Wieyda menggosok-gosok tangannya. Sejuknya. Menyesal kerana terlupa membawa sweaternya malam ini. Bukan dia tidak tahu, tahap kesejukan di dewan ini memang berlainan sekali dengan billik-bilik lain yang pernah dia masuki di kampusnya ini. Wieyda kalih wajahnya ke sisi kanannya. Sara yang masih leka menghayati pementasan teater Tun Seri Lanang tidak berkelip langsung. ‘Kulit batang kayu ke budak ni, tak nampak sejuk pun’. Wieyda mengeluh. Pementasan ini menarik, dan sebagai pelajar yang berada dalam bidang sejarah, memang kena dengan jiwanya, namun kesejukan yang terasa sungguh tidak menyelesakan.
“Sejuk? Kenapa tak bawak sweater?” satu suara yang amat dikenalinya menegur. Wieyda pantas menoleh ke sebelahnya. Seingatnya tadi kerusi di sebelahnya ini kosong tidak berpenghuni, sejak bila pula Hazimi tiba-tiba berada di sebelahnya ini. Zaiful pun ada bersama, sudah selamat melabuhkan punggung di sebelah Hazimi.
“Err.. abang.. hmm.. sejuk jugak.. tadi lupa nak bawak..” jawabnya, tergagap-gagap kerana terkejut disapa tiba-tiba oleh orang yang dirinduinya. Sejak pulang bercuti dan menyambung semester baru ini, inilah kali pertama dia bertemu Hazimi. Kelab RITMAS juga masih menyepi tanpa apa-apa aktiviti. Jadi, hari ini adalah hari pertama dalam semester ini dia bertemu Hazimi. Alangkah berat rasa rindu yang ditanggung. Anak mata Wieyda berkalih kepada Zaiful yang mula leka menonton.
“Abang Eful, nak tukar tempat tak? Mana la tahu kalau-kalau abang Eful nak duduk sebelah buah hati ni..” Wieyda mengusik. Zaiful tersenyum lebar sambil mengangkat-angkat kening. Wieyda senyum. Ajak-ajak ayam je sebenarnya tapi riaksi Zaiful seakan-akan dia bersungguh pula. Hazimi menggeleng-geleng melihat telatah mereka. Zaiful berdiri dari tempatnya dan kerusi itu kemudian diisi oleh Hazimi. Wieyda pula berganjak ke kerusi Hazimi dan tempatnya yang asal diisi oleh Zaiful. Sara tersenyum malu. Namun hatinya gembira. ‘Wieyda, kau memang sporting habis! Aku sayang kau sangat-sangat!!!’
“Nanti abang Eful belanja makan ye..” ujar Zaiful kepada Wieyda sambil mengenyitkan mata. Wieyda cepat-cepat mengangguk macam burung belatuk. Dia sebenarnya bukan berharap sangat untuk dapat makan free, cuma dia lebih suka bergurau dan mengusik. Hazimi ketawa kecil melihat sifat keanak-anakan Wieyda. Wieyda yang perasan Hazimi sedang memandangnya berubah wajah. Malu. Dia kemudian kembali menumpukan kepada teater yang sudah separuh dipentaskan. Walaupun matanya tepat memandang ke hadapan, namun hatinya bagaikan mahu gugur dari tangkai. Sungguh dia tidak kuat bila berada dekat dengan Hazimi. Perasaan yang dipendam selama ini bagaikan mahu meletup sahaja. Namun Wieyda cepat-cepat beristighfar. Dia kembali menyedari dirinya.
“Nah.. pakai ni..” Hazimi menghulurkan jaketnya kepada Wieyda. Tanpa sempat Wieyda berbuat apa-apa, jaket itu telah melekap di tubuhnya. Wieyda terkesima. Hatinya yang bergetar dipujuk agar tenang. Bibirnya yang kaku cuba menguntum senyum. Mujur Sara tidak perasan. Jika tidak, mati dia diusik temannya itu.
Mereka menonton dalam keadaan senyap. Tidak ada sesiapa yang bersuara. Sara masih teruja menyaksikan pementasan. Pementasan sudah hampir ke penamat. Namun berlainan pula dengan Wieyda yang sudah mula tersengguk-sengguk menahan kantuk. Mahu sahaja dia merebahkan kepala di mana-mana saat itu juga. Tetapi kerana sifat malu masih bersisa, dia tahankan jua. Hazimi yang perasan Wieyda menguap beberapa kali tersenyum. Namun dia tidak bersuara. Matanya masih menghayati lakonan pelakon-pelakon yang juga terdiri daripada kenalan-kenalan dan teman-temannya. Tatkala itu dia berasa sesuatu yang agak berat jatuh ke bahunya. Segera dia berpaling. Hatinya terpempan. Dia memandang Zaiful yang sedang memandangnya dengan sebuah senyuman nakal. Sara yang melihat turut tersenyum. Sara meneliti wajah Wieyda. Wieyda.. Wieyda.. Betul-betul terlena atau berlakon ni..? Soal hatinya. Tidak mungkin berlakon. Wieyda pantang sekali berada berdekatan dengan lelaki seperti itu. Walaupun Wieyda nampak macam jenis yang suka bergaul, tapi dia bukan yang lepas laku. Dia mahu mencuit Wieyda namun dihalang Hazimi.
“Tak apa. Biarkan.. Dia dari tadi Abang Mie tengok asyik menguap aje. Dia biasa tidur awal ye..?” Hazimi bertanya sambil membetulkan sedikit kepala Wieyda di bahunya.
“A’ah.. cuma kalau dia siapkan assignmen je, pukul 2 atau 3 pagi baru tidur. Letih la tu, petang tadi dia habiskan masa kat library..” Sara menjawab. Zaiful ketawa.
“Spesis ayam ni, tidur awal..” getus Hazimi perlahan, tersenyum nakal sambil memandang Sara yang menahan tawa mendengar kata-katanya. Kalau didengar dek Wieyda, pasti muncung tikusnya akan keluar, tanda tak puas hati diusik begitu. Hazimi tergelak kecil membayangkannya.
“Orang lelaki, kalau dapat macam ni, dah kira rezeki. Bertuah kau malam ni..” bisik Zaiful nakal kepada Hazimi. Tidak semena-mena satu tumbukan lembut singgah di bahunya. Dia tertawa perlahan, bimbang mengganggu penonton lain yang berada di bahagian sebelah kanan. Namun tempat duduk mereka di barisan yang paling akhir dan belakang memberi sedikit kelebihan untuk mereka ketawa dan berbual secara perlahan. Zaiful menaik-naikkan keningnya, masih mahu mengusik Hazimi tanpa menghiraukan kerlingan tajam sahabatnya itu. Hazimi berdehem sambil mempamerkan wajah tidak beriak, malas mahu melayan usikan sahabat baiknya yang memang kadang-kadang sangat tiga suku itu.
Anak matanya tetap menjeling pada wajah Wieyda yang nampak lena benar di bahunya. Jauh di sudut hati, terasa ada sesuatu yang menjentik hatinya. Ah, mana mungkin. Hatinya sudah diberikan pada seorang gadis manis berlesung pipit.
Share this novel