Bab 10 : Cinta Suapan Pertama

Romance Series 403866

"Uish, ada kuih lopes la hari ni. Orang baru letak kuih ke Bibah? Selalu tak ada pun kuih ni." Tanya Bahri.

"Ha ah, kawan baik Bibah yang letak. Dia baru kembali dari merantau. Alang-alang dia dok menanam anggur kat kampung ni, Bibah suruh dia buat kuih hantar ke sini. Dapat jugak duit." Balas Bibah.

Bahri mencapai sebungkus lagi kuih lopes. Kemudian, sebungkus laksam berkuah lemak putih turut diambil.

"Dia tanam anggur? Boleh hidup ke anggur dekat tempat tak sejuk macam kampung ni Bibah?" Tanya Bahri lurus.

Bibah menepuk dahinya. Aduhai, boleh tahan bendul orang depan dia sekarang ni walaupun riak muka garang dah macam watak antagonis dalam cerita Tamil kesukaannya.

"Aduh, tanam anggur tu maksudnya menganggur lah. Bukan tanam anggur betul-betul. Kalau anggur boleh hidup kat sini, Bibah bukak ladang anggur dekat Taman Lubuk Puyu ni haaa. Tiket masuk dewasa RM5. Kanak-kanak bawah 12 tahun RM3." Jawab Bibah pantas dengan nada bergurau.

Bahri tergelak santai. Malu dengan perangainya sendiri yang lurus tanpa disedarinya.

"Lawak lah Bibah ni. Hahahaha. Okey. Kira semua ni Bah. Jangan lupa kopi o panas, kosong, macam yang saya selalu order ya. Oh ya, Milo Ais satu." Not RM50 dikeluarkan dari dompetnya.

"Semuanya RM10. Baki ni RM40. Bibah jual ya." Bibah menghulurkan duit baki kepada Bahri.

"Ya, beli." Bahri membawa bungkusan berisi makanan itu ke motornya.

Motor dihidupkan. Dia yang baru sahaja tamat shift bertugas menghalakan motor ke arah rumah sewanya yang dihuni bersama beberapa rakan lagi.

*****

"Baru sampai ke Yie?" Tanya Idris yang baru sahaja keluar dari bilik.

"Haaa, yalah. Eh kau nak pergi mana?" Tanya Bahri kembali sebaik sahaja dia menjawab soalan Idris.

"Beli sarapan. Malas nak masak." Balas Idris yang sudah pun mencapai kunci motornya.

"Eh tak payah. Aku dah beli ni. Mari makan dengan aku. Ada laksam. Ada kuih lopes. Ada nasi lemak. Milo ais pun ada ni." Beria Bahri mengajak Idris untuk menyertai dirinya bersarapan.

"Aduh, segan pulak aku. Tapi sebab kau cakap ada kuih lopes, aku join kau sarapan eh." Idris sudah bersila di hadapan Bahri.

Bekas plastik yang mengandungi kuih lopes itu dibuka dengan berhati-hati. Gula Melaka cair dituang ke atas pulut yang berwarna hijau dan disaluti kelapa. Dengan menggunakan sudu, sedikit kuih itu disuap ke mulut.

Idris terdiam. Bahri yang tertanya-tanya mengambil kuih itu dengan menggunakan sudunya sendiri dan disuap ke mulut. Mereka berdua saling berpandangan.

"Sedaplah!" Serentak mereka bersuara.

Kemudian, serentak juga mereka berdua ketawa.

"Okey sumpah tak tipu. Sedap! Macam yang arwah umi aku buat dulu." Beritahu Idris.

"Mak aku tak pernah buat sebab kami tak suka pulut. Tapi sedap jugak rupanya kuih ni." Balas Bahri.

"Kau beli dekat kedai Bibah kan? Esok aku nak beli lah." Satu suapan lagi masuk ke mulut Idris.

"Kenapa? Dah jatuh cinta suapan pertama ke?" Usik Bahri.

"Kalau tuan kuih ni single lagi, confirm aku pinang terus Yie. Sedap sangat ni." Puji Idris.

Bahri menggeleng kepala. Gila Idris ni! Takkan lah nak kahwin semata-mata sebab sukakan kuih yang dibuat?

"Kalau dia ibu tunggal?" Duga Bahri.

"Kalau dah tercatat jodoh aku dengan ibu tunggal, aku takkan tolak Yie. Allah maha tahu yang terbaik." Balas Idris santai.

"Asalkan dia boleh buat kuih kesukaan kau lah ni eh?" Usik Bahri.

Idris ketawa kuat. Semenjak kebelakangan ini, Bahri yang pendiam ini sudah pandai melayan dia bercakap. Apa yang membuatkan Bahri berubah?

Enjoy reading! :) Half way through tempoh berpantang. Semoga N masih boleh bertahan tengok orang makan kuih sedap-sedap tanpa terliur XD Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience