TUBUH Saryleyla berputaran mengikut arah angin. Namun dia pada waktu itu, sudah tidak sedarkan dirinya lagi. Perlahan-lahan cecair putih likat mengalir dari belahan bibir terkatup rapatnya. Dunia gelap itu bakal menemui hujungnya yang sudah pun terbuka luas dan bercahaya terang.
Gedebuk!
Tubuh kaku milik Saryleyla jatuh terhempas ke tanah. Dan bulatan bercahaya di langit menjadi sekecil hama sebelum menghilang. Guruh berdentuman diiringi kilat memanah dewa kejahatan.
"CEPAT Tuah!!!" Pekik Panglima Zheng. Tuah dan empat lagi adik-adiknya memberi lambaian terakhir. Suara orang ramai sudah mula kedengaran. Termasuklah suara Wijaya dan seorang nenek bertongkat.
Kelam-kabut mereka berempat ke depan menutupi tubuh Tuah dan Panglima Zheng yang menyusup ke dalam semak untuk ke selatan kota. Di sanalah nanti destinasi baru buat Tuah.
"Aku sebenarnya berasa amat bersalah pada baginda sultan, Zheng," ujar Tuah sesal. Panglima Zheng menggeleng. Sehingga bilalah Tuah akan sedar bahawa sikap setia tidak bertempatnya itu sudah memakan dirinya sendiri.
"Di mana pembelot itu? Dasar pengkhianat kota!" Tengking Wijaya pekat loghatnya. Jebat menahan geram melihat wajah-wajah di hadapan.
"Hei Wijaya! Kau jaga bahasa mu itu. Dengan bang Tuah kau boleh perbudakkan! Tapi bukan dengan aku!" Lantang Jebat bersuara selantang suara Wijaya juga.
"Memang Tuah itu pembelot. Penderhaka pada sultan. Itu kau kata bukan pembelot? Merampas cinta hati sultan kau kata bukan penderhaka? Hahaha! Tidak perlu kau-kau semua bercakap banyak. Serah saja pembelot itu pada aku."
"Pengawal!" Arah Wijaya pada para pengawal berlembing. Kesemua mengarahkan lembing pada mereka berempat yang juga sudah membuka kekuda.
"Kau lah pembelot, Wijaya! Kau ingat aku tak tahu apa yang kau mahukan bila sultan letakkan kepercayaan pada kau. Bumi ini kan? Kau fikir kami senang-senang mahu bagi kerajaan kau jajah? Tamingsari itu juga kau mahukan, bukan Wijaya?" Sengaja Jebat berkata demikian membuatkan beberapa orang pengawal mula memandang arahnya.
"Argh! Kamu semua tunggu apa lagi?" Sahut si nenek kebayan pula.
"Kau siapa? Memang kau semua nak mati di tangan aku! Jahanam! Iyargh!!!" Jebat terus melompat. Menendang dari udara pada dada Wijaya yang tidak bersedia apa-apa itu.
"Abang Jebat!" Pekik Qasturi, Lekir serta Lekiu namun mereka juga dengan si nenek kebayan. Sambil menghalakan tongkat saktinya sebagai isyarat jangan masuk campur pada perlawanan. Qasturi dan yang lain saling berpandangan bagaikan menghantar maklumat sebelum mereka juga bertindak.
Jebat menyiku. Wijaya mengelak lalu menendang namun tersasar apabila Jebat melompat. Jebat sempat menarik perhiasan telinga tajam milik Wijaya untuk dia jadikan sebagai senjata.
Taming sari masih berada dengan Tuah. Jebat yang menukarkannya tanpa baginda sultan ketahui sewaktu Tuah ditangkap. Dan dia jugalah yang memaksa Tuah keluar dari kurungan bawah tanah.
Tidak sesekali Jebat mengizinkan sesiapa memegang tamingsari walau baginda sultan sekali pun. Taming sari ada kuasa hanya Tuah yang mampu mengawalnya.
"Iyargh!!!" Pekik Jebat melompat lagi. Wijaya berkumat-kamit mulut begitu juga dengan nenek kebayan. Dalam masa sama, nenek kebayan sudah mendapat tahu bahawa gadis buruan sudah tiada lagi melalui bisikan si pembisik ghaib.
"Bang Jebat!!!" Pekik Qasturi, Lekir dan Lekiu tatkala Wijaya sedang menghalakan pedang pusakanya dari arah belakang. Jebat masih terduduk atas tanah. Mengaut tanah dan menggenggamnya sambil mata terpejam.
"Mati kau pengkhianat!!!" Pekik Wijaya langsung terapung dengan pedang tepat terhala pada Jebat yang sudah tegak berdiri. Jebat tetap tenang dan tersenyum. Dia melemparkan tanah yang kini sudah menjadi kepingan besi berbentuk bintang ke arah Wijaya.
"Argh!!!" Wijaya menjerit kesakitan setelah terjatuh atas tanah. Dada dan perut masih tertikam dengan kepingan besi berbentuk bintang berdarah-darah.
"Dan giliran kau pula, si tua!" Bentak Jebat menggamit dengan jarinya pada nenek kebayan. Ratana tersenyum mengekek melihat keberanian anak muda itu.
Sekali dia menghentakkan tongkat berkepala cenderawasihnya, akar-akar halus asalnya rumput-rumput menjalar atas tanah terus memanjat dan membeliti tubuh empat bersaudara itu.
"Hahahaha!" Mengekek si nenek bongkok tiga berkelubung itu ketawa. Dengan kekekan seperti lampir dari gunung kumbang itu, memanaskan lagi air amarah Jebat mendidih-didih!
"Tua tak guna! Kau lepaskan kami!" Tengking Jebat dengan keempat-empatnya meronta-ronta mahu bebas dari ikatan ketat akar.
"Mana si pembelot itu? Selagi dia tidak mati walau si bodoh ini sudah mati, aku tetap sukar nak menawan kota ini. Raja kau itu memang bodoh! Hahahaha!" Sindir Ratana masih lagi enggan memaparkan wajah menggerutunya dari balik kain kelubung.
"Tuah bukan pembelot. Tapi kau si tua bangsat!!!" Teriak Jebat berlari setelah melorotnya ikatan akar-akar. Qasturi, Lekir dan Lekiu berlawan dengan lasykar Ratana berupa tengkorak berbaju besi.
Berdentang-denting kala pedang bertemu dengan keris. Kebolehan berlawan sambil melompat tinggi di udara tidak mereka berempat lepaskan peluang. Terkelar saja leher lasykar tengkorak berbaju besi itu pun terus lesap ditelan sang angin hutan.
"Bangsat!!!" Hamun Jebat bila dia sudah sampai si nenek kebayan menghilang lalu mengekek di tempat lain pula. Benar-benar mencabar kesabaran Jebat yang terkenal dengan barannya itu.
"Argh!!!" Pekiknya menghempuk tanah. Bingkas bangun dan berlari ke arah Ratana si nenek kebayan.
"Hahaha! Bodoh. Memang dasar keturunan bodoh!" Sindir nenek kebayan sengaja dia ulang-ulangkan.
"Bangsa aku bukan bodoh! Iyargh!!!" Jebat melemparkan kuasanya yang selama ini mereka berlima diarahkan menyimpan dan guna waktu-waktu tertentu saja kerana tidak mahu diketahui oleh pihak musuh.
"Ketahuilah wahai si tua bahawa bangsaku takkan hilang di dunia. Bangsaku bangsa melayu!"
"Argh!!!" Ratana memekik dalam cahaya berwarna kekuningan. Ada bau asap seakan ada benda terbakar. Kesemua lasykar tengkorak berseragam besi ghaib sama-sama dengan nenek kebayan bernama Ratana.
Qasturi, Lekir dan Lekiu tetap bersiaga dalam bulatan dengan keris dan kekuda. Begitu juga dengan Jebat yang menerpa ke arah si nenek kebayan agar pancaran cahaya kekuningan yang hadir dari telapak tangan menembusi keseluruhan tubuh Ratana.
"Bang Jebat rasa dia masih ada lagi ke?" Lekiu si bongsu menyoal. Jebat dari terduduk di tanah lantas mendongak sambil telinga bergerak-gerak sama lajunya dengan rahang.
Sementara itu, Panglima Zheng dan Tuah terpaksa berdepan dengan sepasukan lasykar bangsa kerdil hutan. Berdentang-denting bunyi keris Taming Sari melanggar pedang bangsa kerdil. Manakala Panglima Zheng dengan katananya.
"Tuah, pintu sudah terbuka. Kita kena cepat berlari ke arah semak. Pegang tangan aku!" Arah Panglima berpakaian tradisi di raja laluan sutera menghulur tangan. Tuah mengangguk dalam dia berlawanan dengan ketua lasykar bangsa kerdil.
"Aku kira sampai lima dan kau ikut sama berlari dengan aku! Lima. Empat. Tiga. Dua. Satu. Lari!!!"
Angin semakin bertiup kasar dengan beberapa kesatria bertubuh kerdil bertanjak dan berbaju besi mengejar mereka berdua. Manakala bulatan bercahaya semakin bersinar-sinar cahayanya.
"Argh!!!" Hanya yang terdengar suara pekikan dan bulatan bercahaya itu semakin mengecil.
"Bagaimana pintu itu boleh hilang?" Soal salah-seorang kesatria berbangsa kerdil itu pada si ketua.
"Itu pintu ke alam lain… tapi kenapa dan siapa yang membuka kunci rahsianya?" Jawab si ketua lalu terduduk atas perdu pokok membuka tanjak dan menyapu muka yang dibasahi peluh.
SARYLEYLA masih lagi tidak sedarkan dirinya. Muncul pula dua susuk tubuh terjelepuk di atas tanah yang sama. Titisan air embun yang jatuh dari hujung daun, mengalir lesu lalu setitik menimpa pipi Tuah. Tuah perlahan-lahan membuka matanya.
Panglima Zheng pula terbangun dek gigitan sang semut merah sederhana besar secara kelam-kabut dia bangun dan terkibas-kibas mukanya yang mulai gatal.
"Tuah…" Panglima Zheng memanggil sambil terkibas-kibas muka. Bintat kemerahan mulai muncul.
"Zheng apakah kita sudah sampai di tempat yang kau katakan itu?" Tuah juga berpaling sambil menyoal. Mata meliar ke kawasan sekitar sebelum tertunak ke wajah ayu di hadapan.
"Kenapa dengan muka kau itu?" Sempat lagi mata Tuah memandang wajah kemerahan itu.
"Aku rasa mungkin iya... entahlah aku juga tak pasti. Aku digigit semut api. Tuah, tapi siapa ini?" Soalan dari Panglima Zheng membuatkan Tuah juga mengangkat bahunya tanda tidak pasti. Panglima Zheng menapak mendekat. Tuah juga, setelah bangun dan membetulkan letak duduk tanjaknya.
"Si jelita ini masih lagi bernafas tapi mengapa pakaian dia tidak seperti orang kebanyakan? Tuah, dia diracuni. Lihat mulutnya mengeluarkan cecair likat berwarna putih. Lihat ini pula…" Cantas Panglima Zheng dengan menyapu cecair itu ke rumput dan rumput semerta menjadi kering dan mengecut.
"Allah! Jadi bagaimana? Apakah kau tahu siapa dia? Dari mana asal-usulnya?" Bertubi-tubi soalan Tuah dilancarkan umpama meriam menembak langit. Mata kedua–dua lelaki itu meneliti keadaan wajah serta pakaiannya.
"Mukanya seperti dari tanah Srivijaya. Tapi mengapakah pakaiannya sebegini? Ini pakaian orang-orang Victoria… bukan Victoria tapi Qalha... aduh Tuah! Aku juga keliru... siapakah dia ini ya?" Dalam kekeliruan, Panglima Zheng tetap cuba memberi justifikasinya.
"Orang-orang Victoria? Apa maksud mu?" Soal Tuah masih keliru. Memang dia tidak pernah nampak wajah sebegini di persisiran selat tempat perdagangan melainkan muka seperti Panglima Zheng, Wijaya dan orang-orang dari tanah Goa.
"Ah, abaikan yang penting kita harus selamatkan gadis asing ini. Setelah dia sedar kita tanya siapa dia. Tapi… aku tak tahu merawat orang? Apakah kau boleh gunakan kuasa kau itu untuk merawat? Atau keris kau?" Panglima Zheng terbata-bata dalam menyoal serba-salah takut disalahertikan.
Pom!
Guruh dengan tidak semena-mena berdentum. Awan hitam memayungi kawasan mereka sedang berada itu. Angin kasar melanggari pokok-pokok membuatkan kesemuanya bergoyangan dan mengeluatkan irama menakutkan.
Panah petir membelah bumi sebelum airmata dari langit membasahi bumi asing itu. Dalam serba-salah serta rasa malu Panglima Zheng serta Tuah bersama-sama mengangkat tubuh kaku milik Saryleyla untuk dibawa ke tempat perteduhan.
Share this novel