Jalan

Drama Series 421991

"Dah siap semua barang?", tanya Arif buat sekian kali. Dan aku dah naik bosan menjawab soalan yang sama.

"Dah la. Nak tanya berapa kali soalan yang sama ni? Sebijik macam mak tau", rungutku.

"Abang bukan apa. Nanti kalau tertinggal barang, takkan sayang nak patah balik. Abang nak hantar sampai ke rumah mak sayang, memang tak dapat la. Petang ni dah nak ke Manila. Esoknya nak ke Batangas. Dua minggu. Jangan rindu tau".

Aku mengangguk. Macam la aku tak tahu jadual perjalanan dia. Aku yang aturkan semuanya. Aku yang berhubung dengan syarikat produksi berkenaan bila kontrak ditandatangani. Projek singkat tapi bertaraf antarabangsa. Nilainya cukup besar untuk syarikat yang baru nak hidup.

Arif memeluk aku seeratnya di balik pintu bilik. Aedy di bilik sebelah masih tidur. Joy sudah ke pejabat awal tadi sebelum Arif tiba. Aku membalas pelukannya sepenuh hati. Kepalaku melekap di dadanya, degup jantung Arif jelas kedengaran.

"Sayang", panggil Arif buat aku mendongak. Pelukan kami sudah agak longgar. Jari telunjuk dan ibu jarinya memegang daguku sebelum bibir kami bersatu. Lantas aku terus meletakkan kedua tangan di tengkuknya, tubuh terasa longlai. Aku bimbang terjatuh. Arif merangkul pinggangku dan ditarik rapat ke tubuhnya. Satu getaran terhasil, semua titik ransangan mula diaktifkan bila geselan terjadi tanpa disedari. Nafas kami semakin panas, degup jantung kami semakin laju. Rambutku dibelai lembut membuatkan mataku terbuka. Bibir kami tidak lagi bersatu.

"Jom abang hantar".

Aku mencebik, kecewa.

Ini kali kedua kami berpisah selepas bernikah. Pertama, sewaktu aku ke Tumpat untuk kenduri Yati. Arif tak dapat ikut sebab ada hal dengan keluarganya.

Sejak kami bernikah, banyak pula Arif dapat tawaran kerja. Tiap hari dia tinggalkan aku di pejabat. Ada masa dia langsung tak masuk pejabat. Kadang kala, sempat juga dia balik menjemput aku pulang kerja. Tapi selalunya, aku pulang sendiri.

"Abang pergi kerja la sayang. Kita pun tak jangka pun kita akan bersatu kan? Jadual kerja abang kan dah lama kita susun. Kalau abang tak kerja, tak berduit la kita. Lagipun, habis reputasi abang. Nanti free, kita pergi honeymoon ye", pujuk Arif memeluk aku buat kali terakhir dan mengucup dahiku sebelum kami keluar dari rumah. Bas yang aku naiki akan bergerak lagi satu jam. Aku faham takkan aku nak bawa dia balik tanpa sebab.

Honeymoon??. Dah sepuluh hari kami nikah, tak sekalipun tidur sekatil. Aku pun tak faham mengapa. Joy yang tak bernikah secara rasmi tu pun tiap malam dapat bekal.

Aku ni, paling extreme cium 2 minit, bertikam lidah, bertukar air liur. Mungkin Arif rasa aku belum bersedia. Hakikatnya begitu la.. tapi kalau Arif nak, aku sedia untuk berkhidmat. Atau mungkin dia tak berselera dengan lemak yang terkumpul di badanku?

Namun hati aku kuat mengatakan Arif masih menanti kekasih hatinya. Seperti yang Arif katakan, perkahwinan kami sesuatu yang tak dirancang, mana mungkin Arif nak terima aku begitu saja. Kata kata mesra yang dilafazkan tempoh hari sedikit sebanyak melentur jiwaku  tapi aku sedar ianya hanya untuk mengambil hati. Lelaki dan kata kata manis memang tak dapat dipisahkan. Mustahil sangat Arif suka aku dari dulu. Aku ni manusia yang cermin diri, aku tahu kekurangan aku.

******

Sebaik aku turun dari bas, aku sudah nampak kereta Exora putih milik along menungguku di tepi jalan stesen minyak. Terpandang stesen minyak di sebelah kiri, terus aku teringatkan pertemuan dengan Along Paan, anak pak long Sudin. Pelik juga aku yang dia boleh perasan aku selalu turun bas di sini. Terlalu klise jika itu kebetulan. Takkanlah setiap kali aku balik, dia ada di situ mengisi minyak, melainkan....

Aghhhh... tak mungkin.

Satu tamparan di bahu membuat aku berhenti melangkah.

"Kau ni kan kak, kalau tak berangan tak sah. Kereta along kan warna putih, kat situ. Yang kau jalan menonong terus ke depan tu kenapa? Ada ke kereta putih kat depan kat sana", bebel along mengambil beg dari tanganku. Aku tersengih malu. Boleh pula aku jalan tanpa berhenti di kereta along. Maka berpatah baliklah aku ke pangkal jalan.

"Ni kenapa warnakan rambut? Kau tau hukum ke tak? Dah la fesyen tah apa apa. Sengaja mengundang umpatan orang masa kenduri nanti". Dan along pun mula berceramah. Aku menadah telinga. Dah hanya aku dan dia dalam kereta. Kalau ada mak atau Nuha, boleh juga aku berbual dengan mereka.

"Along, kenapa ikut jalan ni? Tak ikut jalan tadi", tanyaku bila along mengikut laluan lain untuk ke rumah mak.

"La.. sama je sampai rumah mak jugak kan?", balas along.

"Kalau lalu depan rumah pak long sudin kan lagi cepat sampai", hujahku akan lojik soalan tadi.

"Kak, kalau kau jalan kaki boleh la berkira nak cepat ke lambat, jauh ke tak. Kita naik kereta, tayar yang berpusing", balas along.

"Kenapa along, mak mengelak je lalu situ? Hari tu mak tahu kakak lalu situ, marah dia kat kakak", ceritaku sambil bertanya. Aku nak tau juga, bukan apa sedikit sebanyak aku tersingung juga bila maklong Yam buat begitu  pada aku hari tu. Aku tak tau samada disebabkan aku ni anak mak atau penampilan aku.

"Tapi kau tetap lalu situ kan? Degil!", balas along menarik telingaku. Tak sakit pun, action je lebih.

"Jalan tu dekat la nak balik. Along pun bukannya selalu jemput kakak kat stesen minyak tu. Hari ni sebab kenduri je kan? Beg kakak banyak", kataku pura pura sedih.

"Dah tua pun nak along menjemput bagai. Manja. Orang suruh kawin, tak nak. Kalau ada suami tu, dia la melayan perangai kau. Bukan along". Zup! Berdetak jantungku bila along sebut tentang kawin. Dah terhenti sekejap tadi.

"Alahhh, nak manja dengan abang sendiri pun tak boleh. Nak cari abang orang lain la, nak manja", kataku merajuk. Dah lama tak buat féel ni dengan along. Merajuk manja mengada ngada.

"Abang siapa yang kau nak manja? Semua dah tua tua, dah kawin. Nak kena pelangkung dengan bini diorang?". Along dan aku ketawa. Sebaik reda tawa, aku bersuara.

"Along, ada satu malam tu kan....", nada suaraku berbeza.

"Ha.. kenapa?", soal along masih tersisa tawa.

"Kakak tiba tiba teringat kat Bang chik. Kat mana dia sekarang?". Riak wajah along berubah.

"Bang chik? Siapa tu?"

"Alahh, along ni. Anak paklong Sudin. Kan along dengan angah selalu tinggalkan kakak dengan dia kalau masuk belukar ke, mandi sungai ke. Korang dah ke depan, panjat pokok la, terjun sungai la. Kakak tinggal belakang dengan dia. Dia je yang sudi temankan budak comot ni. Takkan tak ingat?". Aku cuba membantu along mengingatkan memori kanak kanak kami.

"Sejak bila kakak teringat kat dia ni?". Nada suara along berubah.

"Baru baru ni je", jawabku bersahaja.

"Bila?", tanya along sedikit keras. Tiada lagi tawanya.

"Dalam dua minggu lepas", balasku jujur.

"Betul? Bukan dari dulu?"

"La, betul la. Dia kat mana ye? Macam mana la rupa dia sekarang? Dah kawin ke belum. Kalau belum, boleh la kakak manja dengan dia macam dulu. Takde la kena kejar dengan bini dia. Boleh main kawin kawin cam dulu", kataku berangan.

"Jangan berangan. Kakak bukan mahram dia, nak manja manja macam dulu. Korang dibolehkan berkawin. Bukan setakat main kawin kawin dah. Kalau nak sangat, along boleh carikan jodoh kakak. Tapi bukan dia". Aku nampak dada along berombak kuat.

"La... tetiba je marah. Kakak bukan cakap pasal kawin pun. Kakak main main je la", rajukku. Takut along tiba tiba naik angin.

Tiba di rumah, along mengangkat beg dan letak di lantai dapur. Dia terus pergi pada mak yang sedang mengopek ikan bilis dan bercakap sesuatu. Aku tau pasti tentang aku sebab sesekali mereka mengerling padaku. Ahhh..  Takkan pasal tadi. Along ni, tak best la. Bergaduh pasal pilih jalan pun nak cerita kat mak. Along keluar dari rumah dan menaiki kereta semula.

"Along, nak ke mana?"

"Kerja la. Esok baru cuti", jawab along. Maknanya aku seorang yang pulang awal. Bayang Nuha bakal pengantin pun tak kelihatan. Aku lihat kayu api di bangsal masak sudah banyak, menunggu masa untuk dibakar.

Aku mendapatkan mak, bersalaman dan berpelukan. Lama juga aku tak balik kerana merajuk. Aku duduk di kerusi sebelah mak. Ada keropok lekor yang sudah digoreng dalam piring.

"Mak sihat?", tanyaku dan mak sekadar mengangguk. Aku ambil seketul keropok lekor tersebut dan kusumbat ke dalam mulut. Mak bangun membawa bekas berisi ikan bilis yang siap dikopek ke sinki. Aku terpandang di cermin, mak menuangkan air ke dalam gelas, mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Aku ambil lagi seketul, sedap pula keropok lekor tu. Sebenarnya lapar. Tadi tak berselera nak makan, sedih berpisah dengan suami kononnya.

"Kakak, minum air ni". Aku berhenti mengunyah. Bukan ni gelas yang mak pegang tadi ke? Aku menyambut gelas tersebut dari mak dan mak berdiri di situ melihat aku minum kesemua air itu hingga habis. Kenapa aneh aneh saja ni?

Telefon dalam poket jeans aku berbunyi dan bergetar pada masa yang sama. Aku keluarkan dan kulihat, BOSS di skrin. Aku bangun dan berjalan keluar.

"Siapa tu kakak?", soal mak bila aku meninggalkan dia.

"Boss orang mak", jawabku.

"Kan kakak dah amik cuti, kenapa dia telefon?", bebel mak tak puas hati.

"Ada hal la ni. Tu yang dia call. Jap ye mak ye", pujukku menyarung selipar dan berlari ke pangkin bawah pokok rambutan.

"Dah sampai?". Mendengar suaranya buat aku tersenyum meleret. Berbunga bunga. Apa sebenarnya perasaan aku pada Arif? Yang aku tau, aku selesa dengan dia. Cinta? Aku tak tahu apa itu cinta. Dengan Seth dulu, aku suka dia. Dan ianya hanya bertepuk sebelah tangan.

"Sayangggg....", panggilnya setelah aku lama diam.

"Dah. Tengah makan keropok lekor", jawabku malu malu. Macam la Arif ada depan aku.

"Balik kampung terus lupa abang?", rajuknya. Aku tertawa kecil kerana geli hati membayangkan rupa Arif merajuk.

"Mana ada", dalihku.

"Dah tu. Tak call, tak mesej. Abang ni tertunggu la sayang, dah sampai ke belum". Sengaja Arif menambah rajuk dalam nadanya.

Aku ketawa saja, "baru je sampai ni. Yang sebenarnya dah rindu kan?". Aku mengusik.

"Mesti la. Sayang tak rindu abang?", tanpa silu Arif mengaku. Hanya orang gila yang tak rasa apa apa jika suami kata rindu, dan aku adalah orang gila itu. Aku bunuh rasa rindu itu kerana aku dapat rasakan hubungan kami takkan kemana.

Aku lama diam.

"Sayang....".

"Mak panggil la. Nak minta pergi kedai. Lain kali kita sambung ye", aku memotong kata kata Arif.

"Sayang...". Aku matikan panggilan dan mendongak ke atas. Aku keliru dengan perasaan aku. Aku takut aku terluka lagi. Dan aku tau kali ini lebih parah kerana aku sedar aku semakin menyukai dia. Bukan! Bukan sekadar suka. Aku dah mula sayangkan Arif.

"Kakak, kau tak jemput ke boss dengan kawan pejabat?", soal mak tatkala aku melangkah masuk.

Aku menggeleng, "kenduri Nuha la mak. Bukan kenduri kakak".

"Apa salahnya. Tunggu kenduri kakak, entah bila tahun". Aku berpaling ke arah suara itu. Nuha! Rupanya dia ada dalam bilik dari tadi.

"Mana barang tu?". Bertuah punya adik. Bukannya nak tanya aku sihat ke tak. Sibuk dengan barang hantarannya.

"Ada dalam beg tu. Kau bawa masuk beg aku dalam bilik, dah alang alang kau nak ambil barang tu".

"Berat la beg kau", rungut Nuha sambil mengangkat beg beg aku ke bilik. Bukan selalu pun dapat buli adik sendiri.

"Ok kerja tempat baru kak?", tanya mak. Aku tersenyum mengangguk.

"Kerja elok elok. Bukan senang nak dapat kerja dengan gaji lumayan sekarang ni". Lumayan?? Tak de la lumayan pun tapi boleh bernafas sikit.

"Boss dah kawin?". Soalan itu buat aku tersentak. Nuha tersengih, hish budak ni. Hati aku berdebar. Rasa bimbang mula menghantui diri.

Share this novel

Norzalina Mehat
2019-11-12 11:20:00 

x sabaq nak tunggu updated..

Onesue
2019-11-10 23:02:33 

Bimbang kenapa? Boss dah kawin dah. Tapi apa yg mak baca kt air tu? Baca ayat penenang dan pendinding ke? ke Bang Chik tu si arif?

Hani
2019-11-10 22:16:32 

boss dah kawin. haha.


NovelPlus Premium

The best ads free experience