Crush!!

Romance Completed 117449

BAB 29

            “Ke mana Kak Aya pergi dua tiga hari ni, jarang nampak ada rumah.” Tegur Lin sebaik sahaja aku masuk ke dalam rumah. Aku melihat wajah Lin yang penuh pertanyaan, manakala Julia turut menyoal perkara yang sama. Aku hanya tersenyum kelat.

            “Akak pergi merayau.” Aku duduk di sofa sambil menyandarkan badanku yang terasa sangat lemah. Perutku memang masih lapar, makan bubur di rumah Jin tu bukan rasa apa sangat. Ini kes kebulur kena masuk tiga empat pinggan nasi barulah menjadi.

            “Merayau ke mana pulak kak, kita orang tanya betul-betul ni. Kak Aya ada masalah ke?” Julia tidak puas hati. Dia duduk di sebelahku sambil memandang wajahku yang sedikit pucat.

            “Kak Aya tak sihat ke?” Soal Lin pula.

            “Bukan macam tu. Emm... akak nak tanya pendapat kau orang sikit.” Aku mengubah kedudukanku menghadap ke arah Julia dan Lin.     

            “Macam mana kalau seorang lelaki, dia selalu menyakitkan hati seorang perempuan A ni tapi... kadang-kadang dia sangat baik juga. Seperti mengambil berat, malah tidak pernah melupakan janjinya kepada perempuan A. Pada masa yang sama dia menyukai perempuan B...” Aku bertanya tetapi fikiranku melayang entah ke mana.

            Lin dan Julia ternganga mendengar soalan aku itu. Nampaknya mereka sedikit pun tidak memahami.

            “Kak Aya! Lelaki kalau dia betul-betul sukakan seorang perempuan, dia tak akan ambil peduli tentang perempuan lain.” Lin mengutarakan pendapatnya.

            “Memang pelik soalan Kak Aya ni. Tapi, betul cakap Lin tu. Kalau tak pun, lelaki tu mesti playboy!” Kata Julia pula.

            Aku menggeleng. “Lelaki tu tak sukakan perempuan A, tapi dia banyak menyusahkan hidup perempuan A. Hakikatnya dia mencintai perempuan B...”

            “Adakah lelaki tu ego orangnya?” Tanya Julia.

            Aku mengangguk perlahan.

            Julia tersengih. “Kalau lelaki yang ego, dia tak pernah menunjukkan rasa hatinya kepada sesiapa. Cara dia menyukai seorang perempuan adalah dengan menyakiti perempuan tu. Salah satu sebabnya dia cuba untuk menidakkan perasaannya kepada perempuan tu. Sebenarnya tak ada sebab bagi seorang lelaki untuk membenci seorang perempuan jika dia tidak ada perasaan kepada perempuan tu.” Jelas Julia dengan panjang lebar seperti pakar cinta.

            Aku seperti tidak percaya dengan apa yang dikatakan Julia. “Merepeklah... dalam hatinya sudah ada perempuan B. Macam mana pulak dia sukakan perempuan A?”

            “Dia mungkin keliru dengan perasaannya.” Celah Lin pula.

            Julia mengangguk. “Setahu saya, lelaki yang egois tidak menunjukkan perasaannya melalui kasih sayang, tetapi melalui sikap diktatornya.”

            “Wah... mana kau tahu semua ni, Julia?” Soal Lin. Tidak menyangka sahabatnya itu pakar dalam hal cinta cintun ini.

            “Kenalah banyak membaca novel!” Julai terus melepaskan tawanya.

            Aku menjuih bibir. “Patutlah tak masuk akal. Baca buku banyak angan-angan!”

            “Kak Aya, jangan risau. Saya yakin seratus peratus lelaki tu sukakan perempuan A!” Kata Julia dengan yakin.

            Aku terus bangun berdiri. “Tu cuma kisah dongeng cinta segi tiga Bermuda. Tak ada kaitan dengan hidup dengan mati. Lupakan ajelah iye...” Aku terus mengatur langkah menuju ke bilik dengan hati yang resah. Sedikit sebanyak kata-kata Julia terkesan di hati.

*********  .

             Aku keluar dari Maxis Centre selepas membuat pembayar bil telefon aku. Aku mendapatkan skuter yang aku parkir di depan permis tersebut. Sambil memakai topi keledar aku mengeluh berat apabila terdengar deringan telefon bimbitku yang minta diangkat.

          Aku mengeluarkan telefon bimbitku dari poket seluar dan melihat di skrin. Haish!   

  “Kenapa bedebah ni?!” Aku membuka kembali helmet dan letak di atas motosikal sebelahku.

            “Hello!” Aku menjawab dengan nada tinggi. Aku terpaksa membuka kembali topi keledar dan letak di motor sebelah.

            “Aku nak kau datang rumah aku sekarang.”

            “Hari saya sibuk. Bukan ke awak cakap saya tak ada cuti. Jadi saya nak selesaikan semua hal hari ni. Esok baru saya pergi rumah awak!” Tegasku lalu mematikan talian.         

   Aku terus menghidupkan enjin skuter dan bergerak keluar dari kawasan deretan kedai itu menuju ke jalan besar. Aku ingin pergi mencari makanan, perutku sekarang seperti sudah dapat penyakit gastrik kerana tidak makan pada waktu yang betul. Patutlah badan aku benar-benar susut sekarang. Harap-harap tidak melayang bila ditiup angin.

            Telefonku tetap bordering sehingga menganggu tumpuanku menunggang skuter sehinggalah aku berhenti di lampu isyarat barulah aku mengeluarkannya semula.

            “Haish... boleh jadi gila macam ni!!” Aku menjerit seorang diri sambil mengetuk kepalaku.

            “Awak dah tak ada kerja ke? Saya sibuk tahu tak!”

            “Dengar sini perempuan lembap binti bebal, aku cakap mesti datang ke sini dalam tempoh 30 minit kalau tidak kau akan menyesal!”

            Ponnn!! Hampir terlepas telefon bimbit dari peganganku apabila kereta di belakangku sudah membunyikan hon kerana lampu merah sudah bertukar hijau. Aku terus memulas minyak dengan kelam kabut dan memecut ke depan.

            “Pergi matilah!” Aku menjerit sekuat hati di telefon sehingga memekakkan telinga Harry.

            “Hey!!”

            “Oh... oh...” aku memandang ke depan dan dengan serta merta aku memutuskan talian. “Ada roadblock!!!”

            Dua orang anggota polis menahan skuter yang aku naiki dan aku berhenti di bahu jalan. Aku pura-pura tersenyum walaupun sangat gementar. Macam nak cirit pun ada jugak tengok muka polis yang serius lagi tegang itu!

            “Kamu ni... tak sedar atau awak sengaja?” Soal polis itu dengan wajah serius.

            “Ap... apa? Apa kesalahan saya?” Aku mula cuak.

            “Minta lesen,” Kata seorang lagi anggota polis yang lebih tua.

            Aku kelam kabut membuka dompet dan menghulurkan lesen kepadanya.

            “Kesalahan pertama menggunakan telefon bimbit ketika menunggang sehingga boleh membahayakan orang lain.” Ujar polis yang muda itu sambil memandangku.

            “Sa... saya cakap sekejap aje. Itu panggilan penting. Ia melibatkan hidup mati saya.”

            Polis yang muda itu ketawa kecil. “Baguslah macam tu, nampaknya kena saman ni perkara remeh bagi awak.”

            “Bu... bukan macam tu!” Aku menggeleng kepala. Eh, kenapa rasa ringan je kepala aku ni?

            Aku perlahan-lahan memegang kepalaku. “Oh... oh... mana topi keledar saya?!”

            “Bagus betul lakonan awak.” Polis itu tersengih lebih sinis dari tadi.

            “Kesalahan kedua, tidak memakai topi keledar. Ini surat saman awak. Memandangkan ini perkara remeh bagi awak, sila la bayar saman secepat mungkin.”

            “Encik... saya pakai tadi, tapi macam mana boleh tak ada.” Aku masih memegang kepalaku dengan kedua belah tangan. Apalah nasib aku hari ni?! Semua ni si bedebah tu punya pasal la!!

            “Macam mana boleh hilang tiba-tiba. Hairan betul, berani awak menunggang tanpa membawa topi keledar. Sekurang-kurangnya ia ada di motor awak.” Kata polis itu lagi.

            “Ya!” Aku tiba-tiba teringat. “Saya minta maaf, entah macam mana saya boleh tertinggal di motor orang lain. Saya minta maaf.”

            “Apa pun, undang-undang tetap undang-undang. Lain kali sila hati-hati.”

            Haishhh!!! Memang menyakitkan hati. Aku kembali ke tempat parkir di depan Maxis Centre untuk mencari topi keledar aku semula yang aku letak di atas sebuah motorsikal.

            “Tak ada!!!” Aku hampir menangis. Motorsikal itu juga sudah pergi bersama topi keledar aku sekali.

             “Balasan apakah ini...” Aku duduk mencangkung di tepi jalan itu sambil menangis geram. Tak dapat tahan lagi rasa geram ni. Memang semua ni salah mamat tu. Kalau dia tak telefon aku mesti aku tak tanggalkan topi keledar aku dan letak di motor sebelah sehingga aku terlupa memakai semula. Dan aku jawab panggilannya semasa menunggang sehingga kena saman buta kayu jer! Memang betul-betul menyakitkan hati!

            “Harry!! Awak memang nak mati!”

**********

            “Dia datang, dia tak datang, dia datang, dia tak datang, dia datang, dia tak...” Harry berhenti apabila itu gula-gula terakhir dalam kotak itu. “Dia tak datang... emm...” Harry mencebik sambil memasukkan gula-gula terakhir itu ke dalam mulutnya. Yang lainnya dibiarkan di atas meja.

            “Tuan muda... bila kita akan bertolak? Jika sampai lewat nanti tak sempat makan malam di sana. Dengar kata mereka dah sediakan makan malam untuk menyambut tuan muda.” ujar Tam perlahan.

            Harry mengeluh berat. Dia memicit kepalanya yang mula berdenyut. “Kita tunggu sekejap lagi.”

            “Baik, tuan muda.” Tam akur. Dia ditugaskan untuk menjemput Harry pulang ke Villa Taylor kerana sudah terlalu lama lelaki itu tidak pulang ke sana.

            “Kenapa si lembap tu berubah liar sekarang ni.” Harry mengetap bibirnya geram.

            Tam mendekati tuan mudanya semula. “Tuan muda... saya ada cadangan.”

            Harry mendongak melihat Tam yang berdiri di sebelahnya. “Cadangan apa?”

            “Apa kata, kita jemput Cik Aya di rumahnya. Lagipun kita akan melaui jalan itu juga.”

            “Jemput?!” Harry ketawa sinis. “Dia ingat dia siapa nak dijemput!”

            “Tuan muda... sampai bila tuan muda nak membilang gula-gula tu dalam bekas tu, bukan ke memang gula-gula terakhir tu Cik Aya memang tidak akan datang.”

            “Hah...” Harry tidak percaya lelaki itu boleh mengeluarkan kata-kata seperti itu kepadanya. “Sejak bila awak membela si lembap tu!” Harry menolak bekas berisi gula-gula di atas meja itu sehingga berterabur. Sia-sia aje dia membilang jumlah gula-gula itu untuk melihat sama ada Nur Marhaya akan datang atau tidak.

            “Minta maaf, tuan muda.” Tam menyembunyikan senyumannya.

**********

            “KAMU berdua, dengar sini.” Aku berdiri terpacak di depan Lin dan Julia yang baru pulang dari kelas. Mereka terpinga-pinga melihat wajahku yang kelihatan serabut itu di muka pintu.

            “Ka... Kak Aya sihat ke tak ni?” Mereka berdua masuk dan menutup pintu.

            “Kalau ada sesiapa yang datang cari akak... cakap akak tak tak wujud! Faham?!”

            “Apa?” Lin melopong. “Siapa nak cari Kak Aya?”

            Julia menekup mulutnya. “Jangan-jangan... Kak Aya dah terlibat dengan Ah Long?!”

            Aku memalingkan wajah dengan bengang. “Ah Long ke pak long ke, kau orang nak tolong ke tak?”

            “Baik... baiklah.” Lin mengangkat tangan seperti berjanji. Julia pula yang seperti ragu-ragu dipaksa Lin untuk mengangkat untuk berjanji juga.

            “Kalau macam tu, terima kasih.” Aku terus kembali ke bilik.

            “Ke... kenapa dengan Kak Aya tu. Menakutkan betul.”

            “Julia, aku rasa Kak Aya tengah tertekan la. Jadi, jangan buat dia kecil hati.”

            “Ah Long? Aku harap bukanlah...” Julia terus merungut sambil berjalan menuju ke biliknya.

            Seperti yang dijangka kedengaran bunyi loceng di luar diikuti dengan ucapan salam. Lin dan Julia yang berada di ruang tamu terus kecut perut.

            “Macam... macam mana ni? Kau la keluar.” Julia menolak Lin ke depan.

            Lin meletakkan jari di bibirnya. “Jangan cakap kuat-kuat, kita intai di tingkap dulu. Lagipun kalau Ah Long tak kan la nak bagi salam.” Hujah Lin dirasakan munasabah. Julia mengangguk setuju. Mereka menyelak kain langsir dan menjenguk ke luar.

            “Oh My God...” Terbeliak mata Lin ketika itu.

            “Siapa? Betul ke Ah Long?!” Tanya Julia dengan cemas.

            “Li... Limo!” Lin memandang Julia dengan wajah teruja.

            “Limo? Apa Limo?” Julia semakin cuak.

            “Limousine la...” Bisik Lin perlahan. Julia melopong, dia turut mengintai dan seperti tidak percaya kereta mewah itu benar-benar berada di depan rumah mereka.        

            “Aku rasa Ah Long pun tak sekaya ni lah!” Komen Lin.

            “Habis tu tak kan kongsi gelap kot!”

            “Julia, kau fikir Kak Aya tu apa?” Lin menekan suaranya walaupun dalam nada berbisik. Julia mencebik kerana dimarahi Lin.

            “Sekarang kita keluar bersama. Kita kena ingat, kalau mereka ni orang jahat mesti Kak Aya tak suruh kita sampaikan pesanan tu. Mesti dah suruh kita cabut lari dengan dia sekali.” Sekali lagi Lin mengeluarkan pendapatnya yang bernas. Akhirnya Julia akur untuk sama-sama keluar menemui tetamu tidak diundang mereka itu.

            “Wa... waalaikumusalam.” Terketar-ketar juga tangan Lin apabila membuka pintu hanya separuh.

            “Cik... kami ni orang baik-baik. Boleh saya tanya sesuatu.”

            Melihat perwatakan lelaki penghujung 30-an yang kelihatan sangat kemas dan berwibawa itu melegakan sedikit hati Lin. Tetapi Julia masih takut-takut dan hanya memegang tangan Lin dari belakang.

            “Ya, silakan...” Lin membuka pintu sedikit luas dan berlagak tenang.

            “Maafkan saya kalau menggangu cik. Tapi, saya ingin berjumpa dengan Cik Aya. Dia ada di rumah?” Tanya Tam dengan sopan.

            “Er... minta maaf. Tak ada orang nama Aya di rumah ni.” Ucap Lin dengan lancar tetapi dadanya tetap berdebar.

            “Kalau macam tu, kenapa takut nak keluar berjumpa saya tadi?” Tam tetap tersenyum.

            “Dia ni licik la!” Bisik Julia ketakutan di belakang Lin.

            “Er... kami, kami tak dengar tadi.” Lin masih berpura-pura tenang.

            “Sebenarnya kami ada hajat untuk bertemu dengan Cik Aya, harap dia dapat keluar sebentar.”

            “Tak boleh, dia...” Lin baru perasan dia sudah terlepas cakap.

            Tam tersenyum. “Jadi, memang ada orang bernama Aya dalam rumah ni.”

            “Er...” Lin sudah tersepit. Julia pula menarik-narik tangan Lin dengan risau.

            “Panggil Kak Aya aje la...” Julia ternyata sudah cemas.

            “Encik ni siapa? Jangan nak buat sesuatu, kalau tak saya akan report polis.” Lin mengumpul kekuatan untuk melafazkan kata-kata itu dengan tegas.

            Harry yang sudah bosan menunggu di dalam kereta akhirnya keluar. Pintu Limousine sebelah kiri ditutup dengan kuat. Harry yang mengenakan cermin mata hitam berjalan penuh gaya menuju ke pintu rumah.

            Lin dan Julia kecut perut melihat lelaki kacak itu di depan rumah mereka.

            “Si... siapa tu? Macam pernah tengok je?!” Bisik Julia perlahan di telinga Lin yang sudah kehilangan semangatnya.

            “Saya minta maaf kalau kedatangan kami dah ganggu kamu semua. Tapi, saya cuma nak berjumpa perempuan bernama Aya tu. Adakah muka saya ni, macam penjenayah?” Ujar Harry  sambil menanggalkan cermin mata gelapnya.

            “Ahhh!!” Julia menekup mulutnya. “Haaa... Harry!!”

            Lin mengecilkan matanya memerhati lelaki itu. “Oh my!” Hampir lembut lututnya melihat bintang sukan itu di depan mata.

            “Betul ke Harry?!” Julia menyoal sambil meneliti wajah itu dengan lebih dekat.

            “Terima kasih kerana mengenali saya. Jadi, boleh tak tolong saya panggil manusia bernama Aya keluar?”

            Lin dan Julia melompat di situ juga sambil menjerit seperti hilang akal.

            “Saya panggil Kak Aya sekarang jugak!” Julia terus berlari masuk dan Lin hanya terpaku di birai pintu dan memegang tombol dengan kuat kerana terasa lembut lututnya. Sungguh tidak percaya apa yang dilihatnya ketika ini.

            Harry tersenyum kepada Lin, dan Lin hampir pengsan melihat senyuman maut itu.            

“Kan akak dah cakap jangan...” Aku berusaha untuk melepaskan pegangan tangan Julia yang kuat itu. Dia menarik aku sehingga ke muka pintu walaupun puas aku meronta.

            “Akak tahu tak siapa yang cari akak? Hairy Fattah la!! Jangan lepas peluang ni!”

            Aku akhirnya berdiri di depan Harry. Mataku mencerlung tajam melihatnya. Lin dan Julia berada di belakang sambil mengigit jari. Entah apa yang mereka fikirkan ketika ni. Ah...Tak sangka kau dah pandai memberontak sekarang ni.” Harry memulakan perbincangan.

            Aku hanya tersengih menyambut kata-katanya.

            “Bukankah sikap kau ni... hanya akan memburukkan keadaan? Kau tak fikir kata-kata aku sebelum ni? Atau kau fikir aku bergurau?”

            Aku ketawa kecil. “Saya bukannya orang yang tak menepati janji. Tetapi bukan ke saya dah cakap, saya hanya akan memulakan tugas itu esok. Sekarang saya terlalu sibuk untuk berurusan dengan si bedebah macam awak!”

            Lin dan Julia melopong mendengar kata-kata kurang ajar yang aku lemparkan kepada bintang sukan kesayangan mereka itu.

            “Kak Aya dah kena sampuk hantu raya ke?” Julia bersusah hati.

            Lin menyiku lengan Julia supaya gadis itu diam.

            “Sayangnya... aku tak pernah setuju pun, bukan ke sebarang permintaan dari kau akan terbatal dengan sendirinya jika aku tak suka atau tak setuju.” Harry mengangkat kening.

            “Tolong jangan jadi... terlalu kejam, Tuan Muda Harry!”

            “Anggap je aku tak ambil hati dengan sikap kau hari ni. Jadi, kemaskan barang kau. Kita akan pergi ke satu tempat hari ni.” Harry sengaja buat wajah selamba.

            “Dan... kau tak perlu tanya ke apa-apa, kau hanya perlu cakap ‘ya’ pada setiap arahan aku. Faham?!”

            Aku mengenggam tangan menahan sabar. Aku memusingkan badan dan terus masuk ke dalam rumah. Lin dan Julia turut mengikuti aku tetapi sampai ke bilik aku terus menutup pintu dengan kuat dan menguncinya. Lin dan Julia tersentak hanya kaku di depan pintu bilikku.

            “Nampaknya... Kak Aya dah betul-betul marah ni... habislah kita nanti.” Julia mengeluh.

            “Sepatutnya, kita dengar cakap Kak Aya. Kalau tidak mesti tak akan jadi macam ni. Kenapa Harry cakap macam tu... mereka ni dah lama kenal ke?” Lin seperti menyoal kepada angin kerana Julia sudah pasti tiada jawapannya.

            Sekali lagi mereka terkejut apabila aku membuka pintu dengan kasar dan mataku memandang mereka tepat.

            “Kami minta maaf.” Serentak Lin dan Julia memohon maaf kepadaku.

            Aku mengeluh untuk sekian kalinya. “Akak tak marahkan kamu, tolong jaga rumah bila akak tak ada ni. Jangan beritahu sesiapa tentang hal ni, kalau kamu betul-betul rasa bersalah dan masih hormatkan akak.”

            “Ya, kami janji.” kali ini Lin dan Julia betul-betul berjanji.

            Barulah hatiku rasa senang dan aku sempat memeluk mereka sebagai tanda terima kasih. Aku sayang kepada keduanya seperti adik-adikku sendiri sebab itulah aku tidak pernah ambil hati dengan sikap kebudak-budakan mereka. Mereka mengingatkan aku kepada zaman mudaku dahulu. Lin dan Julia masing-masing baru berusia 19 tahun. Aku melepaskan pelukan dan berjalan perlahan turun dari tangga.

            Apabila aku tiba di luar rumah Harry sudah berada di dalam kereta dan hanya Tam menungguku di luar. Aku sempat tersenyum  kepada lelaki itu sebagai tanda hormat walaupun hatiku sungguh sakit ketika ini. Tidak sempat aku bersapa dengan Tam yang sudah lama tidak aku temui itu.

            “Silakan masuk, Cik Aya.” Tam membuka pintu kereta untukku.

            Aku duduk di sebelah Harry dan kenderaan mewah itu mula bergerak. Harry hanya diam membisu, aku sempat melirik melihat dia yang mendengar lagu dengan earphone di telinga. Ahh, sama seperti dulu. Bagus juga, kalau dia membuka mulut hanya akan mencetuskan pertelingkahan sahaja. Aku sudah hampir kehilangan anak tekak kerana asyik betikam lidah dengannya. Mujur suaraku masih belum hilang! Huh!

**********

Share this novel

Salmah Ahmad
2020-10-23 21:19:15 

aaaaaa sukanya bila Harry suka mengusik aya

Salmah Ahmad
2020-10-23 21:18:46 

aaaaaa sukanya bila Harry suka mengusik aya

Salmah Ahmad
2020-10-23 21:18:41 

aaaaaa sukanya bila Harry suka mengusik aya


NovelPlus Premium

The best ads free experience