Perutku terasa memulas-mulas. Aku memanjangkan tangan untuk membuka
lampu tidur. Aku terasa sesuatu yang basah di kainku. Perlahan-lahan aku
bangkit dari katil. Air ketuban dah pecah ke? Aku melangkah ke tempat
beg pakaianku diletakkan lalu mengeluar baju dan tudung. Aku menahan
rasa mencucuk pada perut lalu melangkah ke bilik mandi untuk menukar
pakaian.
Selesai menukar pakaian, aku mengejutkan Zarif. Aku ingin
meminta dia membawaku ke hospital. Aku dapat merasakan sudah tiba
masanya untuk aku melahirkan. “Abang... bangun bang...” Aku menggerakkan
tubuhnya.
“Dah nak sahur dah ke? Kejap lagilah abang bangun.” Dia
mengerengkan tubuhnya membelakangiku.
“Abang, bangunlah... Mia rasa dah sampai masa ni...” Aku
menggerakkan badannya lagi.
“Belum lagi tu... imsak lama lagi. Sayang tidurlah dulu,
nanti ummi kejutkan.” Dia berkata dengan mata terpejam.
“Abang, ni bukan pasal sahur tapi perut Mia ni sakit
sangat!” Sedikit keras suaraku sambil menahan sakit di perut yang kerap
datang setiap lima minit.
“Hah! Dah nak bersalin ke? Ya Allah, kenapa Mia tak cakap
awal-awal? Jom kita ke hospital!” Dia menarik tanganku. “Ummi! Walid!
Abang Nan! Kak Ifa! Bangun, Mia nak bersalin ni!” jerit Zarif ketika
kami berada di ruang tamu.
Pintu bilik ummi dan Kak Ifa segera terbuka sebaik saja
mendengar jeritan Zarif yang kuat. Ummi, walid, Kak Ifa dan Abang Nan
segera turun mendapatkan aku.
“Mia dah nak bersalin?” tanya ummi risau.
“Mia rasa macam nak bersalin sebab perut ni sakit sangat.
Aduh!” Perutku terasa memulas lagi. Tangan kananku sudah memegang pinggang.
“Cepat ummi, kita ke hospital sekarang,” ajak Zarif.
“Takkan kamu nak pergi hospital dengan pakaian macam ni
Rif?” kata walid.
Aku dan Zarif memandang pakaian yang dipakai oleh Zarif.
Zarif terkejut manakala aku pula sudah tergelak melihat dia memakai kain
pelekat dan t-shirt pagoda. “Mia tunggu sekejap, abang nak tukar baju.”
Zarif memasuki bilik untuk menukar pakaian.
“Ummi pun nak tukar baju kejap.” Ummi dan walid turut masuk
ke bilik.
Setelah semua selesai menukar pakaian, Zarif memimpinku
masuk ke dalam kereta. Kak Ifa dan Abang Nan pula akan menyusul nanti
kerana anak mereka masih tidur.
*****
‘’Aduh Sakitnya bang!” jeritku ketika berada di bilik bersalin.
Wajahku sudah dibasahi peluh. Aku menggenggam kuat tangan Zarif.
“Sabar sayang, sekejap je lagi baby kita akan lahir.”
Zarif memberiku kekuatan.
“Puan, tarik nafas perlahan-lahan. Kalau saya kata push,
puan push ya.” ujar doktor.
Perlahan-lahan aku menarik nafas, cuba mengikut arahan
doktor. Kesakitanku sedikit berkurang dengan berbuat begitu.
“Okey puan, push!” arah doktor.
Aku menarik nafas lalu meneran.
“Arrgghh!!” Terasa sedikit
lelah.
“Tarik nafas...”
Aku mengikut arahan doktor.
“Push!”
“Arrrggghhh!!” Sekali lagi aku meneran.
“Sikit je lagi puan... kepala dah nampak!”
Aku menarik nafas dan menahannya.
“Push!”
Dengan sekuat tenaga aku meneran. “Allahu akbar!!
Arrgghh!!” Aku menarik nafas lemah sebaik saja mendengar suara
tangisan bayi.
“Tahniah, encik dapat anak lelaki.” Doktor memberikan bayiku
kepada jururawat untuk dibersihkan dan ditimbang. Selepas itu bayi itu
diserahkan pada Zarif.
Zarif menyambut lalu mula mengazankan bayi kami. Selesai
mengazankan, Zarif menunjukkan bayi itu kepadaku.
Aku mengucup pipi dan dahi bayiku.
Zarif menggenggam tanganku. “Sayang, terima kasih kerana
sudi melahirkan anak abang. Rupanya dia pun nak menyambut puasa dengan
mama dan papa dia.” Zarif mengucup tanganku.
Aku tersenyum lemah. Terima kasih Ya Allah... terima kasih
kerana mempermudahkan segala-galanya. Hari ini, tepat pukul 4 pagi, aku
selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang seberat 3.05 kilogram. Pada
pertama ramadhan, aku sudah bergelar seorang ibu dan ini merupakan
pertama kali aku menyambut puasa sebagai isteri kepada Syed Zarif Uwais.
Semoga ramadhan kali ini lebih bermakna dengan kehadiran anak kami.
Anugerah MU ini Ya Allah sungguh tidak terhingga bagiku. Kau hantarkan aku teman dan suami yang mencintai diriku atas jalanMu, kemudian kau hadiahkan aku putera penyeri rumahtangga kami ini. Akan ku jaga perkahwinan ini sebaik-baiknya dan pelihara cahayamata kami ini agar ia menjadi khalifah yang kau cintai. Aku ku galas tanggungjawab itu di setiap hela nafasku, denyutan nadiku dan di setiap hariku keranaMU Ya Allah…
TAMAT
Share this novel