Gadis itu membuka matanya dengan perlahan-lahan. Dia kemudian bangun dari pembaringannya dan memerhati persekitarannya sehingga dia mula menyedari bahawa dia berada di dalam sebuah bangunan tiga tingkat yang terbengkalai sekian lama.
"Eh, macam mana aku boleh ada dekat sini?" dia bertanya sendiri seraya cuba berdiri untuk membetulkan pinggangnya yang terasa lenguh dan sakit kerana terbaring di atas lantai usang itu. Ya! Dia ingat lagi tempat itu. Tempat yang menyimpan rahsia gelapnya. Tempat yang berlaku kejadian tragis hampir 10 tahun yang lalu.
Tiba-tiba, dia terdengar satu suara yang seakan menangis untuk meminta pertolongan. Mata gadis itu terbeliak. Dia kenal suara itu! Lantas dia terus berlari untuk mencari jalan keluar. Dia berlari tanpa arah tuju kerana dia terlupa hampir separuh selok-belok di malam bangunan usang itu. Sewaktu berlari, dia terdengar suara seseorang sedang memanggil namanya dengan mendayu-dayu. Seperti sedang menangis dan meratapi sesuatu.
"Sofea..." suara itu terus memanggil namanya setiap kali dia berlari. Sofea terus melajukan langkahnya tanpa henti sambil menutup kedua belah telinga dengan menggunakan tangannya. Dia tidak mahu mendengar semua itu. Semua it hanya imaginasinya atau ilusi kesan daripada pil Ectasy yang diambilnya sewaktu berhibur di kelab malam.
Saat dia berjaya menuruni anak tangga hingga ke tingkat paling bawah bangunan usang itu, dia memberhentikan langkahnya. Matanya tertancap kukuh pada susuk tubuh figura milik seorang gadis dalam lingkungan umur 11 hingga 13 tahun yang sedang berdiri di hadapan laluan jalan sekaligus menghalang laluan Sofea. Gadis itu berpakaian putih dan berseluar putih. Rambutnya panjang mengurai hingga ke paras pinggang. Gadis itu berdiri membelakangi Sofea.
"Siapa kau? Ke tepi! Aku nak keluar!" Sofea mengherdik dengan suara yang keras. Mungkin mahu menunjukkan keberaniannya padahal hakikatnya diri rasa ingin pitam. Ya Allah! Siapakah gadis itu? Bagaimana gadis itu boleh berada di dalam bangunan usang itu bersama dengan dirinya. Banyak persoalan yang bermain di mindanya. Badannya menggigil dan air mata ketakutan mula bergenang di pelupuk mata bundarnya.
Gadis yang berbaju putih itu mengeluarkan hilaian tawa yang agak menyeramkan sebelum diam buat seketika. Tiba-tiba, gadis berbaju putih itu membeliakkan matanya tatkala melihat wajah gadis itu. Tidak dapat ditahan-tahannya lagi, Sofea terus menjerit sekuat hatinya.
Share this novel