BAB 3 : Dia Bos Aku

Romance Completed 48899

WAN RAEF memandang telefon milik Rafal yang asyik berbunyi dari tadi. Nama ‘Mak’ terpampang pada skrin bersama gambar seorang wanita yang agak berusia tersenyum ceria. Sudah beberapa kali Mak Rafal menelefon namun dia tidak mahu mengangkatnya. Dia biarkan saja telefon itu berbunyi hingga ia senyap sendiri. Ada sedikit perasaan menyesal juga kerana menukar telefon dengan pembantunya itu tetapi dia lebih rela daripada berhadapan dengan Laila yang tidak jemu merayunya.

Laila sudah dia kenali sejak setahun yang lalu melalui pertembungan tidak sengaja mereka di sebuah restoran di Melaka. Pada ketika itu Raef mempunyai penggambaran filem selama seminggu di sana. Laila pula memberitahunya yang dia mempunyai tugasan yang perlu dilakukan. Itulah detik perkenalan mereka. Raef tidak menafikan Laila merupakan seorang wanita yang elegan dan bijak.

Laila seorang yang sangat profesional pada pandangannya malah wanita itu sangat memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon. Meskipun ada gosip-gosip liar yang mengaitkannya dengan artis wanita lain tetapi wanita itu tetap bersahaja malah mempercayai Raef sepenuhnya. Itulah antara perkara yang membuatkan Raef menyayanginya. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini Raef agak sibuk dengan lambakan tawaran berlakon. Dia tidak mampu menolak kerana itu adalah rezeki baginya untuk menempa nama dalam layar perak.

Pada awalnya Laila menyokong, entah di mana silapnya hingga mereka kurang bertemu dan menghubungi antara satu sama lain. Jika ada pun pasti melalui Rafal ataupun pengurusnya, Encik Marzuki. Raef mendapat tahu tentang Fariz apabila Laila memperkenalkan mereka sebagai rakan seperniagaan Laila dan dia pun tidak mengesyaki apa-apa kerana mempercayai kekasihnya itu. Namun pertembungannya dengan rakan sekerja Laila membongkarkan rahsia kekasihnya itu bahawa Fariz adalah bekas tunangan Laila yang putus akibat tidak sehaluan.

Memanglah Raef agak bengang kerana Laila telah menipunya dan tidak berterus terang, bagaimanapun wanita itu pandai memujuk dirinya. Hubungan mereka baik semula dan berjalan lancar sehinggalah satu demi satu pembohongan Laila terbongkar. Sepanjang itu Raef terus bersabar kerana tidak mahu dikatakan terburu-buru membuat kesimpulan. Akhirnya, bak kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Kejadian di kedai makan Uptown Wangsa Maju telah menunjukkan pembohongan besar Laila terhadapnya. Raef benar-benar sudah tidak dapat menahan perasaannya lagi. Laila tidak jujur terhadapnya maka adalah lebih baik dia menjauhi perempuan seperti itu.

Deringan telefon sekali lagi mematikan lamunan Raef. ‘Mak’ terpampang di skrin telefon itu. Raef mendengus kasar. Degil betul mak si Rafal ni. Dah tak diangkat tu tak payahlah telefon lagi! Tak fikir ke entah-entah anak dia tengah sibuk ke?! Bentak Raef dalam hati. Namun geram apabila asyik terganggu, Raef menjawab juga panggilan itu.
“Assalamualaikum, hello Kak Rafal!” kedengaran suara seorang gadis di hujung talian. Raef berdehem membetulkan tekaknya.

“Waalaikumsalam, Rafal tak ada. Ni siapa?” jawab Raef dengan nada sombong. Kalau bukan mak Rafal siapa pula yang menelefon? Adik dia kot? Fikir Raef.

“Eh, ni siapa pulak? Kak Rafal mana?” suara gadis di hujung talian agak terkejut kerana suara lelaki pula yang kedengaran.

“Saya Raef, bos dia. Rafal tertinggal telefon tadi, ada apa-apa ke cari dia?” bohong Raef.

“Ooo…jadi ni Raef yang pelakon tu la?!” tadi suara macam nak marah sekarang suara macam seronok pula. Kenapalah dengan perempuan ni?

“Hmmm…ada apa-apa ke cari Rafal? Saya tak boleh cakap lama-lama ni, sibuk!”

“Err…saya adik sepupu Kak Rafal, saya call nak habaq yang mak Rafal tengah sakit sebab jatuh kat ban. Abang Raef boleh tolong bagitau kat Kak Rafal tak?” beritahu gadis itu. Raef mengeluh. Tenat jugak berita ni.

“Ya, nanti saya sampaikan. Okaylah, saya nak letak telefon. Bye!” Pap! Raef lantas memutuskan talian. Dia malas mahu melayan cakap gadis itu lama-lama walaupun penting.

“Mak Rafal sakit. Tapi esok kami ada shooting dekat Nilai, susah pulak kalau Rafal tak ada nanti. Hmm…bagitau lepas shooting lusa laa… Time tu free schedule, kalau dia nak balik kampung lama pun tak apa.” Gumam Raef sendiri. Dia akhirnya memutuskan untuk mendiamkan saja hal itu dari pengetahuan Rafal untuk sementara. Dia kemudian merebahkan tubuhnya di atas katil lalu melelapkan matanya yang sudah berat.

JANE ketawa terkekeh-kekeh apabila Rafal dimarahi oleh Raef gara-gara menumpahkan air minuman ke atasnya. Tunduk saja gadis itu akibat ditengking Raef di hadapan Jane. Raef benar-benar marah kerana Rafal telah mengotorkan baju yang sepatutnya digunakan untuk rakaman babak pada hari itu. Nampaknya terpaksalah dia menukarkan kepada pakaian lain.

Rafal mengetuk kepalanya setelah berada agak jauh dari set. Dia memarahi diri sendiri kerana terlalu cuai. Entah mengapa dia pada hari itu. Sejak semalam lagi hatinya tidak berasa tenang namun dia abaikan saja perasaannya itu. Dia teringatkan emaknya. Ada sesuatu yang terjadi pada mak ke? Rasanya baru beberapa hari yang lepas dia menelefon emaknya menanyakan kesihatan wanita itu. Katanya sihat-sihat saja.

Kini telefonnya ada pada Raef, andai kata emaknya menelefon atau ada perkara serius yang berlaku tentulah Raef akan memberitahunya, kan? Rafal mengurut dadanya cuba untuk memujuk perasaan sendiri walaupun dia masih kurang senang. Tak apalah, esok lepas habis shooting kat sini aku minta balik telefon aku kat Raef. Laila pun dah tak mengacau beberapa hari ni. Samada perempuan itu sibuk atau mungkin dia sudah penat mengejar Raef? Tak mengapalah, lebih baik begitu. Aman sikit hidup aku.

Setelah berehat untuk seketika, babak rakaman yang lain diteruskan. Raef dilihat sudah bersiap sedia. Bajunya kali ini kelihatan hampir sama seperti yang sebelum ini. Yalah, kalau lain nanti nampak janggal pula bila dah disunting nanti. Dalam ceritanya nampak sama tapi bila tukar scene atau sudut pandang kang jadi baju lain pulak. Tak ke kelakar tu. Rafal mengeluh lemah. Nasib tak kena marah dengan Abang Bad, kalau tak lagi teruk dia nanti.

“Raf, kau okay ke?” sapa Wan, pembantu props. Mereka ketika itu sedang duduk tidak jauh dari van pengangkutan sambil menyaksikan babak Raef gembira bermesraan dengan Jane.

Rafal melepaskan keluhan. “Okay je,” jawab gadis itu perlahan. Matanya masih tertumpu pada Raef dan Jane.

“Tapi aku tengok kau monyok je dari tengah hari tadi, tambah-tambah lagi lepas kena marah dengan Raef. Ada apa-apa yang buat kau susah hati ke?” Wan amat prihatin terhadap Rafal. Dia menyukai gadis itu kerana sikap Rafal yang sangat patuh dan sopan walaupun adakalanya gadis itu lepas laku.

“Entahlah, aku rasa tak sedap hati je sejak semalam. Macam ada benda nak jadi tapi aku pun tak tau apa. Sampai sekarang aku rasa macam tu,” luah Rafal akhirnya. Ada sedikit kelegaan setelah bercerita pada Wan, terasa kurang beban perasaan yang dia tanggung.

“Kau sihat ke tak? Kot-kot kau ada masalah jantung ke?”

“Eh, kau ni. Ke situ pulak! Aku sihat je la, kalau aku sakit tak adanya aku datang sini. Aku cuma rasa tak sedap perasaan je, mungkin sebab tekanan kerja kot. Kau taulah masalah bos aku tu sekarangkan?” Rafal cuba membuat kesimpulan sendiri. Tidak mahu terlalu memikirkan yang berat-berat. Mungkin juga disebabkan Raef yang selalu menyusahkannya. Lihatlah apa yang terjadi minggu lalu. Dia melepaskan perasaan seorang diri di dalam bilik. Macam orang gila pun ya.

“Kau pun satu, Raf. Asal kau lembut sangat dengan si Raef tu? Cubalah kau tegas sikit. Aku tengok kau ni macam bukan pembantu dia pun, ala kuli ala khadam tu adalah. Kesian jugak aku tengok tapi siapalah aku nak tegur bos kau tu sebab bukan aku yang bayar gaji kau!” nasihat Wan lebih kepada simpati.

Dia sebetulnya kasihan setiap kali Raef menyuruhnya bermacam perkara dan membuat sesuka hati malah memarahi gadis itu walaupun untuk perkara kecil. Sedikit pun lelaki itu tidak cuba untuk berkompromi. Ada ketika Wan merasa panas hati namun dia tidak mampu berbuat apa-apa.

“Dahlah tu, yang kau kata tu bos aku. Aku dah biasa dengan perangai baran dia tu, alaa… bukan selalu pun dia perangai macam tu cuma kali ni je melampau sikit sebab frust dengan Laila. Bos aku tu ego dia ada level, standard la orang lelaki. Kalau aku kat tempat dia pun aku frust!" Rafal cuba menyebelahi majikannya. Tidak mungkin dia mahu mengutuk orang yang memberinya rezeki nanti dikatakan kerja tak ikhlas, dapat gaji pun tak berkat.

“Masalahnya…”

“Cukuplah, Wan. Kita cerita panjang-panjang pasal dia pun bukan boleh ubah apa-apa. Kalau dah perangai dia macam tu memang macam tulah sampai kesudah. Takkan ada siapa yang boleh ubah dia melainkan diri dia sendiri!” usai berkata begitu, Rafal lantas bangun meninggalkan Wan yang masih mahu berdebat. Kecewa lelaki itu kerana Rafal masih tetap mempertahankan Raef meskipun majikannya itu berlaku tidak adil terhadapnya.

“Aku harap ada something yang boleh ubah presepsi kau pada bos cerewat kau tu, Raf. Untuk kebaikan kau jugak,” gumam Wan pada dirinya. Hanya itu doa yang mampu dia berikan pada rakan sekerjanya itu.

MALAM semakin melabuhkan tirainya. Selepas makan malam bersama krew penggambaran, Rafal kembali ke bilik chalet yang dikongsikannya bersama dua lagi krew wanita. Bagaimanapun mereka masih belum pulang, mungkin sedang berseronok di luar. Jadual esok hanya akan bermula pada waktu tengah hari, mereka akan membuat pengambaran di pekan Seremban.

Rafal menghempas tubuhnya ke katil yang empuk. Dia memilih katil bujang manakala katil kelamin dikongsi krew wanita lain. Telefon bimbit milik Raef dibeleknya untuk kesekian kali. Dia suka menceroboh ke galeri gambar majikannya itu. Dia sudah mengasingkan gambar-gambar milik Laila yang ditangkap bersama mahupun wanita itu sahaja. Kini yang menjadi tumpuannya adalah gambar-gambar kenangan lelaki itu bersama ahli keluarga dan rakan-rakannya yang kebanyakannya berlatarbelakangkan kawasan di luar negara.

Rafal suka melihat lelaki itu tersenyum lebar. Nampak ikhlas jika dibandingkan sekarang. Kalau nak tengok dia gembira pun bergantunglah pada kehendak skrip. Sejak empat tahun lalu Rafal amat meminati lakonan Raef malah diri lelaki itu sendiri. Pada mulanya dia tertarik kerana wajah tampan lelaki itu yang apabila senyumannya mirip seperti wajah arwah ayahnya. Rafal juga tertarik dengan apa yang dilihat melalui tayangan disebalik tabir filem ‘Yang Terakhir’ lakonan Raef bergandingan dengan Dahlia Rashid yang juga seorang pelakon wanita yang berjaya.

Apabila Rafal mendapat tahu tentang tawaran pekerjaan sebagai pembantu Wan Raef, bersungguh-sungguh dia mahu mendapatkan pekerjaan itu. Pada mulanya dia hampir hilang keyakinan diri kerana ketika sesi temuduga, terdapat ramai wanita yang turut mencuba nasib mahu menjadi pembantu Wan Raef. Masakan tidak, jawatan itu pastinya membolehkan mereka mendampingi si kacak Wan Raef. Ada juga yang datang kerana mahukan pekerjaan malah mempunyai kelulusan dalam bidang yang tertentu. Sungguh Rafal kecut perut.

Bagaimanapun rezeki menyebelahinya apabila dia yang terpilih. Dia juga kurang pasti apa yang menyebabkan dia diterima kerana dia tidak mempunyai kelulusan yang tinggi tetapi masih mampu memikat hati para penemu duganya yang ketika itu disertai sekali oleh Wan Raef.

“Saya tak ada kelulusan apa-apa encik, setakat SPM saja. Saya tak sambung belajar buat masa ni sebab nak temankan emak saya di kampung. Kami baru saja kehilangan ayah saya akibat barah paru-paru,” jawab Rafal apabila ditanya tentang kelulusannya.

“Jadi apa yang membuatkan awak datang ke sini? Nak berjumpa Wan Raef macam perempuan lain tu?” sinis pertanyaan perempuan yang menemu duganya.

“Yang tu semestinya sebab siapa yang tak mahu jumpa pelakon kacak macam Encik Wan Raef. Saya memang meminati dia sejak drama pertama dia ‘Musafir Cinta’, masa tu dia cuma pelakon pembantu aje tapi saya suka watak yang dia bawa masa tu!” jujur jawapan yang Rafal berikan.

“Apa yang awak tahu pasal watak saya tu?” soal Raef tiba-tiba. Rafal senyum lebar. Wan Raef mahu berbicara dengannya!

“Watak Encik Raef masa tu adalah seorang pekebun yang tegas tetapi penyayang terhadap alam, bila encik senyum terima kedatangan ustaz tu saya terus teringat senyuman arwah ayah saya. Masa tu arwah ayah ada lagi dan dia memang seorang pekebun yang juga cintakan alam, jadi saya dapat rasakan yang encik ada iras arwah ayah saya. Sejak tu saya tak pernah miss apa-apa lakonan encik!” jelas Rafal penuh semangat. Dia gembira kerana dapat berbual dengan Raef walaupun mungkin hanya untuk seketika. Sekurangnya dia sudah menyampaikan apa yang dia rasakan terhadap lelaki itu selama ini.

“Sekarang pun awak masih minati lakonan saya?” uji Raef bersama kening yang terangkat.

Rafal mengangguk deras.

“Saya ada dengar cerita yang encik ni garang orangnya tapi saya tak kisah sebab pada saya setiap orang punya sikap dan perangai masing-masing.” Sememangnya hanya itu yang dikatakan Rafal sepanjang temuduga itu. Ketika keluar dari bilik itupun dia sudah merasa lega kerana dapat berjumpa malah meluahkan pendapatnya tentang Wan Raef. Dia jujur dan nampaknya Raef lihat kejujurannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience