BAB 10

Drama Completed 460

HARI ini, aku dan Iman hayun tapak kaki ke Myeong-dong. Cuaca hari ini
lebih sejuk daripada semalam. Mencari sebuah kedai makan yang bernama
Red-Sun di mana katanya, masakan dia sedap dan memang aku akui ianya
sedap. Termasuklah nasi goreng rumpai laut dia yang dia goreng secara
langsung depan kami.
Sesekali, aku lemparkan pandangan ke bawah daripada tingkat tiga.
Mungkin kerana musim sejuk bakal menyapa beberapa hari saja lagi, banyak
jualan murah untuk baju-baju musim sejuk.
“Kenapa tak makan?”
“Hah?” Terkejut dengan sapaan Iman, aku terus berpaling.
“Kenapa tak makan?” ulangnya.
Aku sengih tipis. “Kalau tinggal lama sikit, mesti sempat tengok salji,
kan?”
Bibir Iman terjongket dengan senyuman sinis. “Bukan tak pernah tengok…”
“Tapi, orang kata salji dekat Seoul cantik.”
Iman tongkat siku atas meja. Dia letak penyepit. Tunak merenung aku.
“Puteri Salji depan saya ni lagi cantik.” Kening dia naik tinggi.
“Dah kenapa panggil saya Puteri Salji?”
“Entahlah. Mungkin sebab bila tengok muka awak rasa sejuk mata
memandang. Tapi sayang bila saya terlambat…”
“Aegashii, otteyo? Bashiki-cho?” (Cik, macam mana? Sedap, kan?)
Kata-kata Iman padam. Kami sama-sama melangut memandang tauke kedai
yang tiba-tiba datang menegur. Aku senyum. Boleh jadi kerana kami ini
adalah pelancong asing, kami dilayan sedikit istimewa.
“Apa dia tanya?” Iman dah cuak. Tapi, aku tak jawab soalan Iman
terlebih dahulu, sebaliknya aku halakan pandangan aku pada tauke tadi
dan mengangguk.
“Keromyon. Chomal bashikita. Kumawaso, ajuhma.” (Tentulah. Sedap
sangat. Terima kasih, mak cik).
Dia angguk. Tersengih lebar hingga hilang anak mata terlindung di balik
kelopak.
“Tayingeyo. Chukchuk mokgu.” (Leganya. Makan pelan-pelan, ya?) Dan
dia terus berlalu.
Aku kembali pandang Iman yang jelas tayang wajah kagum. “Awak reti
berapa bahasa?”
“Beberapa bahasa tapi Bahasa Melayu saya paling fasih.”
Iman jegil mata mendengarkan lawak bodoh aku. Kemudian, wajah dia
berubah serius. Perlahan, aku dengar dia mengeluh tipis. Air putih
diteguk perlahan.
“Tak sampai sebulan lagi awak akan kahwin.” Ayat itu terluncur lancar
daripada celah bibir dia. Tiba-tiba.
“Masa saya dapat tahu hari tu, saya fikir… nak ajak kahwin lari. Gila,
kan?” Dia gelak. “Kita kahwin dekat Seoul, nak? Kita pergi Itaewon
lepas ni. Sana ada masjid dan imam besar. Kita mintak dia nikahkan
kita,” cadang Iman dengan wajah yang serius.
Tapi pada aku, tak lucu langsung. Sebenarnya, aku hampir lupa yang aku
dah bertunang tapi Iman yang kembali sebut hal ini. Pada aku, elok
jugak. Nanti aku langsung lupa dekat Zaza .
“Nanti awak datang, ya?” Aku ajak-ajak ayam. Menyembunyikan perasaan
resah sendiri sebenarnya.
“Tak kot.” Dia sengih sinis. Bahunya jatuh. Dia suap sesudu nasik ke
dalam mulut dan mengunyahnya perlahan.
“Sebab?”
Bibir Iman terkatup seketika. Dia lempar pandangan ke bawah. “Saya tak
nak bila saya datang, majlis awak rosak.” Serentak itu, dia pandang
semula pada aku. “Saya takut saya tarik awak dan bawak awak lari,
Kejora .” Nadanya serius tanpa riak main-main sikit pun.
Hingga aku tersedak pickle radish yang sedap ni. Cepat-cepat aku
teguk air dengan mata yang terkebil-kebil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience