BB - BAB 14

Drama Completed 309207

PAGI itu, Taufiq turut singgah ke hospital untuk menghantar sarapan pagi buat Qaireena dan Qaisara.  Ketika dia masuk ke dalam bilik yang menempatkan adik iparnya itu, dilihatnya Qaireena sibuk menguruskan Qaisara yang sedang terbatuk-batuk.

"Sara okay?". Soal Taufiq dan terus menghampiri katil adik iparnya itu.

"Dari subuh tadi Sara asyik batuk berdarah je".  Jawab Qaireena sambil mengelap wajah dan mulut Qaisara dengan tuala basah.  Taufiq terdiam saat mendengar jawapan Qaireena itu.  Dia benar-benar tidak tahu mahu berkata apa, lebih-lebih lagi dilihatnya wajah Qaireena yang begitu risau.

"Sara okay je".  Jawab Qaisara sambil mengukir senyuman setelah batuknya berhenti.

"Ya..Sara memang okay, sebab Sara kan seorang yang kuat".  Balas Taufiq dengan senyuman.  Cuba menyalurkan semangat pada adik iparnya itu.  Namun wajah Qaireena masih lagi dalam kerisauan. 

"Ni Mak Leha ada masakkan nasi lemak dan kuih bingka jagung, Sara makan dengan Kak Reen ya".  Sambil meletakkan bungkusan tersebut ke atas meja.

"Terima kasih".  Ucap Sara dengan senyuman.

"Buat susah je Abang hantar, Reen boleh buat pesanan makanan je nanti".  Kata Qaireena. 

"Tak susah pun, alang-alang nak pergi pejabat teruslah singgah dekat sini".  Ujar Taufiq sambil menoleh ke arah Qaireena.

"Awak tak nak balik berehat ke? Dari semalam awak dekat sini.  Kalau awak nak balik, saya minta Mak Leha datang ganti awak untuk temankan Sara".  Kata Taufiq lagi, matanya masih melekat ke wajah Qaireena.  Dilihatnya mata Qaireena sedikit bengkak, pasti wanita itu menangis lagi memikirkan kata-kata penghinaan Nasrul semalam.

"Tengah hari nanti Reen balik, sebab nak ambil barang-barang keperluan Sara sedikit dekat rumah arwah ibu".  Jawab Qaireena.

"Baiklah, nanti saya minta Pak Abu bawa Mak Leha ke sini dan saya akan temankan awak balik ambil barang-barang Sara".  Ujar Taufiq.

"Tak apa, Reen minta tolong dengan Pak Abu jelah nanti, Abang kan tengah bekerja".  Matanya memandang Taufiq yang masih melihat ke arahnya.

"Lepas meeting pukul 11 pagi nanti, saya tak masuk pejabat dah.  Saya terus jemput awak dekat sini".  Tutur Taufiq.  Mendengarkan itu, Qaireena tidak dapat menolak lagi, kepalanya diangguk perlahan.

~~~

Taufiq dan Yazid beriringan keluar dari bilik mesyuarat A&H Holdings, setelah hampir dua jam berbincang bersama Encik Azizi yang merupakan pelabur baru di syarikat mereka.

"Zid, lepas ni aku tak masuk pejabat, aku nak ke hospital ambil Reen.  Aku dah beritahu Maz pagi tadi, so apa-apa dokumen yang perlukan tandatangan aku kau serahkan je pada Maz, esok pagi aku settle kan semuanya".  Kata Taufiq pada sahabatnya itu.

"No problem".  Jawab Yazid sambil melangkah masuk ke dalam perut lift.

"So, macam mana kehidupan kau setelah tiga hari bergelar suami ni? Seronok?".  Soal Yazid bersama senyuman yang meleret apabila mereka sudahpun sampai di tingkat bawah bangunan itu.

"Biasa je Zid, tak banyak yang berubah, cuma aku tak rasa sesunyi dululah". Jawab Taufiq.

"Reen pula macam mana? Dia boleh terima kau?". Tanya Yazid lagi.

"Dia kahwin dengan aku pun sebab terpaksa Zid, memang mustahil lah dia akan terima aku.  Lagipun perbezaan usia antara aku dan dia agak jauh Zid, aku tak yakin yang dia akan terima aku".  Kata Taufik sambil mereka berjalan keluar menuju ke kawasan parkir.

"Perbezaan usia bukan penghalang Fiq, yang penting hati ikhlas menerima satu sama lain.   Reen tahu ke yang kau memang sayangkan dia? Atau dia masih fikir yang kau sengaja nak ambil kesempatan daripada kesukaran hidup dia?".  Pandangan Yazid melekat ke wajah sahabat baiknya itu.  

"Aku belum luahkan lagi perasaan aku pada dia Zid.  Aku takut dan aku yakin yang dia takkan terima aku, lebih-lebih lagi dia dah ada teman lelaki dekat universiti tempat dia belajar dulu". Terpamer wajahnya yang sedikit kecewa saat menyebut tentang Nasrul.

"Reen yang berterus terang dengan kau ke?".  Tanya Yazid ingin tahu.  Bukan niatnya mahu menyibuk hal keluarga sahabatnya itu namun memang sudah terbiasa mereka selalu berkongsi segala suka dan duka.  Kalau boleh dia tidak mahu sahabatnya itu kecewa sekali lagi.

"Semalam masa aku datang bawa makanan nak makan tengah dengan Reen dan Sara, ada sorang budak lelaki bernama Nasrul sedang berbual bersama Reen.  Masa Reen nampak aku datang tu, muka dia terus berubah, mungkin dia takut aku marah". Kata Taufiq sambil tersenyum.

"Habis tu apa yang berlaku? Kau tak perkenalkan diri kau sebagai suami Reen?".  Soal Yazid lagi.

"Tak Zid, sebab mulanya aku tak nak rosakkan hubungan Reen dengan dia.  So aku perkenalkan diri aku sebagai majikan Reen je.  Memang nampak riak wajah Reen yang sedikit terkejut masa tu, mungkin dia tak sangka yang aku akan perkenalkan diri sebagai majikan dia di depan Nasrul seperti yang dia perkenalkan aku pada Sara sebelum ni".  Jawab Taufiq dengan senyuman kelat.

"Tapi yang buat aku betul-betul tak sangka, selepas aku tinggalkan bilik tu, Reen berterus terang pada Nasrul yang kami dah berkahwin".  Sambung Taufiq lagi.

"Maksud kau, Reen sendiri yang berterus terang pada budak lelaki tu?".  Soal Yazid inginkan kepastian. Taufiq menganggukkan kepalanya.

"Sebab Reen kata, dia tak nak beri harapan pada Nasrul. Dan kalau kau nak tahu, Nasrul memang marah pada Reen bila tahu perkara tu.  Dia hina Reen dengan mengatakan Reen menjual diri pada aku sedangkan dia belum pun dengar cerita sebenar daripada Reen.   Kebetulan aku belum keluar dari bangunan hospital tu, so aku nampak Reen menangis.  Aku dapat rasa yang dia betul-betul sayang pada Nasrul, kalau tak mustahil dia akan sesedih itu".  Cerita Taufiq lagi.

"Kau rasa, selepas Reen dengar penghinaan yang dilemparkan oleh budak lelaki tu pada dia, rasa sayang dan cinta Reen pada budak tu masih utuh ke?".  Yazid bersandar di keretanya ketika mereka sudah sampai di kawasan parkir kereta.

"Entahlah Zid, sebab lepas je Reen bagitahu pada aku pasal dia dihina tu, aku terus pergi berjumpa dengan Nasrul dan ceritakan hal yang sebenarnya pada dia.  Kalau ikutkan hati aku memang habis budak tu aku kerjakan, sebab hati aku betul-betul sakit bila tengok Reen menangis disebabkan kata-kata penghinaan dia tu.  Tapi nampak juga riak penyesalan di wajah Nasrul selepas dia dah tahu perkara sebenar.  Cuma aku tak tahu apa perkembangan hubungan mereka  selepas tu, sama ada Reen maafkan dia atau tak".  Kata Taufiq.

"Kalau Reen maafkan dia, kau rasa dia layak ke untuk Reen? Kau rasa dia boleh jaga Reen dan berikan kebahagian pada Reen dengan sikap cepat melenting tanpa usul periksa dia tu?".  Wajah Taufiq dipandang oleh Yazid.

"Kalau Reen betul-betul cintakan dia, aku akan lepaskan Reen, sebab aku nak Reen bahagia dengan orang yang dia cintai.  Siapa aku untuk menentukan sama ada Nasrul layak atau tak untuk Reen, kalau hati Reen sendiri sudah memberi ruang untuk dia.  Apa yang penting, Reen dah ada tempat untuk bergantung, taklah dia terkapai-kapai seorang diri melalui ujian hidup yang silih berganti".  Ujar Taufiq.  Bibirnya cuba mengukir senyuman.

Yazid senyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Reen dah jadi milik kau Fiq, kenapa kau nak lepaskan pula pada orang lain, kau sepatutnya berusaha pikat hati dia dan buat dia jatuh cinta pada kau".  Kata Yazid.  Sungguh dia tidak faham dengan sikap sahabatnya itu.  Sanggup mengabaikan perasaan sendiri demi kebahagiaan orang yang disayanginya tanpa berjuang terlebih dahulu.

"Entahlah Zid, aku tak yakin dengan diri aku sendiri dan dalam masa yang sama aku sebenarnya takut untuk menghadapi kekecewaan kalau Reen betul-betul tak nak terima aku". Yazid tertawa kecil saat mendengar jawapan dari mulut sahabatnya itu.

"Sejak bila kau jadi macam ni, mengalah sebelum berjuang? Setahu aku, kau bukan jenis yang akan cepat berputus asa tanpa berusaha dulu".  Kata Yazid.

"Bidang perniagaan dan cinta adalah sesuatu yang berbeza Zid".  Ujar Taufiq dengan senyuman.

"Eh..aku pergi dululah, borak dengan kau ni sampai esok tak habis". Sambung Taufiq lagi bersama tawa kecil.

"Baiklah". Yazid memandang Taufiq yang sudah pun membuka pintu kereta.  Dia senyum dengan kepala yang digeleng-gelengkan.

~~~

Ketika Taufiq sampai di wad Qaisara, Mak Leha dan Pak Abu sudah berada di dalam bilik itu.  Wajah Qaisara yang pucat itu kelihatan ceria berbual dengan Mak Leha.

"Seronok nampak berborak".  Tegur Taufiq dengan senyuman.

"Seronok berbual dengan Mak leha, terus teringat dengan arwah opah kan Kak Reen". Ujar Qaisara.  Taufiq tersenyum memandang adik iparnya itu.  Namun wajah Qaisara masih sama seperti pagi tadi yang hanya muram walaupun dia cuba untuk tersenyum namun senyuman itu langsung tidak memiliki seri.

"Mak Leha pun seronok berbual dengan Sara, selalu dekat rumah tu Mak Leha sorang je, tak ada kawan berbual, Pak Abu tu bukannya rajin nak layan Mak Leha ni berbual". Qaisara, Taufiq dan Pak Abu tertawa kecil mendengar kata-kata Mak Leha itu.

"Reen, marilah pergi ambil barang-barang Sara dekat rumah ibu Reen".  Ajak Taufiq sambil memandang wanita itu.  Qaireena menganggukkan kepalanya,  kemudian berdiri dan menyangkut beg dibahunya.

"Sara, Kak Reen balik sekejap ya, petang nanti Kak Reen datang semula".  Kata Qaireena pada adiknya.

"Baiklah". Balas Qaisara dengan senyuman.

"Mak Leha, Reen balik dulu, maaflah sebab susahkan Mak Leha".  Ujar Qaireena sambil memandang Mak Leha. 

"Janganlah kata macam tu Reen, kita ni dah macam satu keluarga, apa salahnya saling tolong menolong, sikit pun Mak Leha tak rasa susah". Kata Mak Leha sambil menyentuh bahu Qaireena.

"Terima kasih Mak Leha, Reen pergi dulu ya". Dia kemudian bersalaman dengan Mak Leha dan melangkah keluar dari bilik itu bersama Taufiq.

"Awak dah makan?".  Soal Taufiq ketika mereka menapak menuju ke lift.

"Belum lagi, Reen tak ada selera nak makan".  Jawab Qaireena.

"Kita pergi makan dulu, lepas tu baru kita ambil barang-barang Sara dan balik rumah berehat". Kata Taufiq.  Qaireena hanya menganggukkan kepalanya. 

Suasana di dalam kereta itu sunyi sepi sehinggalah mereka tiba di restoran.  Qaireena hanya menuruti langkah Taufiq masuk ke dalam restoran yang agak mewah itu.

Terkedu Qaireena seketika apabila melihat Taufiq menarikkan kerusi untuk dia duduk.

"Awak nak berdiri je ke?".  Soal Taufiq sambil memandang Qaireena.  Bagaikan baru tersedar dari mimpi, cepat-cepat Qaireena menundukkan wajahnya dan melabuhkan punggung di kerusi yang ditarik oleh Taufiq.

Seorang pelayan datang dan menghulurkan menu kepada mereka berdua.

"Awak nak makan apa?".  Soal Taufiq.  Dia memandang Qaireena sekilas sebelum matanya jatuh semula pada senarai menu tersebut.

"Grilled mushrooms chicken one set and watermelon juice". Kata Qaireena sambil memandang pelayan tersebut.

"Grilled blackpaper chicken one set and frosty lemon tea".  Pesan Taufiq pula.  Setelah mencatat kesemua pesanan, pelayan tersebut berlalu dari meja yang mereka duduk.

"Abang ke yang ceritakan hal sebenar pada Nasrul?". Soal Qaireena pada Taufiq apabila suasana dimeja itu sepi  seketika.  Taufiq angguk kepala.

"Dia ada hubungi awak ke?". Tanya Taufiq pula.

"Ada, tapi Reen belum bersedia lagi nak jawab panggilan dia".  Jawab Qaireena jujur.

"Awak tak nak maafkan dia?".  Soal Taufiq ingin tahu.  Qaireena hanya tersenyum kelat sambil mengangkat bahunya. 

Susah untuk Taufiq mentafsir jawapan tanpa bicara Qaireena itu, namun dia tidak mahu lagi bertanya, bimbang nanti wanita itu tidak selesa bila dia seolah-olah ingin mengambil tahu tentang hal peribadi Qaireena.

"Buat masa sekarang Reen cuma nak fokus pada kesihatan Sara je, yang lain-lain Reen tak nak fikir".  Kata Qaireena.

••••••••••

Taufiq melangkah masuk ke bilik Qaisara.  Dilihatnya Qaisara sedang tidur dan begitu juga Qaireena yang tertidur bersandar di kerusi yang terdapat di sebelah katil adiknya.  Perlahan bungkusan makanan tengah hari yang dibawanya itu diletakkan di atas meja kerana tidak mahu mengejutkan dua beradik itu.

Hampir dua puluh minit Taufiq berada di situ, dia duduk di kerusi yang juga tidak jauh dari katil Qaisara sambil memandang wajah Qaireena yang sedang nyenyak tidur.  Sesekali bibirnya mengukir senyuman apabila melihat kepala Qaireena yang sesekali tertunduk ke depan.

Tiba-tiba kedengaran suara telefon bimbit Qaireena berbunyi menyebabkan wanita itu tersedar dari tidurnya.  Cepat-cepat Qaireena mencapai telefon dan melihat nama si pemanggil sebelum dia mematikan panggilan tersebut tanpa menjawab.  Dia kemudian perasan akan kehadiran Taufiq di situ dan terus bangun dari duduknya menuju ke tandas untuk membasuh muka.

"Dah lama sampai?". Soal Qaireena sambil memandang ke arah Taufiq. 

"Dua puluh minit yang lalu". Jawab Taufiq.

"Kenapa tak kejutkan Reen.  Rasanya lama juga Reen tertidur tadi".  Kata Qaireena. Belum sempat Taufiq menjawab, kedengaran pintu bilik tersebut di ketuk.  Kedua mereka menoleh ke arah pintu, menanti siapa yang akan muncul dari pintu itu.

Ketika pintu bilik itu terbuka, kelihatan Adira dan Nasrul muncul dari balik pintu.

"Hai Reen". Ucap Adira sambil menghampiri Qaireena dan memeluk rakannya itu. 

Nasrul pula, menapak menghampiri Taufiq kemudian bersalaman dengan lelaki itu.

"Kau dan Sara sihat? Lamanya tak jumpa kau". Ujar Adira dengan senyuman.

"Alhamdulillah aku sihat, cuma Sara je tak berapa sihat semenjak kebelakangan ni".  Jawab Qaireena.

"Sorry sebab dah lama tak lawat kau, sibuk dengan assignment je.  Kebetulan hari ni aku free dan Nas ajak aku datang lawat kau".  Qaireena hanya tersenyum.

"Tak apa Dira aku faham.  Oh ya, kenalkan ini suami aku, Tuan Taufiq.   Abang, ini Adira bekas roommate Reen dekat asrama dulu". Nasrul yang masih berdiri di sebelah Adira langsung tidak dipedulikan oleh Qaireena.

Taufiq senyum sambil memandang Adira. Begitu juga dengan Adira yang turut membalas senyuman Taufiq.

"Bila pembedahan pemindahan tulang sum sum Sara?". Soal Adira pada Qaireena.

"Selepas selesai rawatan kemoterapi dan sel sel kanser dah tak ada lagi di dalam badan Sara barulah pemindahan tulang sum sum baru akan dibuat, Dira".  Jawab Qaireena.  Adira yang mendengar terangguk-angguk.

"Aku doakan semoga semuanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar". Kata Adira lagi.

"Terima kasih Dira atas doa kau". Ucap Qaireena dengan senyuman.

"Reen, boleh Nas bercakap dengan Reen sekejap?". Nasrul bersuara setelah dari tadi dia hanya mendiamkan diri.

"Cakap je Nas". Jawab Qaireena mendatar.

"Boleh kita ke cafe sekejap?". Ajak Nasrul.

"Cakap je dekat sini, Reen ni isteri orang, tak manis duduk berduaan dengan lelaki lain. Risau semakin banyak pula yang pandang serong pada Reen". Kata Qaireena tanpa memandang wajah lelaki itu. 

Nasrul jadi serba salah, dia kemudian menoleh ke arah Taufiq sekilas sebelum dia memandang semula ke arah Qaireena.

"Reen Nas datang nak minta maaf pada Reen.  Nas tahu Nas bersalah sebab menghukum tanpa mendengar penjelasan daripada Reen".  Ujar Nasrul.

Happy Reading korang:-)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience