Chapter 8

Romance Completed 32271

Lapan

Jam 12.30 pagi. Hujan turun lebat di Puncak Alam. Malam sepi hanya ditemani bunyi rintik hujan menari di bumi Allah. Buku teks Bahasa Inggeris Tingkatan 1 diselak malas oleh Farhan. Buku itu sekadar ditenung tanpa perasaan dan akhirnya dia menolak ke tepi. Dia bingkas bangun dari meja studi dan badannya dihenyak ke atas katil bujang. Matanya merenung lemah siling bilik.

Tangan kanannya mencapai buku yang bertajuk ‘Matahari’ hasil karya Hilal Asyraf yang menjadi idolanya dalam bidang penulisan dakwah. Farhan merenung kulit buku itu. Dia menyelak halaman 184. Tajuk cerpen itu dibaca; ‘Menjemput Bidadari’. Entah kenapa setiap kali dia membaca cerpen ini dia akan teringatkan Marha. Perasaannya sama seperti dalam watak utama cerpen itu, Issam yang menyimpan perasaan terhadap Solehah.

Ayat-ayat di dalam cerpen itu kerap kali menyentap hatinya dan membuat dia sedar bahawa mereka tiada hubungan istimewa selain daripada hubungan sebagai seorang sahabat biasa. Hanya dia sahaja yang bertepuk sebelah tangan. Sudah hampir tiga bulan dia dan pelajar-pelajar ISMP TESL yang lain menjalani latihan praktikum di sekolah masing-masing. Tiga bulan juga dia tidak berhubung langsung dengan Marha. Sejak projek Bulan Penghayatan Al-Quran tamat, sejak itu dia tidak berhubung dengan gadis itu lagi. Mereka hanya sekadar bertegur sapa jika terserempak di fakulti. Itu pun jika Farhan menegur Marha dahulu. Keluhan berat dihela oleh Farhan. Seberat perasaan yang ditanggungnya.

Dia mengambil komputer ribanya. Butang ON ditekan. Beberapa ketika, komputer ribanya sudah siap sedia untuk berkhidmat untuk tuannya. Farhan menghalakan cursor dan ikon Google Chrome diklik pantas. Dia membuka laman blogger.com, tempat dia mencurah idea. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Jemarinya mula berkerja di atas papan kekunci sambil mulutnya terkumat-kamit bermadah dalam kedinginan malam.

Wahai bidadari
Tunggu aku di sana
Aku di sini setia menyulam kasih
Menanti masa
Kasihku kepadamu bukan sekadar nafsu semata
Tapi kasihku keranaNya.

Andai Allah telah takdirkan kau untuk ku
Setia dan sabarlah
Aku pasti akan menjemputmu
Menjadi bidadariku selamanya.

Setelah dia berpuas hati, dia menekan butang publish. Tubuhnya disandar ke dinding. Dia cuba menyisih perasaan yang sedang melanda dirinya sejak tiga bulan yang lalu. Sering sahaja dia gagal. Semakin ingin dia lupakan semakin perasaan itu datang hampir kepadanya.

“Argh...” Farhan mendengus. Perasaannya berkecamuk. Dia meletakkan komputer ribanya di tepi katil. Dia bangun dan bergerak menyucikan diri dengan wuduk. Sejadah biru pemberian ayahnya dihampar kemas. Dia menunaikan solat taubat, solat hajat dan solat istikharah. Dia rasa berdosa kerana melebihkan perasaan cintanya kepada seorang wanita daripada cinta kepada Allah yang Maha Esa.

Setelah usai menunaikan solat istikharah, dia bermunajat kepada Ilahi. Tanpa dia sedar, pipinya basah. Kepada Allah dia mengadu dan meminta. Di akhir istikharahnya dia berdoa.

“Wahai Allah, Engkau berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa. Engkau mengetahui sedangkan kau tidak mengetahui. Engkau mengetahui segala yang ghaib. Apabila Engkau mengetahui Auni Marha bt Razali baik bagiku dalam agamaku, duniaku dan akhiratku, berikan dia untukku. Apabila selainnya lebih baik daripadanya bagiku, agamaku, duniaku dan akhiratku, berikanlah yang lain itu bagiku.”

Dia mengaminkan doanya. Kedua tangannya meraup wajahnya yang basah dengan airmata. Dia redha andai Marha bukan jodohnya kerana dia pasti Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat dirinya. Dia teringat sepotong ayat Al-Quran dalam surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud;

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik untukmu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk untukmu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

Janji Allah memberi dia suntikan kekuatan. Dia yakin Allah tahu apa yang direncanakan untuk hambaNya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience