3 Yang Mana Satu??

Romance Completed 368627

TUAN DECSIER terus melabuhkan punggung sambil memicit pelipisnya berkali-kali.  Seumur hidup, ini kali pertama dia berasa segeram itu.  Mahu marah, tapi kena sabar.  Mujur selepas membersihkan diri tadi, tubuhnya terasa lebih wangi, segar dan tenang. 

Memejamkan matanya sejenak, Tuan Decsier mengambil sehembus dua nafas tanpa mahu memikirkan apa-apa dulu.

"Tu... Tuan Besar, hehe... " Tiba-tiba, Dara Jelita memunculkan diri sambil tersengih manis.  Mengambil tempat berlabuh di hadapan majikannya dengan selamba sambil memerhatikan wajah tegang lelaki itu sedikit lama.  Ah...  marah-marah pun, tetap sahaja kacaknya tidak pandai hilang!

"Hrmmm? Awak nak apa, Dara? Apa lagi harta benda saya yang awak musnahkan kat dapur tu? Apa lagi yang tumpah? Apa lagi yang pecah?" Tuan Decsier yang sedang menyandarkan tubuh lelahnya pada dada sofa langsung memerli.  Penat membantu Dara Jelita membersihkan dapur tadi masih lagi belum hilang kini gadis itu datang pula membawa muka polos tidak bersalah.  Ah, bukan membantu tetapi sebaliknya kerja pembersihan itu hampir keseluruhan dilakukan oleh Tuan Decsier sendiri.  Entah apa yang Dara Jelita tahu, disuruh mengambil cecair pencuci lantai dia tidak kenal.  Caranya mengemop lantai pula terlihat aneh semacam.  Dara... oh, Dara!

"Tak musnah apa pun, Tuan Besar.  Saya cuma nak tanya... malam ni, kita... nak masak apa?" soal Dara Jelita, tersenyum lebar sehingga menampakkan barisan giginya yang sangat cantik.

'Kita??'

Ayat itu hampir membuatkan Tuan Decsier tertelan segala gigi, segala lidah yang dia miliki.  Mengapa perlu 'kita'? Mengapa bukan 'saya'?

Daripada posisi bersandar malas, Tuan Decsier terus menegakkan tubuh.  "Awak masak je lah apa-apa, Dara.  Janji bersih, sihat dan sedap.  Masa memasak, jangan bercakap atau menyanyi! Awak nampak tadi bala apa yang awak dapat lepas awak nyanyi lagu sikok tu?? Lagu entah apa entah! Ingat, janji bersih, sihat dan sedap!" panjang lebar bebelan Tuan Decsier terluah.

'Janji bersih, sihat dan sedap?'  Kata-kata itu membuat Dara Jelita terpinga-pinga.  Oh, tidak! Akal mana, akal??

"Ta... tapi, Tuan Besar... saya kan baru-baru lagi.  Saya tak tahu selera Tuan Besar macam mana? Suka nasi ke, suka mee ke? Betul tak?" Dara Jelita gigih memberi alasan.

"Masak je lah apa-apa, Dara.  Ishhh! Tapi saya lebih suka mi daripada nasi.  Baru ada tenaga sikit.  Makan mi nanti badan pun lembik macam mi! Saya nak keluar  kejap lepas ni.  Pastikan bila saya dah balik, makan malam dah siap." ujar Tuan Decsier sebelum terus bangkit dari duduknya tanpa mahu mempedulikan tingkah aneh pembantu rumahnya itu.

"Alaaa, matilah kalau hari-hari macam ni!" Dara Jelita terus menepuk dahi.  "Macam mana resepi orang masak nasi? Macam mana nak masak lauk? Mana gula, mana garam pun aku tak tahu! Ayah, tolong orang yah!" Dara Jelita mengeluh kesal, gugup dan bimbang.  Entah bagaimanalah rupa masakannya nanti? "Eh, kejap! Apa tadi?? Tuan Besar kata... dia lebih suka makan mi daripada nasi? Tapi dia kata... mi lembik pula??" Dara Jelita diam sejenak lalu menggaru kepala.  "Haaa, aku ada idea!" timbul pula akal bijak anak dara itu.  Dia bangkit lalu berlarian menuju ke arah dapur untuk memulakan tugasannya yang kedua iaitu memasak.

TUAN DECSIER menundukkan tubuh untuk menyalami Puan Ameera bersama Tuan Maliki.  Mereka yang menetap di Brunei mengambil keputusan untuk pulang sebentar ke Malaysia kerana mahu melawat Nek Kalsom yang sudah hampir setahun tidak ditemui. 

"Apa khabar mak cik, pak cik? Sihat?" soal Tuan Decsier ramah sambil ligat membantu ibu dan bapa saudaranya memasukkan bagasi mereka ke dalam kereta.

"Sihat.  Kamu? Bila nak main ke Brunei lagi?" Tuan Maliki menepuk bahu anak saudaranya bersama segaris senyuman nipis.

"Lambat lagi, pak cik.  Nak kena asah skill dulu sebelum pergi serang." ujar Tuan Decsier seraya tertawa kecil.  Teringat pula dia ketika perlawanan persahabatan di antara Malaysia dengan Brunei beberapa bulan lalu, berbelah bahagi perasaan bapa saudaranya itu kerana tidak tahu harus menyokong pasukan yang mana satu.

"Asah, jangan tak asah." Puan Ameera mencelah, menjeling aneh ke arah anak saudaranya itu.  "Asah skill main bola tu, asah juga, tapi... asah skill cari isteri jangan lupa.  Ni, mak cik dengar... Rauda dah berhenti.  Betul ke?" soal wanita separuh usia itu sebelum mengambil posisi di bahagian tempat duduk belakang.

Tuan Decsier bercurian mengeluh.  Topik inilah yang paling dia bimbangkan kerana dia yakin, daripada berkenaan dengan pembantu rumah, ianya boleh meleret panjang sehingga ke topik anak cucu.  Mulut ibu saudaranya itu memang boleh tahan tajam.  Cerewetnya pula usah dipertikaikan.

"Berhenti kejap je, mak cik.  Lepas tu, dia kerjalah balik kat rumah saya tu." ujar Tuan Decsier seraya mula menghidupkan enjin kereta.

"Kejap pun, masih berbulan-bulan juga kan? Kamu ni pula, bukan selalu ada kat Malaysia.  Mak cik bukan apa, mak cik cuma risaukan nenek je.  Nanti kalau kamu tak ada kat rumah macam sekarang ni, siapa yang nak uruskan nenek? Mak cik tak nak nenek duduk seorang-seorang.  Macam ni lah," Puan Ameera menarik nafas, menayang wajah yang paling tegang dan tegas.  " Mak cik dengan pak cik kamu ni dah berbincang dan kami setuju nak bawa nenek balik ke Brunei tinggal sama-sama dengan kami.  Kali ni, mak cik tak nak dengar apa-apa alasan lagi dah."

Kata-kata itu spontan membuatkan Tuan Decsier mendengus geram.  Dia terlalu sayangkan Nek Kalsom dan dia juga tahu, jika neneknya itu tinggal bersama-sama dengan Puan Ameera sekalipun, belum tentu hidup orang tua itu teratur.  Ibu dengan bapa saudaranya itu seorang yang bekerjaya dan sentiasa sibuk.  Tidak mungkin mereka mempunyai waktu untuk menguruskan Nek Kalsom.  Pernah orang tua itu mengikuti Puan Ameera tinggal di Brunei, namun, terabai perhatian dan bosan; itulah aduan yang selalu diluahkan oleh Nek Kalsom kepadanya.

Dalam fokus memandu, Tuan Decsier juga ligat menyusun alasan.  Alasan agar Nek Kalsom tidak akan dibawa keluar dari Malaysia dan Tuan Decsier juga yakin yang orang tua itu pun, sudah pasti enggan mengikuti Puan Ameera.

"Kalau diam-diam macam ni, mak cik anggap kamu setuju.  Tapi setuju atau tak pun, mak cik tetap akan bawa nenek balik Brunei." Puan Ameera kembali menegaskan kata-katanya.

"Pasanglah lagu, De.  Pak cik pasang ya? Daripada dengar mak cik kamu ni membebel, lagi baik kita dengar DJ yang membebel.  Ada juga faedahnya." Tuan Maliki yang berasa kasihan dengan tampang anak saudaranya terus memasang radio.  Menjeling semakin geram Puan Ameera dibuatnya.

"Lagu-lagu lama baru seronok didengar, De." Tuan Maliki berbicara sendiri sambil gigih mencari frekuensi radio yang diingini.

"... kita berhibur dengan sebuah lagu daripada penyanyi L. Ramlee Dara Pujaan."

Tuan Maliki tersenyum girang ketika suara ceria seorang DJ kedengaran.  Dara Pujaan, di antara lagu kesukaannya.  "Haaa... ni cantik lagu ni, De!" ujar lelaki tua itu sambil gigih menaikkan tahap kelantangan radio tersebut.

"Duhai dara kau manis jelita
Senyummu indah berseri seri
Hatiku selalu menjadi tergoda
Memandang kau tiap hari

Engkau yang ku puja puja
Jadi impian di waktu malam
Aku duduk termenung kesepian
Terkenang dara pujaan... "

'Dara?? Dara Jelita??'

Terkaku seketika Tuan Decsier saat mendengar suara sumbang bapa saudaranya.  Sekilas wajah tua itu ditoleh dan entah bagaimana, timbul pula akal licik lelaki itu.

"Pak cik, mak cik." Tuan Decsier memanggil setelah menarik nafas yang paling dalam untuk bertenang.  Dia tahu dan dia sedar, apa yang akan dia katakan itu nanti sudah pasti akan membuatkan kedua-dua orang tua itu terkejut atau mungkin marah, namun apa lagi akal yang dia ada selain daripada akal yang baru dia fikirkan itu?  Tidak mengapa, semua ini demi nenek kesayangannya juga. "Sebenarnya, ada sesuatu yang saya nak cakapkan."

"Pelankan radio tu, bang! Memekak aje kerjanya!" Puan Ameera lantas membebeli suaminya.

Dalam menjeling tidak berpuas hati, Tuan Maliki akur juga terhadap arahan Puan Ameera.  Wanita itu jika sudah parah membebel, jangan mimpi telinga mangsa leterannya akan bercantum kembali!

"Cakaplah, De.  Kamu nak cakap apa tadi?" Puan Ameera tersenyum tidak sabar, berbicara juga dalam nada yang paling lembut dengan anak saudaranya itu.

"Ehermmm!" lelaki muda itu berdeham terlebih dahulu lantaran mahu memperbetulkan nada suara, biar tidak ketahuan menipu.  "Sebenarnya, saya ni dah ada... isteri."

"Apa??" serentak Tuan Maliki bersama Puan Ameera menyoal.  Melopong luas mulut kedua-duanya, memandang ke arah Tuan Decsier juga dengan riak yang tidak percaya.

"Bila kamu kahwin?? Kenapa kami tak tahu??" soal Puan Ameera.

"Beberapa bulan lepas.  Memang perkahwinan ni dirahsiakan sebab... saya tak nak pihak media ganggu isteri saya dan ini juga atas permintaan isteri saya sendiri." ujar Tuan Decsier bersungguh-sungguh.  Semakin lama, semakin lancar dan yakin sahaja mulut itu mengungkapkan kebohongan.  Mulutnya memang yakin dan lancar, namun kulit mukanya ketika itu terasa sangat panas kemerahan tatkala membayangkan kepolosan wajah dan tingkah nakal seorang 'isteri' yang dimaksudkan.

"Sorok daripada orang luar tak semestinya kena sorok daripada kami, De! Kami ni dah anggap kamu macam anak kami sendiri.  Siapa isteri kamu tu?? Ahli sukan juga??" Puan Ameera menayangkan riak kurang senang.

"Haaa, siapa dia? Pak cik kenal ke?" Tuan Maliki turut mencelah.

"Tak, pak cik dengan mak cik tak kenal pun.  Dia cuma orang biasa je."

"Siapa nama dia?" soal Puan Ameera lagi.

"Da... Dara Jelita."

"Dara Jelita?? Cantik pula nama tu!" Tuan Maliki tertawa sambil cuba mengingati lirik lagi yang baru sahaja dia nyanyikan tadi.  Kebetulan sungguh!

"Daralah yang jagakan nenek, uruskan semua kebajikan nenek kalau saya tak ada.  Sebab tu lah mak cik dengan pak cik tak perlu risau.  Nenek okey je tinggal dengan kami kat sini.  Bukan nak puji isteri, tapi... Dara memang seorang bertanggungjawab.  Makan pakai kami dia jaga dengan baik." sebarang sahaja Tuan Decsier memuji, asalkan kedua-dua orang tua itu percaya sahaja.

"Sampai hati kamu belakangkan kami, De." Puan Ameera reda, namun wajahnya tetap sahaja tertayang masam.

"Saya tak berniat pun nak rahsiakan semua ni daripada pengetahuan pak cik dengan mak cik.  Saya minta maaf.  Apa-apapun, doakan perkahwinan saya dengan Da... Dara kekal hingga ke jannah ya?"

"Dah belakangkan kita, sekarang nak minta kita doakan dia pula!"

"Bukan saja-saja, mak cik.  Saya minta maaf. Esok saya kenalkan mak cik dengan pak cik pada isteri saya ya?" kata Tuan Decsier sambil tersengih.

"Ye lah.  Kalaulah betul kamu ni dah beristeri, mak cik taklah risau sangat lagi.  Janji isteri kamu dapat dan sudi jagakan nenek.  Kalau tak sudi pun, biar... "

"Mak cik jangan risau.  Nenek selamat di bawah jagaan isteri saya." Tuan Decsier akhirnya mampu menarik nafas lega.  Selesai satu masalah.  " Nak singgah mana-mana tak sebelum saya hantarkan mak cik dengan pak cik balik?"

"Tak perlulah.  Kami ni pun penat.  Kamu hantar je kami balik terus." kata Puan Ameera.

Tuan Decsier mengangguk lapang.  Memang jawapan itu yang dia mahukan.  Selain penat, perutnya juga sudah berbunyi nyaring sedari tadi. Dia yakin, di rumah, Dara Jelita pasti sudah menyediakan masakan yang enak-enak.

"Berapa hari kat sini? Mesti kejap je kan?" Tuan Decsier menduga sambil tersenyum senang.

"Kali ini, kami lama sikit.  Ada urusan sikit kat sini." jawab Tuan Maliki.

"Berapa lama?" soal Tuan Decsier lagi dengan perasaan yang berdebar-debar.  Entah mengapa?

"Lima ke... enam bulan. Sesekali tu, bolehlah kami tidur kat rumah kamu. Rindu kat nenek." Puan Ameera laju menjawab sebelum sempat suaminya bersuara.

"Apa?! Lima ke enam bulan?? Tidur kat rumah saya??"

DARA JELITA menghentikan pergerakan tangannya seketika, memberi fokus kepada telinga dengan apa yang baru sahaja dia dengar sebentar tadi.  Dia yakin, majikannya belum pulang.  Ya, yakin sekali tetapi mengapa ada bunyi seseorang melepaskan batuk dari tingkat atas? Ah, tidak mungkin rumah besar itu berhantu?

"Aku... salah dengar kot?" Dara Jelita cuba untuk menyedapkan hati.  Enggan memikirkan semua itu berlebihan, Dara Jelita kembali meneruskan pekerjaannya yang tadi iaitu menghidangkan masakannya di atas meja.  22 tahun bergelar seorang manusia, ini kali pertama dia memasak.  Walaupun hanya sejenis lauk, namun Dara Jelita yakin, masakannya itu sudah pasti bersih, sihat dan sedap sesuai dengan arahan majikannya.

"Ishhh, mana pula Tuan Besar ni? Suruh orang masak tapi dia sendiri hilang tidak terjejak!" Dara Jelita membebel sebelum memutuskan untuk membersihkan dirinya terlebih dahulu.  Melekit pula seluruh tubuhnya setelah hampir tiga jam terkial-kial seorang diri di dapur tadi. Yang mana minyak masak, yang main minyak bijan pun dia tidak tahu bezakan.

Namun belum lengkap langkahannya tersusun, kedengaran pula pintu utama dibuka dari arah luar.  Dara Jelita berpaling semula lalu segera berlari untuk mendapatkan lelaki itu. Dalam gugup, tidak sabar pula rasanya mahu menunggu komen yang indah-indah daripada mulut Tuan Decsier tentang hasil masakannya yang tadi.

"Tuan Besar, selamat pulang." Dara Jelita menundukkan tubuh ala-ala cara orang Jepun sambil menayangkan senyumannya yang paling manis buat lelaki itu.

"Hrmmm... " Tuan Decsier hanya menjeling sekilas ke arah pembantu rumahnya sebelum terus menyusun langkah untuk masuk ke dapur.  "Awak dah siap masak?" soalnya.

"Dah siap dah, Tuan Besar." Dara Jelita mengangguk bangga sebelum berlarian memotong gerakan kaki Tuan Decsier mendekati meja makan. Kerusi ditarik, sebelum mempersilakan majikannya itu melabuhkan punggung.  "Jemputlah bersantap wahai, Tuan Besar."

Terbeliak mahu terkeluar bebola mata Tuan Decsier sebaik sahaja terpandang akan hasil masakan yang terhidang di atas meja makan itu.  Belum dirasa, sudah mahu termuntah pula dia melihat.  "Apa ni, Dara??"

"Mi Maggi kari bersup dicampur dengan sayur-sayuran hijau.  Bersih, sihat dan... "

"Adohhh!" Tuan Decsier terus mengeluh, meraup wajah sebelum menggelengkan kepalanya berkali-kali.  Lama wajah Dara Jelita dipandang, dilahap puas-puas.  Jika Dara Jelita itu sebiji bola, sudah lama dia tendang kuat biar lolos ke dalam jaringan gol.  Geram memandang wajah Dara Jelita, Tuan Decsier mengalihkan lagi pandangannya ke arah sebiji mangkuk besar yang terisi dengan air tangan anak dara itu.  Loya tekaknya melihat.  Mi segera yang kembang dan gemuk, sayur-sayurannya pula sudah layu dan kuning, belum lagi jika mahu diceritakan tentang cara dan saiz potongannya. Kalau kambing yang makan, sesuailah mungkin!

"Tu... Tuan Besar kata, Tuan Besar suka mi.  Sebab tu saya masakkan mi untuk Tuan Besar." ujar Dara Jelita sambil tersengih takut dan gugup.

"Bila Dara? Bila? Bila saya cakap macam tu?!" Tuan Decsier menyoal.  Kali ini dengan  nada yang sudah penat, bosan dan geram.  Dia tidak menengking kerana tengking-menengking seorang perempuan, bukan caranya.

"Petang tadi.  Saya dengar, Tuan Besar kata... "

"Saya kata, saya lebih suka nasi daripada mi.  Makan mi, nanti badan saya ni pun ikut jadi lembik macam otak awak.  Faham?"

"Tak, saya yakin yang saya tak salah dengar.  Tuan Besar kata, Tuan Besar suka mi." masih juga Dara Jelita berkeras menegakkan hujahnya.

"Saya kata nasi, Dara! Nasi, nasi, nasi!"

"Tuan Besar kata mi. Mi, mi, mi."

"Arghhh!" mati sudah akal dan kata-kata lelaki itu untuk menentang.  Seumur hidupnya, ini kali pertama dia berasakan yang dirinya telah diperbodohkan oleh seorang gadis yang polos.  Lagi dan lagi wajah Dara Jelita dipandang.  Mahu memecat, namun, dia pula sudah terperangkap dengan penipuannya kepada ibu dengan bapa saudaranya tadi.  Jika dia memecat Dara Jelita, siapa pula yang mahu menjadi isteri tipunya nanti??

Berebutan menenangkan diri, berebutan juga lelaki itu mencari nafas sebelum matanya kembali terhala ke arah wajah Dara Jelita.
"Baik, sekarang ni... saya nak tanya awak.  Terus terang dengan saya, awak pandai masak ke tak?"

Bukan menjawab, Dara Jelita sebaliknya tertawa mengekeh terlebih dahulu.  Menggeleng dan terus-terusan menggeleng, itulah yang dia buat sesudah itu.

"Jadi awak ni memang tak pandai masak?!" soal Tuan Decsier lagi dengan perasaan dan riak yang sangat geram.

"Tak, Tuan Besar.  Sa... saya minta maaf." tutur Dara Jelita sambil tersengih takut.

"Habis tu, kenapa awak nak jadi maid saya Dara??" tidak sengaja, lelaki itu terlanjur meninggikan suara.  Terlanjur lantaran terlampau bengang. Rasa bengang tanpa mampu ditahan lagi.

"Se... sebab Maria minta tolong saya gantikan dia kat sini.  Dia kata kalau dia tak jumpa pengganti, Tuan Besar akan dakwa dia.  Saya... saya cuma kesian."

"Kesian dia ke ataupun mata awak tu dah buta dengan jumlah gaji saya saya tawarkan?!"

"Itu pun salah satu alasan kenapa saya terima." jawab Dara Jelita polos, tersenyum lalu tertawa dengan perasaan yang tidak bersalah.

"Habis tu apa yang awak tahu buat?? Patutlah mengemop pun tak pandai ke awak ni anak dara yang pemalas?!"

"Saya tak malas, Tuan Besar.  Cuma... dari kecil saya tak dibenarkan buat kerja-kerja rumah ni semua.  Ayah dengan arwah nenek memang tak bagi. Hehe... "

Tuan Decsier terus menyembamkan wajahnya pada permukaan meja makan.  Kali ini mati, akalnya benar-benar sudah mati. Sepatah dia menyoal, panjang berjela pula jawapan Dara Jelita.

"Tapi kalau Tuan Besar nak pecat saya, saya okey je.  Memang salah saya sebab... tipu Tuan Besar." kata-kata itu membuat Tuan Decsier kembali mengangkat wajah.

"Awak tahu tak, apa hukumannya menipu seorang majikan?? Ni dah kira satu jenayah, awak tahu tak?! Saya boleh dakwa dan sumbat awak masuk dalam lokap.  Nak?!" Tuan Decsier pura-pura menggertak.

"Hahh?? Je... Jenayah? Lokap??" Dara Jelita menjadi terpinga-pinga namun kerana enggan menambahkan kemarahan Tuan Decsier, dia akhirnya tetap menunduk sahaja.

"Saya boleh maafkan awak, tapi dengan satu syarat."

"Apa syaratnya?" soal Dara Jelita dengan riak yang penasaran.

Tuan Decsier pura-pura melepaskan batul kecil, pura-pura juga mempamerkan riak yang tegang kerana jika ditanya seperti apa perasaannya yang sebenar, sungguh, dia gugup! Namun tika memikirkan tentang neneknya, juga tentang penipuannya terhadap Tuan Maliki bersama Puan Ameera tadi, dia tahu dan dia juga sedar yang dia harus meminta pertolongan paksa daripada Dara Jelita. "Syaratnya... awak kena tolong saya.  Tolong... tolong bersetuju untuk jadi isteri saya.  Tak lama, lima ke enam bulan lepas tu saya akan lepaskan awak.  Saya janji tak akan... sentuh awak.  Tolonglah, Dara." gigih lelaki berwajah tegang itu merayu membuatkan Dara Jelita benar-benar terkejut besar.

"Isteri? Maksudnya, Tuan Besar nak saya jadi isteri kontrak Tuan Besar?? Macam tu??" Dara Jelita menelan air liur, berlapis-lapis kerutan di dahi sudah tidak terkira banyaknya lagi. Ah, kelemahan Dara Jelita adalah terlalu cepat bersimpati terhadap orang!

Dara, ohhh Dara!

Share this novel

Aisyah Esya
2022-09-07 21:56:45 

huru hara ko dara

DgR
2022-09-07 21:13:20 

salam. adehhhh dara


NovelPlus Premium

The best ads free experience