Keli

Drama Series 421991

"Hah.. tersenyum senyum kat dapur sorang sorang ni kenapa kakak?", sergah maklang tiba tiba muncul di pintu dapur.

Mak datuk!! Hilang semangat aku sekejap. Hampir tercampak telefon bimbit di tangan. Melatah tak yah cakap la.

"Takde apa la maklang. Ni tengah balas mesej kawan", balasku selepas mengambil nafas dan kembali ke dunia nyata. Telefon bimbit aku letak ke atas meja. Bimbang nanti tercampak sungguh. Tak pasal retak seribu skrin. Jangan kata nak tengok gambar, nak tengok tulisan pun tak dapat. Kalau ada impian nak ganti telefon tu, simpan saja la. Tiada siapa nak tolong belikan. Duit aku sendiri pun cukup cukup makan.

"Kau ni melatah tak hilang, macam orang tua. Ni mesej kawan ke boyfriend? ", sakat maklang, meletakkan bungkusan plastik merah ke dalam sink.

"Kakak mana ada boyfriend. Apa tu maklang?", tanyaku berminat bila terdengar bunyi plastik di dalam sink.

"Ikan keli. Mak kau kata kau nak makan sambal lada hidup ikan keli sebelum balik. Ada sepuluh ekor tu. Besar besar lengan dak Afiq", jawab maklang. Aku membayangkan tubuh Afiq. Cucu maklang yang darjah satu.

"La, ni sapa pula nak masak?? Kan senang kalau maklang bagi yang dah siap masak. Kakak tinggal makan je", kataku sambil melangkah ke sinki sambil menggaru kepala. Meremang bulu romaku bila melihat apa yang ada di situ. Ikan keli tu masih bergerak gerak. Lincah! Macam ular sekali pandang.

"Ala kakak, kau masak je la. Bukan susah pun. Mak kau mana?", tanya maklang terjengah jengah ke tengah rumah.

"Mak pergi rumah Kak Besah Tailor. Nak alter baju yang kakak belikan. Maklang, ikan tu hidup lagi kan? Kakak geli la. Nak buat macam mana ni?", tanyaku bila maklang dah berada di pintu dapur, nak balik ler tu. Maklang ketawa besar, suka la tu. Mesti plan maklang dengan mak ni, nak mendajalkan aku. Malang sungguh nasib aku, diperlakukan begini.

"Kau masukkan je garam kasar dalam tu, nanti mati la dia. Lepas buang isi perut dan cuci ikan tu, rendamkan dengan limau takpun cuka. Bagi hilang bau hanyir dengan lendir".

"Ha?? Berlendir ke?". Part ni aku lemah. Berlendir maknanya susah nak pegang. Licin. Dibuatnya terlepas ke lantai? Ikan tu pun mula bergerak, tak ke serupa ular?

Ni nak bersihkan ikan pula. Isi perut tu memualkan dengan berdarah darah. Baunya yuck! Ni pun aku tak tahan. Hanyir!

"Ala sikit je lendirnya. Buat la kakak, jangan asyik nak makan je. Nanti kawin, macam mana? Takkan mak kau nak masakkan untuk menantu dia. Ke tiap hari nak mak mentua masak kan? Hurmm... masak cepat. Kalau tunggu mak kau, tah pukul berapa balik tu. Kelaparan kau nanti", bebel maklang.

"Mak ni kalau jumpa Kak Besah tu, memang lama. Tak habis habis membawang. Lupa anak nak balik petang ni", rungut aku membuka ikatan plastik merah itu. Bunyi ikan keli bergesel dengan plastik tu makin membuat bulu romaku terasa nak tercabut dari liangnya.

"Ha.. Amin kata dia ambil kau pukul tiga, terus hantar ke pekan". Amin anak bongsu maklang, baru tingkatan lima. Aku sudah memberitahu dia petang semalam, yang aku ingin menumpangnya ke pekan untuk menaiki bas ekspress. Kebetulan Amin pun ada kelas tambahan petang itu di pusat tuisyen swasta di pekan.

"Ok maklang. Nanti kakak tunggu dia kat pintu ni", balasku. Maklang hilang dari pandangan. Dah balik la tu, rumah dia di belakang rumah tok je. Nak ke rumah dia, lalu tepi rumah tok dulu.

Dua genggam garam kasar aku campak ke dalam plastik itu dan terus aku ikat kembali. Huhh.. gigil gementar semua ada. Kenapa la aku suka makan ikan macam ni. Kan elok makan ikan laut je. Beli kat pasar dah siap potong. Kat pasaraya pun banyak. Tapi... ikan keli ni, kesedapannya lain. Kalau bagi aku makan tiap hari pun, aku tak menolak.

Aku melangkah keluar menuju ke pokok limau kasturi yang terletak di antara sempadan rumah tok dan rumah maklang. Pokok yang seingat aku dari dulu dah ada. Besar besar buahnya, banyak yang dah mulai mengguning. Aku petik dan masukkan ke dalam bekas kecil.

Leka memetik buah limau tiba tiba aku terasa seperti ada yang memerhati, aku toleh ke arah itu. Sebuah kereta Toyota Caldina warna hitam berhenti di jalan tar depan rumah, tingkap sebelah penumpang terbuka luas. Aku cuba mengenalpasti siapa gerangannya namun gagal. Silau dek panahan matahari.

Seketika kemudian, terdengar bunyi motor mak memasuki lorong rumah. Motor arwah abah. Aku meneruskan kerja yang tergendala tadi. Agak agak dah hampir penuh bekas kecil tu, aku melangkah ke rumah. Mak sudah meletakkan motor di tepi pintu dapur.

"Tadi tu bukan anak Paklong Sudin?", tanya mak padaku. Dedaun limau yang turut terpetik tadi, aku campak ke tanah.

"Yang mana mak?", soalku sepintas lalu seolah tak mengerti.

"Yang berhenti depan ni tadi", jawab mak sambil muncung ke depan.

"Ada ke? Tak perasan pun. Lagipun, kakak mana kenal anak anak Paklong Sudin", ujarku tak ambil kesah tentang pemandu kereta tadi. Ye la kot anak Pak Long Sudin. Aku mana kenal, dah lama tak jumpa. Hari raya pun aku lebih suka terperuk kat rumah. Baru dua tahun pindah ke kampung semula, boleh dikira berapa kali sangat aku balik kampung.

"Nak apa masuk sampai ke hujung kampung? Mesti ada sebab ni", ngomel mak perlahan sambil menanggalkan tudung. Plastik merah dalam sink dibuka lalu menggelengkan kepala. Ada la yang tak lulus di mata dia.

"Dah siap baju mak?", aku cuba mengubah topik perbualan.

"Belum. Petang esok. Kak Besah kau nak siapkan baju batik Cikgu Noor, katanya Cikgu Noor nak pakai pagi esok. Ada apatah kat sekolah. Pegawai Kementerian datang, Yang Berhormat pun ada sekali", jawab mak. Pantas tangannya menyiang ikan keli yang mencungap mencari nafas, menunggu ajal tiba. Leka aku perhatikan cara dan kecekapan mak menyiang ikan.

"Apa gosip terhangat kampung kita? Mesti Kak Besah ada cerita kan", soalku cuba mengorek cerita bawangan mak.

Mak seolah tak dengar saja tapi aku tetap ulang mengatakan yang Kak Besah serba tau tentang perihal kampung. Malah, jika ada yang sembelit pun dia boleh tau.

"Semalam keluarga Paklong Sudin terima rombongan meminang Fauziah, anak dia yang bongsu", jawab mak mendatar, tak berminat nak mengulas.

"Alhamdullillah. Orang cantik cepat la orang meminang", pujiku walaupun tak tahu bagaimana rupa Fauziah tu. Dan kini terjawablah soalanku tentang terdirinya khemah dan banyak kereta di perkarangan rumah Paklong Sudin. Samada kereta anak - anak dia ataupun kaum kerabat yang datang meminang.

"Ye, memang cantik anak anak Paklong Sudin tu. Dah maknya pun bukan orang sini". Aku perasan mak tiba tiba terhenti bercakap. Pasti dia tersalah cakap.

"Ye ke mak?". Soalanku tak berjawab, tak tau pula aku tentang tu. Mm... lagipun apa saja yang aku tau. Mak membisu, limau yang aku petik tadi, dipotong dan diperah jusnya ke atas ikan keli, kemudiannya digaul bersama sebelum dibiar seketika.

Aku cuba mengingati wajah Maklong Yam. Umurnya sudah lewat 60. Tapi kulit mukanya masih tegang, tiada garis kedut yang ketara. Tubuhnya gebu bergaya seperti wanita berusia 30an walaupun dia sentiasa menyarungkan jubah dan tudung labuh. Setiap kali aku lalu di depan rumah Pak Long Sudin, mesti aku cuba mencuri pandang Maklong Yam jika dia ada di halaman rumah sebab dia memang cantik. Seperti ditarik tarik mataku untuk memandang dia.

"Nah, goreng. Jangan nak termenung je", kerah mak. Aduh... lemah betul aku bab goreng goreng ni. Nak nak ikan keli. Meletopnya tu macam bom atom.

Aku panaskan minyak dalam kuali. Berdebar menanti apa yang akan berlaku sebentar lagi.

"Tutup kuali tu dengan ni. Kang habis berminyak dapur", kata mak menghulurkan penutup kukus. Aku rasa dah macam Captain America pulak.

"Sambil tu karang, potong lada kering ni. Bawang merah, bawang putih sekali. Blend. Guna blender kering tu je. Jangan blend sampai halus, tak sedap nak buat sambal keli".

"Ala mak... tolong la buat. Semua kakak yang buat, macam ni kakak la yang masak. Bukan air tangan mak", keluhku sambil merungut. Muncung bibirku sedepa.

"Belajar masak. Jangan nak tau makan je. Dah kawin nanti, takkan suami nak masakkan?", bebel mak. Aduh, tak de modal lain. Kawin kawin kawin. Cuba la cakap susah nak makan jika rezeki aku duduk kat luar negara ke, kerja dari satu kota metropolitan ke satu kota yang lain ke.

"Apa salahnya. Nanti kakak cari la suami yang pandai masak. Tak pun chef. Lagipun kan, tugas isteri melayan suami je. Bukan masak masak ni"

"Ha..menjawab. Melayan suami kan? Masak masakan kegemaran suami bukan ke satu bentuk layanan? Bagi suami gembira dapat makan masakan enak air tangan isteri", balas mak memandang tepat mata aku. Aku melarikan pandangan, aduhh sakitnya.

"Eishhh.. mak ni. Suami suami. Kakak ni boyfriend pun takde la, mak".

"Tak kesah la kakak, ada boyfriend ke tak de ke. Yang penting, tau masak. Rajin masak. Takkan tiap hari nak makan kat kedai. Belajar berjimat. Makan kat kedai tu mahal, padahal kos sebenar tak banyak mana pun. Lagipun kebersihannya kita tak tau. Ini tiap kali nak makan, telur hangit nasi mentah".

"Makkkkkkk.... jangan la ungkit. Tu satu kesilapan yang tak disengajakan. Masa tu kan kakak kecil lagi", rayuku merajuk. Mak ketawa sinis. Laju tangannya menolong aku yang terkial kial memotong cili.

"Jangan selalu sangat makan fastfood, burger, mi segera. Tak elok untuk kesihatan. Malas macam mana pun, masak la nasi".

"Makan nasi selalu nanti gemuk la mak. Ni pun dah gebu". Sengaja kukembungkan pipi biar nampak bulat.

"Nasi tak salah. Makan sekadar cukup je. Yang bertambah tiga empat kali tu, siapa suruh. Memang boleh jadi mak badak", perli mak.

"Makkkk... ye la. Nanti kakak cuba jadi rajin", jawabku menabur janji.

"Kakak..."

"Ye mak".

"Dah lama mak tak dengar kamu cerita pasal Seth. Sejak kita pindah sini, takde dia datang. Beraya ke sini pun tak. Masa abah meninggal pun, dia tak datang kan?"

Aku melepaskan nafas berat. Berat untuk aku ceritakan. Aku dah cuba lupakan Seth. Mak pula buka kembali.

"Oo... Masa abah meninggal tu, dia ada hal kat kampus. Dia orang penting badan persatuan mahasiswa mak. Bukan macam kakak, tak siapa pun kenal. Seth dah bertunang dengan orang Pontian tahun lepas, mak. Lepas final exam nanti katanya nak kawin", beritahuku ringkas.

"Mmm... cepat rezeki jodoh dia tiba. Untung Si Sally tu, tak lama lagi mesti dapat cucu. Anak mak ni, bila agaknya", ujar mak menjeling padaku. Tau sangat dah mesti akan perli aku juga.

Aku tersenyum kelat. Dalam hati, pahit bak rendaman air daun hempedu ular.

Share this novel

lyellydee1202
2019-09-25 17:32:14 

huhuhhuuuu...mak ni pun, kesian kakak tau

Hana
2019-09-25 10:05:20 

ala mak....kenapa harus diungkit kenangan mengusik jowa tu..pahit...


NovelPlus Premium

The best ads free experience