Disember, 2009.
Pertama kali menjejakkan kaki ke UIAM kampus Gombak ini sebagai pelajar, Anne buntu. Namun diikuti sahaja kemana sahabat-sahabat satu jurusannya melangkah. Takut pula kalau tersesat.
Kata Naya, salah seorang dari sahabatnya yang sama blok hostel, ada beberapa senior yang sama jurusan dengan mereka sedang menunggu di bangunan Human Sciences untuk membantu mereka mendaftar subjek bagi semester satu ini.
Kemudian, mengikut tentatif tidak rasmi, selepas selesai proses mendaftar subjek mereka akan dibawa meronda sekeliling kampus supaya mudah untuk mereka kemana-mana lokasi kelas mengikut jadual dan kelas yang mereka daftar nanti.
"Naya, lepas ni kita balik bilik terus ke?" Tanya Anne.
"Ha ah. Eh tapi sebelum tu aku nak pergi kedai fotostat tu dulu. Nak fotostat borang mohon PTPTN dengan dokumen yang diperlukan." Balas Naya.
"Okey. Kau jangan tinggal aku dah lah. Takut nanti aku terus tersesat ke hati hero international yang ada dalam kampus dok lalu lalang depan mata aku ni. Eheksss!" Usik Anne.
Naya hanya menggeleng kepala dengan tingkah laku Anne. Bila berdua banyak sahaja benda yang diomelnya, tapi bila manusia lebih dari lima, mulalah Anne tergagap tatkala dia perlu bersuara.
"Mengada dan menggedik betul mak cik ni." Omel Naya sambil berlalu.
Meninggalkan Anne yang sedang duduk di bangku batu yang juga merupakan pasu bagi pokok yang ditanam di kawasan lapang di hadapan deretan dua kedai fotostat itu. Anne hanya tergelak. Setahun setengah menjadi rakan sekelas Naya, dia merasa selesa untuk bergurau dengan cara yang lebih gila-gila.
Sementara menunggu Naya, Anne mendapatkan telefon LG C1100 nya. Dia memeriksa kalau-kalau ada mesej yang masuk. Selalunya dari kawan-kawan atau keluarga. Tiada yang istimewa walaupun ada yang mendapat perhatian dan rasa sukanya ketika menuntut di Pusat Asasi.
"Awalnya datang cari nota. Kelas belum mula lagi untuk minggu depan. Minggu pertama selalunya minggu berkenal-kenalan." Tegur satu suara, lelaki.
Oh, lelaki ini salah seorang dari senior yang membantu mereka ketika di Makmal Komputer bangunan Human Sciences tadi.
"Eh tak, saya teman kawan fotostat dokumen untuk mohon pinjaman PTPTN. Takkan lah ambik nota. Kelas belum mula, pensyarah belum kenal." Balas Anne perlahan.
"Oh, lupa pulak kat depan mata ni pelajar baru. Kat kedai fotostat ni, dari dulu-dulu, pensyarah atau ketua kelas akan letak nota dekat mana-mana satu kedai fotostat ni. Ada pensyarah suka letak dekat kedai hijau, ada pensyarah suka letak dekat kedai Double A." Terang lelaki itu.
"Nampak tak ada buku macam buku folio tu dekat dua-dua kedai? Kat situ boleh semak nota, nombor, nama dan kod subjek. Bila pergi kedai tu time orang ramai, pekerja akan beri borang kecik untuk kita order nota. Kalau tak ramai boleh terus beritahu, kak nombor 100, 5 salinan." Sambung lelaki yang tidak diketahui namanya itu lagi.
Anne mengangguk tanda faham. Menarik cara mendapatkan nota dekat sini. Sementara orang tak ramai, boleh lah dia dan Naya melihat kalau-kalau ada nota yang boleh diperolehi lebih awal dengan melihat nama dan kod subjek yang mereka ambil.
"Siapa dah nama tadi?" Melihatkan Anne yang masih berdiam diri dan tidak memberi apa-apa reaksi, dia bertanyakan soalan lagi.
"Anis. Boleh panggil Anne." Eh mulut ini, terlebih mesra dan laju pula memberikan jawapan.
"Saya Azlan. Saya perkenalkan diri lagi. Takut awak tak perasan saya dah perkenalkan diri tadi. Kalau ada apa-apa, boleh la tanya je. Kita course memang tak sama, tapi kita bawah kuliyyah (fakulti) yang sama. Jadi kebanyakan subjek elektif yang kita kena ambil pun hampir sama."
Anne ukirkan senyuman kekok buat Azlan. Tidak pernah lagi dia bersembang dengan lelaki selama ini. Agaknya kalau dekat main campus, memang macam ni kot?
"Terima kasih bro sebab beritahu pasal nota tadi tu. Sangat membantu." Balas Anne lalu terus berdiri apabila dia, melihat Naya sedang berjalan menghala ke arah mereka.
"Ewah-ewah, seronok bersembang nampak!" Tempelak Naya setelah mereka sudah menapak agak jauh dari Azlan.
"Tak ada apa pun. Dia beritahu pasal nota je tadi. Nanti boleh lah kita cari nota awal-awal sebelum masuk kelas. Naya, aku nak masuk senarai Dean's List tau untuk setiap semester kat sini." Anne menyuarakan hasrat hatinya.
"Insya Allah, boleh. Asalkan kita berusaha. Dan, janji dengan aku jangan nak jatuh cinta!" Omel Naya.
"Aku janji!" Laju sahaja Anne mengangkat ikrarnya.
Namun lain yang dirancang, lain pula yang dihadapinya. Rasanya lelaki tadi tanpa sedar telah mengetuk pintu hati Anne, tanpa sebarang izin tetapi terus sahaja bertakhta disitu.
Enjoy reading! :) Love, N
Share this novel