Bab 33: Mengharap Bahagia

Romance Series 20066

SUDAH dua hari semenjak berlakunya peristiwa pahit yang menimpa Syafiqah, tapi Syafiq masih tak henti-henti menyalahkan dirinya. Katanya, kerana dirinya yang terlalu berkeras untuk berbaik dengan Mak Siti, adiknya pula yang terima akibat. Tega sungguh ibu mentuanya buat macam tu kepada adiknya yang tak berdosa tu.

Setiap kali mahu menyuap Syafiqah makan, permintaan maaf sentiasa terucap di bibir Syafiq. Bahkan kata maaf tersebut pun tak lekang diucapnya setiap kali sebelum Syafiqah tidur. Melihat kaki kiri Syafiqah yang berbalut itu, hatinya ditusuk dengan rasa simpati dan bersalah sekali gus.

"Along dengan Kak Damia pergilah tidur dulu. Syafiqah okey je," suara Syafiqah meniti ruang bilik yang diselubungi kehibaan itu. Syafiq dan Damia masing-masing duduk di birai katil Syafiqah sementara menunggu budak tu tidur. Itulah rutin baharu mereka setiap malam.

Berat hati Syafiq mahu meninggalkan Syafiqah sendirian di dalam bilik. Adiknya itu kini perlu mengharapkan bantuan tongkat untuk berjalan, tak seperti dulu lagi. Biarpun serpihan kaca di kaki berjaya dikeluarkan oleh doktor, tapi pasti pedihnya masih terasa.

"Hmm ... ye la. Syafiqah kalau nak apa-apa, panggil je kami, tau." Damia bingkas bangun. Syafiq pun turuti saja jejak langkah isterinya biarpun hatinya terasa berat. Betul, adiknya mesti tak selesa kalau mereka menunggu lama-lama kat situ.

"Along dengan Kak Damia masuk bilik dulu. Assalamualaikum," ucap Syafiq pula.

Usai beredar dari bilik tidur Syafiqah, Syafiq terus duduk berteleku menghadap luar tingkap di bilik tidurnya. Mengenang derita dan meratapi nasib yang telah dia lalui. Semuanya amat berat.

Tapi takkan sesekali dia menyalahkan takdir, kerana takdir ialah ujian Allah. Ujian Allah itu merupakan salah satu cabang untuk mematangkan hamba-Nya dalam menongkah kehidupan yang penuh pancaroba ini.

"Abang tak nak tidur lagi?" tanya Damia lalu dia juga melabuhkan punggungnya di sebelah Syafiq tanpa dipinta.

Syafiq berganjak sedikit tubuhnya untuk memberi ruang isterinya duduk bersama. Kepalanya langsung digelengkan sebagai jawapan kepada soalan Damia tadi.

Damia yang faham akan perasaan Syafiq terus alihkan pandangannya ke luar. Sambil-sambil tu, pemandangan suasana malam yang diterangi cahaya bulan dan bintang menjadi santapan mata.

Indah sekali ciptaan Allah. Sekarang dia faham kenapa suaminya sering menatap langit setiap malam. Rupa-rupanya untuk menenangkan hati yang bergelora.

Biarpun Syafiq tidak pernah mengalirkan air mata di depannya, tapi Damia tahu yang suaminya tu pasti menyimpan perasaan sedih yang terlalu mendalam. Suaminya tu sering meletakkan semua kesalahan di bahunya sendiri, padahal Damia fikir dirinya juga bersalah dalam hal ni. Kalaulah dia tak beria kata ibunya sudah berubah untuk menerima mereka, semua ini takkan berlaku.

"Abang tak marahkan saya, kan?" Damia kembali bersuara setelah agak lama mereka berdiam.

"Buat apa abang nak marah. Sayang tak salah pun." Lembut sahaja Syafiq berbicara.

Damia hela nafas. Suaminya ini terlalu penyabar padahal dirinya juga penyumbang terbesar semua benda ini terjadi. "Saya tahu, tapi saya pun salah jugak. Mak saya tu, takkan berubah."

"Perangai manusia berbeza-beza biarpun dari darah yang sama. Kadang ada ibu bapa baik, tapi anak pula jahat. Macam tulah sebaliknya. Jadi janganlah disebabkan mak dah aniaya Syafiqah tu, sayang pun rasa bersalah jugak sebab sayang tu anak dia."

"Perbuatan mak tu terlalu kejam. Tergamak mak buat Syafiqah macam tu." Damia sugul.

Macam tak percaya pula ibunya yang menganiayai Syafiqah sebegitu. Ibunya sendiri menyumbat makanan secara paksa ke dalam mulut Syafiqah. Itu baru apa yang dia saksikan, belum lagi apa yang Syafiqah sudah ceritakan.

Syafiqah telah membongkarkan kesemua kelakuan Mak Siti kepada Damia dan Syafiq sebaik saja Syafiqah pulang dari hospital. Itu pun Syafiq yang memaksa untuk membuka mulut.

Syafiqah pun turuti jualah arahan Syafiq untuk membuka cerita sepanjang dia didera tu. Bayangkan betapa hancurnya hati Damia bila mendengar segala kelakuan kejam ibunya.

"Saya pun rasa dah putus asa nak berbaik dengan dia," sambung Damia.

"Sayang kalau nak pergi berbaik dengan mak, pergilah. Abang tak halang. Cuma abang tak akan berbaik dah dengan dia lepas ni. Tengok muka dia pun abang tak nak." Geram masih menyaluti perasaan Syafiq. "Maaf kalau sayang tak suka abang jadi macam ni. Abang tahu, dia masih ibu kandung sayang."

Berbaik dengan seorang ibu yang kejam? Itu takkan terjadi. Damia sudah tahu yang ibunya takkan berubah. Bahkan kata-kata ibunya bahawa mereka 'diharamkan' menjejakkan kaki ke rumah itu lagi masih segar dalam ingatan. Tak mungkin dirinya mahu berbaik semula setelah apa yang terjadi.

Damia menggeleng. "Tak nak. Saya dah selesa hidup bertiga macam ni. Biarlah kita tak berhubung dengan mak pun, kita boleh bahagia," ucap Damia yakin.

Syafiq tersenyum nipis. Segera tangannya merayap mencapai jari-jemari milik isterinya lalu memautnya erat. Dikucup punggung tangan isterinya dengan penuh rasa syukurnya.

"Terima kasih, sayang. Abang janji lepas ni abang akan jaga sayang dan Syafiqah sebaik mungkin. Kita bertiga boleh hidup bahagia."

Damia tersenyum lebar. Janji yang diungkapkan Syafiq membuat hatinya berbunga-bunga. Dia kenal suaminya tu siapa. Suaminya itu seorang yang sentiasa menepati janjinya.

"Umm ... sayang. Abang rasa nak bagitahu Najihahlah tentang keadaan Syafiqah tu. Sayang okey tak?"

Senyuman Damia kian memudar. Soalan Syafiq itu membunuh rasa gembira yang baru bertamu di hati. Nak ajak Najihah untuk melawat? Perlu ke?

Tetapi apabila difikirkan, memang perlu pun Najihah mengetahui perkembangan dan keadaan semasa Syafiqah. Syafiqah tu pelajar kesayangannya. Najihah juga sudah menjaga Syafiqah dari budak tu berumur enam tahun lagi.

Lagipun, rasa lama pulak Damia tak berjumpa Najihah. Mungkin dengan ajak Najihah melawat ke sini, bolehlah dia melepaskan rindu untuk bertemu Najihah.

"Hmm ... ajaklah. Saya okey je."

*****

Tadi berniat hanya sekadar melawat sejam dua aje. Tetapi lain pulak jadinya apabila dia bersua muka dengan Syafiqah.

Dah masuk tiga jam Najihah bertandang kat rumah Syafiq ini. Berbual itu dan ini dengan Syafiqah sampai tak ingat dunia padahal ayahnya juga turut serta mengikutinya ke sini.

Lama tak berjumpa dengan Syafiqah, memang banyaklah hal yang mahu dibicarakan. Kesakitan dan keperitan yang Syafiqah rasa bagaikan menghilang semua apabila wajah Najihah muncul. Dari tadi mereka berdua tak pernah berenggang. Masing-masing melepaskan rasa rindu yang telah bersarang.

Makanan yang dibawa dihidang satu per satu. Semua lauk dimasak oleh Najihah. Memang Najihah kalau nak datang rumah Syafiq, tak pernah dengan tangan kosong. Mesti ada saja yang mahu dibawanya.

Pajeri terung, sup sayur dan ayam goreng yang dimasaknya menjadi santapan semua. Memang tak pernah salah Najihah masak untuk Syafiqah. Dia tahu kesemua hidangan tu adalah kegemaran Syafiqah.

"Syafiqah sepatutnya lebih berhati-hati lepas ni. Ustazah dapat tahu yang kamu terpijak kaca pun dah seriau dengarnya," pesan Najihah padahal sudah banyak kali jugalah dia berkata macam tu. Syafiqah pun hanya mengangguk.

"Kamu ni, Jihah. Bukannya Syafiqah nak pun dia jadi macam tu. Kadang semua benda terjadi di luar kemahuan kita. Kecualilah benda tu boleh dielak, tapi kita biarkan je ia terjadi. Tu lain ceritalah, kan?" Pak Ya berleter panjang lalu matanya terus menatap kedua-dua Syafiq dan Damia bersilih ganti. Mahukan persetujuan punya fasal.

Syafiq dan Damia saling berpandangan sebelum mereka tersenyum hambar. Bukan sebab rasa payah mahu menerima kata-kata Pak Ya tu tetapi masing-masing rasa bersalah. Rasa berdosa pulak menipu Pak Ya dan Najihah tentang kejadian sebenar yang menimpa Syafiqah itu.

Mereka tahu, kalau mereka menceritakan perkara sebenar bahawa Mak Sitilah punca semua ini terjadi, maka makin besarlah masalah yang bakal dihadapi. Jadi lebih baik mereka tutup mulut. Tutup mulut bukannya tanda mengalah. Lagipun, mereka lakukan semua ini atas permintaan Syafiqah sendiri.

"Ye la, abi." Najihah mencemik lalu dia meneruskan suapannya.

Pak Ya pun hanya tersenyum sambil menggeleng-geleng kepalanya. Anaknya tu kalau bab berdebat, memang suka mengalah awal. Padahal tujuannya mulakan perbualan tadi hanya mahukan anaknya tidak terlalu risaukan Syafiqah.

"Ustazah janganlah risau. Lagipun kaki Syafiqah dah okey sikit ni," ujar Syafiqah sambil menampar-nampar perlahan bahagian balutan anduh sekitar buku lali sehingga tapak kakinya.

Najihah hanya tersenyum sebelum suasana menjadi senyap semula. Yang kedengaran hanyalah bunyi dentingan sudu dan pinggan yang berlaga.

"Sedaplah awak masak, Najihah. Saya jealous tau dengan kemampuan memasak awak ni," puji Damia sambil menyuap nasi ke dalam mulut.

Macam mana tak nak puji, sejak dia duduk kat meja makan ni, sudah kali ketiga dia menambah nasi hasil air tangan Najihah tu. Memang menyelerakan!

Kalau nak bandingkan Najihah dengan dirinya, amat berbeza jurangnya. Najihah itu umpama lengkap dengan segala-galanya.

Najihah tersipu malu. "Biasa-biasa je ni." Masih lagi mahu menidakkan.

"Nanti bila-bila, ajarlah saya masak," pinta Damia.

Najihah angguk bersetuju. Nak ajar memasak tak menjadi masalah baginya. Sempat juga dia rasa bersyukur kerana Damia mahu berubah setelah berkahwin.

Dia tak terkejut pun dengan hakikat bahawa Damia tak mahir memasak. Malah, dia berasa kagum dengan niat Damia yang mahu berubah menjadi isteri yang lebih baik. Maklumlah, takkanlah setiap masa mahu biarkan suami je yang buat kerja di dapur.

"Daripada belajar masak dengan Najihah, baik belajar dengan abang je." Syafiq mencelah sambil buat muka tak bersalahnya.

Damia angkat keningnya. Amboi! Suaminya ni punyalah tak nak berpisah dengan dirinya, sampaikan nak belajar memasak dengan orang lain pun tak diizinkan. Pelik betul.

"Eleh, nak belajar dengan abang macam mana? Selalu saya masuk dapur je, abang dah siap masak. Kadang nak tolong, abang tak bagi." Damia jeling suaminya. Waktu macam ni la yang paling sesuai untuk kompelin macam-macam dengan karenah suaminya.

"Okeylah. Abang ajar. Nanti abang ajar memasak, jangan mengelat pulak," ucap Syafiq lagi.

Damia simpan senyumnya. Err ... alamak! Encik suami nak ajar masak la. Takkan nak menolak, kan? Damia pun, iyakan ajelah.

Rasa syukur terucap dalam hati Pak Ya. Gembira tengok Syafiq yang sudah berubah ceria sejak bertemu Damia. Sememangnya Allah itu sebaik-baik perancang.

Najihah senyum dengan tingkah pasangan suami isteri tu. Manis sangat! Biarpun dulu dia sempat menaruh hati kepada Syafiq, tetapi dia akhirnya memilih untuk membuang sahaja perasaannya. Tak guna mahu berdendam atau sakit hati dengan kebahagiaan orang lain.

"Syafiqah nak ca ... cakap sikit boleh?" suara Syafiqah menghentam gegendang telinga setelah agak lama dia berdiam. Terlalu fokus makan agaknya sampaikan sepinggan nasi separuh penuh tadi sudah habis dimamahnya.

Mereka berempat yang lain saling memandang. Kenapa suara Syafiqah yang kedengaran tertahan-tahan tadi menambahkan rasa gusar dalam diri mereka?

"Adik nak cakap apa?" tanya Syafiq.

"Syafiqah nak mintak maaf kat semua orang. Kalau Syafiqah ada buat salah, tolong maafkan Syafiqah." Kepala Syafiqah diangkat. Senyuman dia beri kepada semua orang walaupun senyuman itu terpampang jelas kepahitannya.

Syafiq melongo. Bahkan Damia, Pak Ya dan Najihah turut saling bersilih-ganti pandangan mata mereka.

Masing-masing tercengang. Bukan sebab permintaan maaf Syafiqah itu tak betul, tapi ada rasa peliknya. Tiba-tiba je dia buat macam tu dah kenapa?

"Kenapa adik tiba-tiba mintak maaf ni? Kalau adik ada buat salah pun, kami dah lama maafkan," balas Syafiq lagi. Dalam hatinya sudah timbul bermacam-macam spekulasi.

Mereka yang lain turut menyatakan persetujuan mereka dengan kata-kata Syafiq itu.

Syafiqah masih setia dengan senyumnya. "Tak ada apa. Saja nak mintak maaf."

"Syafiqah dah habis makan? Mari sini ustazah tolong bawa pergi singki," celah Najihah apabila dia tersedar yang suasana di meja makan bertukar canggung. Tak boleh dibiarkan lama-lama begini. Nanti makin banyak pula bicara yang tak dijangka keluar dari mulut Syafiqah itu.

Syafiqah tanpa bersuara hanya turuti sahaja Najihah pergi ke singki. Biarpun tongkat sentiasa ada bersamanya, tetapi Najihah tetap mahu memimpinnya berjalan.

Suasana senyap seketika kerana masing-masing masih cuba mencerna pernyataan Syafiqah tadi. Tapi mahu difikirkan apa? Permintaan maaf saja pun. Tak salah pun mahu meminta maaf pada hari-hari biasa macam ni. Hati masing-masing cuba menjernihkan fikiran tadi.

*****

Kerja membakar sate dan menyiapkan hidangan, dilakukan oleh Syafiq. Kerja mengambil pesanan dan menghantar hidangan kepada pelanggan pula dilakukan oleh isterinya.

Makin lama makin cekap Damia lakukan tugasnya. Boleh dah tu kalau mahu jadi pekerja tetap kat gerai sate suaminya tu.

Kalau diikutkan, hari ni sepatutnya Paan mulai menyambung kerjanya dari seminggu bercuti tetapi Syafiq menyarankan agar kawannya itu berehat dulu kat rumah. Itu pun sebab Syafiq mendapat tahu yang Paan baru je sampai dari Kuala Lumpur pada petang tadi.

Mesti kawannya tu penat. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perlis bukannya singkat. Perjalanan yang semestinya mengambil masa kira-kira enam hingga lapan jam. Sudahlah Paan sendiri yang memandu. Tak tergamak Syafiq mahu menyuruh Paan datang bekerja hari ni juga.

Lagipun, bolehlah Syafiq mahu meluangkan lebih masa menghadap wajah isteri dan adiknya tu. Bukannya dia tak percayakan Damia untuk jagakan Syafiqah seorang diri tetapi biarlah buat waktu ini, mereka berdua tu berada di bawah pantauan Syafiq.

Syafiq lalu alihkan matanya ke arah Syafiqah yang menongkat dagu di atas meja. Adiknya tu, macam biasa hanya lakukan hobi melukisnya saja memandangkan tiada kerja rumah yang perlu disiapkan. Disebabkan sudah lebih seminggu diberi cuti sakit, semestinya Syafiqah bebas dari semua yang berkaitan sekolah.

Tetapi itulah, Syafiqah selalunya tidak gemar berada di gerai sate miliknya. Pernah sekali Syafiqah menyatakan persekitaran kat gerai sate itu bising kerana terletak betul-betul di sebelah jalan raya yang selalunya disusuli dengan deruman enjin kenderaan. Jadi agak sukar untuk dia mahu fokus melakukan kerja-kerjanya.

Tetapi hari ini, lain pula jadinya. Tadi semasa di rumah, Syafiqah beria-ia sungguh mahu pergi ke gerai sate abangnya. Katanya rindu mahu tengok keadaan di gerai tu.

Syafiq turuti kemahuan Syafiqah itu. Lagi pula, takkan nak tinggalkan Syafiqah berseorangan kat rumah. Dengan kaki Syafiqah yang masih terenjut-enjut berjalan, memang taklah Syafiq mahu biarkan adiknya macam tu saja.

Dalam asyik termenung, tiba-tiba bahunya ditepuk seseorang. Pantas bahu Syafiq terangkat sedikit kerana terkejut.

"Assalamualaikum, my friend," sapa Paan lalu menayang senyum lebarnya.

Syafiq hampir sahaja melayangkan tumbukan. Ingat penyamun manalah tadi. Rupa-rupanya, kawannya sendiri. "Lah ... kau ke. Waalaikumussalam."

Paan tertawa dengan tingkah cuak Syafiq itu. Tadi terlalu asyik menung adik sangat sampaikan kehadiran dirinya di sebelah pun tak diperasan Syafiq tu.

"Kau ni kenapa datang tak bagitahu aku? Kan aku dah kata tak payah datang sini. Tu bini aku ada gantikan kau." Syafiq terus juihkan bibirnya ke arah Damia. Bagai terasa dirinya diseru, Damia terus memandang suaminya, tetapi tangannya masih setia mengelap meja makan.

"Ala, kau ni. Mentang-mentang dah berbini sekarang, kau buang terus aku?"

"Tak payah nak acah mengada sangat." Syafiq tak ada masa mahu melayan lakonan dramatik Paan tu. Geli geleman! Lebih baik dia sambung dengan tugasnya tu.

Jam di telefon dia kerling. "Patutlah kau datang sini, 10 minit lagi dah nak pukul 10:00 malam ..."

Paan terus tergelak kecil. Kan dah terbongkar tujuannya. Memang dia datang sini semata mahu tengok-tengok keadaan gerai pun. Sambil-sambil tu terniat juga mahu menyapa keluarga kecil Syafiq. Tapi tak salah pun, Syafiq sendiri yang sudah beri dia mesej untuk berehat tadi.

"Eh? Abang Paan!" Syafiqah memanggil. Dari tadi dia dengar saja dua sahabat karib itu berbual.

"Syafiqah." Paan terus lemparkan senyum kepada Syafiqah. Mereka berdua lalu saling menunduk tanda hormat.

Biarpun Syafiqah masih 11 tahun, tapi dia tahu apa itu mahram dan kenal siapa mahramnya. Bersalam dan bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahramnya memang salah di sisi agama. Pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah sudah Syafiqah sematkan dalam diri.

"Nasib baik kamu panggil 'abang' bukan 'pak cik' macam hari tu," ujar Paan.

Syafiqah pun hanya tersengih. Dia tu dah banyak kali tersilap nama panggilan. Paan pun reda sajalah dipanggil 'pak cik' pada satu ketika dulu. Nak kata Paan nampak tua, tak juga. Badannya kecil je. Mungkin itu memang kebiasaan Syafiqah.

"Kenapa dengan kaki kamu tu?" tanya Paan apabila dia tersedar balutan pada kaki Syafiqah itu.

"Terpijak kaca," jawab Syafiqah.

Paan rapatkan giginya. Ngilu dirinya kalau dengar kaca tertusuk kaki. Tak boleh terbayang kalau diri sendiri yang kena.

"Wei, Paan. Kakak kau macam mana? Dia okey tak?" celah Syafiq pula sambil mengemas barang-barang di gerai. Sekarang ini, banyak soalan yang mahu dia ajukan kepada kawannya tu.

"Alhamdulillah ... okey je. Orang lepas bersalin mestilah tengah berpantang sekarang. Akulah yang bawak kakak aku tu balik kat sini tadi. Mak aku nak jaga dia."

"Baby okey tak?"

"Baby pun sihat. Comel pun comel. Aku pulak yang excited masa nak jumpak baby kat hospital. Maklumlah, baru pertama kali jadi pak saudara."

Syafiq hanya ketawa dan menggangguk je kepalanya. Kalau dia di tempat Paan, mungkin dia akan rasai keterujaan yang sama agaknya.

Tu baru anak saudara, belum anak sendiri lagi. Syafiq terus berdehem sebelum memandang ke arah tempat Damia melakukan kerja tadi.

Hilang! Terkelip-kelip mata Syafiq memandang seluruh ruang meja makan. Padahal baru tadi aje dia tengok isterinya itu mengelap meja makan yang kotor tu. Mana pulak dia?

"Amboi! Bergelak sakan korang berdua ni. Mengata sayalah tu." Munculnya Damia secara tiba-tiba kali ini membuatkan Syafiq terkejut buat kali keduanya. Astaghfirullah ... nasib baiklah jantung masih berfungsi.

"Kat sini rupanya sayang. Abang ingat pergi manalah tadi," ucap Syafiq sambil mengurut dada.

Damia muncungkan mulut. Syafiq dah keluarkan nada manjanya, ni mesti nak lembutkan hatilah ni.

"Ceh! Betullah tu abang dengan Paan mengata saya. Dari tadi saya jeling je abang dengan Paan gelak." Damia berpeluk tubuh.

Paan dah tak mampu menahan tawanya. "Mana ada, Damia. Aku tadi bersembang dengan suami kau je. Bukan mengumpat pun. Tak boleh ke?"

Damia masih cemberut. Paan ini memang kuat mengusik orangnya. Nasib baiklah virus mengusik Paan itu tak tertular teruk kepada suaminya. Kalau tak, penat mahu menghadap.

"Habis tu korang sembang pasal apa?"

"Pasal baby," jawab Paan selamba badak.

Syafiq yang baru je meneguk air mineral terus tersedak-sedak. Tak guna! Kalau nak jujur pun, bertapislah sikit Paan ni.

Tatapan mata Paan dan Syafiq terus bertembung. Sekarang ini mereka berdua sedang berkomunikasi melalui mata saja.

Damia kerutkan dahi. Matanya dikecilkan umpama menyalakan sinaran laser ke arah dua sekawan itu. Patutlah sakan bergelak, rupanya tadi bersembang pasal 'hal' itu.

Syafiq tertawa janggal. Adui! Mesti isterinya tu sudah salah faham. Ini semua Paan punya angkara!

"Korang berdua dah kahwin hampir tiga minggu dah, kan? Cepatnya masa berlalu. Rasa macam baru kelmarin aku tengok korang kahwin." Paan menukar topik. Takut jugak tengok muka Damia macam singa betina tak makan setahun tu.

Waktu macam ni la dia mahu mengimbas kembali hari pernikahan kawannya itu. Dia jugalah yang banyak membantu Syafiq menguruskan hal-hal sebelum pernikahan itu selain Pak Ya.

Damia yang tadi mukanya masam mencuka, kian berubah sedikit demi sedikit. Malulah pula bila bercakap pasal hal kahwin ini. Dah Paan bercakap pasal kahwin, waktu macam ni la Damia kena tunjukkan sisi isteri misali dia tu.

Ketika itu juga, dia lihat topi yang dipakai Syafiq sedikit senget. Topi di kepala suaminya itu ditanggalkan. Rambut Syafiq yang berantakan dikemaskan menggunakan jari-jemarinya.

"Ha ... kalau tak pakai topi lagi handsome," puji Damia sambil tersenyum ke arah suaminya. Lalu matanya dijeling ke arah Paan.

Syafiq senyum lebar sampai ke telinga. Haih! Nak bermanis-manis ni, tunggu balik rumahlah. Nasib baiklah kat gerai ni semua pelanggan dah pulang tadi.

Tak nak kalah punya fasal, Syafiq terus mengusap lembut kepala isterinya.

Paan apa lagi, berlakon muntahlah dia dengan drama tu. Pasangan terbahagialah katakan. Syafiqah pun gelak sahajalah.

"Syafiqah."

Pantas mata Damia dan Syafiq terhala kepada Paan. Nama Syafiqah disebut oleh lelaki itu, mesti ada benda mahu keluar dari mulut dia. Mata mereka dibulatkan tak mahu Paan teruskan ucapannya. Ini mesti mahu mengusik.

"Syafiqah nak baby tak?"

Dah agak. Memang tak bertapis sungguh mulut tu. Mahu mengusik dengan melibatkan Syafiqah? Dasar tak tahu malu Paan ni. Menyesal bermesra-mesra kat depan Paan tadi.

Dengar saja perkataan itu, mata Syafiqah membuntang. "Mestilah nak! Syafiqah tak pernah pun pegang baby."

"Kalau Syafiqah nak, suruh along kamu bawakkan baby. Mesti comel baby tu," usik Paan lagi yang semakin menjadi-jadi.

Syafiq terus menumbuk bahu kawannya. Tidak sekuat mana pun tumbukan itu. Sekadar tumbuk manja antara kawan aje. Tapi tumbuk manja pun, sudah cukup membuatkan Paan mengerang kesakitan.

Paan lintang-pukang lari dari kawasan gerai. Damia yang sedang memegang penyembur air yang dia gunakan tadi hampir-hampir saja dia mengetuk kepala Paan dengan benda tu. Mujurlah tak kena.

Berkerut-kerut dahi Syafiqah melihat situasi itu. Masih tak faham apa yang sedang berlaku.

Paan terus mendapatkan motosikalnya tak jauh dari situ. Motosikal dihidupkan tetapi sebelum dia beredar, sempat dia melaungkan, "Aku tunggu berita baik dari korang berdua. Good luck!" Paan terus memecut laju motosikalnya.

Syafiq tertawa sahaja dengan ketidakmatangan Paan itu. Gila betul Paan tu. Dari zaman sekolah lagi, macam itulah perangainya. Terlebih masuk air.

Tapi itulah, kerana Paan, dirinya sentiasa terhibur. Sepanjang Syafiq bekerja sebagai penjual sate ini, tak pernah dia merasa tertekan atau stres. Kalau dia rasa begitu pun, pasti ada saja jenaka yang Paan cuba buat.

Damia bercekak pinggang di sebelah Syafiq sebelum menggeleng. "Ish ... boleh pulak Si Paan tu cakap pasal baby depan Syafiqah. Syafiqah tu dahlah budak lagi. Nak aje saya cili-cili mulut dia."

Mata Syafiq tertancap tepat pada wajah isterinya. "Kan ..." Kini dia terus pancarkan senyuman yang penuh makna. "Tapi kalau diikutkan, abang pun nak baby jugak. Untuk malam ni, boleh lagi tak kalau ..."

Belum sempat Syafiq habiskan bicaranya, air disembur tepat ke wajahnya. Itu sahaja yang dibalas Damia. Memang menyempat sungguh Syafiq ni.

Wajah yang basah lencun diraup sambil Syafiq menghantar pandangan matanya ke arah Damia yang sudah melangkah semula ke arah ruang membakar sate.

"Abang cepatlah kemas gerai ni. Dah pukul 10:00 lebih dah ni," bebel Damia.

Syafiq segera mendapatkan isterinya tu. Bukan membantu malah dia mendaratkan kucupan pada pipi isterinya itu. Biarlah, bukannya ada orang di sekitar pun. Yang saksikan adegan itu hanyalah Syafiqah saja.

Syafiqah pun sudah banyak kali dia lihat Kak Damianya dicium sebegitu. Dia malah bersorak gembira. Suka dia lihat adegan sebegitu. Sebab itulah Syafiq sudah tak peduli bermesraan dengan isterinya itu di depan Syafiqah.

Damia pula terus menampar lengan suaminya. Tapi dalam hati, rasa berdebar itu sudah pasti. Tak mampu sembunyikan perasaan, Damia lampiaskan tawanya. Hasilnya, dia balas jualah kucupan pada pipi suaminya tu

Tanpa mereka sedari, mereka sedang diperhatikan seseorang. Tangannya dikepal geram. Amarahnya membahang-bahang. Amat dia benci menyaksikan adegan tu di depan matanya.

Sungguh, kali ini dendamnya menyala-nyala. Akan dia lakukan apa sahaja cara untuk menghancurkan kebahagiaan mereka.

Selama ini memang aku diam, tapi tak bermakna aku kalah. Kau berdua siap! Aku akan pastikan kebahagiaan kau orang akan segera musnah! Gumamnya sendiri.

Bersambung...

Alamak... siapa yang dengki tu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience