Bab 52
Amalina merenung laut lepas yang berhembus lembut. Rambutnya rancak dibuai angin. Saban petang dia datang ke pantai ini, berjalan sendirian melihat matahari terbenam. Ombak laut kala petang ini masih terus galak mengunjungi pantai.
Langit disimbah warna emas. Buih-buih ombak dan air laut juga menjadi kuning emas. Senja baru berlabuh. Tapi Amalina masih terus berada di pantai.
Kenapa mataku menangis sedih? Bisik hatinya sendiri. Bukankah dia tidak pernah mengucapkan selamat tinggal? Dia hanya pergi… Pergi dengan janji akan menghubungiku! Bagaimanakah mereka akan bertemu semula? Bagaimana? Soal Amalina dengan hati yang pedih.
Dia memandang langit sekali lagi. Kali ini warna kuning sudah beransur menjadi hitam. Tidak lama lagi langit dan alam ini akan menjadi gelap. Bagaimanakah hidupku nanti? Cinta hanya sejenak, bak sore yang datang sedetik cuma diganti malam yang panjang. Esok sesuatu yang belum pasti. Malam ini masih adakah bintang yang berkelip?
Terasa aku sudah berada di hujung dunia… bersendirian tanpa dia! Abah! Tak sangka abah jadi sekejam ini! Tak sangka! Mengapa abah menghukum aku begini? Tanya Amalina pada dirinya sendiri. Air matanya lebat mengalir. Peristiwa selepas kepulangan Leo kembali terbayang di mata.
“Putuskan perhubungan kau dengan Leo.” kata Encik Hamdan.
“Kenapa abah? Kenapa abah minta sesuatu yang tak dapat Alin lakukan?”
“Cinta tu pengorbanan. Kau harus korbankan cinta kau pada lelaki tu. Lupakan dia. Kau mesti pilih antara keluarga kau ataupun lelaki tu!”
“Abah! Jangan pinta Alin buat pilihan abah! Alin sayangkan mak dengan abah. Alin sayangkan keluarga Alin.”
“Kalau macam tu buktikan. Lupakan lelaki tak guna tu! Dengar cakap abah!”
Amalina terdiam. Tubuhnya terasa lemah dan dia terduduk di atas lantai. “Mulai hari ni abah tak mahu kau jumpa dia. Mulai hari ni juga, kau berhenti kerja. Pergi duduk rumah Mak Ngah kau di kampung buat sementara waktu. Jangan balik ke KL ni selagi abah tak suruh kau balik.”
“Abah! Alin tak mahu berhenti kerja abah!”
“Kau mesti berhenti! Kalau kau tak berhenti kau akan jumpa juga dengan lelaki tu. Kau tak boleh lagi dibiarkan bebas. Sebab selama ni abah biarkan kau bebas lah kau jadi macam ni! Melawan cakap abah.”
“Abah! Alin tak melawan abah! Alin cuma mempertahankan pendapat Alin.”
“Kau tahu tak, anak yang baik takkan meninggikan suara pada orang tuanya. Takkan membantah kata-kata mereka. Berkata ‘oh’ ataupun ‘ah’ aje tak boleh ni kan pula melawan dan menentang kata-kata ibubapa.”
Amalina terdiam. Kali ini Encik Hamdan memang benar-benar mempertahankan pendapatnya dan tidak ingin dibantah. Jika Amalina terus menjawab pasti kemarahannya tambah besar. Bapanya baik tetapi tegas.
Amalina terus bangun menuju ke bilik tidurnya. Dia menutup pintu perlahan-lahan, tidak berani menghempasnya. Dia tahu ayahnya sedang marah. Jika dia masih menunjukkan protes dengan menghempas pintu, pasti kemarahan bapanya payah hendak disurutkan.
Puan Salimah datang ke bilik anaknya. Saat itu Amali sedang menangis di atas katil, sambil menelungkupkan mukanya ke bantal.
Puan Salimah mengurut bahu Amalina dengan lembut.
“Ikut sajalah cakap abah kau Alin,” kata Puan Salimah.
“Tapi mak…”
“Ingat Alin! Alin pernah buat solat istikharah. Bukan ke Alin kata bermimpi wajah Leo? Yakinlah… Kalau dah jodoh, pasti jumpa juga nanti,” kata Puan Salimah memujuk.
“Abah suruh berhenti kerja. Alin tak mahu mak!”
“Mintalah cuti dulu. Cuti tanpa gaji. Ikut sajalah apa cakap abah kau. Dia suruh kau balik kampung, balik ajelah berehat, tenangkan fikiran.”
Amalina mengangguk sahaja.
Puan Salimah tersenyum.
“Maafkan mak ya. Mak tak boleh buat apa-apa untuk tolong kau.”
Amalina memeluk emaknya. Puan Salimah tidak menyebelahi sesiapa. Dia mahu adil dalam soal ini. Encik Hamdan suaminya, derhaka jika dia melawan suami. Amalina pula anaknya, yang dia kandung selama sembilan bulan. Dia amat sayangkan kedua-duanya.
Leo memandang rumah Amalina yang sepi. Mangga besar tergantung di gril. Pintu dan tingkap bertutup rapat. Amalina tiada? Sudah lama tidak balik ke rumahnya sendiri? Apakah tiada di KL? Mustahil dia sudah ke luar negara… Mengapa dia membisu?
Lama Leo termenung memandang rumah Amalina yang sepi lagi sunyi. Dia melangkah longlai menuju ke lif. Tidak lama kemudian dia sudah berada di tingkat bawah, berjalan menghala ke kereta. Perlukah dia pergi ke rumah ibu bapa Amalina? Rumahnya tidak jauh, masih di dalam taman perumahan yang sama. Bezanya cuma Amalina tinggal di apartment sementara ibu bapanya di kawasan rumah teres tidak jauh dari situ.
Leo mengambil keputusan ke rumah ibu bapa Amalina.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah tanggapan Encik Hamzan terhadap Leo/Zakuan akan berubah jika dia tahu identiti sebenar lelaki itu?
Share this novel