Dan itulah kali terakhir Fikri melihat Nurbaya. Niatnya memohon kemaafan pada keesokan harinya tidak kesampaian apabila Nurbaya tidak hadir. Khabar yang diterima kemudian Nurbaya sudah berpindah sekolah.
Seiring dengan kehilangan Nurbaya, muncul Fikri yang baru. Fikri yang berubah 360 darjah. Satu sekolah berbisik mengenai perubahan Fikri. Perlahan-lahan dia muncul menjadi saingan Zikri menarik hati gadis tetapi maaf, hatinya sudah dibawa lari Nurbaya entah ke mana. Dia tidak punya hati lagi untuk diberi kepada mana-mana wanita hatta yang meminta hatinya itu bergelar Miss Universe.
“Baya, kau okey?” Suara Adlina yang sudah berada dalam biliknya menyentap lamunan.
“Aku jumpa dia Lin.” Ringkas dia menjawab. Sisa airmata dilap kering.
“Siapa?” Pertanyaan Adlina dijawab dengan renungan tajam.
“Fikri?” Nurbaya mengangguk perlahan.
“Bila? Di mana kau jumpa dia?” Airmata tumpah lagi ketika menceritakan apa yang berlaku.
“Aku benci dia Lin. Aku benci dia.”
“Tapi kau nak terima lamaran dia?”
“Aku tak ada pilihan Lin. Aku tak mahu emak, ayah aku tahu kisah tu.”
Adlina meraih Nurbaya ke dalam pelukan. Hubungan baik sejak remaja dibawa bersama apabila menginjak ke usia dewasa. Nurbaya menceritakan semua yang berlaku kepada Adlina ketika gadis itu mengunjungi dia yang berpindah tinggal bersama datuk dan neneknya selepas kejadian itu.
Nyata Adlina sahabat yang boleh dipercayai kerana sehingga kini rahsia itu kemas dalam simpanannya. Tidak bocor walaupun sedikit.
Sementara Fikri terus gelisah mengadap kepekatan malam dari balkoni tingkat tujuh kondo yang disewa.
“Kau ni kenapa Fik? Dari tadi aku tengok macam ayam nak bertelur. Gelisah semacam. Nak kata kau datang bulan, dah sah sah kau tu spesis aku.” Muhaimin yang turut menyewa di situ bersuara.
Gurauan Muhaimin tidak bersambut. Keluhan kecil dilepaskan.
“Aku jumpa dia Imin.”
“Baya?”
” Mana kau tahu?”
“Aku kenal kau sejak kecil Fik. Satu-satunya manusia yang boleh buat kau tak tentu arah cuma Baya.”
Share this novel