BAB 4

Romance Completed 9878

“AWAK, kenapa kita datang ke sini?” Tanya Izyan Hasna sambil kakinya mengikut langkah Danish masuk ke dalam Hotel Equatorial. Danish tidak menjawab walau sepatah pun sehinggalah mereka tiba di hadapan sebuah restoran. Etoile Bistro. Izyan Hasna membacanya. Bunyi seperti bahasa Perancis.

“Awak, kita makan di kedai biasa tak boleh ke?” Sekali lagi dia bersuara.

“Awak, kita makan di sini, please. Sekejap lagi, saya kena masuk ofis. Ada dokumen penting yang saya tertinggal sebelum berjumpa dengan awak tadi.”

“Maksud awak, awak….?”

“Saya bekerja di sini. Maksud saya, di bahagian pentadbiran hotel.”

“Sir, Ma’am,” ucap seorang pelayan sambil meletakkan dua buah buku menu ke atas meja.

Izyan Hasna membuka helaian menu tersebut. Sebaliknya, Danish dengan penuh yakin memesan secawan kopi susu, “Un café au lait, s’il vous plaît.”

“D’accord. (Baiklah.)” Pelayan tersebut menulis sesuatu di atas buku nota kecilnya lalu berpaling ke arah Izyan Hasna. “Que désirez-vous, madame? (Apa yang puan mahu?)”

“Hah? Errr….” Izyan Hasna bingung. Satu patah perkataan pun dia tidak faham. Dia memandang Danish yang tersenyum melihatnya. Bukan nak tolong, senyum-senyum pulak dia! Gerutunya di dalam hati.

“What would you like to drink?” Ulang pelayan itu dalam bahasa Inggeris pula.

“Errr… chocolat au lait! Yeah, chocolat au lait!” Izyan Hasna menyebut dengan yakinnya. Fikirnya, jika kopi susu dipanggil café au lait, pasti coklat dipanggil chocolat au lait!

Danish menghamburkan ketawanya secara tiba-tiba. Pelayan itu juga tersenyum-senyum memandangnya.

“Kenapa?” Izyan Hasna menyoal kebingungan.

“Un chocolat chaud pour elle,” ujar Danish kepada pelayan tersebut.

Pelayan itu mengangguk sambil mencatatkan pesanan ke dalam buku notanya. “Veuillez patienter quelques instants. (Sila tunggu sebentar.)” Selepas itu, pelayan tersebut berlalu pergi bersama buku menu di tangannya.

“Saya tak faham. Kenapa awak gelak? Kenapa dia tersenyum-senyum? Salah ke apa yang saya pesan tadi?” Soal Izyan Hasna dengan nada tidak puas hati.

“Salahlah, sayang. Kalau awak nak minum air seperti Milo panas tu, ia dipanggil chocolat chaud. Chocolat au lait tu pulak seperti coklat yang saya berikan kepada awak tadi. Faham?” Terang Danish.

“Manalah saya tahu. Saya tak pernah belajar bahasa Perancis. Tetiba saja awak bawa saya ke sini, biar saya terkial-kial sendiri buat pesanan.”

“Yalah, mana saya tahu awak nak minum apa. Lagipun, awak boleh memesan dalam bahasa Inggeris, kan? Tak semestinya awak kena berbahasa Perancis baru dia faham. Kita sekarang berada di Malaysia, Cik Senah. Bukan di Perancis!”

“Danish!” Izyan Hasna menekan suaranya apabila menyebut nama lelaki itu. Baru beberapa minit yang lalu dia mengetahui nama sebenar lelaki itu.

“Ya, saya.” Danish menyahut.

“Berapa kali saya nak cakap? Nama saya bukan Senah!” Izyan Hasna mengigit bibir kegeraman.

“Tapi, saya rasa nama Senah itu lebih sesuai dengan diri awak yang agak kelam-kabut tu!” Danish tergelak dengan kata-kata sendiri.

“Hish, bencilah!”

“Jangan di mulut saja cakap benci tapi di hati cakap suka tak henti-henti,” ucap Danish penuh makna.

“Perasan!” Gumam Izyan Hasna dengan mulut terherot-herot.

“Bukan nak perasanlah tapi, kawan awak beritahu saya sesuatu tadi….” Sengaja dibiarkan ayatnya tergantung.

“Siapa? Amirah? Apa dia beritahu awak?” Dahi Izyan Hasna berkerut-kerut.

“Dia cakap awak panggil saya abang.” Danish ketawa.

“Danish! Saya tak pernah panggil awak abang tau!”

“Abang Coklat tu bukan abang ke?” Danish suka kerana dapat mengusik gadis di hadapannya. Gadis itu begitu semangat menafikannya.

“Itu… itu….” Izyan Hasna menggigit bibir. Kurang asam gelugor punya Amirah! Sesuka hati sahaja gadis itu membocorkan rahsianya kepada Danish!

“Abang juga, kan? Hmm? Ada lagi dia beritahu saya.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience