadi kita sebagai manusia, janganlah jadikan kekurangan tu sebagai punca kita jadi lemah," sambung Syafiq lagi.
Damia terangguk-angguk mendengar nasihat suaminya itu. Lagi sekali, dia memeluk suaminya erat. Hari ini sudah berapa kali entah dipeluk suaminya itu. Macam tak puas pulak.
Sambil memeluk Damia, tangan Syafiq mengusap-usap belakang isterinya itu. Dapat dia rasakan kehangatan yang menyelubungi tubuh pada waktu itu. Amat selesa.
"Terima kasih untuk semua ni, abang."
*****
Nafas terasa tersekat kerana tiba-tiba terasa ada sesuatu yang menghalang. Pernafasannya terasa makin menipis. Secara mengejutnya, dia tersedar dari lena.
"Asap?" gumam Syafiq sendiri apabila dia sedari kepulan-kepulan asap hampir memenuhi bilik.
Biarpun masih mamai, Syafiq pasti dia tak tersalah lihat. Ini bukan mimpi, kan?
Denyutan jantungnya berdetak semakin laju apabila dia mendengar bunyi sesuatu terbakar dekat saja di ruang bilik.
"Ya Allah! Api!" jerit Syafiq lalu dia turun dari katil. Isterinya yang di sebelah dikejutkan dengan penuh rasa cemas.
Pintu bilik dibuka dan matanya terbuntang luas. Hampir saja dia pengsan melihat semua tu. Ruang tamu hampir punah diserbu api.
Terbakar? Rumah aku terbakar? Syafiq masih tak percaya.
"Abang ..." Terbatuk-batuk Damia memanggil suaminya.
Syafiq terus mendapatkan isterinya. Kata-katanya segera mati. Kalau diikutkan, dirinya sudah tak kuat tapi nyawa mereka patut diselamatkan dulu. Sebelum badan mereka rentung, lebih baik mereka keluar sekarang!
"Ya Allah, bang! Macam mana boleh jadi macam ni?" Damia terduduk apabila keluar sahaja daripada bilik.
Keadaan api makin marak berbanding tadi. Bahkan api sudah pun menjilat bahagian atap.
"Cepat, sayang! Kita keluar," arah Syafiq lalu dia memimpin isterinya bangun. Masing-masing masih terkejut dengan apa yang mereka lihat. Kenapa semua ini berlaku dengan tiba-tiba?
Air mata sudah membasahi pipi. Sambil mengibas-ngibas tangan menghalau asap, mereka gagahkan jua untuk melangkah keluar. Tak guna meratap dengan menyaksikan kehancuran itu. Nyawa lebih penting.
"Syafiqah." Syafiq tak lupakan adiknya yang berada di dalam bilik yang agak jauh dari situ. Dia dan Damia berlari mendapatkan gadis itu.
Pintu dibuka, Syafiqah masih tertidur. Tak mahu membuang masa dengan mengejutkan adiknya, Syafiq segera mencempung adiknya itu keluar dari bilik.
"Pintu depan dah terbakar semua. Bukak pintu belakang cepat!"
Damia turuti arahan Syafiq tu. Matanya tertuju ke bahagian pintu di belakang berdekatan dapur. Mujurlah pintu itu masih tidak dimamah api lagi. Inilah kebaikan adanya dua pintu di setiap rumah. Pasti ia akan berguna jua pada waktu-waktu kecemasan macam ni.
Syafiq membuntuti langkah isterinya sambil mencempung adiknya. Hatinya meraung. Dia tak kuat sekarang ini melihat rumah peninggalan arwah ayah dan ibunya diratah api.
Ruang dapur saja sudah suku bahagian dimamah dengan cahaya berwarna jingga itu. Kenapa dugaan datang menimpa tatkala bahagia baru sahaja menerpa?
Mereka berjaya keluar. Tercungap-cungap mereka mengambil nafas setelah udara di dalam rumah tadi hanya dipenuhi asap saja.
Sekarang ini, mereka hanya mampu menyaksikan sahaja api itu semakin bermaharajalela. Mahu dipadamkan dengan air, tetapi itu mustahil. Tiada air di luar melainkan di dalam rumah. Di sekeliling mereka pun, hanyalah bendang!
Mahu telefon bomba, tetapi telefon masih di dalam. Takkan mereka buat kerja gila untuk masuk semula ke dalam rumah. Jadi, satu cara yang ada hanyalah minta bantuan.
"Sayang jaga Syafiqah kejap. Abang mintak tolong orang kampung." Terketar-ketar Syafiq memberi peringatan. Lalu dia terus berlari pergi mendapatkan bantuan jiran apabila Damia mengangguk.
Jiran-jiran pasti tak tahu lagi tentang hal ni. Sudahlah kejadian ini berlaku di rumah kampung. Rumah yang dipisahkan sebuah demi sebuah antara satu sama lain. Lepas itu, berlaku waktu gelap sebegini pula. Tatkala yang lain masih tidur.
Damia masih diserang terkejut. Air matanya tak henti mengalir biarpun tiada sesiapa pun yang tercedera.
Dapat dia lihat dari luar tingkap, bahagian bilik tidurnya dan Syafiq sudah menjadi mangsa merebaknya api. Semakin menyala-nyala cahaya berwarna jingga itu tersebar ke seluruh ruang.
Damia tiada daya mahu berdiri. Dari tadi dia duduk bersimpuh sambil menekur tanah gersang. Hanya ribanya sahaja yang menjadi tempat Syafiqah yang masih tidur meletakkan kepala.
Tak mengambil masa yang lama, Syafiq yang menunggang motosikalnya datang semula. Dikira dia gagal mendapatkan bantuan, tetapi salah. Beberapa orang lelaki bermotosikal turut mengekorinya dari belakang.
Seorang lelaki berkumis nipis terus menyebut nama Allah. Riak tergamamnya jelas terpampang. Jiran-jiran je terkejut, apatah lagi Syafiq dan keluarga. Lelaki itu terus mengeluarkan telefonnya dan bercakap dengan seseorang. Mungkin sedang melaporkan hal ini kepada bomba.
Biarpun Syafiq berjaya mendapatkan bantuan tetapi itu tak mampu menyuntik kelegaan dalam hati Damia. Sekarang ini dia menyaksikan sebuah kemusnahan! Baru sebulan lebih je dia mula melakar memorinya bersama suaminya di rumah ni, takkan habis segalanya musnah?
"Kak Damia ... apa yang dah jadi?"
Suara serak Syafiqah memangkas lamunan panjang Damia. Langsung Damia menyapu pipinya yang basah dengan jarinya. Mahu menjawab apa yang terjadi, tetapi jawapan itu tak mampu diungkapnya.
"Allah ... Kak Damia! Rumah kita!" Syafiqah terus bangun dari terus dipangku Damia. Matanya bersinar-sinar kerana sedang menyaksikan pantulan api yang marak.
Kepulan-kepulan asap hitam memenuhi segenap lapisan udara bagaikan rumah itu menghembus asap itu ke atas. Api yang membakar juga menjulang hingga ke puncak atap. Makin galak api membakar, makin menebal asap itu bertebaran.
"Api! Api ...!"
Orang ramai juga sudah memenuhi halaman rumah. Sekejap saja berita tentang kebakaran ini tersebar ke seluruh kampung walhal masih pagi buta. Sekarang ini, ketibaan bomba penyelamat sahaja yang ditunggu.
Menangis. Syafiqah tak mampu menahannya lagi. Rumah ini milik keluarganya. Kehidupannya bersama alongnya, bersama arwah ibu dan ayah sudah membekas di dalam rumah ini. Biarpun ibu dan ayahnya sudah meninggalkan dirinya sejak berusia tiga tahun lagi, rasa itu masih menusuk hati.
"Mak ... ayah ..." rintih Syafiqah terkenangkan kedua ibu bapanya. Apabila terlintasnya gerangan dua insan yang sudah menghadap Ilahi itu di dalam fikiran, hatinya diterkam satu rasa yang menyedarkannya daripada sesuatu.
"Al-Quran Syafiqah!" jerit Syafiqah. Naskah peninggalan arwah ibu dan ayahnya. Macam mana dia boleh terlupa tentang al-Quran tu? Al-Quran itu terlalu berharga baginya kerana itu sahaja peninggalan turun-temurun keluarganya.
Syafiqah dengan sepantas kilat terus berlari menuju semula ke dalam rumah. Dia sudah tak hiraukan jeritan orang ramai yang menghalang. Al-Quran itu patut diselamatkan. Dia takkan maafkan dirinya kalau al-Quran itu hangus kerana kecuaiannya sendiri.
"Syafiqah! Jangan masuk!" Damia cuba merentap tangan Syafiqah tetapi gagal. Syafiqah lebih lincah dan pantas daripadanya.
Kaki Syafiqah yang hampir pulih sepenuhnya membuatkan usahanya untuk berlari ke dalam rumah lebih mudah. Taklah terhincut-hincut macam dulu. Apabila dia lihat pintu di depan rumah sudah musnah semuanya, dia berlari pula ke bahagian belakang rumah untuk masuk ke situ. Tadi jeritan Kak Damia dan orang kampung sahaja yang menikam gegendang, tetapi kali ini suara garau abangnya juga turut serta.
Tak menghiraukan semua tu, Syafiqah masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Maafkan adik, along. Adik kena ambil al-Quran tu. Pinta Syafiqah dalam hati.
"Adik! Adik!" Ronta Syafiq tetapi tubuhnya sudah ditahan oleh orang kampung. Sebarang kemungkinan boleh berlaku kepada Syafiqah. Mana mungkin dirinya dapat membiarkan Syafiqah masuk ke dalam berseorangan.
Asap tebal yang memasuki rongga mulut membuatkan nafas Syafiqah sesak. Automatik batuknya menjadi teruk. Bahagian dapur sudah separuh musnah. Api menyambar-nyambar memamah setiap inci rumah. Bahkan atap rumah juga kebanyakannya sudah runtuh.
Tak boleh jadi, dia patut masuk ke bilik dan selamatkan al-Quran tu cepat-cepat. Tangannya pantas menarik alas meja yang masih selamat, hanya sedikit hitam kerana kesan terbakar. Dia kibaskan alas meja itu lalu ditekup ia ke mulut.
Bilik yang berada di pertengahan rumah menjadi tujuan. Kakinya laju menerobos laluan biarpun kiri dan kanan bahagian itu sudah dijilat api. Panas! Tapi tak guna mengaduh sekarang.
"Ya Allah ..." Langkah Syafiqah terhenti setibanya di di depan bilik. Biliknya sudah menjadi mangsa ratahan api. Katil yang menjadi tempat dia melampiaskan kantuk juga sudah hitam legam. Alat-alat tulis dan buku-buku sekolah juga hancur. Tetapi bahagian hujung bilik masih selamat kerana jauh daripada langsir. Bahagian di mana terletaknya al-Quran di dalam rak yang belum disentuh api.
Syafiqah gagahkan diri masuk ke dalam bilik. Takkan dia mahu berhenti separuh jalan. Dalam hatinya sudah berdoa kepada Sang Pencipta. Dan tak lupa juga, ucapan astaghfirullah dan dua kalimah syahadah juga secara langsung meniti di bibir.
Al-Quran biru berjaya diselamatkan. Dipeluk al-Quran itu seerat mungkin. Al-Quran tu umpama nyawa dan hartanya. Mana mungkin dia mahu membiarkan al-Quran tu diratah api.
Prak!
Atap runtuh menghalang laluan pintu. Ya Allah! Syafiqah terjerit kecil. Jantungnya sudah berdegup sekencang-kencangnya. Bertambah kencang apabila bahagian pintu dengan sekejap saja sudah ditawan api.
Tiada jalan keluar. Muka Syafiqah pucat lesi ditoreh tiada berdarah. Ketakutan sudah mulai bergayut di hati. Air mata juga semakin galak mengalir. Sambil tak henti melafazkan ayat suci al-Quran yang dihafalnya, naskah al-Quran itu didakap semakin erat.
Lagi sekali, bunyi atap yang hampir roboh kedengaran. Kali ini jelas di atas kepalanya. Apabila kepala didongak, kayu-kayan yang menyokong atap sudah disambar api. Dan ...
Jeritan di dalam rumah membuatkan Syafiq berhenti meronta. Lututnya yang sedia lemah membuatkannya segera terduduk. Suara Syafiqah sedang menjerit? Tak mungkin. Syafiqah pasti masih selamat! Syafiq sudah tak keruan apabila fikirannya diterkam tekaan yang bukan-bukan.
"Allahu Akbar Allahu Akbar, Allahu Akbar Allahu Akbar ..." Pak Ya melaungkan azan dengan mendayunya apabila setibanya dia dan anaknya di rumah Syafiq. Sesak dadanya apabila dia melihat kejadian yang berlaku ni. Berat dugaan Syafiq dan keluarganya lalui ini, Ya Allah.
Damia yang diserbu tangisan terus dipeluk Najihah. Sudahlah Syafiqah berada di dalam, makin tak henti-hentilah cecair jernih meleleh dari tasik bundarnya.
"Adik ..." raung Syafiq tersedu-sedan. Jika tak disebabkan orang kampung yang menahan tubuhnya ini, mungkin tadi dia sudah menerobos masuk ke dalam tanpa berfikir panjang. Tanpa menghiraukan nyawanya sendiri.
"Adik ...!"
Bersambung...
Banyak betul dugaan Syafiq dn Damia ni lepas kahwin... mcm² berlaku kt diorg. Kali ni rumah terbakar plk. Punca terbakarnya, entahla pasal apa...
Share this novel