BAB 3

Romance Completed 11647

Hamka?

Seperti biasa, anak matanya menikam tepat ke arah anak mataku. Aku terkedu. Entah mengapa kali ini aku tidak mendapat kekuatan untuk melarikan pandangan mataku. Lama aku memandangnya.

"Turun makan." Katanya sebelum mengalihkan pandangan.

Aku tertunduk. Aku dapat rasa kedinginan layanannya terhadapku. Jijik barangkali dengan pelacur sepertiku ini. Tapi, memang aku layak dilayan begini.

Perasaan segan mula menguasai diri. Namun kerana risau dikatakan tidak mendengar arahan tuan rumah, aku bergegas turun ke bawah. Dengan memakai sepasang baju kurung berbunga kecil daripada material kapas dan menyarungkan tudung bawal kosong di kepala, aku menyertai mereka bertiga.

Usai membaca doa makan, kami menjamu nasi dagang hasil gabungan air tangan aku dan Mak Mah. Mereka bertiga rancak berbual, manakala aku terkebil kebil sendiri.

Ya, aku terasa asing. Cukup asing.

Sehinggalah suara Pak Mid menyapa gegendang telingaku.

"Rose, kamu setuju tak?"

Tiga pasang mata itu tepat memandang ke arah wajahku. Aku terpinga pinga. Setuju apa? Aku mengerutkan dahi. Perasaan gemuruh mula menguasai diri apabila aku tidak dapat menjawab soalan Pak Mid.

"Mesti Rose tak dengar kan?" Ujar Mak Mah.

Aku mengangguk perlahan. Aku tidak berani mengangkat muka kerana aku yakin Hamka sedang memandangku. Entah mengapa aku menjadi gugup apabila berada di hadapan Hamka.

"Nanti Rose keluar dengan Hamka. Beli baju, kan Rose takde baju nak pakai."

Oh. Jadi tadi mereka bualkan tentang aku.

Eh jap, keluar dengan Hamka?

Aku mengangkat muka dan memandang Pak Mid dan Mak Mah bersilih ganti meminta kepastian.

"Ke-keluar de-dengan Hamka?" Entah mengapa aku menjadi gagap tiba tiba.

Pak Mid dan Mak Mah tergelak kecil melihatkan reaksi aku. Manakala Hamka, masih seperti tadi. Memandang tepat ke arah wajahku tanpa sebarang senyuman.

"Ya, keluar dengan Hamka. Kenapa gagap macam tu? Anak mak cik tak makan orang." Ujar Mak Mah dengan ketawa yang masih bersisa.

Aku hanya tersenyum kecil. Tak tahu nak jawab apa sebenarnya kerana aku sendiri tak tahu jawapan kepada soalan Mak Mah. Sudahnya aku menyambung makan nasi dagang yang masih berbaki.

***

"Rose nak pergi beli baju kat mana?"

Akhirnya dia bersuara. Lembut sekali intonasinya, cukup berbeza dengan cara layanannya pagi tadi. Untuk kali ketiga aku mendengar suaranya yang cukup menggetarkan naluri kewanitaanku.

"Entah. Ikut je pergi mana pun." Aku menjawab tanpa memandang wajahnya. Segan.

Entah apa yang difikirkannya sekarang. Sudah tentu dia sedang berfikir tentang jijiknya aku sebagai seorang pelacur. Tapi, kenapa tutur katanya begitu lembut apabila berbicara denganku? Kelirunya. Tapi, apabila teringatkan kembali kedinginan layanannya kepadaku pagi tadi dan juga cara dia memandangku, aku yakin dia jijik denganku. Mungkin Pak Mid dan Mak Mah yang menyuruhnya agar melayanku dengan baik.

Hamka memarkirkan keretanya di hadapan sebuah pusat pakaian Hari Hari. Aku mengurut dada, lega kerana dia membawa aku ke sini. Bagaimana jika dia membawa aku ke Pavilion, atau One Utama? Mahu mati aku kerana tidak mempunyai duit yang cukup untuk membeli baju.

Aku memilih beberapa pasang baju kurung, skirt labuh dan blaus berlengan panjang. Tidak lupa juga pakaian dalam dan beberapa helai selendang untuk kegunaanku sementara tinggal di rumahnya. Aku sudah bertekad, selepas ini aku ingin pulang ke kampung dan menjaga ibu.

Sewaktu aku hendak membayar di kaunter, Hamka muncul dan menghulurkan beberapa keping not RM50 kepada penjaga kaunter. Aku hanya memandang terkebil kebil tanpa mampu membantah kerana penjaga kaunter itu sudah mengambil wang yang dihulurkan.

"Kenapa Hamka bayarkan? Rose kan ada duit sendiri." Soalku apabila kami sudah berada di dalam kereta.

Dia yang baru hendak mula memandu berpaling ke arahku.

"Dari mana Rose dapat duit tu?" Ujarnya sambil memandangku dengan muka yang serius. Seperti biasa, anak matanya tepat menikam ke dalam mataku. Kenapalah agaknya dia suka sangat pandang aku macam tu?

"R-rose k-k-kerja lah." Kataku sambil tergagap gagap.

"Rose kerja apa?" Tanyanya lagi.

Aku terdiam seribu bahasa. Bukannya dia tidak tahu pekerjaan yang aku lakukan. Sudah gaharu, cendana pula. Sudah tahu bertanya pula. Nah, kan dah keluar kata orang orang tua. Selalu aku dengar ibu berseloroh dengan orang sekampung.

"Rose tahu kan pekerjaan Rose tu pekerjaan haram? Jadi duit yang Rose dapat tu pun haramkan? Rose nak ke guna duit yang haram?"

Tersentak aku mendengar kata katanya. Tajam menusuk kalbu. Wajah yang tadinya diangkat memandangnya ditundukkan perlahan lahan. Malu.

"Rose lupakan semua benda tu. Mulakan hidup baru. Allah takkan pandang permulaan hidup seseorang, tapi Allah akan pandang pengakhiran hidup seseorang. Nanti Hamka nak Rose buang duit tu."

Aku dapat rasakan satu cairan hangat mengalir keluar dari kelopak mataku. Setitis demi setitis cairan itu jatuh membasahi kain yang dipakai. Hamka memberikan aku beberapa helai tisu untuk mengelap air mata yang gugur.

"Baguslah kalau Rose menangis. Tu tandanya Allah bukakan pintu hati Rose untuk menuju ke jalan-Nya. Balik nanti Hamka nak Rose solat taubat. Sekarang ikut Hamka ke salon. Hamka nak hitamkan balik rambut Rose yang berwarna merah tu. Seram Hamka tengok, macam rambut hantu."

Gurauannya mencuit hatiku. Aku tergelak kecil. Baik juga Hamka sebenarnya. Perasaan malu mula menebal kerana aku berfikiran negatif tentangnya.

Dalam perjalanan balik, aku menyuarakan hasratku untuk pulang ke kampung kepada Hamka. Awalnya aku ingin mengambil teksi sahaja untuk pulang, tetapi Hamka menawarkan diri untuk menghantarku. Katanya bayaran teksi mahal.

Keesokan harinya, Pak Mid, Mak Mah dan aku menaiki kereta Mercedez Benz yang dipandu oleh Hamka ke kampung kediamanku. Hatiku berbunga bunga kerana akhirnya aku dapat menemui ibu yang amat aku rindui. Sepanjang perjalanan, senyuman tidak lekang di bibirku. Aku ingin memohon keampunan daripada ibu kerana telah berdosa kepadanya.

Setibanya di teratak burukku, aku memberi salam berkali kali. Namun hampa kerana salamku tidak dijawab. Aku menuju ke rumah jiranku, Cik Da untuk bertanyakan tentang ibu.

"Assalamualaikum Cik Da." Aku menyapa Cik Da yang kebetulan ketika itu dia baru sahaja pulang dari kedai runcit. Aku dapat mengagak kerana di tangannya terdapat seplastik barangan dapur mungkin dibeli di kedai Pak Lah.

"Waalaikumussalam. Hah, kau nak apa? Sekarang baru reti nak balik?" Jawab Cik Da. Dalam diam, aku agak berkecil hati dengan layanannya. Sebelum ini, dia amat rapat dengan keluargaku walaupun penduduk kampung memulau kami sekeluarga.

"Maaf Cik Da. Haritu saya ke bandar, mencari kerja. Cik Da tahu ibu pergi mana?" Tanyaku dengan sopan santun. Tidak mahu mengguris hati tua itu walaupun dia berkasar denganku.

Cik Da menarik nafas panjang sebelum menjawab persoalan ku. "Ibu kau dah lama mati. Dia kena serangan jantung lepas tahu kau takde. Dia ingat kau pun nak lari tinggalkan dia macam adik beradik kau yang lain."

Terasa duniaku gelap. Lututku lemah. Ibu, ibu sudah tiada lagi. Satu satunya insan yang aku bergantung harap selama ini sudah meninggalkan aku. Air mata mula membanjiri pipiku. Serta merta pandanganku gelap.

Maafkan aku, ibu. Saat kau pergi, aku tiada di sampingmu bagi membantumu mengucap kalimah suci. Maafkan aku, ibu. Kerana akulah penyebab kematianmu. Maafkan aku, ibu. Ketahuilah, perginyamu tiada penggantinya. Tiada apa yang dapat aku lakukan melainkan menitipkan doa buat kesejahteraanmu di alam sana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience