Bab 52: Cabaran

Romance Series 20066

SYAFIQ terus tadah tangannya usai mengerjakan solat isyak. Doa kepada Allah patut dipinta. Hanya Dia sajalah tempat hamba-Nya untuk mengadu segala keluh-kesah yang menghimpit diri.

Rasa sugul pulak hati bila kena sembahyang seorang diri macam ni. Rindu nak solat sekali dengan si isteri. Padahal dulu, setiap malam dia dan Damia solat maghrib dan isyak berjemaah.

Damia sekarang dah makin sibuk. Ditambah pulak hubungan dia dan Syafiq yang agak tegang tu, lagilah membuatkan hubungan mereka tu makin hanyut.

Damia tu, nak makan sekali dengan suami pun jarang, apatah lagi nak solat berjemaah sekali. Dia lagi suka solat sendiri-sendiri agaknya.

"Ya Allah Ya Tuhanku. Aku ingin panjatkan syukur ke hadrat-Mu, kerana akhirnya aku dan isteriku bakal diberi tanggungjawab yang besar untuk menjaga amanah-Mu. Aku berterima kasih kepada-Mu kerana kami diberikan kesempatan untuk memegang peluang ini. Kau permudahkanlah segalanya. Berikanlah kesihatan yang baik kepada diriku, isteriku dan kandungannya."

"Dan aku harap, hubungan kami suami isteri dapat diperbaiki semula. Aku tak sanggup hidup bertegang urat dengan isteriku lagi. Kau ampunilah dosaku. Sungguh, aku dah banyak sakitkan hati dia. Sebagai seorang suami, aku patut jaga fizikal dan mental isteriku, lagi-lagi selepas dia mengandung sekarang ni tapi aku gagal. Berikanlah peluang untukku berbaik semula dengan isteriku, Ya Allah ..."

Terkumat-kamit Syafiq membaca doa sambil matanya ditutup rapat. Dia mahu fokus dan khusyuk dengan doa yang dipinta. Bersungguh-sungguh dia mengadu kepada Yang Maha Esa.

Usai berdoa panjang, lafaz amin ditutur sebagai penutup doanya. Wajah diraup lama.

Sekarang, barulah dia rasa tenang sedikit selepas mengadu akan rasa yang terbuku dalam hati kepada Allah. Dah rasa macam membebaskan bebanan yang dipikul diri.

Baru aje diri berura-ura bangun nak melipat sejadah, tiba-tiba tubuhnya mengeras. Tindakannya terus jadi kaku bila kepalanya menoleh ke belakang.

Ada isterinya sedang berdiri kat depan pintu yang sedikit terbuka tu. Dan nampak jelas, wajah isterinya tu sayu dan muram. Matanya jugak kelihatan berkaca-kaca.

Damia ... menangis ke?

"Sayang?"

Tak terus menyahut suara Syafiq, Damia terlebih dulu mendekati suaminya itu. Langkah perlahan-lahan dibawa memasuki ruang kamar. Lalu dia terus bersimpuh di sisi suaminya yang masih setia duduk di antara dua sujud tu.

Damia tundukkan wajahnya. Dia cuba menahan air mata tetapi matanya tetap bertambah kelam. Tak mampu menahan lagi, akhirnya bendungan air matanya pecah mengalir di lurah pipinya.

"Sayang ... kenapa ni?" Cuak jugaklah Syafiq tengok isterinya macam tu. Masuk-masuk bilik je terus nangis.

Pelukan diberi suaminya membuatkan esakan Damia semakin kuat. Tersedu-sedan dia menahan tangis yang menyerang diri sambil menyembamkan wajah ke dada bidang suaminya,

Syafiq usap-usap kepala isterinya sebelum isterinya mengangkat wajahnya semula. Merah muka Damia, macam kena lumur dengan sos tomato pulak. Mata pulak bengkak semacam.

"Abang ..." Akhirnya Damia bersuara semula. "Saya nak mintak ampun kat abang," ucapnya diselangi tangisan yang makin menggelora.

Melopong mulut Syafiq dengan permintaan maaf isterinya. Siap menangis-nangis lagi tu. Dia pulak yang rasa bersalah sekarang ni.

"Saya dah banyak sakitkan hati abang. Saya dah banyak buat abang kecewa sejak dua menjak ni. Saya marah abang, saya tinggikan suara kat abang."

"Pasal hal kat hospital tadi pun, saya mintak ampun jugak. Sumpah, saya tak berniat pun nak sakitkan hati abang. Saya betul-betul tak sedap badan masa tu, sebab tu saya pilih balik dengan Encik Zaffran." Makin galak air mata Damia mengalir turun.

Lepas mandi tadi dia ingat nak masuklah dalam bilik. Nak keringkan rambut apa semua tu tapi tak sangka pulak dia boleh terdengar doa yang dipinta suaminya.

Damia yang tercuri dengar semua tu, terus melebur la hati dia. Suaminya ikhlas memohon permintaan agar hubungan mereka kembali pulih.

Damia pun harap macam tu. Ya, kalau dia nak jadi sebegitu, jadi dia kenalah mulakan langkah. Iaitu dengan meminta maaf atas segala yang dia lakukan selama ini.

"Ish ... sayang. Sudahlah. Jangan nangis dah. Abang dah maafkan sayang dah pun. Pasal hal yang berlaku sepanjang minggu ni, abang faham. Abang pun tak nak simpan benda tu lama-lama dalam hati. Abang nak kita berbaik semula." Syafiq terus usap ubun-ubun isterinya tu. Nasib baiklah dah selesai solat isyak tadi. Jadi tak payahlah nak risaukan dah pasal air wuduk batal.

Damia masih mengongoi sambil menyeka mutiara jernih yang tersisa di pelupuk mata. Tersedu-sedan dia cuba menghalau rasa sendu yang menghambat diri.

"Saya tak nak jadi isteri derhaka, bang. Saya rasa tak tenang selagi tak mintak ampun kat abang. Maafkan saya. Saya dah banyak buat dosa kat abang. Damia pun nak, kita berbaik macam dulu," ucapnya.

Tengok isterinya ditawan tangisan sebegitu, buatkan Syafiq rasa lemah pulak. Tak tega dia saksikan isterinya macam tu.

Ya, hatinya banyak terguris dengan sikap Damia sebelum ni tapi tak adalah dia bencikan isterinya tu. Dia masih sayangkan Damia dan dia yakin, isterinya tu pun masih sayangkan dirinya. Lagipun, Syafiq tak naklah makan hati sangat dengan semua tu. Dia faham kenapa sikap isterinya berubah begitu.

Damia tu pregnant. Emosi tak stabil. Kejap marah, kejap nangis. Dan buktinya, apa yang Syafiq saksikan sekarang ni. Syafiq pun hanya geleng ajelah kepalanya.

"Sayang, kan abang dah maafkan sayang tadi. Sudahlah, benda dah lepas. Abang nak kita perbaiki balik hubungan kita. Sekarang, abang nak kita fokus dekat hubungan kita. Dan, fokus kat kesihatan dan kandungan sayang ni," pujuk Syafiq. Lalu matanya terus melorot ke bahagian perut isterinya dan senyuman nipis dilemparkan.

Cakap pasal kandungan, mesti saja buatkan mereka suami isteri terharu dan teruja. Mengingatkan anak yang bakal menjadi penyeri kehidupan mereka berdua. Mungkin, janin di dalam perut itu jugalah punca hubungan mereka yang retak dapat dicantum semula.

Walaupun masih dilanda tangisan, Damia mampu membalas senyuman suaminya. Tangannya terus mengusap perut yang masih kempis itu.

Terus Damia genggam lembut pergelangan tangan suaminya dan kini giliran telapak tangan suaminya pula menyentuh perutnya yang masih tak nampak baby bump tu.

Terus melebar senyuman yang tersungging di bibir Syafiq. Ya Allah ... sungguh gembira dia bila dia bakal jadi seorang ayah nanti.

"Terima kasih sebab sudi maafkan saya. Abang suami yang terbaik. Saya janji, saya takkan sakitkan hati abang lagi. Dan macam yang abang nak, saya janji akan jaga kesihatan diri dan baby. Saya nak baby ni lahir dengan selamat dan hidup bahagia satu family dengan abang." Damia masih biarkan suaminya mengusap perutnya.

Terus Syafiq dekatkan kepala isterinya, dan dikucup lembut rerambut isterinya tu. Dia sekarang mahu raikan kegembiraan ini bersama-sama.

Alhamdulillah ... terbit rasa syukur kerana Allah beri peluang untuk mereka berbaik semula. Semuanya gara-gara anak yang bakal lahir itu. Insya-Allah, semoga dengan kehadirannya nanti, bakal menambahkan lagi kebahagiaan mereka suami isteri.

*****

Jag berisi air bunga disiram di atas pusara Syafiqah. Tak lupa juga, pusara ibu dan ayahnya.

Selalunya, setiap dua minggu dia akan melawat kubur keluarganya. Kalau terlalu sibuk sangat, tiga minggu sekali. Tapi Syafiq takkan sekali-kali lupa untuk ziarah kubur ni dalam jangka masa yang lama.

Rumput pun tak pernah bertunas panjang berjela di atas tanah kubur. Itu cukup membuktikan Syafiq agak kerap melawat kubur keluarganya.

Kadang dia melawat berseorangan, dan kadang bersama isterinya.

Tapi untuk hari ni, Syafiq datang berdua. Jadi dia adalah seseorang yang menemaninya di sini untuk hari ni.

Setiap kali melawat kubur keluarganya, setiap kali itulah rasa sayu membelit diri.

Rindu? Tipulah kalau tak rindu. Tapi Syafiq dah terima takdir itu.

Hidup mesti diteruskan. Lagipun, Syafiq sekarang dah ada seorang isteri. Isterinya tu pulak sedang hamil anaknya.

Syafiq raup wajahnya. Rumput yang tumbuh dah dicabut. Surah Yasin pun dah dibaca. Jadi sekarang, mereka berdua putuskan untuk beredar.

Bukan pulang ke rumah tapi pergi melawat rumah Pak Ya dulu. Ya, boleh dikatakan setiap hari Syafiq lawat Pak Ya. Isterinya tu pulak, setiap hari cuti aje dia ikut Syafiq sejak dua minggu yang lepas.

"Korang berdua ni tak payahlah kerap sangat datang lawat Pak Ya. Kamu laki bini mesti ada hal sendiri nak buat, kan? Pak Ya rasa Pak Ya ni macam menyusahkan korang pulak. Lagipun, Najihah kan ada." Pak Ya panjang berleter tak ubah macam seorang ayah yang memarahi anaknya.

Syafiq dan Damia hanya tersenyum dan geleng aje kepala mereka tu. Dah lali dengan Pak Ya tu. Setiap kali dia orang melawat, setiap kali tu la Pak Ya membebel macam tu. Punyalah Pak Ya tu tak nak susahkan dia orang laki bini tu.

"Tak ada apalah, Pak Ya. Dah tanggungjawab kita orang untuk jaga Pak Ya. Memanglah Najihah ada, tapi takkanlah nak harapkan dia sorang je." Syafiq pula memberi alasan.

Pak Ya hanya mampu telan ajelah kata-kata Syafiq tu. Pak Ya pun tak boleh nak buat apa dah.

Boleh dikatakan setiap hari Syafiq tu datang ke sini semata-mata nak bantu Najihah uruskan Pak Ya. Ye la, Pak Ya tu sekarang nak berjalan pun susah.

"Abang dengan Pak Ya sembanglah dulu. Damia nak tolong Najihah kat dapur jap," ulas Damia sebelum dirinya bangun dari duduknya di atas sofa. 

Kesian pulak dia tengok Najihah tu sorang-sorang sediakan itu ini kat dapur. Najihah tu, setiap kali Damia dan Syafiq datang, setiap kali tu la dia nak jamu apa-apa yang ada. Kadang biskut, kadang bancuh air. Tak pernah sekali pun Najihah tu membiarkan meja kat ruang tamu tu terhidang kosong.

Damia pun, naklah tolong Najihah tu. Memanglah dia mengandung, tapi tak salahkan nak tolong orang kat dapur? Apa, ingat orang mengandung ni kena berehat 24 jam je ke?

Syafiq dan Pak Ya pun angguk ajelah beri kebenaran Damia tolong Najihah. Lagipun, tolong kat dapur aje, bukan buat kerja berat pun.

Sebaik Damia pergi, Pak Ya tatap lama wajah Syafiq tu. Nampak macam ada benda serius yang dia nak cakapkan.

"Lepas ni kamu dah nak jadi ayah dah. Pak Ya suka tengok rumah tangga kamu dan Damia. Nampak bahagia je. Pak Ya doakan kamu suami isteri kekal bahagia sampai bila-bila." Pak Ya sambung bicara.

"Terima kasih, Pak Ya. Syafiq bersyukur sangat Allah hadirkan Damia dalam hidup Syafiq. Bolehlah Syafiq kenal erti bahagia walaupun lepas tempuh banyak dugaan dalam hidup Syafiq ni." Syafiq hanya senyum nipis. 

"Lepas hujan lebat, timbullah pelangi. Macam tu la hidup kamu tu, Syafiq. Allah takkan pernah biarkan hamba-Nya bersedih selamanya. Tapi Pak Ya nak pesan sikit. Lepas isteri kamu dah mengandung ni, lepas dah dapat anak nanti, makin banyak cubaan yang kamu kena sedia hadap. Ye la, lepas ni kamu dah nak kena pegang dua tanggungjawab sekali gus. Satu sebagai seorang suami dan satu lagi sebagai seorang ayah."

Syafiq angguk dan simpan bait-bait pesanan yang dipaculkan Pak Ya dengan kemas di dalam memori. Betul, dia pun sedar itu. Itulah asam garam rumah tangga. Dah ada anak-anak nanti, pasti dia akan rasakan hal yang cuba disampaikan Pak Ya tu.

Buat masa sekarang, Syafiq kena jaga dan pastikan isterinya tu dalam keadaan baik. Jaga makan minum dia, jaga mental dan fizikalnya. Kalau isterinya tu mengidam apa-apa, turut ajelah selagi apa yang diminta tu tak pelik-pelik dan selagi mampu.

Tapi tu la, cakap pasal mengidam, rasanya Syafiq tu yang terlebih sudu dari kuah. Isteri yang mengandung, tapi dia yang terlebih mengidam. Mengidam makanan masam la, sampaikan buah kedondong kat pasar dengan jeruk pelam jual kat tepi jalan pun Syafiq sebat untuk lunaskan rasa mengidam dia tu. 

Terbalik pulak dengan si isteri yang mengandung. Damia tu, tak mengidam apa-apa. Tapi kesian, dialah yang menanggung muntah mual dan pening segala. 

Sepatutnya semua alahan tu pun patut suaminya tu rasa jugak, barulah nampak susah senang bersama sikit. Ni tak, yang melantak makan, Syafiq dapat. Yang pitam mual, Damia sorang yang hadap.

Haih ... bertuah punya suami. 

"Insya-Allah. Syafiq akan cuba yang terbaik untuk kekalkan kebahagiaan rumah tangga kami," balas Syafiq.

"Lagi satu ...  pasal mak mentua kamu tu macam mana? Dia boleh terima tak berita ni?" soal Pak Ya lagi. 

Soalan itu sememangnya cukup membuatkan Syafiq segera terkedu. Mulutnya rasa macam kena gam. Padahal baru tadi aje dia nampak gembira cakap pasal rumah tangganya tu.

Mak mentua? Dengar perkataan tu je buatkan rasa kecewa, sedih, marah, semua bergabung dalam hati.

Soalan Pak Ya tu membuatkan fikiran Syafiq menerawang kembali teringat kejadian di rumah Mak Siti minggu lepas. 

"Ingat mak peduli ke kamu mengandung ke tak? Kamu nak mengandung berpuluh anak dengan laki kamu tu pun, mak tak hairan la." Mak Siti mulai memetir. Wajahnya langsung tak beriak apa-apa sejak berita tadi tu disampaikan sendiri oleh anak dan menantunya tu.  Berkerut aje memanjang.

"Mak ... angah mengandung anak Syafiq. Anak dalam kandungan ni cucu mak tau." Damia nampak tak puas hati. Tahan ajelah dia dengan perangai mak dia tu.

Mak Siti terus mendesis. "Lepas tu kamu nak suruh mak buat apa dengan berita ni? Nak mak sujud syukur ke? Nak mak buat kenduri kesyukuran. Panggil satu kampung datang rumah? Macam tu?" 

Damia kemam mulutnya. Eii ... memang tunggu masa je nak dengar Damia tu menjerit. Tangan yang dikepal-kepal pun dah nampak terketar semacam. Kesan menahan geram.

Tapi Syafiq perasan tu. Dia segera pegang tangan kiri isterinya. Biar isterinya tu 'cool down' dulu.

Sekarang ni, biar Syafiq pulak ambil giliran untuk menghadap mulut lancang Mak Siti tu. Harap dia bolehlah bertahan.

"Mak, Syafiq tahu mak benci Syafiq. Tapi tolonglah, mak janganlah benci cucu mak dalam kandungan Damia ni.  Kalau ye pun Syafiq ada buat salah, dan mak bencikan Syafiq, mak buatlah. Tapi tolong, jangan bencikan bayi dalam kandungan ni." 

Mak Siti jeling tajam ke arah Syafiq. Memang panas betul hati dia tu. Nak suruh diri sendiri terima cucu dari keturunan Syafiq yang miskin tu? Boleh jalanlah.

Mak Siti tu keras kepala. Kalau batu konkrit kena hempuk kat kepala dia, batu tu yang pecah. Jadi, takkan sekali-kali dia termakan dengan pujuk rayu Syafiq tu. 

Baru aje dia nak kenen-kenenkan Damia tu dengan Zaid Zaffran, si encik bos yang kaya tu. Tapi punahlah harapan dia dengan berita ni. 

Ceh! Baru mengandung lima minggu dah beria bagitahu berita ni. Kalau keguguran, padan muka. Mak Siti sembur dalam hati.

Tapi dia tarik balik kata-katanya. Dia memang tak suka dengan berita kehamilan anaknya tu, tapi dia tak akan doakan kandungan tu gugur. Dan dia juga takkan buat rancangan yang bukan-bukan untuk gugurkan kandungan tu. Sejahat-jahat dia, tak naklah dia jadi pembunuh.

"Huh! Tak payah nak merayu kat akulah. Jantan macam kau ni, kahwin sebab nak buat anak je, kan? Nak buat duit banyak tak nak pulak. Lepas tu, nanti barulah terhegeh-hegeh pulak nak mintak tolong aku nak duit sebab nak beli barang keperluan anak nanti. Aku dah dapat hafal dah semua tu." Mak Siti malah mencemuh dengan andaian yang bukan-bukan.

"Dari dulu sampai sekarang, aku tak pernah restui perkahwinan korang. Jangan ingat senang-senang je aku nak terima cucu hasil dari perkahwinan korang tu. Faham tak?" sambungnya lagi. Tiada rasa bersalah sedikit pun bila dia bercakap perkara kejam macam tu.

Tamat. Ingat dengan berita ni, Mak Siti bolehlah berlembut hati dia tu sikit. Tapi mereka salah. Mak Siti, tetap sama. 

Syafiq pejam matanya seketika dan kini matanya kembali memandang Pak Ya. Perit sungguh kejadian yang dia imbas semula tadi. Kata-kata tajam ibu mentuanya tak henti menikam diri.

Syafiq terus berikan senyuman yang penuh hambar sebagai topeng agar kepahitan yang dirasai tidak terlalu menonjol.

"Hmm ... dia boleh terima dengan berita ni," tipu Syafiq. Dia ... terpaksa berbohong.

Kalau diikutkan, dia nak jujur aje dengan Pak Ya tu tapi dia tak nak Pak Ya terlalu risaukan rumah tangganya dan hubungannya dengan Mak Siti tu. Cukuplah Pak Ya tu fikirkan masalah kesihatannya seorang saja. 

Masalah Syafiq, biar dia yang tanggung sendiri, biar dia yang selesaikan sendiri.

Pak Ya angguk aje dan dia turut tersenyum. Tapi senyumannya memudar, dan hilang serta-merta.

"Pak Ya harap kamu tabah, Syafiq."

Syafiq lagi sekali terkedu buat kali kedua dengan kata-kata yang tak dijangka dari Pak Ya tu.

Kata-kata Pak Ya tadi menunjukkan yang dia tahu ... Syafiq menipu.

Syafiq terus tundukkan wajahnya. Tak boleh nak menipu dah. Kebenaran dah ada dalam  benak Pak Ya melihat dari reaksi Syafiq tu.

"Pak Ya tak nak kamu berputus asa, Syafiq. Teruskan berdoa agar mak mentua kamu tu dilembutkan hati. Pak Ya tahu, satu hari nanti, mesti mentua kamu tu akan berubah jugak hati dia."

Syafiq memang tak pernah putus harap. Syafiq memang tak pernah berhenti berdoa. Tapi sampai bila? Bukan nampak berubah ke arah baik malah Mak Siti tu macam makin teruk pulak perangai dan layanannya kepada Syafiq tu.

"Insya-Allah. Syafiq tak pernah berhenti berdoa kepada Allah agar mak mentua Syafiq tu dilembutkan hati untuk terima diri Syafiq. Syafiq pun tak nak, kebencian dia tu melarat sampai ke anak Syafiq nanti."

Dapat mak mentua yang jenis tak mahu mengalah tu, memang mencabar. Tapi Syafiq takkan putus asa. Lagipun dia sendiri dah berjanji dengan Damia untuk takkan putuskan hubungan dengan mak mentuanya tu. 

Syafiq yakin, lambat-laun Mak Siti tu mesti berubah jugak. Dia dan Damia masih dalam fasa awal perkahwinan, jadi mestilah ambil masa yang lama jugak untuk Mak Siti tu dilembutkan hatinya. 

Tak apa. Ada lagi beberapa bulan sebelum anak aku tu lahir. Aku harap, hubungan aku dan mak mentua aku tu dapat dijalin sepanjang anak aku tu masih dalam kandungan isteri aku. Syafiq putuskan tekad dalam hati.

Syafiq tak nak tengok anaknya nanti dijadikan mangsa melampiaskan kebencian mak mentuanya tu. Dia ... tak sanggup.

Bersambung...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience