BB - BAB 10

Drama Completed 309215

BEG pakaian dan keperluan Qaisara di masukkan ke tempat duduk belakang kereta.  Dia kemudian menoleh ke arah adiknya itu yang masih lagi berdiri di pintu rumah sambil merenung keadaan di dalam rumah mereka.

"Sara, apa yang ditenungkan tu, marilah kita bertolak sekarang, risau doktor Luqman tertunggu-tunggu pula nanti".  Kata Qaireena sambil melangkah menghampiri adiknya itu.

"Saja nak tengok ruang tamu rumah yang banyak menyimpan kenangan kita satu keluarga ni puas-puas, lepas ni tak tahulah sama ada Sara dapat jejakkan kaki ke rumah ni lagi atau pun tak".  Jawab Qaisara, matanya masih lagi memandang ke dalam rumah.

"Janganlah kata macam tu, bukannya Sara kena tinggal dekat hospital tu selamanya pun.  Bila Sara dah sembuh nanti, Sara tetap akan pulang ke rumah ni juga kan.  Apa yang penting sekarang Sara kena jalani kemoterapi tu dulu dan bila dah selesai, kita terus buat pemindahan tulang sum sum pula.  Lepas tu Sara dah boleh pulang ke rumah ni dalam keadaan sihat dan jalani kehidupan macam kawan-kawan Sara yang lain".  Kata Qaireena sambil menyentuh pipi Qaisara.

"Kalau pembedahan tu tak berjaya macam mana?".  Dia terus menoleh dan memandang wajah Qaireena.

"Ish..apa pula kata macam tu.  Doktor Luqman sendiri kata yang tulang sum sum Kak Reen sesuai dengan Sara.  In Shaa Allah pembedahan tu akan berjaya sayang.  Sara janganlah fikir yang bukan-bukan ya.  Sara kena kuatkan semangat untuk lalui semua ni dan banyakkan berdoa agar segalanya berjalan dengan lancar ya".  Ujar Qaireena sambil memandang tepat ke wajah adiknya itu bersama senyuman dibibir.  Qaisara hanya senyum dan menganggukkan kepalanya.

Huk.. Huk..Huk..

Terus Qaisara menekup mulut dengan tapak tangannya.  Dia menoleh ke arah Qaireena yang sedang mengunci pintu rumah.  Kemudian pandangannya dialihkan pula ke tapak tangannya yang terdapat sedikit darah.  Cepat-cepat dia melangkah menuju ke kereta sambil mengeluarkan tisu dari dari dalam begnya.  Sudah hampir seminggu dia mengalami batuk berdarah, namun dia tidak memberitahu Qaireena kerana tidak mahu kakaknya itu terlalu risau tentang dirinya.

••••••••••

Qaireena membuka helmet di kepalanya, kemudian ikatan rambutnya dibetulkan.  Baru sahaja dia mahu melangkah ke arah pintu utama bangunan itu, tiba-tiba langkahnya mati apabila dia ditahan oleh tiga orang lelaki. Dua orang lelaki berada di kiri dan kanan sambil memegang kedua belah lengannya manakala seorang lelaki berbangsa cina pula berdiri betul-betul di depannya.

"Hei amoi, lu kenal sama itu Talib ke?".  Tanya lelaki berbangsa cina di hadapannya itu.

"Tak, saya tak kenal.  Mungkin encik salah orang ni".  Jawab Qaireena.  Di dalam hatinya sudah mula menyumpah seranah suami ibu saudaranya itu kerana dia yakin orang-orang yang berada di hadapannya itu pasti ada kaitan dengan lelaki itu.

"Tapi, itu Talib kata, lu anak saudara dia.  Lu jangan cuba mau tipu sama gua, lu belum kenal siapa gua lagi".  Kata lelaki berbangsa cina itu sambil tertawa kecil.

"Kalau encik kawan dia, kenapa encik cari saya?".  Soal Qaireena, dia mula berasa takut.  Bermacam-macam perkara sudah mula bermain di dalam fikirannya.

"Itu Talib, ada hutang sama gua sepuluh libu, tambah itu bunga lagi sepuluh libu.  Semua jadi dua puluh libu. Tapi dia tak ada duit mau bayar sama gua.  Dia suruh gua cari lu, sebab dia cakap lu boleh bayar hutang dia".  Jawab lelaki itu.

"Saya tak ada duit sebanyak tu encik macam mana saya nak bayarkan hutang dia".  Ujar Qaireena. 

"Lu jangan mau tipu gua, Talib cakap lu baru saja bayar hutang dia empat puluh libu dengan along lain.  Itu bermakna lu memang ada banyak duit, sekarang lu kata sama gua lu tak ada duit.  Lu jangan mau tipu sama gua macam lu punya pak cik tipu gua kalau lu mau selamat".  Suara lelaki berbangsa cina itu mula meninggi.

"Encik, tolonglah jangan libatkan saya dalam hal Talib, saya perlukan duit untuk rawatan dan juga pembedahan adik saya yang sedang sakit sekarang ni".  Kata Qaireena bersama airmata yang mula mengalir ke pipinya.  Dia sudah tidak mampu lagi untuk berhadapan dengan perkara-perkara yang melibatkan kewangan.  Fikirannya sudah cukup kusut apabila memikirkan duit untuk menampung kos pembedahan Qaisara yang masih belum mencukupi, kini ditambah pula dengan masalah along bapa saudaranya itu.

"Itu lu punya masalah, apa yang gua tau, lu mesti bayar gua punya duit dalam masa tiga hari dari sekarang kalau lu mau selamat.  Kalau tidak, gua kan potong Talib punya tangan dan suruh dia jadi peminta sedekah untuk bayar gua punya duit, lu pula gua akan jual dekat kelab malam, lagi banyak untung".  Ujar lelaki berbangsa cina itu bersama tawanya.

"Ingat, gua akan cari lu lagi dalam masa tiga hari".  Tambah lelaki itu apabila tawanya sudah habis sambil memberi arahan kepada konco-konconya untuk melepaskan Qaireena dan berlalu dari situ. 

Qaireena terduduk di tepi kawasan parkir itu, airmatanya mengalir semakin deras.  Sungguh, dia sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu berhadapan dengan semua itu.  Kehidupannya bagai sudah terjerat akibat sikap dan perbuatan suami kepada ibu saudaranya sendiri.

"Awak okay?".  Soal satu suara yang sedang berdiri di sebelahnya.

Qaireena terus mendongak ke atas untuk melihat siapakah pemilik suara yang menegurnya itu.  Apabila dia melihat Taufiq sedang memandangnya, cepat-cepat dia menundukkan semula wajahnya dan mengesat airmatan
yang membasahi pipinya.  Selepas itu barulah dia berdiri dan menjawab pertanyaan lelaki itu.

"Saya okay encik".  Jawab Qaireena, namun dia tidak berani bertentang mata dengan lelaki tersebut.

"Ada orang ganggu awak ke?".  Tanya Taufiq lagi walaupun dia sebenarnya sudah melihat apa yang berlaku sebentar tadi terhadap wanita itu. 

"Eh..tak adalah, saya cuma penat je, sebab tulah duduk sekejap dekat tepi ni, tiba-tiba mata pula masuk habuk sampai berair".  Katanya cuba berselindung.

"Aaa...Encik dah ada bawa bil tu? Dah berhari-hari saya tunggu encik balas mesej saya, tapi tak ada, sebab tulah saya datang terus ke sini".  Sambung Qaireena sambil cuba mengukir senyuman.

"Bil tu dah hilang".  Jawab Taufiq ringkas.

"Habis tu macam mana saya nak bayar pada encik? Apa kata encik hubungi bengkel tempat encik baiki kereta encik tu dan tanya dia semula berapa jumlah yang encik dah bayar pada mereka". Ujar Qaireena. 

"Lupakan jelah perkara tu, awak tak perlu bayar ganti rugi pada saya". Kata Taufiq dan terus melangkah untuk berlalu dari situ.

"Tapi encik...".  Kata-katanya tidak diteruskan apabila dilihatnya Taufiq semakin jauh dan hilang disebalik pintu utama bangunan itu.

Perlahan Qaireena menapak menuju ke skuternya.  Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluarnya.  Mesej di taip untuk dihantar kepada Taufiq.

Qaireena :
Terima kasih atas kemurahan hati encik kerana tidak meminta saya membayar ganti rugi kerosakan kereta encik yang telah saya langgar. Maafkan saya dan terima kasih sekali lagi.  Semoga encik dimurahkan rezeki selalu.
-Reen-

Selesai menghantar mesej tersebut kepada Taufiq, Qaireena terus menuju ke hospital untuk melawat Qaisara dan membawakannya makanan tengah hari.  Begitulah rutinnya selama tiga hari ini semenjak adiknya itu berada di hospital.

Taufiq tersenyum saat membaca mesej yang dihantar oleh Qaireena.  Seketika dia teringat semula dengan kejadian yang berlaku pada wanita itu sebentar tadi.  Dia pasti yang Qaireena telah diugut oleh ketiga-tiga lelaki tersebut, tapi dia tidak tahu atas kesalahan apa mereka mengunggut wanita itu.  Sungguh hatinya turut sedih saat melihat Qareena menangis sebegitu.  Namun dia tidak tahu bagaimana mahu menolong wanita itu manakala Qaireena juga tidak mahu berterus terang tentang apa yang menimpa pada dirinya tadi.

••••••••••

Tamat sahaja waktu bekerjanya sebagai penghantar makanan pada pukul 8 malam itu, Qaireena terus melawat Qaisara dihospital.  Dia menemani adiknya itu dan makan malam bersama sambil berbual-bual.  Pada pukul 9.30 malam, dia keluar semula untuk bekerja sebagai pelayan di sebuah bar sehingga pukul 3 pagi, semata-mata untuk menambah sumber pendapatannya bagi menampung kos pembedahan Qaisara.

Sedang Qaireena asyik menghantar minuman pelanggan di beberapa buah meja, tiba-tiba lengannya ditarik dengan kasar oleh dua orang lelaki dan dia di bawa keluar dari bar tersebut.

"Hei amoi cantik, lu sudah lupa apa gua cakap sama lu ke?".  Soal lelaki berbangsa cinta yang ditemuinya tiga hari lalu itu dengan wajah yang bengis.

"Encik, tolonglah saya betul-betul tak ada duit sebanyak tu.  Lagipun bukan saya yang pinjam duit daripada encik, tapi Talib.  Encik carilah dia, tolong jangan ganggu saya encik".  Rayu Qaireena.

"Talib sudah lama hilang selepas dia bagitau sama gua, lu boleh bayar semua hutang dia.  Sekarang lu mau suruh gua cari Talib lagi? Kenapa gua mau susah-susah cari dia kalau gua boleh cari lu dengan senang.  Sekarang lu cakap sama gua, lu mau bayar gua punya duit atau tidak?".  Jerkah lelaki itu pada Qaireena.

Qaireena benar-benar terkejut sehingga bahunya terangkat sedikit saat mendengar jerkahan lelaki berbangsa cina itu.  Airmatanya mula mengalir membasahi pipi.  Ketakutan mula menyelubungi dirinya. 

"Saya tak ada duit sebanyak tu encik, tolonglah".  Kata Qaireena bersama tangisnya yang mula berlagu.  Jika dia membayar hutang along itu menggunakan duit yang telah disimpan untuk pembedahan Qaisara, pasti baki yang tinggal semakin tidak mencukupi untuk dia membayar kos pembedahan adiknya itu.  Sungguh dia benar-benar tersepit.

"Kalau begitu, lu ikut gua sekarang".  Sambil mengarahkan orang-orangnya untuk membawa Qaireena masuk ke dalam kereta.

"Encik tolong lepaskan saya encik, tolonglah". Jerit Qaireena sambil meronta-meronta untuk melepaskan tangannya dari cengkaman orang-orang suruhan lelaki berbangsa cita itu. Namun lelaki itu hanya tertawa sambil memandang dirinya yang sedang meronta-meronta.

"Reen".  Panggil satu suara apabila tubuh Qaireena baru sahaja mahu ditolak masuk ke tempat duduk belakang sebuah kereta.

"Encik tolong saya encik".  Jerit Qaireena ketika dia mendengar seseorang memanggil namanya walaupun dia tidak dapat melihat siapa orang tersebut.  Taufiq terus menghampiri kereta itu apabila dilihatnya Qaireena sudahpun ditolak masuk.

"Lu siapa".  Soal lelaki berbangsa cina itu pada Taufiq.

"Saya kawan dia, kenapa you tangkap dia?".  Soal Taufiq kepada lelaki berbangsa cina itu dengan berani.

"Sebab dia sudah hutang sama gua, tapi tak ada duit mau bayar".  Jawab lelaki itu.

"Berapa dia hutang you?". Tanya Taufiq lagi.

"Dua puluh libu termasuk itu bunga". Kata lelaki itu dengan wajah yang serius.

"Sekarang you lepaskan dia.  Saya akan bayar semua hutang dia".  Ujar Taufiq.  Lelaki cina itu memandang Taufiq dari atas hingga ke bawah.  Dia kemudian tertawa dengan suara yang besar.

"Dia punya masa untuk bayar itu hutang sudah tamat.  Gua cuma kasi dia tempoh tiga hari saja, sekarang sudah pukul 12.30 pagi, sudah masuk hari keempat.  Ini amoi sudah jadi hak milik saya".  Kata lelaki berbangsa cina itu sambil menyambung semula tawanya.

"So macam mana saya nak dapatkan dia semula?".  Soal Taufiq sambil memandang tepat ke wajah lelaki berbangsa cina itu.

"Kalau lu mau itu amoi cantik, lu mesti beli dia sama gua la....hahahahahaha".

"Berapa saya perlu bayar?".  Tanya Taufiq lagi.  Serta merta tawa lelaki berbangsa cina itu terhenti.  Pandangannya masih dihalakan kepada Taufiq.

"Lapan puluh libu".  Jawabnya.

"Saya setuju.  Sekarang keluarkan dia dari kereta tu dan saya akan berikan you cek".  Kata Taufiq.  Dia kemudian berjalan menuju ke keretanya dan kembali semula selepas beberapa minit.

Cek yang tertulis dengan nilai lapan puluh ribu ringgit diserahkan kepada lelaki berbangsa cina itu.  Selepas memeriksa cek itu dengan teliti barulah dia mengarahkan orang-orang suruhannya untuk melepaskan Qaireena.  Senyuman dibibir lelaki berbangsa cina itu melebar sebelum dia masuk ke dalam kereta dan meninggalkan tempat itu.

Taufiq memandang dan menghampiri Qaireena yang masih lagi menangis.

"Mari masuk ke dalam kereta saya".  Ajak Taufiq.  Namun Qaireena masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri.

"Awak nak masuk ke dalam kereta saya atau awak nak along tu datang tangkap awak semula di sini?".  Soal Taufiq. 

Mendengar sahaja kata-kata yang keluar dari mulut Taufiq itu, terus Qaireena menapak menghampiri kereta lelaki itu walaupun hatinya sedikit sangsi dengan kebaikan lelaki itu yang sanggup menolongnya.

"Kenapa awak berhutang dengan along?". Soal Taufiq sebaik sahaja dia duduk di kerusi pemandu dan menutup pintu kereta itu.

"Bukan saya yang berhutang encik, tapi suami kepada ibu saudara saya.  Dia dah larikan diri selepas dia beritahu pada along tu yang saya boleh langsaikan hutang dia".  Jawab Qaireena jujur bersama airmatanya yang mengalir membasahi pipi. 

Taufiq Menggeleng-gelengkan kepalanya saat mendengar jawapan yang keluar dari mulut Qaireena.  Sungguh dia tidak menyangka ada manusia sekeji itu.

"Awak pula buat apa dekat sini malam-malam buta ni?".  Tanyanya lagi sambil menoleh ke arah Qaireena yang berada di sebelahnya.

"Saya bekerja dekat bar depan tu".  Sambil menunjuk ke arah bar yang berada tidak jauh dari kawasan parkir itu.

"Siangkan awak dah bekerja jadi penghantar makanan, tak cukup lagi ke gaji yang awak dapat sampai perlu buat dua kerja sekali?".  Soalnya sedikit hairan.

"Saya perlu kumpul duit untuk menampung kos pembedahan adik saya".  Jawabnya lagi dengan wajah yang ditundukkan.

"Berapa umur awak?".

"20 tahun encik".  Ujar Qaireena.

"Mak dan ayah awak mana? Kenapa awak pula yang perlu bekerja keras untuk mengumpulkan wang tu?".  Tanya Taufiq lagi seperti seorang polis yang sedang menjalankan sesi soal siasat terhadap pesalah yang tertuduh.

"Ayah dah meninggal semasa saya berumur 16 tahun, ibu pula baru je meninggal dunia dalam nahas kapal terbang yang terhempas ketika mahu membuat pendaratan baru-baru ini.  Saya anak sulung dari dua beradik, jadi secara tak langsung tanggungjawab tu jatuh ke bahu saya.  Adik saya pula menghidap leukemia dan sekarang sedang menjalani rawatan kemoterapi fasa pertama".  Ya dia perlu jujur pada lelaki itu kerana dia tidak mahu Taufiq salah faham pada arwah ibu dan ayahnya.

"Ibu ada meninggalkan wang simpanan yang dikumpul untuk menampung kos pembedahan adik saya tu dan juga duit daripada kumpulan wang simpanan pekerja ibu, tapi duit tu saya dah gunakan dua minggu lalu untuk membayar hutang along suami ibu saudara saya sebanyak empat puluh ribu.  Disebabkan itu jugalah duit untuk pembedahan adik semakin berkurang dan saya perlu bekerja keras untuk menambah duit yang sedia ada".  Sambung Qaireena lagi.

Tanpa sedar airmata lelaki Taufiq mula mengalir membasahi pipinya saat mendengar kisah hidup Qaireena itu.  Mujurlah cahaya di dalam kereta itu agak malap dan Qaireena juga sedang tertunduk, membuatkan dia tidak akan perasan airmata yang mengalir dipipi Taufiq.

"Sekarang ni, tanggungjawab saya semakin bertambah disebabkan saya dah berhutang dengan encik sebanyak lapan puluh ribu.  Saya dah tak tahu lagi macamana untuk melangsaikan hutang saya tu secepat yang mungkin sedangkan duit untuk pembedahan adik saya pun masih belum mencukupi".  Ujar Qaireena lagi.  Airmatanya kembali mengalir dengan deras membasahi semula pipinya yang hampir kering itu.

"Kahwin dengan saya".  Kata Taufiq tanpa memandang wajah Qaireena.

Serta merta Qaireena menoleh ke arah Taufiq.  Seolah-olah tidak percaya kata-kata itu keluar dari mulut lelaki itu.

Happy Reading korang sorry lambat ...

Share this novel

xandra
2021-01-21 09:40:32 

Thanks sis sbb update :-)


NovelPlus Premium

The best ads free experience