LAFH - 25

Romance Series 665659

DATIN Mariam teresak-esak menangis di sisi Haqq. Dato' Tarmizi sudah dibawa ke wad kecemasan. Hampir luruh jantung Haqq saat melihat ayahnya sudah terbaring di lantai ketika dia turun semula ke tingkat bawah. Nasib baik dia tergerak hati untuk turun semula.

"Sabar ya mama. Insya-Allah papa tak apa-apa." Bahu Datin Mariam diusap perlahan.

"Mama takut kalau papa tinggalkan mama... Macam mana nak hidup lepas ni tanpa papa?" Berjujuran air mata membasahi pipinya. Sungguh tak terbayang di ruangan matanya andai suaminya itu dijemput Ilahi. Terkenang kembali segala dosa-dosa dia pada sang suami.

Semenjak Dato' Tarmizi mengambil Daneen bekerja di hotelnya, hubungan mereka mula berantakan. Tiada lagi bunga-bunga cinta. Semuanya sudah layu. Sampai tahap dia sudah tawar hati dengan suaminya. Namun dia tidak mahu berpisah. Jauh di sudut hatinya dia masih cintakan lelaki itu. Jadi dia hanya mampu telan segala luka yang lelaki itu berikan.

"Mama janganlah cakap macam tu. Papa akan selamat. Trust me." Dikesat air mata yang membasahi pipi Datin Mariam.

Haqq juga dihimpit kesal. Dia dan Dato' Tarmizi baru saja bertengkar. Tahu-tahu lelaki itu sudah rebah di lantai. Andai apa-apa berlaku pada ayahnya, dia pasti akan menyesal seumur hidup.

DANEEN duduk sendirian di balkoni biliknya. Sesekali angin malam menampar lembut pipinya. Dia mendongak memandang langit yang gelap. Nafas dihela perlahan. Entah kenapa dia rasa tak sedap hati. Seperti ada sesuatu yang berlaku.

"Daneen!"

Daneen menoleh. Salwa sudah berdiri di hadapan pintu biliknya.

"Kenapa Salwa?" soalnya.

Salwa terus mendapatkan Daneen. Dia baru pulang daripada hotel. Baru habis kerja.

"Daneen, Dato' masuk hospital," beritahu Salwa cemas.

Riak wajah Daneen terus berubah. Terkejut mendengar berita itu. Sudah tiga hari juga dia tidak bertemu dengan lelaki itu kerana Dato' Tarmizi tidak masuk ke pejabat. Katanya mahu berehat di rumah.

"Aku nak pergi hospital." Daneen capai cardigan yang digantung di belakang pintu lalu disarungkan ke tubuhnya. Dah tak ada masa nak bersiap. Lagipun sudah lewat malam.

"Nak aku temankan tak?" soal Salwa. Risau jika Daneen pergi sendirian.

Daneen geleng kepala. Tidak mahu menyusahkan Salwa. Kawannya itu baru saja pulang. Pasti dia letih dan mahu berehat.

"Aku boleh pergi sendiri."

"Betul ni?" soal Salwa meminta kepastian.

Daneen mengangguk. Sling bag dicapai lalu disangkut ke bahu. "Aku pergi dulu." Laju dia melangkah keluar meninggalkan rumah.

Dia mula risau. Bimbang apa-apa terjadi pada Dato' Tarmizi. Lagi-lagi apabila memikirkan keadaan kesihatan lelaki itu. Dalam hati tidak putus-putus dia berdoa semoga semuanya baik-baik sahaja.

"KAMI minta maaf..."

Saat ayat itu menampar gegendang telinganya, langkah Daneen terus terhenti. Dia tak jadi meneruskan langkah. Kakinya seakan dipaku pada lantai. Air matanya mengalir bisu. Terasa lemah seluruh tubuhnya.

"Haqq! Papa dah tak ada Haqq..." Datin Mariam rebah ke lantai. Mujur Haqq sempat menyambut tubuhnya.

Beberapa orang jururawat datang menghampiri mereka. Dibawa Datin Mariam ke bilik rawatan kerana keadaan wanita itu agak lemah.

Haqq meramas perlahan rambutnya. Matanya kelihatan merah. Dia melabuhkan duduknya di ruang menunggu. Wajahnya diraup berkali-kali. Macam tak percaya. Sekelip mata dia hilang Dato' Tarmizi. Semua ini berlaku terlalu pantas.

Saat kepalanya menoleh ke arah kanan, matanya dan Daneen bertembung. Dia terkejut dengan kehadiran gadis itu. Haqq terus bangun dan mendapatkan Daneen.

"You buat apa dekat sini?" soal Haqq. Dia perasan ada manik-manik jernih yang membasahi pipi Daneen. Pasti Daneen sudah tahu apa yang berlaku. Entah berapa lama Daneen berdiri di sini.

"Haqq... Betul ke uncle dah tak ada?" soal Daneen perlahan. Sebak.

"You tahu papa I ada kanser?" Haqq menyoalnya kembali. Dia masih terkejut apabila doktor memberitahu tentang sakit ayahnya. Dia tak pernah tahu.

Daneen terdiam. Bergerak-gerak anak matanya memandang Haqq.

"Answer me Daneen! You tahu kan?" Haqq menyoal lagi.

Perlahan-lahan Daneen mengangguk.

"Argh!" Haqq menumbuk kuat dinding.

"Kenapa? Kenapa you rahsiakan semua ni daripada I? I anak dia. Sepatutnya I yang lebih tahu. Bukannya you. You bukan sesiapa Daneen!" Haqq benar-benar kesal.

Daneen gigit hujung bibirnya. Dia sendiri tidak mengerti mengapa Dato' Tarmizi merahsiakan sakitnya pada isteri dan anaknya. Kerana sudah berjanji pada lelaki itu, dia terpaksa mengunci mulut. Ikutkan hatinya mahu saja dia beritahu mereka. Biar mereka sedar. Biar mereka lebih menghargai Dato' Tarmizi sebelum lelaki itu pergi buat selamanya.

LUMPUHLAH sistem satu keluarga apabila si ayah pergi buat selamanya. Suasana sayu dan sunyi menyelubungi rumah agam itu. Datin Mariam duduk di sisi jenazah suaminya itu. Dia masih menangis dan ditenangkan oleh beberapa orang ahli keluarga rapat mereka.

Rakan kongsi arwah dan staf Majestic Hotel turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir buat arwah. Mereka semua terkejut dengan pemergian Dato' Tarmizi. Terlalu cepat. Selama ini mereka lihat lelaki itu sihat saja. Tak sangka dia menanggung derita melawan kanser sendirian.

Daneen keluar daripada kereta. Dia berdiri lama di hadapan rumah agam itu sebelum memutuskan untuk melangkah masuk. Mungkin kehadirannya di sini tidak disenangi oleh Datin Mariam dan Haqq. Bukan niatnya untuk membuat mereka benci. Dia cuma mahu memberi penghormatan terakhir buat lelaki yang sudah dianggap seperti ayah kandungnya sendiri.

Pemergian Dato' Tarmizi benar-benar memberi tamparan hebat buat Daneen. Rasanya sama sewaktu dia kehilangan arwah ayah dan ibunya. Sakit. Tak terucap di bibir.

Saat kaki Daneen memijak lantai rumah agam itu, Datin Mariam terus memandang ke arahnya.

"Kau! Kau buat apa kat sini? Pergi! Pergi! Aku tak nak tengok muka kau!" hambur Datin Mariam. Sungguh dia bencikan Daneen. Semakin sakit hatinya apabila diberitahu selama ini Daneen tahu tentang penyakit suaminya. Sedangkan dia dan Haqq langsung tidak tahu apa-apa.

Haqq terus bangun dan mendapatkan Daneen. Pergelangan tangan gadis itu ditarik.

"Haqq tolong Haqq... I cuma nak tengok uncle buat kali terakhir..." ujar Daneen separuh merayu.

Tapi Haqq tak peduli. Ditarik tangan Daneen keluar daripada rumahnya.

"Papa I dah meninggal pun you masih nak sakitkan hati mama I? Apa lagi yang you nak?" soalnya. Pergelangan Daneen masih dicengkam kuat. Wajahnya merah.

"Lepas Haqq!" Daneen merentap kembali tangannya.

"You pergi balik. I tak nak tengok muka you dekat sini. Cukuplah dengan apa yang you dah buat pada keluarga I. You dah hancurkan semuanya." Usai menghabiskan ayatnya, Haqq terus berlalu masuk ke dalam rumah.

Air mata Daneen mengalir bisu. Nafas ditarik dalam-dalam. "Daneen minta maaf uncle... Daneen minta maaf..." Kecewa tidak dapat melihat wajah lelaki itu buat kali terakhir.

KENDURI tahlil arwah Dato' Tarmizi baru saja selesai. Tetamu juga sudah beransur pulang. Pembantu rumah mereka sedang sibuk mengemas. Datin Mariam pula berada di biliknya. Masih bersedih dengan pemergian sang suami.

Haqq melangkah ke dapur. Tekaknya terasa kering. Sewaktu dia ingin mencapai gelas, matanya menangkap mug berwarna biru yang diletakkan di atas island kitchen. Dibuka penutup yang menutup mug itu. Dadanya terasa ketat melihat isi dalam mug itu.

Teh tarik.

Air terakhir yang arwah bancuhkan untuknya. Pelupuk matanya terasa panas.

"Minumlah sikit. Nanti belum tentu Haqq dapat rasa lagi."

Terngiang-ngiang di telinganya suara arwah. Arwah ayahnya itu seperti tahu yang dia akan pergi buat selamanya.

"Papa..." Mata dipejam perlahan.

"Encik Haqq nak minum ke? Bik Anum boleh buatkan air," soal Bik Anum yang baru masuk ke dapur.

Haqq sekadar menggeleng. Ditutup kembali mug itu dengan penutupnya.

"Jangan kemas mug ni. Biarkan jer dekat sini," pesannya sebelum berlalu pergi.

"Baik encik Haqq." Bik Anum akur.

SUASANA di dalam pejabat itu sunyi. Tidak seperti selalu. Mereka semua terasa kehilangan dengan pemergian Dato’ Tarmizi. Namun hidup perlu diteruskan.

Pagi itu Daneen masuk ke pejabat seperti biasa. Dahinya berkerut melihat bilik kerjanya sudah kosong. Semua barang-barang miliknya sudah tiada lagi. Siapa pula yang pandai-pandai alihkan semuanya? Dia terus keluar daripada pejabatnya untuk bertanyakan kepada mereka.

“Bella.” Daneen menghampiri meja Bella.

Bella panggung kepala memandang Daneen. Riak wajahnya serta merta terus berubah. Bibir bawahnya digigit.

“Bella, mana barang-barang I? Kenapa office I kosong?” soal Daneen.

Staf lain yang berada di dalam pejabat itu turut memandang ke arahnya. Tapi tiada siapa yang berani membuka mulut saat ini walaupun mereka tahu apa yang terjadi.

“Bella, kenapa ni?” soal Daneen lagi apabila Bella masih mengunci mulut. Mata Daneen memandang staf yang lain pula. Meminta penjelasan. Sungguh dia tidak mengerti apa yang sedang berlaku saat ini.

Bukk!

Daneen terus berpaling. Terkejut apabila tiba-tiba Haqq muncul dan  membaling kotak bersaiz sederhana di hadapannya. Habis bertaburan barang-barang di dalam kotak itu. Barang-barang itu miliknya.

“You're fired!” ujar Haqq tegas.

Lidah Daneen terpasung pada lelangit saat mendengarnya. Kenapa tiba-tiba Haqq pecat dia? Ah! Kenapa kau nak persoalkan lagi Daneen? Daripada awal kau tahu yang dia bencikan kau. Sekarang Majestic Hotel sudah menjadi milik Haqq sepenuhnya. Tentu saja dia berhak lakukan apa yang dia mahu.

Staf yang lain hanya menjadi pemerhati. Mereka tak sampai hati melihat Daneen diperlakukan begitu. Namun mereka tiada kuasa untuk membantu. Silap-silap mereka turut dipecat oleh Haqq.

Daneen tarik nafas dalam-dalam sebelum dihembus perlahan. Dia tunduk mengutip kembali barang-barangnya yang dibaling oleh Haqq tadi.

Haqq tersenyum puas. Tangan dimasukkan ke dalam poket seluarnya.

“Jangan pernah tunjukkan muka you dekat sini lagi. Majestic Hotel dah tak perlukan you.”

Usai mengutip barang-barangnya. Daneen mengangkat kotak itu. Dia hampir terjatuh kerana kotak itu sangat berat. Namun cepat-cepat dia menstabilkan diri semula. Dipandang seketika wajah Haqq. Mata lelaki itu penuh dengan dendam.

Bella mahu membantu Daneen tetapi apabila melihat mata helang Haqq merenungnya, dia kembali duduk di meja kerjanya.

Dengan susah payah Daneen membawa kotak itu keluar meninggalkan pejabat.

“Tengok apa lagi? Sambung kerja!” Haqq terus berlalu semula ke pejabatnya. Seperti tiada apa yang berlaku.

DANEEN keluar daripada bangunan sepuluh tingkat itu. Berat hati nak meninggalkan tempat ini. Dua tahun dia mencari rezeki di sini. Dia sayangkan Majestic Hotel. Macam-macam pengalaman yang dia dapat. Walaupun lebih banyak pengalaman pahit berbanding pengalaman manis, Daneen gembira bekerja di sini.

Dan hari ini dia perlu meninggalkan Majestic Hotel. Tempat ini bukan tempatnya untuk mencari rezeki lagi. Daneen berhenti melangkah. Dia merenung lama bangunan ini.

“Terima kasih uncle untuk segalanya. Daneen tak akan lupa.” Matanya berkaca. Namun ditahan air matanya daripada mengalir.

“Wow... wow...”

Daneen berpaling ke arah pemilik suara itu.

Mira.

Mira berjalan menghampirinya. Dialah orang yang paling seronok apabila tahu Daneen dipecat. Ini yang dia mahukan selama ini. Selama ini mungkin Daneen menang. Tapi hari ini Daneen sudah kalah dengannya.

“Aku dah pernah cakap dengan kau Daneen. Suatu hari nanti encik Haqq akan tendang kau keluar daripada sini. Tengok, kata-kata aku dah jadi kenyataan.” Mira ketawa kuat. Puas hatinya.

Daneen malas nak melayan. Tidak berminat untuk bergaduh dengan gadis itu. Tanpa sepatah kata dia terus berlalu pergi. Telinganya masih menangkap suara Mira ketawa. Dia cuba pekakkan telinga. Dia percaya rezeki Allah itu luas. Tak ada apa yang perlu dia risaukan. Dia masih boleh mencari rezeki di tempat lain. Cuma dia sedih kerana perlu berpisah dengan rakan-rakan sekerjanya. Terlalu banyak kenangan yang tersimpan di sini.

HAQQ memerhati daripada cermin kaca pejabatnya. Usai bayang Daneen sudah menghilang di pandangan matanya, dia kembali duduk di meja kerjanya. Wajahnya diraup perlahan. Sepatutnya dia bersorak gembira kerana sudah berjaya menyingkirkan Daneen. Tapi entah kenapa jauh di sudut hatinya dia rasa bersalah kerana memperlakukan Daneen seperti itu.

“You deserve it Daneen.” Haqq berperang dengan perasaannya sendiri.

Happy reading! Kejam kan Haqq :(

Share this novel

halijah
2022-02-07 18:50:56 

baru nak baca.bila penulis nak update episod sampai habis ni.hihi mcm tgh tgk drama yg tgh on going.saspen semacam kan.cepatler update duhai penulis...hihi

nik nursasya umairah
2021-09-02 19:13:27 

pleaseeeeeeeeeeeeeeeeee sambunglaaaaaaaaaaaaaaaa!!!!!!!!!!!!!!!!!

nik nursasya umairah
2021-09-02 19:13:26 

pleaseeeeeeeeeeeeeeeeee sambunglaaaaaaaaaaaaaaaa!!!!!!!!!!!!!!!!!


NovelPlus Premium

The best ads free experience