BB - BAB 19

Drama Completed 309187

"SAYA berkahwin dengan awak, sebab saya sayangkan awak". Ucap Taufiq sambil memandang Qaireena yang sedang melangkah untuk keluar dari dapur.

Serta merta langkah Qaireena terhenti saat mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Taufiq.  Perlahan dia menoleh ke arah lelaki itu, pandangannya melekat ke wajah Taufiq.  Suasana di dapur itu sunyi seketika, sehinggakan dia dapat mendengar sendiri degupan jantungnya yang tidak lagi seirama.  Melihat Qaireena yang berdiri kaku di situ, Taufiq sekali lagi bersuara dalam keadaan tenang.

"Tapi saya tahu awak tak mungkin akan terima saya disebabkan jarak usia antara kita. Dan  saya tahu yang awak sebenarnya cintakan Nasrul". Tambah Taufiq lembut. Senyuman kelat terukir dibibirnya bersama wajah yang ditundukkan. 

Qaireena masih lagi diam tanpa bicara.  Dia benar-benar terkejut mendengar luahan hati Taufiq itu. 

"Awak jangan risau, saya akan serahkan awak pada Nasrul bila dia dah habis belajar nanti dan dia dapat menjaga serta melindungi awak.  Sebab saya pun nak tengok awak hidup bahagia bersama orang yang awak cintai, bukannya dengan saya, orang yang terpaksa awak kahwini.  Tapi buat masa sekarang ni, izinkan saya berada di sisi awak untuk menemani dan melindungi awak, sebab saya tak nak awak bersendirian dan saya tak nak ada sesiapa yang mengganggu hidup awak lagi.  Bukan kerana simpati, tetapi kerana awak adalah orang yang saya sayangi". Taufiq kemudian keluar dari dapur itu sambil membawa ayam yang telah siap digorengnya bersama sayur yang sudah dimasaknya sebentar tadi untuk diletak di atas meja makan.

Apabila dia masuk semula ke dapur, dilihatnya Qaireena masih lagi tidak berganjak dari situ. 

"Reen...". Panggil Taufiq. Qaireena menoleh ke arah Taufiq apabila namanya di panggil oleh lelaki itu.

"Mari makan". Ajak Taufiq lembut.

Qaireena melangkah keluar dari dapur kemudian duduk di meja makan.  Otaknya masih lagi memikirkan kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu sebentar tadi.  Dia seolah-olah tidak  percaya dengan apa yang didengarinya tetapi dalam masa yang sama hatinya sakit apabila lelaki itu mengaitkan dirinya dengan Nasrul.

Suasana di meja makan itu sunyi, masing-masing diam melayan perasaan. Taufiq mengerling ke arah Qaireena yang sedang menguis-nguis nasi di dalam pinggan.  Terbit rasa bersalah dihatinya kerana telah membuat wanita itu runsing.

Dia tahu, waktu itu bukanlah waktu yang sesuai untuk dia berterus terang tentang hati dan perasaannya kepada Qaireena,  memandangkan wanita itu masih lagi bersedih dengan pemergian Qaisara.  Tetapi dia tidak mahu Qaireena terus-terusan menganggap bahawa dirinya itu menyusahkan.

~~~

Usai menunaikan solat Isyak, Qaireena duduk termenung di atas katil.  Kata-kata Taufiq siang tadi masih lagi bermain difikirannya.  Tiba-tiba dia teringat pesan  arwah Puan Qamariyah kepadanya sewaktu ibunya itu masih hidup. 

***
Ketika itu dia dan Qaisara asyik memuji-muji kekacakan seorang pelakon korea. Mereka saling berebut mengatakan bahawa pelakon tersebut adalah teman lelaki masing-masing sehinggakan di dengar oleh Puan Qamariyah. 

"Kalau nak cari pasangan, jangan hanya pandang kekacakan seseorang lelaki itu, tetapi pandanglah keikhlasan hatinya untuk sehidup dan semati dengan kita". Kata Puan Qamariyah.

"Alah...kami gurau jelah ibu, Reen suka tengok muka Park Seo Joon tu comel je kan Sara.  Lagipun Reen dan Sara masih muda lagi.  Reen baru je habis SPM, lama lagi nak fikir pasal calon suami".  Ujar Qaireena sambil tersengih.

"Emm..yalah tu. Ibu nak ingatkan je anak-anak dara ibu ni, sebab perkara paling penting dalam hidup seorang wanita adalah memilih suami.  Seorang wanita akan dikatakan malang apabila dia tersalah pilih suami". Tutur Puan Qamariyah.

"Haa betullah tu ibu, sebab kalau dapat suami tak kacak, nanti anak pun tak comel kan ibu?". Kata Qaisara pula.  Puan Qamariyah yang mendengar ketika itu terus tertawa kecil.

"Tak sayang, bukan pasal tu.  Tersalah pilih suami tu maksud ibu, bersuamikan lelaki yang kurang pengetahuan agama tetapi sombong dan tak mahu belajar, tak menghormati wanita, tak ikhlas menerima kekurangan isteri dan kaki pukul.  Kalau harap wajah je kacak tapi semua sikap tu ada pada dia, malanglah wanita yang akan menjadi isteri dia.  Kenapa dikatakan malang? Sebab kita berkahwin bukan hanya untuk hari ini, esok, seminggu atau sebulan, kita akan hidup bersama dia sehinggalah akhir hayat.  Macam mana kita nak kecapi kebahagian kalau dapat suami yang bersikap macam tu". Qaireena dan Qaisara terangguk-angguk mendengar penjelasan Puan Qamariyah.

"Jadi, ibu kira bertuahlah bersuamikan ayah, sebab semua sikap tu tak ada pada ayah, kan ibu". Ujar Qaisara.

"Ya, ibu adalah orang yang bertuah kerana memiliki ayah". Jawab Puan Qamariyah dengan senyuman.

***

Tanpa sedar airmata Qaireena mengalir apabila teringatkan kata-kata Puan Qamariyah itu.

Ya, ibunya bertuah kerana memiliki ayahnya sebagai suami.  Ayah seorang yang lembut bila berkata-kata namun tetap terselit ketegasan, baik hati, sentiasa mengambil berat dan penyayang.

Qaireena cuba pula mengingati semula segala perlakuan Taufiq kepadanya selama beberapa minggu lelaki itu bergelar suaminya. Sikap lelaki itu hampir sama seperti sikap arwah ayahnya yang penyayang dan mengambil berat.  Lihat sahajalah bagaimana dia mengambil berat tentang kehidupan mereka dua beradik sehinggakan Qaisara begitu mudah dapat menerima lelaki itu sebagai abang iparnya.

Tentang Nasrul, Qaireena akui bahawa lelaki itu seorang yang baik, sentiasa memberinya nasihat dan semangat.  Namun sikapnya yang terlalu cepat melatah dan menghukum itu betul-betul telah mengecewakan Qaireena. Dia sendiri tidak pasti bagaimana pula jika lelaki itu yang menjadi suaminya, mungkinkah mereka akan sering berbalah hanya kerana hal-hal kecil?

Satu keluhan berat meniti di bibir Qaireena.  Hanya kerana luahan lelaki itu, dia berfikir sejauh ini.

Taufiq keluar dari bilik, matanya memandang ke arah bilik Qaireena.  Dari petang wanita itu langsung tidak keluar dari bilik, malah ketika di panggil untuk menikmati makan malam pun wanita itu tidak mahu atas alasan dia tidak lapar.  Sungguh hatinya risau memikirkan Qaireena, dia tidak mahu wanita itu bersedih seperti semalam.

Lama Taufiq berdiri di depan pintu Qaireena, dia mahu mengetuk pintu itu tetapi dia bimbang jika nanti dia mengganggu tidur wanita itu.  Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membuka sahaja pintu bilik tersebut untuk melihat sama ada Qaireena sudah tidur atau belum.

Ketika pintu  terbuka, dilihatnya Qaireena sudah pun tertidur dengan lampu yang masih menyala. Perlahan dia mendekati wanita itu dan menarik selimut sehingga ke paras dada Qaireena.  Satu kucupan lembut hinggap di dahi Qaireena, sebelum dia mematikan lampu dan keluar dari bilik wanita itu.

Qaireena membuka matanya apabila dia sudah mendengar pintu bilik di tutup dengan rapat. Ya, ketika mendengar suara tombol pintu biliknya dipulas sebentar tadi, Qaireena terus berpura-pura tidur kerana tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu.

••••••••••

Selepas selesai menunaikan solat subuh, Taufiq keluar dari biliknya dan mengetuk pintu bilik Qaireena.  Berulang kali Taufiq mengetuk pintu bilik itu tetapi Qaireena masih tidak bersuara atau membuka pintu tersebut.

Taufiq terus memulas tombol pintu, dilihatya Qaireena masih tertidur sedangkan waktu subuh sudah pun tamat.

"Reen..Reen..bangun, awak dah terlepas subuh ni". Kejut Taufiq lembut. 

"Reen...Reen...bangun". Kejut Taufiq lagi sambil menyentuh pipi Qaireena.  Dia sedikit terkejut apabila merasa pipi Qaireena yang agak panas itu.  Cepat-cepat tangannya dialihkan pula ke dahi wanita itu.

"Awak demam ni, badan awak panaslah". Kata Taufiq dengan tangan yang masih berada di dahi Qaireena.  Perlahan Qaireena membuka matanya.

"Bangun, bersihkan badan lepas tu saya bawa awak pergi klinik". Arah Taufiq apabila dilihatnya Qaireena sudah pun bangun.

"Demam biasa je, lepas makan panadol nanti, okaylah tu".  Jawab Qaireena dengan suara seraknya yang baru bangun tidur.

"No, bangun, mandi dan kita pergi klinik". Tegas Taufiq walaupun suaranya masih lembut. 

"Alaa...sikit je ni, tak perlulah nak pergi klinik.  Reen boleh tahan lagi". Kata Qaireena lagi.

"Awak rasa nak bangun mandi sendiri ke atau nak saya angkat dan mandi kan awak?". Soal Taufiq sambil memandang tepat ke wajah .

Perlahan Qaireena bangun kemudian menapak menuju ke bilik mandi, tetapi belum sempat dia sampai ke pintu bilik mandi Qaireena sudah pun duduk mencangkung di atas lantai sambil memegang kepalanya.

"Reen, awak okay ke ni?". Tanya Taufiq apabila melihat Qaireena tidak jadi menapak ke bilik mandi.

"Reen pening, rasa nak pitam, tak larat nak jalan". Jawab Qaireena sambil menekup mukanya di kepala lutut.

Taufiq mendekati Qaireena, bahu wanita itu  dipegangnya dan dia membantu Qaireena berdiri. Dibawa wanita itu duduk di katil semula.

"Awak tahu tak kenapa awak jadi macam ni? Sebab awak kurang minum air dan awak tak nak makan.  Semalam pula duduk lama dekat bawah panas matahari masa lawat kubur". Ujar Taufiq lembut.  Dia sebenarnya risau melihat keadaan Qaireena itu.

"Sekejap lagi, bila pening Reen hilang, Reen pergi mandi". Kata Qaireena yang sudah pun baring semula di atas katil.

~~~

Taufiq memeluk bahu Qaireena sambil melangkah masuk ke dalam klinik.  Mujurlah hari itu tidak terlalu ramai pesakit di klinik tersebut dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

"So, Puan Qaireena kena minum air yang banyak dan makan.  Badan kita perlukan tenaga Puan, kalau Puan tak makan dari mana badan Puan mahu mendapatkan sumber tenaga. Bimbang nanti sakit Puan semakin melarat dan jika terlalu banyak kekurangan air, boleh menyebabkan dehydration".  Kata doctor Am.

"Baik doktor". Jawab Qaireena. Kepalanya hanya ditundukkan.

"Lepas ni dah boleh ambil ubat dekat kaunter farmasi ya".  Pesan doktor Am.

Qaireena menganggukkan kepalanya sambil cuba mengukir senyuman.  Taufiq mengucapkan terima kasih kepada doktor Am kemudian memimpin tangan Qaireena keluar dari bilik rawatan tersebut.

Setelah mengambil ubat Qaireena, Taufiq terus memandu pulang ke rumahnya.  Qaireena yang sudahpun tertidur di sebelahnya dipandang sekilas.  Sungguh dia benar-benar risau melihat keadaan wanita itu.

Mak Leha membawa sup ayam dan nasi ke dalam bilik Qaireena. 

"Terima kasih Mak Leha". Ucap Taufiq  dengan senyuman.  Dia kemudian menoleh ke arah Qaireena yang sedang berbaring di atas katil.

"Reen, makan dulu ya.  Lepas tu makan ubat dan berehat".  Kata Taufiq pada Qaireena.

"Kenapa tak hidang dekat bawah je, Reen boleh turun makan dekat bawah, bukannya Reen tak boleh berjalan langsung". Ujar Qaireena sambil memandang sup dan nasi yang dihidang oleh Mak Leha di dalam biliknya itu.

"Badan awak tu masih lemah lagi sebab tu saya minta Mak Leha hantar dekat atas".  Kata Taufiq lembut sambil memandang wajah Qaireena.

Qaireena diam apabila mendengar jawapan Taufiq.  Sudu sup dicapai dan sup di dalam mangkuk di hirup perlahan.  Nasi juga turut di suap ke dalam mulutnya.  Taufiq tersenyum lega melihat Qaireena yang sudah mahu makan.

Happy Reading korang:-) sorry lambat update...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience