Jam menunjukkan tepat pukul 11.00 malam. Syam dan Aiman mula berkemas untuk pulang. Seperti biasa, operasi Syam Burger Corner berakhir tepat jam sebelas. Mereka biasanya membuka gerai dua sesi: 2:00 petang hingga 5:30 petang, kemudian 8:30 malam hingga 11:00 malam.
Walaupun Aiman seorang lelaki, Auntie Zaharah — ibunya yang garang tapi penyayang — menetapkan syarat yang tegas: pulang sebelum tengah malam. Kalau lewat, terpaksalah dia bermalam di luar.
“Man, kau dah siap belum? Cepatlah, dah lewat ni!” jerit Syam dari hadapan gerai.
“Kejap la. Aku tengah kemas belakang ni. Apa salahnya kalau kau tolong sikit? Daripada terpacak kat depan tu macam jaga pencen!” bebel Aiman kepada sepupunya.
“Hei! Kerja aku dah settle. Yang tu tugas kau. Aku dah bayar gaji untuk kau buat semua tu. Kalau tak nak buat, berhenti. Ramai lagi orang nak kerja dengan aku.” balas Syam tegas.
“Alaa… berkira betul. Kalau kau tolong sikit, dapatlah kita balik awal.” pujuk Aiman.
Memandangkan embun jantan mungkin sedang keluar memburu cinta embun betina, Syam terpaksa juga mengalah dan tolong Aiman di belakang. Hatinya mula geram — Aiman memang suka buat kerja saat akhir.
“Nah, ni gaji kau malam ni.” kata Syam sambil menghulurkan RM25 — dua keping RM10 dan sekeping RM5.
Aiman membelek duit itu. “Eh? Mana cukup? Mana lagi lima ringgit?”
“Aku tolak lima sebab aku tolong kau kemas tadi.” jawab Syam selamba.
Sengaja — Syam tak mahu Aiman ambil kesempatan di kemudian hari.
“Ala... dengan aku pun kau nak berkira ke?” Aiman merungut.
“Ada aku kisah? Kalau aku tak berkira dengan kau, dengan siapa lagi aku nak berkira? Takkan dengan bangla guard kolej tu. Cepat kemas, aku nak balik. Jangan nanti kau tidur celah pasu bunga lagi.”
Aiman diam. Dia tahu — kalau dilawan, Syam akan lagi menjadi-jadi. Dia pernah kena tinggal sendirian di gerai burger itu sebab melawan cakap Syam. Terpaksa menapak empat kilometer balik rumah. Sampai rumah, pintu dah dikunci. Malam itu dia tidur antara pasu bunga Auntie Zaharah, berselimutkan embun betina. Kenangan hitam.
Aiman melangkah ke motor Kawasaki Ninja milik Syam. Sambil menghidupkan enjin, Syam bertanya:
“Man, malam ni aku rasa nak balik rumah aku lah. Nak ikut?”
“Tak kot. Kesian mak aku tinggal sorang.” jawab Aiman sambil menunjukkan ke arah rumahnya.
“Okey. Kirim salam aku pada Auntie ye. Dah lama aku tak jenguk mummy dengan daddy aku.” ujar Syam sambil menghantar Aiman ke rumah.
________________________________________
Laluan sunyi malam Kuala Lumpur dibelah deruman enjin Kawasaki Ninja. Syam memecut ke arah Ukay Perdana, rumah orang tuanya. Sudah lama dia tak pulang. Bukan tak rindu, tapi dia tak mahu dengar bebelan mummy dan papanya yang mahu dia bekerja di syarikat keluarga.
Syam lebih selesa berdikari, walau sekadar jual burger tepi jalan. Dia tak mahu dikata menumpang kekayaan keluarga.
________________________________________
Tiba-tiba satu dialog lama bermain dalam fikirannya.
“Ala Syam, tak dapat result bagus pun tak apa. Syarikat papa kau dah tentu kau punya. Kalau aku jadi kau, aku enjoy je belajar kat Australia tu.”
“Aku belajar bukan sebab papa aku. Aku belajar sebab ilmu itu jihad. Kalau tak mampu pegang senapang, peganglah pen.”
“Zaman sekarang bukan macam dulu, Syam. Ni zaman globalisasi. Semua kat hujung jari je.”
“Sebab globalisasi la, ramai yang hilang maruah. Kau sanggup biar mat salleh tu ragut maruah kau? Mak ayah kau sanggup gadai harta nak tengok kau berjaya.”
“Alah, lelaki Malaysia pun belum tentu baik. Mungkin sebelum tidur dengan aku, dia dah tibai ratus-ratus bohsia. Manusia sekarang mana boleh percaya — macam kau, anak orang kaya, semua pun kau boleh buat.”
“Suka hati kau lah, Tina. Aku bukan bayar zakat kau.”
“Tahu pun! Bapak aku yang tiap tahun bayar zakat aku pun tak bising macam kau.”
________________________________________
Itulah antara dialog terakhir antara Syam dan Tina — sahabat baiknya di Australia. Mereka sering berdebat, tapi hanya Tina tempat dia meluahkan perasaan. Hanya Tina yang tahu sisi rapuhnya. Malangnya, Tina mati dalam kemalangan, selepas mabuk bersama teman lelakinya, Alex.
Alex pula selalu cemburu, menyangka Syam dan Tina ada hubungan cinta. Padahal mereka hanyalah sahabat sejati — yang saling menyelamatkan jiwa masing-masing.
________________________________________
Syam mengeluh.
“Ah, Tina...”
“Eh Syam, termenung apa tu? Takkan dah tak kenal rumah sendiri?” tegur Datin Malissa, mamanya yang tiba-tiba muncul dari pintu pagar.
“Mummy ni! Terkejutkan Syam je. Rileks la... helmet pun belum bukak lagi ni.” jawab Syam sambil menanggalkan helmet dari kepalanya.
Share this novel