Bab 4

Young Adult Completed 7336

Sepanjang makan malam, Mawar secara tidak sengaja menayangkan riak muka kosong. Dia sebenarnya sedang sibuk memikirkan apa penyebabnya empat sekawan itu mensasarkan dia sebagai mangsa.

"Mawar? Hello? Dengar tak Mak Ngah tanya ni?" Suhana melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah Mawar dengan harapan dia dapat menarik perhatian anak saudaranya itu.

Mawar menggeleng-gelengkan kepalanya.

Matanya pula dikelip-kelip.

Dia tersenyum serba salah ke arah Mak Ngahnya itu sebelum menundukkan pandangan dan menjawab soalannya tadi. "Maaf, Mak Ngah tanya apa tadi? Termenung sekejap pula jadinya." Wajahnya kembali tertunduk.

"Mak Ngah tanya, sekolah hari ni macam mana?" Soalan itu merentap jiwa Mawar. Dia mula ragu-ragu sama ada patut memberitahu perihal empat sekawan itu atau tidak.

Namun, tidak akan dia nafikan yang sesi persekolahannya hari ini baik dan lancar sahaja kecuali masa habis sekolah tadi ...

"Alhamdulillah, okey. Urusan sekolah semua dah settle. Cikgu semua baik-baik. Kawan-kawan sekelas Mawar pun okey semua," jawab Mawar ceria.

Melihatkan Mak Ngah yang tersenyum sejenak seraya menyebut tahmid, kegusaran hati Mawar semakin bertambah. Dia benar-benar tidak pasti sama ada dia patut beritahu atau tidak tentang kejadian berhampiran pagar sekolah tadi.

Setelah dia timbang tara menggunakan akalnya, Mawar mengumpul keberanian sejenak. Dia tidak pasti sama ada Mak Ngah boleh membantunya atau tidak, tapi akan dia ceritakan juga tentang kejadian tadi.

Mawar pasti, dengan menceritakan hal sebenar, lebih banyak kebaikan buat dirinya sendiri. Kalau dia menyembunyikan hal ini, dia sendiri juga yang akan tertekan dan rasa tidak berdaya.

Dia yakin akan itu.

"Sebenarnya, Mak Ngah, ada satu benda je yang tak seronok pasal sekolah hari ni," ujar Mawar.

Suhana tidak jadi hendak menyuapkan makanan yang sudah berada di dalam genggamannya itu. Diletakkan balik ia ke atas pinggan yang sudah separuh kosong itu.

Dia lalu memberi sepenuh perhatian kepada Mawar untuk mendengar apa yang bakal diceritakan oleh anak saudaranya itu sesaat lagi.

"Habis sekolah tadi, masa Mawar tengah tunggu Mak Ngah dekat pagar, ada empat orang budak ni datang keliling Mawar." Dia berhenti di situ sebentar untuk mengambil nafas sebelum menyambung cerita.

Berat sekali rasa dada Mawar.

Inikah yang dirasai oleh mereka yang dibuli oleh dia dan kawan-kawannya dulu?

Dalam pada sesal menerbitkan diri, Mawar kuatkan jua dayanya untuk sambung berbicara. "Ketua diorang kata, dia takkan biarkan Mawar hidup senang dekat sekolah," ujar Mawar dengan wajah yang semakin tertunduk.

"Bagitahu cikgu?" saran Suhana.

"Tak ada gunanya. Kalau cikgu tak nampak, mesti diorang berani punya buat kerja," balas Mawar mendatar dan sedikit laju.

Jawapan balasannya tadi bukanlah omong kosong. Dia menjawab berdasarkan pengalamannya sendiri menjadi seorang pembuli dulu. Pengalaman yang tidak pernah dia sangka akan ada guna juga rupanya.

Suhana yang mendengar jawapan Mawar itu berasa putus harapan seketika. Dia mengerti jawapan Mawar tadi ada asasnya dan ada benarnya. Risau membelah dada, namun dia kuatkan diri dan hati. "Kalau macam tu, Mawar lawan!" ujar Suhana tegas.

Mawar terkejut beruk mendengar saranan kedua yang sangat berani datang daripada ibu saudaranya itu. "Lawan, Mak Ngah?" soal Mawar tidak percaya.

"Kalau tak lawan sekalipun, pertahankan diri! Jangan bagi diorang nampak dan fikir yang kamu ni lemah." Kali ini suara Suhana kedengaran lebih tegas dan tekad.

Sejujurnya, Suhana sendiri tidak pasti keabsahan saranannya itu. Lebih-lebih lagi sama ada ia boleh membantu Mawar atau tidak. Namun, apa lagi yang boleh dia katakan sebagai penjaga Mawar?

Bukannya dia boleh berada di sisi Mawar 24/7 di sekolahnya! Dia perlu bekerja untuk menanggung dirinya sendiri dan juga Mawar! Kalau tidak, dia pasti akan turut serta membahasakan empat orang budak yang berani nak membuli anak saudaranya itu!

***

Rutin sama seperti hari pertamanya semalam dilakukan oleh Mawar pagi itu sejurus dia sampai ke sekolah. Dia dihantar oleh Mak Ngah ke sekolah lalu dia turun selepas menyalam tangan Mak Ngah dan melangkah keluar dari kereta.

Apa yang berbeza pagi ini ialah, ketibaannya di kawasan sekolah diperhati tajam oleh sekumpulan empat orang pelajar perempuan semalam. Lebih-lebih lagi si ketua kumpulan yang masih belum Mawar tahu siapa namanya.

Mawar menarik nafas dalam-dalam sebelum dia mula berjalan.

Riak selamba ditampal pada wajahnya.

Apa yang membezakan Mawar dengan mangsa-mangsa bulinya di sekolah lama dulu ialah Mawar tidak akan membiarkan dia nampak lemah dan terkesan oleh apa yang dilakukan mereka.

Biar patah tulang-belulangnya dibelasah. Biar bernanah telinganya mendengar cacian dan makian, namun tak akan sesekali Mawar menzahirkan ketakutan dan kelemahan.

Dia bertekad akan berusaha untuk mempertahankan dirinya!

Dia tidak mahu jadi lemah!

Terima kasih sudi baca sampai habis bab ni. Jemputlah komen, ya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience