Ammar mengucap berkali-kali. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Hendak masuk campur, khuatir tindakannya nanti akan disalah anggap. Hak bersuara orang muda sepertinya, apalah sangat pada pertimbangan dua orang dewasa yang sekarang ini sedang bertelagah, menegakkan pendapat masing-masing.
“Rakyat tengah bergelut dengan kesusahan, mereka boleh pula bersenang-lenang bersidang! Pucuk pimpinan apa macam ni?” jerkah satu suara lalu merenyukkan suratkhabar yang dibacanya itu tanda protes.
Tanda geram dan sakit hati.
“Mereka bersidang pun untuk kemaslahatan kita, anak-anak cucu kita juga Sani. Tak bermakna mereka berada di dalam dewan, mereka tak buat apa-apa. Bersyukurlah, sekurang-kurang gerakan bantuan dah dihantar untuk mangsa-mangsa banjir kat negeri kita ni,”
“Ah, yang banyak membantunya, badan-badan NGO! Makanan-makanan ni semua, pakaian-pakaian ni...hasil derma orang ramai. Mereka sekadar datang melawat, tunjuk muka, masuk suratkhabar, kemudian balik Kuala Lumpur semula. Kau jangan nak kelentong akulah, Deraman!”
“Kerajaan dah umumkan bantuan RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir. Apa yang kau nak lagi?”
“Ah, duit rakyat jugak tu! Rumah aku tu ha, serba-serbi dah tak boleh pakai sebab banjir ni. Musibah betullah! Memang siallah hujan ni!”
“Astaghfirullahalazim. Apa masalah kau sebenarnya ni, Sani? Kau marahkan kerajaan atau sebenarnya kau marahkan qadak dan qadar ALLAH?”
Ammar beristighfar. Mawar yang berada tidak jauh dari situ, hanya mampu mengangkatkan kedua-dua belah bahunya. Percanggahan pendapat di antara Sani dan Deraman itu membuatkan semua yang berada di dalam pusat pemindahan banjir itu, berpuak kepada dua buah kumpulan pemikir.
“Mendengar dua orang pak cik tu berperang mulut, saya teringat pada pertanyaan Aisyah r.a. kepada Nabi s.a.w. tentang keadaan di padang mahsyar nanti. Betapa tiap-tiap seorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal menjaga keselamatan dirinya saja hingga langsung tak fikirkan tentang orang lain, mahu mengambil tahu tentang orang lain, apatah lagi hendak melihat aurat orang lain,”
“Okey, saya tak faham...”
“Cuba awak tengok sana, sebelah sana, dan hujung sana tu...”
Mawar menuding jari ke pelbagai arah lalu diikuti arah tudingan itu oleh kedua-dua belah mata Ammar. Seperti ada pecahan-pecahan grup yang sedang hangat berbincang dengan suratkhabar di tangan.
“Melayu mudah berpuak, kuat pula asabiyahnya...”
“Apa yang awak cuba sampaikan?”
“Yelah, lepas pak cik Sani dengan pak cik Deraman tu bertengkar, orang lain pun mula sibuk soksek-soksek cari kesalahan orang tu, cari kesalahan orang ni. Drama yang sama berlaku saban tahun, cuma wataknya aje yang berbeza. Kelompok sebelah sana mungkin berpihak pada pendapat pak cik Sani dan kelompok sebelah situ pulak, berpihak pada pendapat pak cik Deraman. Sudahnya, dalam pusat pemindahan yang sekangkang kera ni pun boleh bermasam muka dan akhirnya bermusuhan. Sedangkan di padang mahsyar nanti, himpunannya lebih besar lagi. Keadaannya lebih dahsyat lagi. Dan pada waktu tu, orang tak terfikir apa-apa lagi kecuali mahu meraih syafaat Nabi s.a.w. Alangkah bagusnya, dalam pusat pemindahan ni... daripada masing-masing bertelingkah antara satu sama lain, lebih baik ramai-ramai dirikan solat hajat mohon supaya banjir ni surut.”
Hujah Mawar, tegas mengusulkan pandangan. Bertambah rasa kagum Ammar terhadap perempuan itu yang tampak seperti gadis kampung biasa-biasa tetapi caranya berfikir tidak sepadan dengan penampilan.
Share this novel