BAB 2

Humor Completed 631

“Orang tu datang bukan nak merisik Noni lah, mak. Tapi along ni ha…” Noni
pandang muka ibu.

Ibu terdiam. Perlahan-lahan ibu mengangkat muka dan merenung wajahku
pula. Lama ibu begitu sehingga aku rasa seperti seorang pesakit jiwa
yang cuba difahami masalah mentalnya.

“Betul ke?” Ibu bertanya. Nadanya lembut dan lemah sahaja.

Aku angguk walaupun tenungan ibu masih tidak sanggup aku balas. Terasa
juga setiap sel kulit mukaku panas dan tebal.

“Siapa?”

“Sorang tu kawan sepejabat, sorang lagi tu kawan lama,” terangku
sejujur-jujurnya.

“Dua orang?” Nada suara ibu mula meninggi.

Aku sendiri terkejut lalu terpandang wajah ibu yang seolah-olah
tergamam. Aku jeling Noni yang juga masih kelu.

“Ila kan perempuan? Mana boleh perempuan kahwin dua?” Ibu bertanya
dengan kerutan di dahi.

Aku tersenyum. “Ila bukan nak kahwin dualah, mak.”

“Along kena pilih sorang saja. Ataupun mak saja yang pilihkan nanti,”
sampuk Noni pula. Tangannya yang sedang mengambil sebiji lagi biskut
cornflakes sempat aku tepis.

Mujurlah ibu tersenyum.

“Bila mereka nak datang merisik?”

“Mereka kata nak datang beraya ke rumah kita raya ni. Ila cuma nak mak
jumpa mereka nanti. Manalah tahu kalau mak dan Noni tak berkenan ke… Ila
tak akan buat keputusan sorang diri. Selepas tu barulah kita berbincang
soal merisik dan bertunang. Boleh, mak?”

Ibu tersenyum panjang. Mungkin ibu gembira kerana akhirnya aku terbuka
hati untuk berumahtangga. Namun sebagai anak, aku perlukan restu orang
tua, aku tidak mahu mengikut perasaan aku semata-mata. Aku percaya mata
orang tua lebih jauh pandangannya daripada mata aku.

“Kalau macam tu… buat kuih lebih sikit,” kata ibu sebelum meninggalkan
dapur.

“Teruklah along kena buat kuih,” usik Noni . Sebiji lagi biskut cornflakes
masuk ke mulutnya.

Aku cuma menggeleng melihat telatah Noni . Sambil menyusun kuih ke dalam
loyang pembakar, aku teringatkan permintaan Haikal dan Mukhriz. Seorang
hendak merasa Biskut Almond London yang aku buat dan seorang lagi hendak
merasa Kuih Goyang. Yang pasti teruknya, aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience