BAB 6

Romance Completed 7632

Getaran telefon bimbit Latif yang bergerak atas meja bilik tidur membuatkan Lydia terjaga dari tidurnya yang lena. Lampu tidur yang bewarna kuning malap itu menerangi bilik yang kelihatan samar-samar dalam kegelapan malam. Dapat dilihat jam di dinding menunjukkan pukul tiga pagi.

Lydia melorotkan selimut yang dipakainya. Badannya disandarkan ke kepala katil. Matanya disorotkan ke arah Latif disebelah yang masih lena diulit mimpi. Pantas tangannya menyelimuti badan Latif yang dilihat meringkuk itu. Barangkali suaminya itu kesejukan.

Sekali lagi telefon bimbit Latif bergetar di atas meja kecil itu. Kali ini lebih lama.

‘Mungkin panggilan penting,’ bisik hati Lydia. Lantas, Lydia bangkit dari katil dan kakinya menuju ke meja kecil itu. Skrin telefon bimbit itu masih menyala-nyala menanti panggilannya bersambut.

Hatinya berdebar. Matanya terpaku pada nama yang tertera di skrin telefon bimbit itu. Kakinya kaku. Terasa badannya sejuk tiba-tiba.

‘Aku harus mencari tahu siapa pemanggil ini,’ kata hati Lydia memberi semangat dan keyakinan kepadanya.

Melihat Latif yang masih tidur lena, dengan pantas telefon itu dicapai dan Lydia melangkah dengan cepat ke pintu bilik dan meloloskan diri keluar daripada bilik tidur itu.

Lydia masih menanti pemanggil tadi menelefon kembali di ruang tamu yang hanya diterangi oleh biasan cahaya lampu daripada jalan raya. Dan telefon itu bergetar lagi. Kali ini, tertera dengan jelas nama di skrin. Tasya Darling.

‘Tasya Darling,’ bisik hati Lydia.

Tangannya pantas menekan butang menerima panggilan dan kedengaran suara seorang wanita di hujung talian.

“Abanggggg,” suara itu merengek manja.

Lydia diam. Dia tahu pasti suara itu mahu mendengar suara Latif. Hatinya bergelora. Masih menanti ayat seterusnya daripada wanita itu.

“Abangggg sayang sejuk. Peluk sayang….” Rengeknya lagi.

Kali ini mulut Lydia ternganga luas. Peluk? Peluk siapa? Siapa yang disuruh peluk oleh wanita itu?

“Abang kenapa diam ni. Penat tau sayang tunggu abang peluk sayang. Abang tak telefon sayang pun sebelum tidur tadi,” suara itu berbicara lagi dengan nada menggoda.

Lydia masih mendiamkan diri. Dia tidak tahu apa yang harus diucapkannya kali ini. Terasa dirinya begitu kerdil saat ini apabila mendapat tahu suaminya bermain kayu tiga dibelakangnya. Malah Lydia merasakan hubungan suaminya dengan wanita ini bukan calang-calang. Sudah pandai berpeluk bagai.

“Abang mengantuk sangatlah tu sampai tak nak cakap dengan sayang. Meh sayang peluk abang. Sayang cium pipi abang ya,” ujar Tasya lagi. Kali ini lebih menggoda.

Kali ini, Lydia sudah tidak mampu lagi untuk menadah telinganya mendengar kata-kata wanita itu. Semakin lama dia mendengar, semakin hancur hatinya. Talian diputuskan.

Lydia bersandar di sofa itu. Mengingat kembali kata-kata wanita tadi, pantas Lydia membuka peti simpanan pesanan ringkas di telefon suaminya. Di lihat satu-persatu pesanan ringkas yang diterima oleh Latif. Hampir semuanya daripada wanita bernama Tasya tadi.

Paling menyayat hati apabila pesanan ringkas ini dibacanya.

‘Tasya sayang abang sangat-sangat. Tak sabar nak tunggu abang ceraikan Lydia tu. Sakit hati Tasya dengar abang cerita dia tak pandai layan makan minum abang. Tak pandai layan keperluan abang. Abang cepat-cepatlah ceraikan dia. Tasya boleh layan abang setiap saat.’

Air mata berjuraian juga akhirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience