BAB 9

Romance Completed 28762

BAJU kurung berwarna hijau berbunga merah jambu itu dicapai. Malas lagi
hendak berfikir tentang baju apa yang sesuai. Mama hanya menyebut hendak
ke rumah Amni, bukannya hendak ke majlis yang memerlukan dia vogue
sangat. Dan kalau iya pun begitu, dia tidak ada kemahuan pun untuk
terlalu bergaya.

Tudung yang sudah sedia digosok, dicapai. Cepat sahaja
dipakai dan dipin kemas. Selesai semuanya, Zatilhusna sudah mencapai beg
tangan di atas katil dan melangkah keluar dari bilik. Suara mamanya
sudah kedengaran dari bawah. Sudah tidak sabar-sabar untuk berjumpa
dengan Amni agaknya. Mestilah… sejak Amni mengkhabarkan tentang berita
berbadan dua, mama kelihatan begitu gembira. Katanya sudah sampai masa
bermain dengan cucu pula. Dan ketika itu, Zatilhusna terkedu.

“Bila pulak giliran anak mama ni?”

Soalan itu hanya berjawab dengan kebisuan.

Perjalanan yang memakan masa selama 15 minit itu ditemani
suara DJ radio yang riang berceloteh. Zatilhusna mengerling ke sebelah,
mamanya asyik tersenyum tidak henti. Spontan, bibirnya turut sama
tersenyum. Sekurang-kurangnya Amni mampu menghadirkan rasa bahagia itu
dalam hati mama. Untuk itu, Zatilhusna rasa bersyukur.

Sampai sahaja di kediaman Reza, sudah kelihatan Amni dengan
wajah yang berseri melambai riang. Macam budak-budak. Tapi hakikatnya,
nak jadi emak budak!

“Happy nya mak buyung.” Usik Zatilhusna. Terasa lenyap
segala belenggu dari minda. Suasana ini sangat menenangkan jiwa.

“Siapalah yang takkan gembira…” Amni sudah tersengih-sengih.
Jelas benar di wajah tentang keindahan taman yang sedang kembang mekar
dalam hati. Mendengarkan laungan Reza dari dalam rumah, segera mulutnya
mencicit menjemput tetamu masuk ke dalam rumah.
“Akak, mak cik… masuklah. Semua dah ada dekat dalam.”
Kening Zatilhusna terangkat. Semua? Siapa sahaja semua itu?
Dan semua itu bermaksud, makhluk yang Zatilhusna tidak kenal rupanya.
Mungkin dia tidak perlu terlalu sibukkan diri dengan perkataan semua
itu. Datangnya ke sini untuk menggembirakan hati. Usah disemakkan
fikiran itu lagi.
Tidak tahu hendak berbuat apa di ruang tamu yang diduduki oleh sebuah
keluarga yang tidak dikenali itu, Zatilhusna membiarkan sahaja mamanya
meneruskan sesi perbualan. Kakinya diangkat menuju ke dapur. Mengintai
Amni yang sempat lagi bergurau manja dengan Reza. Amboi! Bukan nak
dikira dengan tetamu dalam rumah.
“Ehem…” Dua suara berdehem berpadu. Amni dan Reza tersentak.
Dan Zatilhusna juga ikut terkejut. Terkejut memikirkan suaranya yang
sudah berubah menjadi garau. Takkan kronik sangat masalah yang
ditanggung sehingga boleh menyebabkan pertukaran suara, memang tak masuk
logik akal. Untuk mengesahkan itu, sekali lagi dia mencuba.
“Ehem…”
Dan memang sah!
“Amni… apa suara akak dah macam laki pulak!” ujarnya risau. Saat itu
dirinya masih terasa pelik. Rasa macam suara dah kembali normal. Tawa
Amni yang meletus membuatkan Zatilhusna terpinga-pinga. Adakah dia
sedang mempersembahkan satu program lawak antarabangsa?
“Yang gelak-gelak ni kenapa? Suka kalau suara akak macam laki?” soal
Zatilhusna geram. Bibirnya diketap.
“Sayangnya… suara awak sangat merdu bak buluh perindu.”
Bagaikan bisikan halus, suara yang menyinggah di telinga. Suara makhluk
mana pula? Laju sahaja Zatilhusna memusingkan kepala.
Dan spontan matanya terbuka luas.
Dan sekali lagi spontan, refleks tangan akibat impuls yang diterima otak.
“Aduh!!!”
Itu adalah isyarat daripada kesan tolakan yang maha kuat daripada
Zatilhusna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience