Haziq buat endah tak endah dengan soalan ibunya. Serabut betul fikirannya. Bila keluar rumah, dia serabut dengan manusia bernama Aliya Raihana. Bila balik rumah, dia serabut dengan ibunya pula. Tak habis-habis mendesaknya, memaksa Haziq berkahwin dengan secepat mungkin. Hari ini, sekali lagi isu tersebut dibangkitkan.
“Kamu dengar tak apa yang ibu cakap ni?” Latifah semakin bengang apabila Haziq buat tidak endah. Kenapalah dengan anaknya yang satu ni? Suruh kahwin, liat sangat. Empat orang adik perempuan Haziq semuanya dah kahwin.. Yang baru berumur 21 tahun pun dah selamat berumahtangga, tapi Haziq ?
“Dengar.. Ibu ni, janganlah risau sangat.. Belum sampai seru daripada-Nya.. ” jawab Haziq sambil tangannya diangkat, seolah-olah sedang berdoa. Sikap ketam Latifah mulai menyerang. Habis peha anaknya itu dicubit. “Kalau ibu cakap tu, jangan nak menjawab je, la !” Haziq terjerit-jerit, cuba mengelak daripada cubitan ketam ibunya.
“Ibu suruh kamu kahwin je, bukannya susah sangat ! Haziq, umur ibu ni dah tua . Bila-bila je boleh jalan.. Ibu nak jugak merasa menantu perempuan kat rumah ni. Adik-adik kamu tu semua perempuan, ibu cuma ada menantu lelaki je, tau tak ?” Di dalam hati, Haziq sudah boleh meniru dialog ibunya itu. Alah ibu ni, dah selalu sangat bagi ayat ni.. Bagilah ayat lain.. Omel Haziq di dalam hatinya.
Haziq meletakkan majalah yang dibacanya di atas sofa lalu membetulkan duduknya. “Ibu.. Apa kata ibu jangan nak berdramatik sangat ? Ya Allah, ajal maut jodoh pertemuan perpisahan.. Semua tu kat tangan Dia.. Cubalah ibu bersabar, doakan jodoh yang terbaik untuk anak ibu ni..” jawab Haziq dengan selambanya. Latifah menghela nafas panjang. Ya Allah, berilah aku kekuatan nak berhadapan dengan anak lelaki aku ni…
“Ala, bang.. Ibu tu sebenarnya gelabah nak suruh abang kahwin, sebab ibu takut abang..” Entah dari mana munculnya Wahida, adik bongsu Haziq, Haziq tidak tahu. Dia cuma mahu tahu apa yang Wahida cuba sampaikan dan kenapa ibunya menjegilkan matanya kepada Wahida.
“Oops, sorry.. Adik termasuk campur pulak..” Wahida tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila Latifah memberi isyarat ‘Kalau kau beritahu Haziq, siap kau ibu kerjakan ! ‘. Haziq mula tidak senang duduk. Apa ni?
“Ibu takut abang apa?” soal Haziq cemas. Tiba-tiba anak buah Haziq, Ixora datang mendekatinya. Ixora ialah anak saudaranya, iaitu anak kepada adik ketiganya, Wardina. Ixora yang petah bersuara itu mendekati ‘Papa’nya. Di dalam keluarga Haziq, semua anak buahnya memanggilnya ‘Papa’. Itu semua atas permintaan Haziq sendiri, yang tidak mahu terasa tua dengan panggilan ‘Pak Long’. Nampak tak mengada-ngadanya kat situ ?
“Papa, papa..” Ixora mula bersuara setelah Haziq memangkunya. “Gay tu apa, Papa ?” soal si kecil Ixora. Mahu terjerit semua yang ada di situ, terutamanya Haziq. Macam mana budak 5 tahun ni boleh tahu perkataan ‘gay’ tu ?! Haziq memandang Latifah yang mulai gelabah, sementara Wahida mula menggigit bibir bawahnya.
“Sayang.. Mana sayang dengar perkataan tu ?” Haziq mula menjalankan tugasnya untuk bertanya. Ixora mengeluarkan jemarinya. Sambil menyenaraikan, dia menghitung sekali.
“Nenek, ibu, ayah, mak ngah, pak ngah, mak lang, pak lang, mak su, pak su.. 9 orang cakap perkataan gay tu Papa.. Tapi Ixora tak tahu pun apa maksud dia.. Apa maksud dia, Papa ?” Mencerlang mata Haziq tika itu. Kalau dah satu keluarganya bercakap tentang ‘gay’ kecuali dia, apa lagi maksudnya ? Latifah dan Wahida sudah tidak senang duduk. Nak salahkan Ixora, anak itu masih kecil lagi. Apa yang Ixora tahu, hanyalah jujur bila ditanya.
Baru sahaja Haziq mahu membuka mulut untuk bersuara, telefon rumah berbunyi. Laju akal Haziq berfungsi, dia menyuruh Ixora menjawab panggilan tersebut. Pastinya itu daripada Wardina, yang baru sahaja sampai ke London. Mustahil Wirda yang menelefon kerana dia sekarang berada di Jepun, bersiar-siar bersama suaminya. Setelah yakin Ixora tiada, Haziq bersuara.
“Apa maksud Ixora ? Kenapa korang cakap pasal gay ?” Keras nada Haziq. Dia sedar, dia tidak sepatutnya sebegitu tetapi ini maruahnya. Selalai-lalai dia, dia tak pernah buat perkara terkutuk tu!
“Err.. Se.. Sebenarnya..” Wahida sudah tergagap-gagap. Haziq memandang Latifah pula, meminta jawapan daripada Latifah. Ibunya itu membuat muka tidak berdosa. “Jangan nak pandang ibu macam tu.. Apa ? Kamu yang tak nak kahwin. Mestilah kami semua risau !” Latifah cuba membela dirinya. Sejujurnya, itulah yang dia sekeluarga takutkan. Mereka bimbang jika Haziq tersasar dari landasan yang sepatutnya.
Haziq meraup wajahnya sambil beristighfar berkali-kali. Tak sangka begitu sekali tanggapan keluarganya terhadap dirinya. Wahida mula serba salah.
“Ya Allah, ibu.. Sumpah demi Allah, anak ibu ni masih lagi kat jalan yang lurus.. Haziq tak buat benda tak senonoh tu..”
“Kalau macam tu, kenapa susah sangat kamu nak bernikah? Setiap kali, ada je alasan kamu nak mengelak..” balas Latifah pula. Haziq terdiam. Sebenarnya, ada sesuatu yang dia rahsiakan daripada semua. Sesuatu yang membuatkan Haziq sukar untuk menerima mana-mana perempuan dalam hidupnya.
“Ibu tak peduli! Ibu nak kamu kahwin jugak! Kalau kamu tak kahwin dalam masa terdekat ni, ibu pinang je mana-mana perempuan untuk kamu!” Akhirnya Latifah mengeluarkan kuasa vetonya. Dia terus berlalu, mendaki anak tangga dan menghilang ke bilik. Haziq mengeluh dengan kuat.
Wahida yang merasa ketegangan di antara dua beranak itu mendekati Haziq. Perlahan, jemari Haziq digenggamnya. “Abang..” Lembut Wahida memanggil abangnya. Haziq menoleh.
“Adik tahu, kami salah.. Tapi abang pun kena jaga maruah kami sekeluarga.. Kami berempat dah kahwin, Kak Dina tu siap ada Ixora lagi.. Tapi abang? Ibu cuma takut, takut kalau apa yang orang lain cakap tu betul.. Ibu nak buktikan pada diorang, yang anak ibu tak pernah tersasar dari jalan-Nya. Lagipun abang tahu kan apa impian ibu? Ibu nak luangkan masa dengan menantu perempuan dia.. Satu-satunya menantu yang mampu cairkan hati anak lelaki dia..”
Sekali lagi, Haziq terasa bagai ada batu besar menghempap bahunya. Apatah lagi bila melihatkan wajah Wahida yang penuh mengharap.
Share this novel