Bab 59

Romance Series 105906

JUWITA gelisah. Zailani telah dikejarkan ke Zon Merah, Unit Kecemasan Hospital Melaka. Doktor mengesyaki berlakunya pendarahan dalaman apabila Juwita memaklumkan mengenai darah yang membuak keluar dari mulut Zailani sebaik sahaja Juwita mendapatkannya. Berita kemalangan itu telah pun disampaikan kepada keluarga Zailani dan juga ibunya. Bila-bila masa saja mereka akan tiba.

"Ju.." Juwita terus berpaling saat namanya diseru. Melihat saja Haris di situ, Juwita terus meluru masuk ke dalam pelukan Haris. Tergamam Haris dengan tindakan Juwita.

"Haris, aku takut Haris." Hiba sekali tangisan Juwita pada ketika itu. Sayu rasa hati Haris ketika itu. Perlahan-lahan tangannya mengusap belakang badan Juwita dengan harapan Juwita akan berasa tenang.

Apabila merasa sedikit tenang, Juwita melepaskan pelukannya. Air matanya dikesat lembut. Terasa malu sendiri dengan sikapnya. Haris tersenyum melihat wajah Juwita yang merona merah. Dia faham apa yang sedang dirasai oleh Juwita. Dia sendiri berasa malu apabila orang sekeliling memandang mereka tetapi apabila mengenangkan Juwita perlu bertenang, Haris tolak semua perasaan malu itu.

"Macam mana boleh jadi macam ni Ju?" Soal Salmiah. Pipinya basah dengan air mata. Terkejut saat menerima berita yang dikhabarkan dari Juwita. Luluh hatinya saat itu.

"Ju... Ju minta maaf. Semua salah Ju. Lan kejar Ju. Kami bergaduh. Masa Ju nak ke kereta... Ju tak tahu. Ju cuma dengar Lan jerit nama Ju lepas tu Ju dah jatuh dekat tepi jalan. Lan... Lan..." Juwita tak mampu meneruskan kata-katanya. Dia jatuh terduduk. Perasaan bersalah menyelubungi hatinya. Sedari tadi dia tak habis-habis menyalahkan dirinya atas apa yang menimpa Zailani.

"Ju minta maaf. Semua salah Ju." Juwita merintih. Air mata mengalir lagi buat kesekian kalinya. Salmiah hanya mampu memandang Juwita. Dia sendiri tidak berdaya apatah lagi ingin memujuk Juwita.

Entah apa malang menimpa. Lepas satu-satu hal berlaku. Juwita teringat peristiwa dimana babanya mati terbunuh. Sudah berapa kematian yang berkait dengan dirinya. Dia sudah tidak sanggup lagi. Terasa dirinya pembawa malang. Tanpa sebarang kata, Juwita bangkit meninggalkan mereka semua. Tiada siapa pun yang menyedari akan kehilangan Juwita.

Juwita melangkah tanpa arah tujuan. Selagi kakinya masih mampu melangkah, selagi itu dia akan terus melangkah. Kesan darah yang masih melekat dibaju dan tangannya tidak dihiraukan. Apa yang pasti, dia perlu melangkah jauh agar tiada lagi yang terkorban.

'Kau memang pembawa sial!'

'Sebab kaulah Lan kemalangan.'

'Kau punca baba kau mati!'

'Berapa banyak nyawa lagi yang kau nak pertaruhkan?'

Juwita tekap telinga. Semua bisikan itu tidak mampu ditepis lagi. Bagai nak gila dirasakan ketika itu. Juwita pandang sekeliling. Dia tidak tahu dimana dia saat itu. Tempat itu terlalu asing baginya. Juwita duduk di bahu jalan. Kawasan jalan yang lengang membuatkan dia semakin gelisah. Dia menangis semahunya di situ. Tiada daya lagi baginya untuk meneruskan perjalanan. Juwita tekad. Tekad untuk pergi dari situ. Biarlah tiada siapa yang menemuinya.

"Ya Allah, Ju... Puas Haris cari Ju tau. Ibu risaukan Ju. Kesian ibu tak tentu arah cari Ju." Juwita tergamam.

"Pergilah Haris. Tinggalkan Ju. Jangan cari Ju lagi. Biar Ju pergi jauh." Juwita merintih hiba. Haris terdiam. Dia tahu ada sesuatu yang berlaku antara Zailani dan Juwita. Pasti perkara itu yang mengganggu Juwita. Haris menghela nafas panjang. Dua jam dia mencari Juwita. Mujur saja jumpa. Jika tidak, dia sendiri tidak tahu apa yang ingin dikatakan kepada Zaitun.

"Ju, jangan macam ni. Jom kita balik. Bersihkan diri kau. Lepas tu, aku bawa kau ambil angin ye." Haris cuba memujuk.

"Aku tak nak. Aku nak pergi jauh. Aku tak nak orang yang dekat dengan aku mati. Berapa banyak dah nyawa yang jadi taruhan?" Haris mengucap panjang. Dia sendiri tidak mengerti apa sebenarnya yang bermain difikiran Juwita ketika itu.

"Tak baik cakap macam tu Ju. Ajal maut semua ketentuan Allah SWT. Siapa kita untuk menidakkannya. Semua benda yang bernyawa di muka bumi ini pasti akan merasai mati. Tidak kira tua ke muda ke. Sesaat pun takkan awal atau lambat. Ajal kita telah tertulis Ju. Apa yang jadi hanya asbab je." Haris mula bermain kata-kata. Berharap Juwita akan mengalah. Namun ternyata hanya sia-sia. Juwita tetap kaku di situ.

"Lan dah dipindahkan ke wad. Doktor kata tak ada yang serius. Cuma retak tangan dan kaki je. Dia cari Ju tadi. Tapi Ju tak ada. Kesian dia. Cik Salmiah suruh makan pun dia tak mahu. Katanya dia nak tunggu Ju." Juwita memandang wajah Haris. Mengharapkan apa yang dikatakan oleh Haris bukanlah kata-kata kosong. Haris tersenyum.

"Jom kita balik dulu. Ju bersihkan diri. Ganti baju baru. Nanti Haris bawa Ju pergi hospital semula." Haris menghulurkan tangan kanannya. Teragak-agak Juwita menyambut huluran tangan itu.

'Untung kau, Lan.Dari mata Ju, aku tahu betapa dalamnya cinta dia pada kau. Aku harap sangat kau takkan sia-siakan dia. Andai saja aku mampu berada di hati Ju. Akulah manusia paling bahagia. Namun, aku bukan manusia yang pentingkan diri sendiri. Cukuplah aku mampu melihat kebahagiaan Ju. Sudah cukup membuatkan aku rasa lebih bahagia.'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience