Bab 13

Drama Series 2228

“Rayqal!” Hayqal terjerit memanggil nama adik kembarnya namun tiada sahutan.

Dia melihat ke sekelilingnya untuk mencari kelibat manusia namun yang ada di dalam pandangannya hanyalah satu padang pasir yang terbengang luas.

Pepasir berterbangan masuk ke dalam matanya, dia menggosok matanya berkali-kali. “Hayqal.” Telinga Hayqal menangkap satu suara yang amat dikenalinya.

“Ibu?” Hayqal berhenti menggosok matanya, dia mula tercari-cari kelibat ibunya.

“Baliklah. Ini bukan tempat kamu.” Bisik ibunya ditelinganya. Hayqal masih tercari-cari bayangan ibunya.

“Ibu dekat mana? Keluarlah, Hayqal rindu ibu.” Rayu Hayqal, air mata jantannya mula bertakung di tubir matanya.

Terasa ada sepasang tangan sedang memegang wajahnya, “Along, balik lah. Rayqal dengan Irdina memerlukan along.” Nasihat ibunya.

“Sekurang-kurangnya bagilah Hayqal sentuh ibu.” Hayqal cuba untuk menyentuh ibunya, namun jangankan sentuh, bayangan ibunya pun tidak mampu dilihatnya.

Terasa tangan ibunya menutup matanya, ‘Sekurang-kurangnya aku dapat rasa sentuhan ibu buat kali terakhir.’ Bisik hati Hayqal penuh syukur dan gembira.

Pabila Hayqal membuka matanya, dia berada di sebuah rumah banglo yang usang. “Lepaskan aku!” Kedengaran jeritan seorang wanita dari tingkat atas.

Hayqal bergegas ke tingkat atas, dia memasuki bilik yang pintunya terbuka luas. “Jazmin?” Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Jazmin yang sedang diikat diatas katil.

Seorang lelaki kelihatan sedang menanggalkan bajunya, “Kenapa kau susah sangat nak dengar cakap aku ni?” Lelaki itu menanggalkan tali pinggangnya dan melibasnya ke arah Jazmin.

“Kurang ajar!” Hayqal mengetap bibirnya. Dia cuba mencekik leher lelaki itu namun tangannya menembusi lehernya. Hayqal cuba untuk memegang lelaki itu lagi namun gagal.

Lelaki itu sudah menyerang Jazmin yang sedang terikat di atas katil, “Amir, aku merayu. Tolong lepaskan aku.” Rintih Jazmin. Air matanya mengalir dengan laju tatkala Amir menyelak bajunya.

Amir mengilai seperti orang yang tidak waras, “Lepaskan kau? Kau ingat aku gila ke nak lepaskan kau Syahida? Susah-susah aku atur rancangan demi nak masukkan kau dalam perangkap aku. Kali ni aku takkan lepaskan kau dengan mudah!” Amir menyentap baju Jazmin.

“Syahida? Syahida Nafisah?” Jangan-jangan selama ini Jazmin ialah orang yang dicarinya?

“Amir! Lepaskan aku!” Jazmin cuba untuk menendang Amir namun cubaannya gagal.

Amir menampar pipi Jazmin, “Kau duduk diam je tak boleh ke? Bukannya sakit pun! Tahan jelah!” Jerkah Amir.

“Tak guna!” Hayqal mencuba untuk belasah Amir namun seperti tadi, cubaannya gagal apabila tangannya menembusi tubuh Amir.

Jazmin menggigil ketakutan, dia tidak sepatutnya mempercayai lelaki itu sekali lagi. Sudah berkali-kali dia memberikan Amir peluang, namun Amir masih mengulangi kesilapan yang sama.

“Kau tak takut ke dengan Allah, Amir? Kemana pergi Amir yang aku kenal dulu? Yang tidak pernah lalai dari mengingati Allah?” Tanya Jazmin yang bertujuan untuk melengahkan masa. Tangannya sedaya upaya mencuba untuk meleraikan ikatan.

Amir menampar pipi Jazmin sekali lagi, “Amir yang kau kenal dulu tu hipokrit! Inilah aku yang sebenar!” Amir tergelak jahat, bangga terhadap dosa yang sedang dilakukannya. Tamparannya kali ini membuatkan tubuh Jazmin menggigil dengan semakin kuat, katil mula bergegaran.

Amir memegang bahu Jazmin, “Kau sebenarnya nak juga kan?” Tanya Amir, senyuman yang membawa seribu satu maksud terbit di bibirnya.

Badan Jazmin menggelepur, buih keluar dari mulutnya. Anak matanya yang berwarna hazel dan mata putihnya bertukar menjadi hitam pekat.

Seorang lelaki menerpa masuk ke dalam bilik, “Amir! Lambat lah kau ni!” Mulut lelaki itu ternganga apabila melihat tubuh Jazmin yang sedang terapung di udara.

“Ez! Lari Ez!” Jerit Amir, dia berlari keluar dari banglo usang tersebut. Jazmin merangkak di dinding dengan laju mengejar langkah Ez yang hampir keluar dari rumah.

Semua pintu di dalam banglo usang itu tertutup rapat, “Ez!” Jerit Amir namun segalanya sudah terlambat. Dia menghidupkan enjin motosikalnya dan terus meninggalkan rumah banglo tersebut.

Hayqal yang masih berada di dalam banglo usang itu melihat Jazmin merobek isi perut Ez. Dia sama sekali tidak merasa jijik atau loya kerana dia sudah terbiasa melihat kakitangannya berbuat demikian kepada mangsa mereka.

Jazmin yang sedang merobek isi perut Ez menoleh ke arah Hayqal dengan wajah bengis, “Siapa kau?” Tanya Jazmin dengan nada garau, seperti nada seorang lelaki. Hayqal mengerti, yang berada di hadapannya ini bukan Jazmin yang sebenar, sebaliknya ialah Jazmin yang sudah dirasuki oleh makhluk lain.

“Hayqal, hamba Allah.” Balas Hayqal mendatar.

Makhluk itu mendekati Hayqal, “Jangan ingat aku tak tahu apa niat kau terhadap dia! Takkan ada sesiapa yang mampu merampas dia daripada aku! Dia milik aku!” Jerit Jazmin, jarak wajahnya dengan Hayqal hanya satu inci.

“Dia bukan milik kau, dia bukan milik siapa-siapa. Dia milik Allah Yang Maha Esa.” Balas Hayqal.

Jazmin kelihatan berang, dia cuba untuk menyerang Hayqal namun badannya menembusi badan Hayqal. “Kita akan bertemu lagi!” Jerit Jazmin sebelum dia merangkak dengan laju dan keluar dari banglo usang itu.

Hayqal terdengar bunyi air yang sudah mendidih, dia melangkah ke dapur. Tatkala kakinya menginjak ke ruang tamu, ada satu kelompok air dan dia terjatuh ke dalamnya. Apabila Hayqal membuka matanya, dia sudah terlantar di atas katil pesakit.

“Tolonglah sedar Rayqal. Saya sanggup lakukan apa-apa pun demi awak, asalkan awak sedar dari koma ni.” Pinta Jazmin, dia masih lagi belum menyedari Hayqal yang sudah sedar dari koma.

“Jadi isteri saya pun sanggup ke?” Tanya Hayqal. Terkejut Jazmin, terus dia mengunci mulutnya serapat mungkin. Hayqal tergelak kecil, terhibur dengan gelagat Jazmin.

“Awak baru sedar atau dah lama sedar?” Tanya Jazmin janggal. Masak dia kalau Hayqal sudah lama tersedar dari koma. Maksudnya, Hayqal sudah mendengar curhatnya dari tadi lagi. Eish dia ni!

Hayqal tidak membalas pertanyaam Jazmin, “Haus.” Kata Hayqal ringkas. Pantas Jazmin mencapai gelas kosong lalu menuangkan air kosong ke dalamnya dan menghulurkan ia kepada Hayqal.

Morio melangkah masuk ke dalam wad persendirian Hayqal, “Baru sedar?” Tanya Morio ringkas. Jazmin menganggukkan kepalanya dengan laju.

Morio memakai stetoskopnya, dia memeriksa degupan jantung Hayqal, “Normal.” Morio mencatat sesuatu di atas kertas rekodnya.

Morio berhenti mencatat, stetoskopnya digantungkan dileher. “Balik ni kau kena banyakkan berehat. Aku dah maklumkan dekat Hayqal, esok dia balik sini.” Kata Morio. Hayqal menganggukkan kepalanya tanda faham.

Nasib baik Morio juga tahu tentang perancangannya. Kalau tidak, kantoi penyamarannya nanti.“Kalau takde apa-apa, aku keluar dulu.”  Morio meminta diri sebelum berlalu keluar dari wad tersebut.

Jazmin menundukkan wajahnya, dia tidak berani menatap wajah Hayqal. “Awak, sa.. saya minta maaf.” Kata Jazmin, terdengar sedu-sedannya.

“Kenapa nak minta maaf?” Tanya Hayqal hairan. Bukannya Jazmin yang menjadi punca dia kemalangan, kenapa pula dia harus meminta maaf?

“Orang yang langgar awak tu, dia adik tiri awak.” Serba salah Jazmin nak merungkai manusia yang telah melanggar Hayqal.

Hayqal tersenyum tipis, “Saya dah tahu. Tak perlu awak cakap pun tentang tu.” Kata Hayqal. Dia tidak suka Jazmin meminta maaf jika kesalahan itu tiada hubung kait dengan dirinya.

Jazmin mengangkat wajahnya, “Kenapa awak tak ikut je saya lepas beli barang tu?” Tanya Jazmin mendatar.

“Saya pergi belikan bunga untuk awak.” Balas Hayqal jujur.

Jazmin menampar lengan Hayqal, “Siapa benarkan awak pergi beli bunga untuk saya? Kalau awak tak pergi beli bunga tu, awak takkan kena langgar!” Marah Jazmin. Kalau Hayqal berada di sampingnya dari awal lagi, pasti kemalangan tidak akan berlaku.

“Awak risaukan saya ke?” Tanya Hayqal dengan nada mengusik.

Wajah Jazmin bertukar merah, “Si.. siapa risaukan awak?” Balas Jazmin, dia menghalakan pandangannya ke arah lain, malu untuk memandang Hayqal.

“Awak jujur jelah awak risaukan saya kan?” Tanya Hayqal lagi, senyuman nakal terbit di wajahnya.

Jazmin mengeluh, “Rayqal, tolonglah jangan bahayakan diri awak demi orang lain.” Pinta Jazmin.

“Salahkah saya nak gembirakan awak?” Tanya Hayqal, nadanya kedengaran seperti merajuk.

Jazmin terdiam seketika. Fikirannya kosong, ‘What’s wrong with him?’ Tanya Jazmin kepada dirinya sendiri. Sejujurnya, sikap ‘Rayqal’ yang terlalu mesra dan prihatin tentangnya membuatkan dia merasa tidak selesa.

“Boleh kita kahwin?” Pertanyaan dari Hayqal itu membuatkan Jazmin terbatuk. Jazmin menatap wajah Hayqal, wajahnya serius.

“Awak bergurau kan?” Tanya Jazmin. Harap-harap Hayqal hanya berjenaka dengannya. Takkanlah baru kenal sehari dah nak kahwin? Kenal hati budi masing-masing pun belum. Macam awal sangat ni.

“Awak?” Hayqal mengapai-ngapai tangannya di hadapan Jazmin.

“Apa?” Tanya Jazmin yang kelihatan bingung dengan situasi mereka.

“Saya tanya, boleh kita kahwin?” Hayqal mengulangi pertanyaannya sekali lagi.

Azan Asar berkumandang, ‘Alhamdulillah. Good timing.’ Jazmin bangun dari duduknya, “Dah masuk Asar. Saya nak pergi solat sekejap.” Jazmin meminta diri lalu melangkah masuk ke dalam tandas untuk mengambil wudhuk.

Jazmin menyandar di balik pintu tandas, ‘Nasib baik. Mungkin otak dia bergegar kuat sangat kot sampai tanya soalan macam tu.’ Jazmin cuba menyedapkan hatinya.

Takut benar dia dengan soalan tadi, daripada menyuruhnya kahwin dengan Rayqal, baik kahwinkan je dia dengan dinding. Bagi dia jadi anak dara tua pun dia sanggup!

Walaupun Rayqal dilanda kemalangan kerana dia, dia tidak boleh membuka hatinya begitu sahaja kepada orang lain. Lebih-lebih lagi kepada orang yang baru dikenalinya.

‘Ada baiknya kalau aku tetap setia menunggu kehadiran Naqib.’ Nasihat Jazmin kepada dirinya. Dia berhenti menggelamun dan mula mengambil wudhuk untuk menunaikan solat.
 
.

Iris berlari di dalam hospital seperti orang yang hilang akal. Apabila mendapat panggilan daripada pihak hospital bahawa adik angkatnya cedera parah, pantas dia bergegas ke hospital.

Wad peribadi di hospital swasta tersebut diterjahnya. Sebaik dia masuk ke dalam bilik tersebut, kedengaran mesin pernafasan menghasilkan bunyi ‘Tit-’yang panjang.

“Jun!” Iris menerpa ke arah Jun yang sudah kaku di atas katil pesakit. Syaf yang duduk disebelahnya menangis teresak-esak.

Iris menggoyang badan Jun, “Jun! Please tell me this is a joke.” Pinta Iris. Tak mungkin adik angkatnya sudah pergi meninggalkan dia. Siapa yang nak jaga orang tuanya nanti? Dan perniagaan yang diwarisi oleh Jun, siapa yang akan meneruskannya?

“Jun! Bangunlah! Tak lawak la buat lawak macam ni!” Air mata Iris merembes-rembes keluar. Dada Jun dipukul-pukul oleh Iris.

Jun mengetap bibir menahan sakit, ‘Ala bodoh dia pukul luka aku.’ Aduh Jun. Jun membuka matanya perlahan-lahan, “Kalau tak pukul luka aku memang tak boleh ke?” Tanya Jun mendatar.

Iris berhenti memukul Jun, mencerlung matanya menatap adik angkatnya. “Jun! Kau ingat lawak ke bergurau macam tu?” Marah Iris. Ingin sahaja dia terus memukul Jun.

Syaf mengusap air matanya, penat pula dia nak memaksa dirinya menangis. Ini semua salah Jun, katanya nak buat ‘suprise’ dekat Iris, kan dah kena pukul. Padan muka.

“Ala bergurau sikit pun tak boleh.” Kedengaran nada merajuknya.

Iris menoleh ke arah Syaf, “Ni siapa?” Tanya Iris mendatar.
“Bibik baru!” Jun memilih untuk berbohong. Bahaya jika dia membocorkan latar belakang Syaf.

“Siapa yang serang kau ni? Nak masuk lokap ke? Kau bagitahu aku sekarang. Sekarang jugak aku pergi sembelih dia.” Kedengaran serius nada Iris, begitu juga dengan wajahnya.

“Dah mati dah pun.” Balas Jun mendatar. Teringatkan si Tina tu,terus hatinya kembali mendidih. Kurang asam punya murahan. Dahlah menggoda suami orang, lepastu tikam orang pulak. Tak guna.

Jun menoleh ke arah Syaf, wajahnya kelihatan mendung. ‘Mungkin dia sedih atas kehilangan ibu dia.’ Bisik hati Jun. Simpati pula dia ke atas nasib Syaf. Walaupun baru berkenalan, tapi hati budi gadis itu baik.

“Syaf, awak nak balik dulu ke?” Tanya Jun kepada Syaf. Iris menoleh ke arah Syaf.

Syaf tersenyum tawar, dia menggelengkan kepalanya tanda tidak. ‘Nak pulang kemana je? Bukannya aku ada rumah pun.’ Bisik hatinya yang sedang berdarah.

Baginya, ibunya adalah segala-galanya. Tanpa ibu, kebahagiaan dia dan adiknya, Arif Syah takkan tercapai. ‘Arif Syah? Allah macam mana aku boleh terlupa tentang Arif?’

Syaf bangun dari duduknya, “Awak, saya ada kerja sikit. Saya balik dulu.” Syaf meminta diri.

Jun memandangnya hairan, tadi kata tak nak. Ni tiba-tiba cakap ada hal. Hal apa je? ‘I smell something fishy.’ Bisik hati Jun.

Tatkala Syaf keluar dari wad, Jun menoleh ke arah Iris. “Tolong boleh?” Tanya Jun dengan wajah menagih simpati. Iris menjongketkan kening kirinya.

“Ikut dia kejap. Aku risau lah.” Jun menyatakan permintaannya. Iris tersenyum sumbing, “Kata bibik.” Iris cuba untuk mengorek rahsia. Jun tidak membalas. Iris mencapai tas tangannya lalu mengikuti langkah Syaf dari jauh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience