“Raid tak ikut ibu jumpa Durrah ke?” Soalan daripada ayahnya membuatkan lamunan panjang Raid terhenti. Pipi yang basah disekanya pantas dan kepalanya tergeleng-geleng perlahan. Siapa kata dia tidak mahu menjemput Durrah yang bakal menetap di rumahnya? Siapa kata dia tidak ingin melihat wajah ceria Durrah yang bakal bebas dari terus terkurung di hospital? Siapa kata begitu? Padahal, dialah insan yang paling gembira seandainya Durrah bahagia. Dialah yang paling teruja tatkala Durrah tersenyum ceria. Namun, untuk apa berharap kepada sesuatu yang tidak mungkin akan terjadi? Untuk apa perlu menambah rasa cinta buat seseorang yang sepatutnya berbahagia dengan orang lain?
Durrah akan bahagia dengan Imtiyaz.
Encik Razak yang sedari tadi berdiri di muka pintu perlahan-lahan menutup daun pintu rapat. Langkahnya diatur kemas untuk menghampiri Raid yang masih berada di meja studi dengan fail dan pen yang masih terbaring di situ. “Ini kenapa dengan anak ayah ni? Monyok aje muka kamu tu ayah tengok, tak hensem dah. Itu sebab kita kena senyum, bagi muka kita yang masam ni jadi manis macam gula,” selorohnya.
Tiada tawa yang terletus dari mulut. Raid hanya mampu mengetap bibir dengan fikiran yang menerawang entah ke mana.
“Kalau dah kamu rindukan sangat Durrah tu, pergilah temankan ibu tu…”
Raid tersentak dan terus menoleh. Lupa pula bahawa ayahnya sudah tahu tentang Durrah dan Imtiyaz yang sudah berpisah. Keluhan kecil dilepaskan. “Tak apalah, ayah. Raid tak mahu jadi pengganggu dan perosak rumah tangga Durrah. Mungkin Imtiyaz layak untuk mendapat peluang kedua. Durrah pun masih sayangkan Imtiyaz. Raid dah anggap Durrah tu macam adik Raid sendiri. Kalau Raid nampak Durrah bahagia dengan kehidupan dia, maknanya Raid pun akan bahagia juga,” ujarnya namun tidak lama selepas itu dia tertunduk lama. Menekur kasut hitam yang tersarung di kedua-dua belah kaki. Duhai hati, mengapa perlu berbohong sedangkan engkau masih merinduinya? Mengapa perlu berdalih dan terus bertahan, mengekalkan sebuah perasaan yang tiada ertinya? Mengapa perlu Durrah?
Encik Razak tersenyum hambar.
“Tapi ayah tak nak anak ayah bersedih, Raid.”
“Raid pun tak nak diri Raid sendiri bersedih jugak, tapi Raid akan jadi lebih sedih kalau hidup Durrah hancur disebabkan perbuatan Raid sendiri. So I think the best way to end this problem is to step back and… move on with my own life,” tutur Raid lemah. Ya, dia perlu mengundur diri, membiarkan Imtiyaz memujuk dan mengembalikan sinar kebahagiaan buat Durrah. Perasaan cinta Durrah buat Imtiyaz sudah tentu masih utuh di sudut hatinya biarpun dilukai.
Angguk. Encik Razak menepuk-nepuk bahu anaknya itu. “Ayah bangga dengan kamu.”
‘Raid harap Raid pun dapat berbangga dengan keputusan Raid jugak, ayah. Kalaulah ini semua sesudah yang disangka,’ rintih hati kecilnya. Raid menghantar ayahnya ke muka pintu dengan sekuntum senyuman namun apabila ayahnya sudah hilang dari pandangan mata, kelopak matanya terpejam rapat. Sakitnya hati ini. Pedihnya jiwa ini. Tingginya perasaan sebak di dalam dada ini.
Raid, tak apa. Allah ada… Allah ada…
Takdir Allah mesti lagi indah.
Share this novel