“Hana, Samdol Hapak cari kau,”
“Hei, Kak Bella. Dah bertambah lagi namanya. Pandai-pandai akak bagi gelaran kat dia ye. Tak baik tau.” Aku mengomen sikap Kak Nabila atau lebih mesra kupanggil Kak Bella. Dia tertawa kecil. Teringat pesanan Ustaz Jamal sewaktu dia mengajarku di Tingkatan Lima dulu.
“Jangan mudah menggelar nama orang atau memberikan gelaran tertentu kepada seseorang. Besar dosanya. Tak terampun jika tidak mendapat keampunan daripada tuannya. Dosa dengan Allah boleh diampunkan kerana Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang bagi hamba-hambaNYa.
Melopong mulutku mendengar penerangan ustaz.
“Jangankan kata menggelar, mengumpat atau mengata orang. Sekadar menyebut seseorang yang lalu di hadapan kita dengan perkataan ‘gemuk’ pun sudah besar dosanya, walaupun orang itu tidak mendengarnya. Dibasuh dosa itu dengan air daripada tujuh lautanpun tidak akan terhapus dosa itu melainkan diampun dosa itu oleh tuan punya badan.”
Aku semakin terlopong.
“Tak adalah, Hana. Akak bergurau aje. Jangan bagitau dia pula, ya.” Serta-merta bayangan Ustaz Jamal melayang dari ingatanku. Hem…tahupun takut.
“Budak kecik,” Kali ini aku tidak terkejut dengan panggilan itu kerana suaranya perlahan, hanya antara kedengaran dan tidak sahaja. Mungkin kerana kami berada di Blok Ilmu, di dalam Khutubkhanah. Mungkin juga kerana dia menghormati peraturan di sini. Atau mungkin juga dia sudah berubah. Singa ini sudah menjadi kambing agaknya. Aku tersenyum sendiri.
“Apa senyum-senyum? Ada saya buat kelakar ke?” Dia kembali serius. Owh ! Aku menutup mulutku rapat-rapat.
“Dah tahu nama abang?” Mahunya tak tahu. Terpampang namanya di dadanya. Hmm…betul, Irfan.
“Emm…belum,” aku sengaja berpura-pura.
“Awak ni sekolah ke tidak? Tak tahu nak eja nama saya ke?” Suaranya yang mulai mengendur tadi kembali lantang.
“Emm…maaf,” Aku berpura-pura merenung name tagnya.
“I.R.F.A.N. Irfan,” Dia mengeja namanya satu persatu dan menyebutnya dengan jelas. Aku termanggu-manggu, hilang idea.
“Kenapa Budak Kecik? Awak masih tak nampak? Budak kecik yang rabun juga agaknya,” Aku dengar dia membebel.
Keadaan kembali normal. Aku mengharapkan dia cepat pergi dari sini. Aku berpura-pura sibuk mencari buku. Dia pula seakan tidak mahu berganjak dari situ. Duhai masa, cepatlah berlalu.
“Sebelum abang pergi, abang nak Budak kecik sebut nama abang sekali,” Lucu kedengaran permintaannya kali ini.
“Hmm…nama saya bukan Budak Kecik. Saya Hana…Suhana,” Bantahku tegas tapi perlahan. Masih takut-takut.
“Ya, Hana,” Meremang bulu tengkukku mendengar dia menyeru namaku. Melihatkan dia yang masih menanti panggilanku, aku segera berpaling mengadapnya.
“Emm…abang…abang…Muhammad Irfan Hakimi bin Mohd Amri,” Aku menyebut namanya lancar, sepenuhnya. Sebelum apa-apa berlaku, aku bergegas meninggalkan tempat itu. Dia sendiri diam terlopong, patah bicara, hilang kata-kata. Mungkin dia tidak menyangka bahawa aku mengetahui namanya. Nasib baik aku tidak tahu nama ibunya atau nombor kad pengenalannya ataupun nombor surat beranaknya. Kalau tidak, pasti sudah kusebutkan sebentar tadi.
Share this novel