"HANNA NADIRA!"
Hanna Nadira tidak mempedulikan panggilan Amir Raizil, sebaliknya dia meneruskan langkahnya melintasi jalan untuk mengejar Khairul Azwan, suaminya.
Hanna, kenapa Hanna tipu abang? Abang yakin anak dalam kandungan Hanna tu anak abang... Berserabut fikiran Azwan bila memikirkan apa yang didakwa oleh Amir Raizil sebentar tadi.
Aku betul-betul yakin dengan isteri aku, bisik hati Azwan lagi.
Azwan tidak menyedari isterinya, Hanna Nadira sedang mengejarnya dari belakang.
"Hanna! Hati-hati!!"
Tiba-tiba sahaja jeritan suara Amir Raizil yang memanggil Hanna Nadira menampar telinga Azwan. Dia menoleh ke belakang. Sebuah kereta sedang bergerak laju menghampiri isterinya. Azwan berlari sepantas yang mampu untuk menyelamatkan isterinya itu.
"Sayang, jaga-jaga!" laung Azwan.
Jeritan Azwan mengejutkan lamunan isterinya itu. Hanna Nadira baru sahaja menyedari bahawa dirinya kini sedang berada di tengah-tengah jalan raya. Dia terpaku bila mendapati sebuah kereta bergerak laju menghampirinya. Dia hanya mampu menutup pandangan matanya dengan lengan kanannya sahaja.
Ketika Hanna Nadira sudahpun memejamkan mata serapat-rapatnya, dia merasakan seolah-olah tubuhnya ditolak ke tepi oleh seseorang dan dengan serta-merta dia jatuh terduduk di bahu jalan.
Bammm!!
Satu dentuman yang kuat menggoncang gegendang pendengarannya. Gugur jantung Hanna Nadhira sebaik sahaja mendapati insan yang paling dicintainya kini sudah terbaring di tengah jalan serta dibanjiri oleh lautan darah.
"Abang!!"
Hanna Nadira cuba bangun untuk mendapatkan suaminya itu, namun pandangan matanya tiba-tiba kabur dan berpinar-pinar. Dia rebah dan tidak sedarkan diri di bahu jalan itu.
??????????
"WAN..."
Azwan memanggil adik kembarnya, Izwan yang sedang duduk di kerusi bersebelahan dengan katilnya di wad ICU itu.
"Ya abang... Wan ada di sini," jawab Izwan sambil menggenggam pergelangan tangan saudara kembarnya itu.
"Wan... abang nak Wan tolong abang... ttt... tol... tolong jaga Hanna untuk abang. Izwan tolong jaga dia untuk abang..." pinta Azwan dengan suara yang serak dan bergetar-getar itu.
"Hanna? Siapa Hanna tu? Wan tak kenal..." balas Izwan. Matanya sudah pun berkaca-kaca tak sanggup melihat keadaan saudara kembarnya yang penuh dengan lilitan wayar di seluruh badannya itu.
"Hanna... Hanna Nadira, isteri abang," balas Azwan lagi. Air matanya juga sudah berjuraian mengalir membasahi pipi.
"Macam mana Wan nak jaga dia? Wan tak kenal pun dia... abang pun kahwin senyap-senyap dengan dia..." ujar Izwan lagi. Kali ini dia tewas, air matanya yang ditahan dari tadi akhirnya tertumpah melimpah keluar juga seperti air terjun yang mengalir dari gunung.
"Mm... maa... maafkan abang... tolong abang, dik... tolong jagakan dia untuk abang... abang percayakan Wan..."
Sebaik sahaja ayat-ayat terakhir itu keluar dari mulut Azwan, dia terus kaku dan tidak sedarkan dirinya lagi.
"Abang... Abang?"
Izwan memanggil Azwan namun tiada tindak balas dari Azwan.
"Tidak... abang, jangan... jangan pergi tinggalkan Wan... abang!" rintih Izwan seraya memeluk tubuh saudara kembarnya itu dan menangis semahu-mahunya.
"Encik Izwan, maafkan kami... Encik Azwan tidak dapat diselamatkan lagi. Allah lebih sayangkan dia," kata Doktor Fareez sambil menepuk lembut bahu Izwan.
Izwan jatuh terduduk di atas lantai. Hatinya sedih yang teramat.
Abang Azwan... kenapa abang pergi tinggalkan Wan? Sembilan bulan sepuluh hari kita berkongsi dalam satu rahim yang sama, abang sangat rapat dan memahami Wan, monolog Izwan dalam hati.
Mm... maa... maafkan abang... tolong abang, dik... tolong jagakan dia untuk abang... abang percayakan Wan....
Permintaan terakhir Azwan yang baru sahaja dilafazkannya sebentar tadi kini berlegar semula di telinga dan minda Izwan.
Hanna... di mana aku nak cari dia? getus hati Izwan.
Share this novel