Malam itu hujan turun dengan lebat, lebat yang luarbiasa. Bercerau-cerau bunyi bumbung dewan itu ditujah dengan air hujan. Langit pula terasa seperti mahu runtuh dengan dentuman guruh yang tidak berhenti-henti sejak petang tadi. Masing-masing di dalam pusat pemindahan banjir itu kecut perut dibuatnya. Pakat-pakat mereka semua mengaji Quran dan membilang biji tasbih dengan zikrullah.
Ammar sekali lagi menyendiri selepas surah Yasin ditamatkan bacaannya sebentar tadi. Dia memegang bahagian dadanya yang sedari waktu Asar lagi, berdebar-debar tanpa punca. Ubunnya berdenyut-denyut.
“Awak nampak pucat,” Mawar yang masih bertelekung, menegur Ammar yang sedang asyik melayan perasaan.
“Awak suka muncul tiba-tiba,” Ammar mengurut dadanya. Melihat Mawar dalam persalinan putih itu membuatnya tersentak. Tetapi menatap lunak wajah tenang Mawar, jiwanya turut terkena tempias ketenangan itu.
“Terkejut ek! He...he...he...”
“Mahunya tak?”
“Awak tak jawab soalan saya tadi, Ammar. Kenapa awak nampak pucat malam ni?”
“Sebab saya kurang tidur, kurang makan, kurang apa lagi?”
“Kurang asam! He...he...he...”
Ammar membuat muka geram. Pipinya sengaja dikembungkan. Mawar meletus tawanya. Halus dan cukup memikat hati. Ammar terus jerlus ke dasar hati.
Rasa fitrah bergelora dalam diam.
Share this novel