BAB 5

Mystery & Detective Completed 347

Ahhh sudah! Menyapa pula lembaga yang sedang duduk berteleku itu. Alim
dan Kudin sudah tidak ada pilihan. Silat langkah seribu terpaksa dibuka.
Kalau bukan hantu, siapa pula lembaga putih itu? Mungkinkah itu saka Aki
Meon? Alim berkira-kira di dalam hati.

“Alamak hantu! Hantu! Hantu!” jerit Alim.

Kudin sudah beberapa langkah di hadapan Alim. Tiada kata-kata yang mampu
dikeluarkan. Ingatannya hanya satu sahaja ketika itu, mahu sampai cepat
ke rumah. Motosikal dilepaskan demi menyelamatkan diri masing-masing.
Ketakutan yang amat sangat membuatkan Alim dan Kudin putih tapak kakinya
berlari. Selipar yang dipakai berterabur entah ke mana.

“Woiii! Aku bukan hantulah!”

Keesokan harinya, heboh cerita pasal saka Aki Meon kembali ke kampung
Paku Rotan. Telahan itu dibuat apabila motosikal kepunyaan Alim dijumpai
berhampiran dengan rumah tinggal Aki Meon. Sebab itu Alim bagitahu
maknya, Mak Jenab saka Aki Meon yang punya angkara. Alim masih menggigil
ketakutan dan demam. Selera makannya putus seketika. Mak Jenab buatkan
bubur nasi berlaukkan ikan bilis goreng dan telur asin. Namun seleranya
tetap tumpul juga.

“Jangan nak mengarut Lim. Orang kalau sedang ketakutan memang fikir yang
bukan-bukan. Cerita saka Aki Meon tu dah lama berlalu.” Ujar Mak Jenab.

“Habis tu macam mana motosikal Alim boleh berada kat rumah tinggal tu?
Kalau bukan saka tu yang bawa, siapa punya angkara?”

“Mak dah pesan banyak kali, kalau keluar malam balik awal sikit. Kamu
tidak, selagi tak berkumandang azan subuh selagi itulah duduk melepak
entah di mana-mana. Sembang kosong dan banyak buang masa. Sembahyang pun
entahlah. Sebab itulah kalau iman tak kuat, macam inilah akan berlaku.
Nampak saja lembaga berkain putih, semuanya hantu. Bila kena tegur terus
kata terkena sampuk saka. Lain kali kalau takut terserempak dengan
hantu, balik rumah lepas subuh!” perli Mak Jenab sambil mengulum senyum
di bibir.

“Mak ni… orang sakit, dia perli-perli pulak!”

“Mak dah lama hidup Lim. Tak pernah jumpa hantu lagi. Hantu kepala hitam
banyaklah!”

“Mak tak kena mana tahu?”

“Ingat anak mak ni berani. Ermm… entahlah!”

“Bukan tak berani tapi terkejut.”

“Samalah tu ertinya dengan penakut!”

Alim terpaksa bersabar dengan usikan demi usikan maknya itu. Dia masih
tidak berpuas hati dengan kata-kata maknya tadi. Bukan emaknya mahu
membantu malah memerlinya lagi. Bukan hendak simpati malah ketawa
emaknya bersilih ganti. Terbayang-bayang lagi di ingatannya cerita malam
tadi.

“Yang kamu jumpa malam tadi tu bukan hantu atau saka Aki Meon tapi Mael
Bendul…”

“Mael Bendul? Biar betul!”

“Lain kali mata tu buka luas-luas. Boleh bezakan manusia atau hantu!”

“Dahlah gelap, sunyi pulak keadaan masa tu. Siapa tak takut kalau jumpa
benda putih tertonggok tepi jalan. Bohonglah kalau tak ada perasaan takut.”

“Mael tu memang suka merayau tengah-tengah malam bawalah ke pagi. Kain
selubungnya tu memang tak pernah tinggal. Orang lurus bendul macam Mael
mana takut berjalan sendirian. Main redah saja tak kira siang atau
malam. Lain kali jangan cakap besar dan lepas cakap. Setiap kejadian tu
ada hikmahnya. Mak harap Alim dapat belajar sesuatu dari peristiwa ni.”

“Menyesal jugak cakap besar ni…”

“Alhamdulillah kalau Alim dah sedar. Makhluk halus juga ciptaan Allah
SWT. Memang mereka ada di sekeliling kita, tapi memang kita tak nampak
pada mata kasar. Kalau nampak, mak pasti Alim mesti tak berani nak
keluar rumah waktu malam.Di sini kita kena beriman dengan
perkara-perkara ghaib. Antaranya percaya jin itu wujud, ia mampu
bergerak pantas, ia mampu memudaratkan manusia, ia berusia panjang,
jasad kasarnya lemah dan sebagainya. Semua itu adalah dengan keizinan
Allah SWT juga…”

Panjang lebar Mak Jenab mengemukakan hujahnya. Umpama tazkirah daripada
seorang ustazah, Alim tunduk dan merenung jauh ke dalam dirinya. Sambil
mengetap bibir, wajah Mael Bendul, pemuda lurus bendul di kampung Paku
Rotan mengapung di kotak minda. Tanpa dia sedari, dia terkena sindrom
‘tipah tertipu’ rupanya. Teringatkan Kudin, senyumannya kembali meleret.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience