BAB

Romance Series 8815

LANGKAH Misya semakin laju apabila melihat pintu lif terbuka walaupun dia baru sahaja masuk dari pintu utama wisma. Baru pukul 7.30 pagi. Masih belum ramai yang turun kerja seawal waktu ini. Sebenarnya Misya tidak perlu terlalu awal sampai kerana dia dimaklumkan kehadirannya diperlukan pada pukul 9.30 pagi. Malah Naemah berpesan bahawa syarikat ini memulakan operasi pada pukul 10 pagi. Misya yang terlebih bersemangat pada hari pertama bekerja. Naemah masih lagi seronok bersarapan di ruang tamu sewaktu dia keluar dari rumah.
“Kau tak tunggu aku ke? Aku pun nak pergi awal ke SightWorld.”
“Aku nak sarapan dengan member sebelum pergi ke sana,” balas Misya acuh tak acuh.
“Patut awal betul kau pergi kerja. Siapa member tu?”
“Nantilah aku cerita.”
Itu alasannya kepada Naemah pagi tadi. Walhal sebenarnya Misya panik dan gabra. Oleh sebab itu juga dia muncul di bangunan wisma ini lebih awal dari yang sepatutnya, sebagai cara untuk dia membuang perasaan gabranya. Selalunya apabila dia tidak tergesa-gesa, automatik dia akan bersikap lebih bertenang dan teratur.
Sempat juga matanya melihat paparan LED di dinding-dinding wisma. Beberapa kulit depan komik, webtoon, majalah dan novel yang sedang popular di pasaran saat ini terpapar di skrin LED itu.
SightWorld Group.
Agak besar tulisan yang terukir di dinding berdekatan dengan meja penyambut tetamu yang masih kosong tidak berpenghuni. Trendy dan menarik.
Pintu lif tertutup ketika kakinya sudah menapak betul-betul di hadapan lif itu. Misya menekan punat yang ada di sisi pintu lif. Menunggu sebentar sebelum pintu lif kembali terbuka.
Derianya menangkap pergerakan dari belakang. Dia masih merenung pintu lif walaupun perasan satu tubuh sedang berdiri setapak di belakangnya. Barangkali salah seorang staf SightWorld yang ‘gila kerja’. Pukul 7.30 pagi sepatutnya masih menikmati kebebasan di luar wisma ini.
Misya masuk ke dalam perut lif sebaik saja pintu lif terbuka luas. Dia menekan angka 4 sebelum bersandar pada dinding lif.
Seorang lelaki masuk ke dalam perut lif menyertai Misya. Kemudian berdiri berhampiran dengan Misya, memandang gadis itu tanpa gagal.
Mahu tidak mahu, Misya mengangkat kepala. Hendak mengetahui niat sebenar lelaki yang sedang berdiri menghadapnya.
Sesaat selepas mata Misya menangkap seraut wajah milik lelaki itu, tubuhnya terus membeku. Mindanya terus gagal berfungsi. Dia keras di situ.
“Who are you?” soal lelaki itu dengan suara yang garau dan rendah.
Bulu roma Misya meremang. Bibirnya terketar-ketar untuk membalas namun dia tetap memaksa diri.
“Misya... Misya Khalida.”
“Oh...” Renungan lelaki itu kosong. “So you rent this place?”
“Huh?” Misya terkesima. Soalan jenis apa yang keluar dari bibir lelaki itu? Tidakkah dia nampak terlalu muda untuk menyewa tempat ini? Atau adakah penampilannya kelihatan seperti anak orang kaya yang mampu menyewa wisma 10 tingkat ini?
“If not, please move aside.” Lelaki itu mengangkat tangannya.
Automatik tubuh Misya terundur ke belakang. Sesaat dadanya berdebar laju, dan sesaat juga hatinya berasa lega apabila melihat lelaki itu hanya bertindak menekan punat lif tingkat 9.
Argh!
Patutlah lelaki itu bertanyakan dia siapa dan adakah dia menyewa tempat ini... Rupanya Misya menghadang laluan lelaki itu untuk menekan butang lif.
Misya memejamkan mata setelah menyedari kebodohan diri sendiri. Sesekali, mata Misya mencuri pandangan ke arah sekujur tubuh tegap di depannya.
Lelaki itu menghadap pintu lif tanpa mempedulikan Misya.
Kau patut sedar diri, Misya! Dia menggertak dirinya kerana berfikiran terlalu negatif.
Mana mungkin lelaki setampan itu mahu bertindak yang bukan-bukan terhadap dirinya.
Dada Misya masih belum mampu bertenang. Debaran kuat kian bertandang apabila dia perasan lelaki itu adalah Jawdan Raffiq!
Tidak sukar untuk Misya mengecam wajah lelaki itu. Berkulit cerah, tinggi, dan memiliki sepasang mata helang. Bibir lelaki itu menawan. Wajahnya iras-iras Jo Insung. Misya mencari tahu tentang Jo Insung semalam apabila Naemah menghantar WhatsApp lewat malam tadi yang Jawdan Raffiq mirip pelakon Korea. Awalnya dia rasa Naemah mengarut. Sekarang barulah Misya berhadapan dengan kenyataan itu.
Sama!
Benar-benar sama...
Cuma kekacakan lelaki itu seperti duri yang tajam. Hanya mampu dipuja dari jauh. Untuk memandangnya pun, Misya tidak berani.
Betul kata Naemah, Jawdan adalah ‘lelaki yang hidup dalam kaca’. Hanya dipandang, tidak akan dapat disentuh. Aura lelaki itu sangat kuat, dingin dan berkarisma. Lemah semangat Misya apabila memikirkan masa depannya di SightWorld Group.
Sampai di tingkat empat, Misya bergegas keluar dari perut lif. Dia tidak memandang ke belakang. Malah nalurinya menahan dia untuk memandang mahupun menyapa lelaki itu. Dia gerun untuk bertatapan mata dengan Jawdan seolah-olah Jawdan bakal mengenalinya sedangkan jelas lelaki itu tak akan tahu siapa dia yang sebenar.

follow ig @rinsyachasiani

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience