Bab 7
Dia merupakan suri rumah tangga. Dia memang sentiasa ada di rumah. Sedangkan keempat-empat orang gadis itu bekerja. Hanya sekali-sekala mereka bersua muka. Kebiasaannya pada pagi hari Ahad, ketika para penghuni apartment bersibuk-sibuk mencari sarapan, ke kedai, ke pasar dan sebagainya.
“Dahlah, jom balik. Abang nak pergi bayar makanan ni sekejap.”
“Ton balik dululah.”
“Hmm… Lagi satu, kalau rumah tepi bukit-bukau, memang keras sikit.”
Cik Zaiton yang baru melangkah dua tapak terus berhenti lantas berpaling ke belakang, ke arah suaminya.
“Keras?”
“Bukit, gunung-ganang, hutan rimba, memang jadi tempat kediaman makhluk ghaib ni. Jadi kita kena berhati-hati. Jangan seronok tak tentu hala,” ujar Pak Sudin perlahan lalu berjalan menuju ke kaunter bayaran.
“Ooo,” balas Cik Zaiton selepas termenung beberapa detik.
“Rumah kosong pun bangsa tu suka. Maklumlah, tak ada orang azan mengerjakan ibadat kat situ, tak de orang sembahyang, tak de orang mengaji.”
Cik Zaiton terdiam. Dia memandang suaminya sekilas kemudian membuang pandang ke arah lain. Dia menelan liur kemudian dengan laju melangkah keluar. Dia ingin cepat-cepat balik ke rumahnya.
‘Ya Allah, selisih malaikat 44.’ Hatinya berbisik lirih.
*****
“Uit! Tunggulah korang. Aku tengah nak repair tudung ni,” seru Siti saat Emi dan Zira sedang bergegas ke pintu.
Emi dan Zira bekerja di bangunan yang sama tetapi berlainan majikan. Oleh itu, mereka memang sering keluar ke pejabat bersama-sama.
Lain pula dengan Maria, dia hanya berjalan kaki ke tempat kerja kerana tempat kerjanya dekat dengan Apartment Orkid itu. Selalunya dia merupakan orang yang terakhir keluar dari apartment itu tetapi hari ini dia keluar awal.
Teman lelakinya telah menelefonnya tadi malam untuk bersarapan bersama-sama. Awal-awal pagi lagi Maria sudah keluar, hendak berjumpa buah hatinya.
Manakala kebiasaannya, Siti merupakan penghuni ketiga yang akan keluar bekerja. Dia adalah seorang yang berani dan tegas. Oleh itu, keluar bersendirian untuk menunggu bas tidak menjadi satu masalah baginya.
“Cepatlah sikit,” gesa Emi.
“Jangan belit-belit banyak sangat tudung tu, kang tercekik pulak leher tu,” usik Zira pula sambil menyarung kasut.
Emi sudah membuka pintu yang sudah mula mengeluarkan bunyi-bunyi keriut yang agak pelik dipendengaran. Nampaknya pintu itu perlukan belaian dan perhatian daripada penghuni rumah itu tetapi tiada siapa yang pakar di situ.
Kalau diikutkan, senang sahaja hendak menguruskan pintu itu dan pintu-pintu lain di dalam apartment itu, hanya titiskan minyak, insya-Allah, hilanglah bunyi keriutnya.
Di luar, kedengaran pula bunyi pintu gril sedang dibuka. Bunyi yang dihasilkan agak kuat kerana satu penyambung pada pintu gril itu sudah longgar.
Mendengar bunyi itu, membuatkan Siti bertambah panik. Dengan cepat dia menyucuk jarum ke bahagian atas tudungnya kemudian cepat-cepat pula mengenakan brooch bercorak rama-rama di tepi telinganya. Siti memang pandai menggayakan tudung. Sesuai dengan kerjayanya sebagai seorang eksekutif pemasaran di satu cawangan syarikat telekomunikasi di pinggir Kuala Lumpur.
“Kitorang gerak dulu!” ujar Zira sambil melangkah keluar.
“Ala… kejaplah!” pekik Siti sambil mencapai beg tangannya.
“Ish! Tak menyempat-nyempat diorang ni” gerutu Siti sambil menyambar kunci rumah yang berada di kotak kunci.
Bunyi hentakan kasut tumit tinggi Emi dan Zira kedengaran di koridor. Berdasarkan bunyi hentakan tumit mereka, Siti tahu mereka sedang berjalan dengan amat perlahan untuk menunggu Siti.
Siti tersenyum lega.
Selepas menyarung sandal wedgesnya, dia melangkah keluar dan ketika jari telunjuknya menekan punat kunci pintu kayu itu, hujung matanya terlihat sesuatu yang pelik di bahagian atas daun pintu apartment.
Sambil menarik daun pintu, sambil mendongak ke atas dengan perasaan hairan.
Sempat juga minda Siti tertanya-tanya imej apakah yang baru muncul di ruangan matanya?
Ketika mendongak itu, Siti terkaku buat dua atau tiga saat.
Sesuatu yang berwarna hitam, mempunyai susuk tubuh yang besar, punyai dua kaki dan dua tangan sedang bergayut di siling. Betul-betul di tepi pintu masuk apartment yang baru ditutupnya.
Selain daripada itu, tiada apa-apa lagi yang kelihatan. Tiada cuping telinga, tiada mata. Apatah lagi gigi. Hanya sesuatu yang agam berwarna hitam sehitam-hitamnya bergayut di situ.
Mulut Siti ternganga, matanya terbeliak.
Tiba-tiba tangan kanan, ya, mungkin tangan lembaga itu, digerakkan ke hadapan. Kelopak mata Siti terkelip sekali. Degupan jantungnya seakan-akan terhenti.
“Hah?” Cepat-cepat Siti memasukkan kunci ke lubang kunci di pintu gril yang berimej dedaunan itu lalu memutar kuncinya.
“Bismillahirrahmanirrahim. Bismillahirrahmanirrahim.
Bismillahirrahmanirrahim…” Siti membaca basmallah berulang kali.
Tidak tahu apa yang harus dibaca lagi. Ingin membaca ayatul Kursi, tetapi tiada satu huruf pun daripada ayatul Kursi itu muncul di benaknya yang sedang ketakutan itu.
…bersambung
Bab akan datang:
Bagaimanakah bentuk imej yang dilihat oleh Siti itu? Adakah menggerunkan?
Share this novel