Fack menguak daun pintu bilik Rayqal. Rayqal kelihatan sedang asyik memerhatikan bintang-bintang yang menerangi langit malam. “Jauh menggelamun.” Tegur Fack, Rayqal menoleh ke arahnya lalu tersenyum tipis.
“Bila masuk? Tak perasan pun.” Tanya Rayqal bersahaja.
“Baru je.” Balas Fack ringkas. Fack melompat ke atas katil Rayqal, Rayqal hanya melihat sahaja gelagat Fack itu. Dia kembali melentokkan kepalanya di tingkap, matanya terpaku di langit.
Fack yang tadi sedang berbaring mengubah posisinya, dia mengiring ke arah tingkap. “Nak tanya sikit boleh?” soal Fack kepada Rayqal.
“Tanyalah.” Balas Rayqal acuh tak acuh.
“Sebenarnya, kenapa kau ceraikan Jazmin?” tanya Fack, nadanya semakin lama semakin tenggelam. Rayqal tidak memberi sebarang respon, dia hanya terdiam.
“Kalau kau tak bersedia lagi nak bagitahu aku, aku boleh tunggu.” Tambah Fack. Dia tidak ingin memaksa Rayqal untuk menceritakan segalanya kepada dia. Boleh jadi Rayqal sedang menghadapi masalah namun dia tidak mahu memberitahu yang lain dulu.
Rayqal menoleh ke arah Fack, “Serius ke nak tahu?” tanya Rayqal. Entah kenapa pertanyaan itu tiba-tiba meluncur keluar dari mulutnya.
“Mestilah nak. Jangan risau, aku takkan bagitahu orang lain.” Kata Fack, tangannya diangkat seperti mengangkat sumpah.
Rayqal mengambil nafas sebelum memulakan ceritanya, “Aku ceraikan dia sebab...” baru sahaja Rayqal ingin memulakan ceritanya, mereka berdua digganggu dengan jeritan dari bilik Hayqal.
Terus mereka berdua bergegas ke bilik Hayqal yang hanya bersebelahan dengan bilik Rayqal. “Astaughfirullahadzim.” Rayqal terus beristighfar apabila melihat Jazmin yang sedang terapung di udara.
Mata Jazmin terbuntang luas, seperti ternampak sesuatu yang mengerikan. Mulutnya terkunci rapat, dia cuba untuk menyatakan sesuatu namun tidak mampu.
Mereka berdua cuba mendekati Jazmin, tiba-tiba pintu terhempas dengan kuat. Bahu mereka terhenjut dek terkejut. Hayqal keluar dari tandas, baru selesai melepas hajat mungkin.
“Kau hempas pintu bilik aku ke?” Tanya Hayqal hairan. Takkanlah diorang nak hempas pintu biliknya? Kalau iya pun, apa motif diorang?
“Tak. Pintu tu tertutup sendiri.” Balas Rayqal mendatar. Dia masih melancarkan perang dingin dengan abangnya. Tatkala Rayqal bercadang untuk keluar dari bilik abangnya, langkahnya seperti terkaku.
“Kau nak pergi mana?” Tanya Jazmin yang tiba-tiba sudah berada di hadapan Rayqal. Rayqal menelan air liurnya, wajah Jazmin yang pucat lesi itu menatapnya dengan pandangan yang menakutkan.
“Again?” Tanya Fack kepada Hayqal. Hayqal menghenjut bahunya tanda tidak tahu. Dia menapak ke arah almari bajunya, tangannya seperti sedang tercari-cari sesuatu.
Jazmin muncul di sampingnya, “Kau nak kemana tu?” Tanya Jazmin dengan nada garau.
Hayqal menolak kepala Jazmin dengan jarinya, “Pergi main jauh-jauh lah syaitan laknatullah.” Kata Hayqal mendatar, serabut pula matanya melihatkan syaitan yang sedang menumpang tubuh badan Jazmin itu.
Tiba-tiba, lampu di dalam biliknya terpadam, hilaian tawa mula kedengaran. Hayqal mengeluh kecil, “Haih serabutlah aku.” Kata Hayqal dengan nada meluat.
Rayqal dan Fack mengeluarkan telefon pintar mereka, lampu suluh dibuka oleh mereka. “Jom main sorok-sorok.” Suara Jazmin bergema di seluruh pelosok bilik Hayqal.
Hayqal membaca ayat ke-100 dari surah An-Nahl, “Sesungguhnya, pengaruh syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia sebagai pemimpin mereka. Aku tak pernah menganggap kau pemimpin aku, mahupun kawan aku.” Kata Hayqal mendatar.
Rayqal sedikit terkejut mendengar hujah dari abangnya, sejak bila pula abang dia belajar ilmu agama ni?
Jazmin mengilai buat kali kedua, “Buat apa kau nak berpegang teguh pada Tuhan kau? Mana dia disaat kau perlukan bantuan?”
Hayqal sudah dapat meneka permainan syaitan itu, dia cuba untuk menghasut mereka bertiga untuk ragu-ragu dengan Pencipta Yang Maha Esa. ‘Kau tersalah pilih mangsa lah syaitan.’ Bisik hati Hayqal lagi.
Ayat ke-173 dari surah Ali Imran dibaca oleh Fack, “Cukuplah Allah menjadi penolong bagi kami dan Dia adalah sebaik-baik pelindung.” Giliran Fack pula berhujah.
Makhluk yang menumpang badan Jazmin kelihatan marah, dia menghentam lantai dengan kuat, lampu yang tadinya terpadam bernyala semula.
Jazmin mencengkam leher Hayqal, “Kau penunggang agama! Kau beribadah tetapi kau melakukan perkara yang dimungkari oleh Allah! Kau membunuh! Kau takkan cium bau syurga!” Jerit Jazmin.
Hayqal cuba meleraikan cengkaman Jazmin, namun kudrat gadis itu sepertinya terlalu kuat. “Dan.. apa pula yang.. me..yakinkan k..au bahawa tuan kau.. akan ma..suk ke syurga?” Tanya Hayqal dengan nada yang tersekat-sekat.
Fack cuba membantu Hayqal namun sekali makhluk itu mendorong tangannya ke arah Fack, terus Fack terdorong ke belakang. “Takkan ada sesiapa yang akan dapat bantu dia! Hari ini, dia akan mati!” Jerit Jazmin lalu disambut oleh hilaian tawanya.
Hayqal membaca ayat Qursi di dalam hatinya. Mata Jazmin bertentangan dengan mata Rayqal, mulut Rayqal mula terkumat-kamit membaca Al-Fatihah, Ayat Qursi dan 3 Qul.
“Kau diam!” Jazmin melepaskan Hayqal, Hayqal jatuh terjelopok di atas lantai. Dia terbatuk-batuk dek dicekik Jazmin tadi.
Nampaknya, Rayqal bakal diserang oleh Jazmin. Hayqal terus mencapai daun bidara yang disediakan olehnya tadi. Dia sudah dapat meneka bakal ada kejadian seangkatan dengan ini akan berlaku.
Hayqal berdiri di hadapan Jazmin, dia menghalakan daun itu ke arah wajah Jazmin. Mulutnya mula terkumat-kamit membaca ayat Qursi.
Kedengaran Jazmin menjerit dengan nyaring, “Aku akan datang lagi!” Itulah ayat terakhir yang meluncur keluar dari mulut Jazmin sebelum dia jatuh terkulai di lantai.
Hayqal mengelap peluh dingin yang sudah membasahi dahinya. Dia menoleh ke arah Fack, “Kau okay tak?” Tanya Hayqal kepada Fack.
Fack mengangkat tangannya menandakan dia baik-baik sahaja. “Fack, bila kawan kau tu nak datang?” Tanya Rayqal, dia masih lagi tercungap-cungap. Penat mungkin ketika menghadapi makhluk tadi.
“Assalamualaikum.” Kedengaran seseorang memberi salam dari luar, mereka bertiga berpandangan sesama sendiri. Masing-masing menunjukkan wajah keliru.
“Waalaikummussalam.” Hayqal menjawab salam yang diberi, daun pintu dikuak olehnya.
“Eh Irsyad?” Fack kelihatan terperanjat dengan kehadiran temannya di kediaman mereka. Beberapa hari lepas, Irsyad memberitahunya yang dia tidak dapat bantu Fack kerana mempunyai sedikit urusan. Ini tiba-tiba muncul di kediaman mereka pula. Apa cerita?
Irsyad mengosok batang lehernya, “Maaflah, aku dah bagitahu kau tadi nak datang. Tapi kau tak baca pun chat aku.” Terang Irsyad.
Terus Fack melihat skrin telefon pintar nya, patutlah tiada pesanan ringkas yang masuk. Dia tertekan mod penerbangan.
“Haa masuklah.” Fack mempelawa Irsyad untuk masuk ke bilik Hayqal. Hayqal menjeling ke arah Fack, ‘Ni bilik aku ke bilik dia ni?’ Gumam hati Hayqal, Fack tersengih seperti kerang busuk.
“Ni kenapa terbaring atas lantai ni?” Tanya Irsyad apabila melihat Jazmin yang masih tidak sedarkan diri di lantai.
“Oh dia ni lah yang perlukan rawatan tu.” kata Fack mendatar. Irsyad ini pembaris sikit, jadi sebaiknya memberitahu apa yang harus dilakukan olehnya terlebih dahulu sebelum dia memberikan pelbagai soalan lagi.
“Ish ish ish, kan tak elok letak anak dara dekat atas lantai macam tu.” Kata Irsyad sambil menggelengkan kepalanya. Rayqal dan Fack tersengih macam kerang busuk. Hayqal pula mendukung Jazmin lalu dibaringkan di atas katil. Nasib baik tudung Jazmin tidak tertanggal.
.
Puan Sri Psychlia menghentak meja, “Tak guna!” Bentaknya. Dia terbatuk-batuk, tangannya ditekup di mulut tatkala merasa bakal ada sesuatu keluar dari perutnya.
Darah. Makin berapi Puan Sri Psychlia. ‘Berani diorang hancurkan rancangan aku!’ Bentak hatinya kegeraman. Susah payah dia menghantar sihir kepada anak angkatnya, senang-senang sahaja mereka bertiga nak rosakkan perancangannya.
Puan Sri Psychlia terpandang kalendar yang tergantung di dinding, ‘Dah sampai masa untuk bagi makan.’ Terus dia bangun dari meja soleknya lalu berlalu keluar dari biliknya.
Dia berlalu ke stor yang terletak di tingkat bawah, dia menoleh ke kiri kanan dulu untuk memeriksa keadaan sekeliling sebelum dia menapak masuk dan mengunci pintu dari dalam.
Share this novel