PINTU kereta dihempas kuat. Lokman ditinggalkan tanpa sebarang ucapan terima kasih mahupun selamat tinggal.
Kurang ajar punya perempuan! Dia tinggal aku macam tu je? Bentak hati Lokman dengan bergulung-gulung rasa geram.
Damia teruskan langkah tanpa sedikit pun menoleh ke belakang. Ketika itu juga, Najihah baru sahaja menapak keluar dari rumah. Masing-masing tergamam dengan pertembungan itu.
"Eh, Damia? Awak datang dengan siapa? Saya baru je nak ambik awak tadi," ujar Najihah. Turut dia melirik ke arah sebuah kereta yang diparkir di depan rumahnya itu.
Jika difikirkan, semestinya Damia dihantar oleh pemilik kereta tersebut. Tapi siapa pemiliknya?
Damia berpaling semula memandang ke arah pandangan mata Najihah itu. Kelihatan kereta Lokman masih lagi diparkir di situ. Tak berganjak dari tadi.
Eii ... apa hal dia tu tak blah lagi? Takkan dia nak tunggu aku sampai habis mengaji pulak! Kritik hati Damia.
Entahlah, Damia merasakan selagi Lokman berada di situ, keselamatannya seperti sedang terancam. Kelakuan Lokman di dalam kereta tadi pun drastik berubah.
Hon dibunyikannya berkali-kali, pedal minyak ditekannya sekuat hati. Sebab tu la Damia makin berasa tak selesa dengan perubahan mendadak dari Lokman itu.
"Oh ... dia tu. Dia tu kawan je." Damia berbohong.
Najihah mengernyit kehairanan. Dia cuba amati betul-betul susuk di sebalik cermin lut sinar itu. Dan benar, itu adalah seorang lelaki.
Lokman masih menancapkan matanya tepat kepada Damia. Biarpun dia tidak mendengar perbualan dua wanita di luar keretanya itu, tetapi dia yakin semestinya mereka berdua itu sekarang sedang bercakap tentang dirinya.
Tatkala suasana yang agak tegang bersulam canggung tu, kedengaran motosikal milik Syafiq menyapa gegendang telinga. Makin lama makin mendekat. Nampaknya, lelaki itu datang tepat pada masanya.
Motosikal diberhentikan. Dua beradik itu segera turun dari pacuan dua roda itu.
"Eh? Damia, Najihah. Ni kenapa tunggu kat luar ni? Tengah tunggu kitorang ke?" tanya Syafiq yang berjalan beriringan adiknya.
Dua wanita itu masih tercegat di luar rumah. Masing-masing masih membisu.
"Syafiq ... tak ada apalah," dalih Damia.
"Tak ada apa?" Syafiq berbalas soal. Dia tahu Damia mesti menipu. Tengok cara dia jawab pun dah tahu.
Syafiq lalu terus memandang ke arah kereta yang memarkir di pekarangan rumah. Kereta berjenama Myvi yang nampak asing baginya itu.
Lokman menjongketkan keningnya. Kemunculan Syafiq di depan matanya secara tiba-tiba membuatkan hatinya terdetik sesuatu.
Dia merasakan ada sesuatu yang tak kena di antara Syafiq dan Damia ini biarpun dia dan Syafiq masing belum mengenali.
Entah-entah laki tu yang buat Damia bencikan aku? Teka hatinya.
Benaknya sudah jauh meneka itu dan ini. Tanpa berfikir panjang, Lokman membuat keputusan gilanya.
Pintu kereta dibuka dengan penuh kerasnya. Muka bengis dia tayang tapi dia cuba untuk kekal bertenang. Perlahan-lahan langkahnya ditujukan kepada mereka berempat itu.
"Assalamualaikum," ucap Lokman lalu dia coretkan senyuman.
Masing-masing terkejut dengan kehadiran Lokman yang tiba-tiba itu. Damia sudah tahan geram. Kepalanya ditundukkan. Pasal apalah Si Lokman ni turun dari kereta pulak!
"Waalaikumussalam ..."
Mereka masih tercengang. Siapa pulak gerangan lelaki ini? Dah kenapa tiba-tiba nak berjumpak semua orang ni?
"Lokman? Awak buat apa ni? Saya tak suruh awak turun pun, kan!" bentak Damia.
Lokman buat tak endah. Matanya kini terarah kepada Syafiq sahaja. Dari atas hingga ke bawah dia lihat penampilan Syafiq itu. Lelaki itu hanya memakai baju yang lekeh, tak seperti dirinya.
Laki jenis macam ni yang kau suka, Damia? Ejek Lokman dalam hati.
Syafiq pula hanya membalas dengan sedikit tundukan. Jadi Damia kenallah dengan lelaki di depan mereka ni?
"Saya Lokman." Sebelah tangan disuakan untuk bersalam.
Syafiq masih terkebil-kebil. Tanpa sebarang kata, dia hanya membalas sahaja jabat tangan dari Lokman itu. Mungkin baginya, Lokman ini hanya mahu berkenalan dengannya. Tapi siapa pulak Lokman? Kenapa namanya kedengaran tak asing eh?
"Saya Syafiq."
"Oh, Syafiq ..." Lokman angguk. Seraya genggaman tangan antara mereka dileraikan.
Damia ketap giginya. Mesti ada sesuatu yang Si Lokman mahu lakukan.
"Lokman! Kenapa awak tak balik lagi? Awak tak payah tunggu saya. Cukuplah ..."
"Kau kawan Damia ke?" Lokman segera memangkas kata Damia. Baginya, niatnya untuk 'menyerang' Syafiq harus diutamakan dahulu.
Syafiq terkedu dengan soalan Lokman itu. Muka Lokman kelihatan tenang sahaja tetapi nada suaranya kedengaran cukup dingin.
"Dia ... dia ..."
Syafiq masih teragak-agak mahu memberitahu perkara sebenar. Wajah Damia dia pandang berkali-kali meminta petunjuk agar tidak tersilap kata.
"Ya, betul. Syafiq kawan aku. Kenapa eh, Lokman?" pangkas Damia.
Lokman angguk sambil leretkan segaris senyuman. Tetapi di sebalik senyumannya tu, tersirat bertimbun-timbun dendam.
"Oh, ye ke? Aku pun kawan Damia jugak," kata Lokman sambil menatap Syafiq. "Eh, bukan kawan. Tapi bakal suami Damia," sambung Lokman lagi.
Senyumannya berubah menjadi penuh sinis. Sengaja juga dia tekankan perkataan 'bakal suami' tu agar Syafiq dengar dan sedar akan posisinya.
Mendengar pengumuman dari Lokman itu, siapa je tak terkejut. Lebih-lebih lagi Syafiq.
Akhirnya, dia dapat tangkap juga siapa gerangan Lokman ini. Dia tahu dan ingat semula bahawa lelaki inilah yang Mak Siti mahu jodohkan dengan Damia tu. Dia masih ingat lagi pada hari di mana dia dihina oleh keluarga Damia, nama Lokman banyak kali jugak disebut oleh Mak Siti itu.
Pang!
Tanpa memberi peluang, satu tamparan hinggap di pipi kanan Lokman. Tamparan yang cukup kuat yang mampu mengejutkan mereka yang menyaksikannya. Lokman segera usap pipinya yang terasa pedih itu.
"Kau dah gila ke, Lokman? Kau tak faham bahasa ke yang aku tak pernah anggap kau sebagai bakal suami aku. Aku tak pernah sukakan kau! Faham tak?" berang Damia yang sudah ditahan sedari tadi dilepaskan jua. Tingkah Lokman tadi baginya sudah begitu melampau.
"Aku ingatkan kau ni orang yang baik dan pendiam, tapi aku salah. Aku tertipu dengan perangai masa kecik kau. Tak sangka disebabkan aku tak balas cinta kau, kau berubah jadi macam ni eh?" Amarah Damia makin membuak-buak membara.
Najihah segera rangkul Syafiqah yang kelihatan ketakutan. Tak sangka mereka kini sedang menjadi saksi sebuah pergaduhan yang tidak mereka duga.
Lokman tertawa sinis. Tangan diturunkan usai mengusap pipinya yang memerah. Perit rasanya ditampar oleh bakal isteri sendiri.
"Damia ..." rintih Syafiq. Tak naklah Damia tu makin meradang tapi tulah, ia hanya sia-sia saja.
"Lokman. Aku nak kau balik sekarang. Balik!" tempik Damia tanpa menghiraukan Syafiq. Nafasnya turun naik. Kesabarannya sudah luntur.
"Awak tampar saya, Damia? Tak cukup dengan tampar, awak halau saya pulak? Tak sangka awak sanggup tampar orang yang awak anggap abang dari kecik ni." Lokman ketap giginya.
"Sebab kau dah melampau, Lokman. Kau saja je kan bagitau kat semua orang yang kau ni bakal suami aku sebab kau nak sakitkan hati Syafiq, kan?"
"Habis, kenapa kau nak risaukan pasal hati Syafiq pulak?" tanya Lokman. Nada suaranya ditingkatkan ke oktaf yang lebih tinggi.
Lidah Damia kelu. Tersedar yang dirinya sudah terlepas cakap. Ah! Habislah dia lepas ni. Rahsianya dibongkar begitu saja.
"Jadi betullah apa yang saya fikir. Awak tolak cinta saya disebabkan Syafiq ni, kan?" Lokman meneka.
"Lokman. Aku rasa kau dah salah faham ni," celah Syafiq pula yang mahu memperbetulkan keadaan.
"Salah faham?" Lokman merengus. "Aku lagi kenal Damia ni dari kau. Aku kenal dia dari kecik lagi. Memang aku dah syak awal-awal lagi, ada benda yang tak kena dengan kelaku Damia. Dia bukan seseorang yang senang-senang je nak berubah. Jadi betullah tekaan aku. Rupanya datang mengaji sini sebab nak jumpak kau."
"Sudahlah, Lokman!" bentak Damia lagi.
Syafiq yang belum sempat bersuara terus diamkan diri. Terpaksa jua memberi peluang kepada Damia untuk lepaskan marah.
Ini dah kali kedua dia lihat Damia menjadi berang sebegitu. Memang personaliti gadis ini sentiasa berubah-ubah, mengikut keadaan.
"Tolong blah dari sini. Kau tak payah nak buat onar lagi dah. Rasa hormat aku kat kau, dah hilang disebabkan perangai kau yang tak matang ni," sambung Damia lagi.
Lokman angguk kepalanya. Bukan kerana bersetuju tetapi kerana dirinya sudah malas melawan. Tetapi di sebalik anggukannya itu, dendam semakin meluap.
"Okey. Aku akan blah dari sini. Tapi kau kena ingat, Damia. Yang mak kau tak tahu lagi kan pasal benda ni," ancam Lokman.
Damia terus ternganga. Tiba-tiba tubuhnya diselubungi penuh kerisauan. Rahsia ini sudah diketahui oleh Lokman dan kalau Lokman bongkarkan rahsia ini kepada ibunya, memang habislah dirinya itu.
"Kau ug ... ugut aku?"
Lokman menyeringai. Dia senang hati tengok Damia yang seperti ketakutan itu. Dirinya memang sudah sedia maklum bahawa Damia akan 'tertunduk' apabila susuk Mak Siti dikaitkan.
"Aku tak ugut kau, tapi aku nak kau sedar sikit. Macam mana pun kau benci aku, berapa kali pun kau tolak aku, kau tak dapat elak dari berkahwin dengan aku. Tu je aku nak ingatkan," ujar Lokman dengan sinisnya.
"Aku rasa kau patut balik sekarang, Lokman. Damia datang sini sebab nak mengaji, bukan nak bergaduh dengan kau," bidas Syafiq pula. Kakinya dimajukan selangkah mendekati Damia, lagak seperti mahu melindungi.
Lokman menjeling tajam. Panas pulak hati dia tu.
"Aku memang akan blah pun, tak payah bagitau aku banyak kali. Dan aku nak ingatkan lagi, aku tak akan sesekali berdiam diri pasal benda ni." Lokman sempat memberi amaran sebelum akhirnya dia beredar jua dari situ.
Perlahan-lahan kereta Myvi yang dipandunya bergerak hilang dari pandangan.
Damia hela dan hembus nafas panjang, Bukan nafas lega, tetapi nafas yang bersulam dengan rasa gusar.
Apabila diingat kembali kata-kata Lokman tadi, bila-bila masa sahaja Lokman akan pecahkan rahsianya yang disimpan kemas selama ini.
"Najihah, kejap lagi awak tolong hantar saya balik," kata Damia.
"Habis, laki tadi? Bukan dia kata dia nak ambik awak?"
"Tak payah tunggu dia. Saya pun dah malas nak naik satu kereta dengan dia."
Najihah angguk faham. Malas mahu tanya banyak.
Syafiq hanya biarkan sahaja Damia itu melangkah masuk ke dalam rumah. Biarkan gadis itu bertenang. Wajah Najihah dan Syafiqah dia pandang sekilas sebelum masing-masing mengerutkan dahi tanda risau. Masih tergamam dengan 'drama' yang berlaku depan mata tadi.
****
Damia raup wajahnya. Hatinya kian membuncah. Kejadian tadi masih membuat dirinya tak senang duduk. Selagi tujuan sebenarnya untuk pergi mengaji itu masih dalam genggaman Lokman, selagi itu rasa gelisahnya takkan surut.
Entahlah, walaupun Lokman masih belum memberitahu perihal ini kepada ibunya, tetapi Damia merasa dirinya bagaikan dikawal. Dirinya bagaikan dirantai oleh ugutan Lokman. Mujurlah apabila dia pulang ke rumah petang tadi, ibunya tidak menyoal macam-macam apalagi berkenaan Syafiq. Maksudnya, rahsianya masih lagi terjaga.
Perbualan bersama ibunya petang tadi diimbas semula di layar fikiran ...
"Ha? Kamu tak balik dengan Lokman ke? Mak Siti bertanya kehairanan.
"Tak ... dia kata dia ada hal tadi. Tu yang Damia suruh Najihah je yang hantar." Damia berbohong. Wajah ibunya dipandang tepat agar tembelangnya tidak dikesan.
"Dia yang ada hal ke kamu yang buat hal?" Mak Siti sengaja meneka bukan-bukan.
"Mana ada, mak. Dia sendiri yang kata kat Damia tadi." Damia mulai menggelabah. Liur diteguk.
Takut jugak kalau Lokman dah beritahu semua kepada ibunya. Kalau macam itu, memang tak ada harapanlah dia mahu berdalih lagi.
"Hmm ... ye la," jawab Mak Siti ringkas. Lalu pandangannya terus dituju ke arah televisyen yang masih bersiaran.
Damia kerutkan dahi. Pelik. Takkanlah sesi soal siasat bersama ibunya tamat sampai situ je? Kalau macam tu, itu bermakna Lokman belum pecahkan rahsianya lagilah, kan?
Damia fikir positif. Mungkin benar Lokman masih menyimpan rahsia ini. Itu adalah berita baik. Tetapi sampai bila Lokman tu mahu simpan? Dirinya tak mahu berasa terancam macam ni!
Damia baringkan tubuhnya di atas katil. Penat memikirkan masalah. Masalah kahwin belum selesai, ini ditambah pula masalah dengan bakal suami tu. Memang lagi serabutlah dia.
Kalau diikutkan, dia tak gamak pun membenci lelaki itu kerana dia tahu lelaki itu baik. Tetapi kerana kelakuan Lokman di rumah Najihah tadi, itu membuatkan persepsi Damia kepadanya berubah. Damia mulai membencinya 100 peratus.
Ah! Gila sungguh. Kenapalah Si Lokman itu mesti timbulkan masalah? Kalau masalah tu tadi melibatkan dirinya seorang tak apalah.
Ni sampai disaksikan oleh Syafiq. Najihah dan Syafiqah pun dah saksikan semua tu. Rahsia tentang perkahwinan paksanya akhirnya diketahui juga. Mana dia nak letak mukanya lepas ni?
Nasib baiklah sepanjang kelas mengaji tadi, mereka bertiga tu tidak sampai hati mengajukan sebarang soalan tentang kejadian itu. Kalau Najihah, memang dah kenal sangat dengan sifatnya. Dirinya bukan jenis seorang yang penyibuk. Syafiqah pun sepanjang kelas tadi, dia tak banyak bercakap sangat. Kalau diikutkan mesti berbaris-baris soalan yang mahu dia tanyakan kepada Damia tetapi abangnya itu sudah memberi peringatan awal. Tak naklah Damia makin beremosi. Sudahlah angin Damia ni tak menentu. Kejap okey, kejap tak.
Tatkala sedang memikirkan nasib, telefon berdering memecah kesunyian bilik. Terkial-kial tangan Damia mencapai telefon yang diletak di atas meja solek. Skrin ditolak ke kanan sebelum suara si pemanggil kedengaran di hujung talian.
"Assalamualaikum, Damia. Awak okey? Maaflah sebab mengganggu."
"Waalaikumussalam ... tak ada apalah, Syafiq. Saya okey je ni." Damia lalu mengubah posisinya dari berbaring kepada duduk bersila. "Kenapa awak tanya?"
Syafiq telan liur. Tiba-tiba dirinya berasa risau pula.
"Bukan apa, sa ... saya kalau boleh tak naklah ..."
Syafiq jedakan ucapnya. Entahlah, dirinya begitu risau andaikata Damia mulai berubah sikap dengan kata-kata yang bakal diucapnya.
"Tak nak? Tak nak apa, Syafiq?" Damia bertanya dengan nada yang sedikit tegas.
Syafiq masih membisu. Sekarang baru dia sedar yang dia sudah terlepas cakap. Kalau tahu, dari tadi tak payah cakap pasal benda tu pun tak apa. Suara Damia pun dah berubah lain macam aje.
"Oh, jadi awak nak cakap yang awak tak nak ganggu saya? Sebab saya ni bakal bini orang? Macam tu?" Bertubi-tubi soalan yang diteka dilontarnya.
Tekaan bukan sekadar tekaan. Memang benar Syafiq agak risau tentang hal itu. Takut-takut orang lain tahu, nanti diri Syafiq itu pulak yang digelar 'perampas' semata-mata kerana berbual dengan bakal isteri orang.
"Eh, tak! Bukan macam tu, awak. Saya tak pernah fikir pun tentang tu."
Damia tundukkan wajah. Dia diamkan diri seketika. Tersedar yang dia terlalu emosional tadi.
"Saya minta maaf," ucapnya.
Syafiq kerutkan dahi. Biarpun wajah Damia tidak dia lihat ketika ini, tapi dia tahu pasti gadis itu sedang menahan rasa sebak kerana getaran suaranya.
"Eh, tak apalah. Saya okey je."
"Bukan sebab tu ..." Syafiq segera terdiam semula. Kalau bukan sebab tadi, sebab apa pulak?
"Tapi sebab perangai Lokman kat rumah Najihah tadi. Saya mintak maaf sangat." Sayu sahaja suara Damia pinta kemaafan.
Dia sedar dia salah. Jika dia tolak arahan ibunya untuk pergi bersama Lokman, pasti semua ni tak akan berlaku. Tetapi macamlah dirinya itu mampu melawan ibunya. Kerana ibunya la dia jadi patuh sebegini.
"Tak apalah, Damia. Bukan salah awak pun," pujuk Syafiq yang cuba menenangkan Damia.
Damia akur. Tahu sangat dengan perangai Syafiq ini. Orang minta maaf pun, ditegasnya tak salah. Sikapnya tu dah macam sebati dengan dirinya.
"Sudahlah kita cakap pasal Lokman tu. Awak pun tak nak kan cakap banyak pasal dia?" sambung Syafiq. Lagipun tujuannya mahu menelefon bukannya mahu berbincang pasal Lokman pun.
Damia hanya mampu mengangguk bersetuju.
Memang dia malas pun mahu cakap lebih-lebih tentang lelaki sewel itu. Kerana cinta, perangai terus berubah. Kalau dah macam tu, itu bukan cinta namanya. Tetapi obses. Buat sakit hati aje!
"Kalau macam tu, saya nak tanya satu benda boleh?" soal Syafiq semula.
"Apa dia?"
Syafiq bermain dengan jari-jemarinya. Tiba-tiba berasa segan pulak nak bertanya hal itu padahal tadi bukan main berkobar-kobar nak telefon bagai.
"Awak suka warna apa?"
"Hah?" Damia terpinga-pinga. Ingatkan nak tanya soalan penting. Entah-entah soalan yang tu je?
"Haah. Warna favourite awak." Syafiq lalu berdehem. Tahu soalannya ini agak merepek dan konyong.
"Hmm ... warna biru, kut." Damia putuskan jua untuk menjawab. Lagipun Syafiq tanya warna kegemaran je, bukannya soalan susah pun.
Mulut Syafiq membentuk huruf 'o' sambil kepalanya terangguk-angguk.
"Kenapa tiba-tiba awak tanya pasal warna favourite saya ni?" Damia jongketkan kening.
"Tak ada apa. Saja tanya," balas Syafiq selamba. Tak mahulah beritahu perkara sebenar nanti tak ada kejutanlah jawabnya.
Damia mencemik. Tadi tanya bukan main serius lagi, entah-entah nak berahsia.
Geram betul aku dengan dia ni. Waktu-waktu ni jugaklah dia nak buat orang tertanya-tanya. Getus hati Damia.
Ulas bibir Syafiq langsung mengukir senyuman. Celoteh gadis itu masih tak henti di hujung talian. Membebel aje. Syafiq pun, redha sajalah menadah telinganya.
Dalam hatinya, dia sudah bersorak gembira. Damia suka warna biru? Jadi bolehlah dia teruskan niat yang sudah dirancangnya tu.
Bersambung...
Share this novel