Bab 54
“Sejak bapanya meninggal, enam bulan lepas dialah yang menggantikan tempat bapanya tu. Sebagai anak tunggal, tak ada orang lain lagi yang boleh diharapkan. Affendi ni pun bekerja juga di Omara Holdings membantu Zakuan.”
“Jadi, Zakuan ni lah pemilik Omara Holdings?”
“Dia memegang 52% saham dalam Omara Holdings, pakcik, makcik,” sampuk Affendi.
“Berapa umur Zakuan ni? Ada bawa gambar?” tanya Puan Salimah ingin tahu.
“Muda lagi. Sebaya dengan anak saya… Orangnya kacak, jangan bimbang.”
“Saya kenal Datuk Omar tu, pernah tengok gambar dia dalam majalah bisness,” balas Encik Hamdan.
“Zakuan tu banyak mengikut muka mama dia. Mama dia tu cantik orangnya, jadi rebutan tapi sayangnya meninggal masa muda, waktu melahirkan Zakuan. Agaknya sebab sayangkan isterinya tu, Datuk Omar tak pernah kahwin lagi,” cerita Puan Faridah.
“Yalah… mesti kacak budaknya Zakuan tu!”
Affendi tersenyum sahaja.
“Ni lah tujuan kami datang ni, tak beradat. Sebenarnya hanya hendak merisik saja dulu. Kalau-kalau puteri Encik Hamdan dan Puan Salimah yang bernama Amalina tu masih belum disunting. Ingin saya sunting untuk Zakuan. Ni, saya bawakan cincin merisik.”
Encik Hamdan tersenyum. Kembang hatinya kerana Amalina dirisik lelaki kaya lagi berpangkat. Tidak segan silu dia berkata.
“Kita permudahkan sajalah Puan Faridah. Saya terima cincin merisik ni! Bila hendak menghantar pinangan?”
“Tak perlu tanya pada Amalina dulu?” tanya Puan Faridah menduga.
Dia senyum melirik ke arah Affendi yang tersengih lebar.
“Tak perlu. Anak saya tu taat pada saya. Dia mendengar kata,” cepat-cepat Encik Hamdan berkata dengan penuh yakin.
“Kalau macam tu, minggu depan saya hantar rombongan meminang.” Puan Faridah bersetuju.
Puan Salimah mempelawa tetamunya petang itu minum dan menikmati juadah. Encik Hamdan tidak putus-putus tersenyum. Gembira hati akan mendapat menantu lelaki yang kaya raya. Tidak sia-sia dia memutuskan hubungan antara Amalina dan Leo!
Budak-budak riuh rendah mengejar tiga buah Pajero yang baru saja memasuki kampung. Ketiga-tiga buah Pajero itu berhenti di hadapan rumah Tok Batin. Leo turun dari salah satu Pajero, lalu terus menemui Tok Batin yang tercengang-cengang memerhati dari arah pelantar rumah.
“Leo?” seru Tok Batin tidak percaya.
“Kau hidup lagi? Aku dengar kau jatuh gaung sekali lagi.”
“Ya, aku masih hidup Tok Batin,” jawab Leo.
“Apa khabar semua orang di sini?”
“Semua sihat-sihat saja.” balas Tok Batin, gembira juga hati melihat Leo pulang.
Leo pun sudah berubah. Dia hampir-hampir tidak kenal padanya. Kulitnya bertambah cerah, pakaiannya kemas dan bersih. Tok Batin memanggil isterinya keluar. Isteri Tok Batin terkejut melihat perubahan diri Leo.
Leo mengarah pekerjanya mengeluarkan barang-barang yang dibawa untuk penduduk kampung. Ketiga-tiga Pajero penuh dengan barang makanan asas seperti beras, susu, biskut, kopi dan lain-lain. Mereka membahagikan barang. Setiap keluarga mendapat barang-barang yang sama rata. Para pekerja Leo sibuk membahagi-bahagikan barang.
Tok Batin tumpang suka melihat anak-anak buahnya mendapat bekalan.
“Kau sudah kaya sekarang Leo?” tanya Tok Batin.
“Alhamdulillah.” jawab Leo.
“Di mana Pilar? Perus?”
“Perus sudah lama pergi ke Singapura. Tak pernah balik lagi.”
“Pilar?”
“Ada.” kata Tok Batin.
“Kata Perus dia mahu cari duit banyak di Singapura. Tapi dia tu kuat main judi. Duit semuanya lesap bukannya bertambah,” keluh Tok Batin.
Selepas berjumpa dengan Tok Batin, Leo ke rumah Mak Upeh. Mak Upeh gembira menerima kepulangan Leo. Leo berkata dia akan membawa Mak Upeh ke Kuala Lumpur. Tetapi Mak Upeh enggan. Mak Upeh tidak mahu meninggalkan rumahnya.
Leo terus memujuk. Dia tetap mahu Mak Upeh mengikutnya. Dia tidak malu mempunyai seorang nenek seperti Mak Upeh. Mak Upeh terharu. Akhirnya dia bersetuju mengikut Leo.
Leo berjalan mengelilingi kampung. Dia rindu sungai dan gunung. Matanya memandang jauh ke arah Gunung Ais. Suatu masa nanti aku akan bangunkan daerah ini. Aku akan buka chalet di sini lalu merintis jalan menghala ke Gunung Ais. Si pencinta alam dan hutan boleh berkhemah, ataupun memanjat gunung. Apakah impian itu akan terlaksana? Alangkah baiknya jika Amalina ada bersama…
*****
Pertunangan sudah terjalin. Mahu atau tidak, Amalina terpaksa menerimanya. Biar dia menangis sepanjang hari atau pun sepanjang malam, keputusan itu tidak akan mengubah pendirian Encik Hamdan.
“Apa sudah jadi mak? Alin tak mahu ditunangkan dengan dia,” kata Amalina.
Tidak sanggup dia hendak menyebut nama itu. Membayangkan wajahnya pun dia enggan. Menurut Puan Faridah, Zakuan sangat sibuk. Dia tiada masa hendak datang ke rumah itu semasa majlis pertunangan berlangsung.
Encik Hamdan tidak kisah. Perkara paling penting bakal menantunya adalah pewaris Omara Holdings.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Amalina akan menuruti kehendak Encik Hamdan dan Puan Salimah untuk bermenantukan Zakuan (Leo)?
Share this novel