BAB 4

Romance Completed 10273

Terbuntang mataku melihat beberapa orang yang memakai kopiah dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun berdiri di sekeliling Myvi Sahli. Jantungku bagaikan berhenti berdegup! Aku dapat rasakan bagai ada sesuatu yang tidak elok bakal berlaku. Kulihat Sahli agak gabra biarpun dia cuba melindungkan resah di hatinya. Dia mengerling wajahku sekilas sebelum dia keluar dari kereta, menuruti arahan lelaki berkopiah yang mendakwa dirinya sebagai pegawai dari jabatan agama islam.

Tangan kugenggam kuat. Basah! Kulihat tapak tangan ku berpeluh dan menggigil. Ya Allah, apa yang berlaku ni? Tubir mata kurasakan hangat. Empangan air mata bagaikan sudah bersedia untuk pecah. Takut! Wajah emak yang sayu terlayar diminda. Saat itulah, air mataku jatuh ke pipi. Mengalir lesu. Agak lama Sahli disoal siasat sebelum pintu di sebelahku dikuak dari luar. Aku sedikit tersentak.

“Cik, tolong keluar. Boleh saya tengok ic cik?” Seorang lelaki menegur. Dalam tangisan tanpa suara, aku menurut. Aku melangkah keluar dari kereta lalu menghulurkan kad pengenalanku pada lelaki yang berusia dalam lingkungan pertengahan 40-an tadi.

“Kami tak buat apa-apa pun. Kami baru aje habis jamuan dengan kawan-kawan tadi. Kami dah nak balik ni. Tolonglah percaya.” Suara Sahli separuh merayu menarik perhatian. Aku memandang sayu ke arahnya. Kini, aku faham apa yang sedang berlaku. Dadaku sesak! Mataku dipejam! Aku harap ini semua hanya mimpi! Ya Allah, adakah Engkau sedang menghantar ujian padaku?

“Semua pasangan yang kami tangkap cakap tak buat-buat apa-apa walaupun jelas dan nyata apa yang mereka buat. Macam-macam alasan yang kami terima. Maaf, kamu berdua ikut kami, cerita di balai.” Ujar salah seorang lelaki yang berdiri berhampiran Sahli. Nadanya tegas!

“Sama umur. Hisy, tak faham betul dengan budak-budak zaman sekarang. Bertudung litup pun masih boleh buat maksiat. Tak takut Allah ke?” Lelaki yang mengambil kad pengenalanku tadi mengeluarkan kata-kata yang membuatkan aku tersentap. Buat maksiat? Kami tak buat apa-apalah! Terasa ingin sahaja aku menjerit saat itu, namun suaraku bagai tersekat di kerongkong. Tidak mahu keluar.

“Tolonglah percaya tuan, kami memang tak buat apa-apa. Dia ni kawan saya, takkan saya nak rosakkan dia pulak.” Sahli mencuba lagi memberi penjelasan. Dalam kesamaran, wajah Sahli merah padam. Mungkin sedang marah bercampur malu. Sama dengan apa yang sedang aku rasakan saat ini.

“Dah, kamu berdua ikut kami!” ujar lelaki berhampiran Sahli tegas. Sahli tidak diberi peluang untu membela diri. Aku pula? Menangis! Hanya itu yang mampu!

“AKU terima nikahnya Nur Surfina bt Sufyan dengan mas kahwinnya seperti yang tersebut itu.” Masih terngiang-ngiang suara syahdu Sahli melafazkan akad siang hari tadi. Dengan dua kali lafaz, aku kini menjadi isterinya yang sah. Bibirku ketap kuat. Aduh, sakit! Sah, aku memang tidak bermimpi! Semua perkara berlaku dalam sekelip mata!

Kejadian ditangkap di dalam kereta minggu lepas telah membawa perubahan besar di dalam hidupku. Jika semalam aku bujang, kini aku sudah bergelar isteri orang. Isteri kepada sahabat baik aku sendiri! Isteri Muhammad Sahli bin Tirmizi! Dalam usia awal 20-an, aku sudah memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Peristiwa hitam itu telah menghancurkan segala mimpi dan angan-anganku. Kononnya aku ingin menamatkan zaman bujang ketika berumur 26 tahun. Tetapi belum sempat menamatkan pengajian, aku sudah memasuki gerbang perkahwinan tanpa kerelaan. Sudahlah berkahwin dalam keadaan yang tiba-tiba. Ya Allah, berat sungguh dugaanMu ini. Air hangat merembes perlahan di pipi. Sudah tidak ada maknanya untuk aku kesalkan. Perkara sudah berlaku.

Teruk aku dimarahi oleh emak dengan apa yang berlaku. Perbuatan aku telah memalukan emak dan seluruh keluarga. Aku telah membuatkan emak menangis terluka. Berkali-kali aku memohon keampunan dari emak tetapi emak hanya diam. Aku langsung tidak diberi kesempatan untuk membela diri. Di dalam balai polis itu juga aku meraung tanpa rasa malu. Aku takut dengan kebisuan emak. Aku tahu emak terluka. Dengan arahan emak dan persetujuan keluarga Sahli, aku dinikahkan segera dengan sahabat baikku sendiri. Mereka langsung tidak mahu menerima alasan kami berdua. Aku ibarat orang jatuh ditimpa tangga. Sudahlah ditangkap, disuruh kahwin pula!

Badan yang melekit memaksa aku menarik tuala bergerak ke bilik air di dapur. Pergerakkanku agak bebas apabila saudara mara sudah pulang ke rumah masing-masing. Majlis akad nikah hanya diadakan secara kecil-kecilan sahaja. Yang datang meraikan kami hanya keluarga terdekat aku dan Sahli sahaja. Kedua-dua keluarga telah bersetuju untuk mengadakan majlis selepas aku dan Sahli menamatkan pengajian masing-masing yang masih berbaki dua semester.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience