Bab 29 : Terlambat

Romance Series 403916

Sebaik sahaja kereta Dalina hilang dari pandangan matanya, Anne berlalu masuk ke dalam rumah. Dek habis tenaganya memujuk Dalina, jika dapat baring bergolek-golek sambil melelapkan mata sebentar pun seronok juga.

Kelibat Fauziah dicari untuk dia menjelaskan penipuannya sebentar tadi, sehinggalah dia mendengar suara Fauziah dari bilik tidur ibubapanya itu, seakan sedang berbual bersama seseorang.

"Mak..." Panggil Anne perlahan.

Fauziah hanya mengangkat tangannya, memberi isyarat supaya Anne menunggu dan memberi laluan untuk dia menghabiskan perbualan di telefon itu. Aneh-aneh sahaja Fauziah ni. Anne berlalu ke ruang tamu semula. Dia membaringkan diri di sofa panjang.

Sementara menunggu Fauziah selesai bersembang, Anne bermain game Candy Crush di telefonnya. Belum pun sampai lima minit, Anne terlelap dan telefonnya melakukan terjunan berani mati tepat di atas pipinya.

"Aduhhhhh, ya Allah sakitnya!" Pipinya digosok laju, cuba menghilangkan sakit dalam keadaan mamai itu.

"Dah kenapanya Anis?" Jerit Fauziah pula yang terkocoh-kocoh keluar dari bilik.

"Telefon jatuh dekat pipi. Anis main game tadi, sekali terlelap, telefon jatuh. Itu yang terjerit, sakit. Mak cakap dengan siapa tadi tu? Bukan main lama lagi." Komen Anne sambil mencuba melelapkan mata semula, masih bersisa rasa mengantuk dan penat melayan kerenah Dalina.

"Cakap dengan bakal besan je." Fauziah mengambil tempat di sofa yang masih kosong.

"Ohhhhh, patutlah kejap-kejap gelak, kejap-kejap gelak. Besan yang mana satu ni?" Soal Anne dengan mata yang masih terpejam.

"Besan Kuala Lumpur." Jawab Fauziah dengan senyuman yang penuh makna.

Besan Kuala Lumpur? Dari mana datang besan Kuala Lumpur? Syafie asal Temerloh. Kak Malihah pula orang Ipoh.

'Eh, bukan kerja aku nak fikir.' Detik hati Anne.

Namun entah mulutnya laju sahaja melancarkan soalan seterusnya.

"Bakal menantu mak yang mana satu dah pindah ke KL? Abang Syafie, atau Kak Malihah?" Tanya Anis lagi.

"Eh bukan dorang berdua. Bakal menantu mak untuk Anis memang orang Kuala Lumpur." Balas Fauziah lagi.

"Ohhhh. Okey..." Lelap lah sekejap, mengantuk sangat ni, namun tiba-tiba kesedarannya muncul.

Bakal menantu mak untuk Anis? Matanya terbuka semula. Segala perasaan mengantuk terbang entah kemana, matanya mendadak segar, tubuhnya automatik terbangun dari baringan.

"Makkkk, mak cakap apa ni?"

'Ya Allah, aku nak menangis sekarang ni T_T'

"Cakap apa, apa? Betul lah. Mak telefon mereka, cakap yang Anis dah setuju nak kahwin bulan 12. Anis jugak yang cakap tadi, tu ha, depan-depan Dalina tu tadi." Kening Fauziah sudah berkerut, hairan dengan perubahan perangai anaknya itu.

"Mak, Anis tipu sunat je tadi mak. Anis bukan maksudkan betul-betul. Anis tipu je supaya Dalina tak panjang-panjangkan cerita lagi. Makkkk, apa mak dah buat ni? Anis tak nak kahwin mak." Anne yang kepanikan, menerpa ke arah kaki Fauziah dan dipeluk erat, merayu.

"Mana boleh tipu-tipu dalam perkara yang bawa kebaikan. Mak dah beritahu mereka dah sebab mak fikir Anis ikhlas terima." Wajah Fauziah juga berubah riaknya.

"Mak, cancel kan lah balik. Kalau tak cancel, Anis lari dari rumah mak ni." Ugut Anne.

"Nak lari, lari lah. Lari malam-malam, jangan tinggal satu pun baju ni haa." Tempelak Fauziah.

'Adehh, mak siap mengalu-alukan lagi pemergian aku.'

"Mak, tolong lah mak. Batalkan lah." Rayu Anne lagi.

"Nak batal, nak cakap apa? Baru je sekejap tadi mak beritahu Anis dah setuju."

"Mak cakap je apa-apa. Mak nak cakap Anis gila pun tak apa. Mak nak cakap Anis tersalah mimpi ke, kerasukan ke, mak..."

"Anis cakap sendiri lah dekat ayah. Mak malu nak batalkan tiba-tiba. Kerbau dipegang pada talinya, sedang manusia dipegang pada janjinya. Kalau mak mungkir janji, apalah kata-kata orang nanti." Fauziah meneduhkan pandangannya kepada Anis, sedang nada suaranya juga sengaja disayukan.

"Makkkk....."

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Asmah
2022-01-06 23:36:05 

terima ja la Anis


NovelPlus Premium

The best ads free experience