37

Romance Completed 132664

Hazim tekun mendengar penjelasan dari Azizah tentang cara-cara untuk membersihkan badan Hana. Puas Hazim meyakinkan ibu mertuanya, bahawa dia sendiri ingin melakukan rutin itu. Lalu macam-macam nasihat diberikan Azizah memandangkan itu adalah kali pertama Hazim ingin menguruskan mandi dan pakaian isteri.

Tuala dan air bersih sudah tersedia. Hana sengih melihat kesungguhan Hazim pagi itu. Perlahan-lahan alas di kepalanya ditanggalkan.

Hana lekas tunduk malu apabila Hazim pandang kepalanya yang gondol. Mungkin terkejut melihat 'wajah baru' Hana.

"I look like crap..." Hana meraba-raba ingin menutup kepala yang kini botak sepenuhnya.

"No, baby. It's okay." Hazim menghalang tangan Hana yang ingin melindungi diri.

"It's okay."

Pakaian hospitalnya pula dilucutkan berhati-hati lalu ditutup dengan tuala. Sehelai tuala kecil direndam dengan air, sebelum dilapkan ke tubuh Hana.

Hana diam tak berkutik. Malu bila suami sendiri yang membersihkan dia. Tersentuh melihat Hazim melayaninya dengan begitu baik.

"Wanginya sayang abang ni." Hazim mencium ubun-ubun Hana, dan mencuit hidung gadia itu setelah tugasnya selesai.

"Terima kasih abang..." Hana ukir senyum malu.

Sudah berpakaian bersih, Hana teringat bahawa hari ini ibu mertuanya mahu datang melawat.

.
.

Hazim mengeluarkan telefon bimbit yang bergetar, menandakan ada panggilan masuk. Nama Azleen terpapar di skrin hadapan. Lama Hazim berfikir sebelum mengambil keputusan untuk menjawab.

Hazim meninggalkan uminya bersama Hana, senang hatinya melihat Noor dan Hana berbual bersama. Walaupun Hana agak kurang bermaya, tetap dilayan apabila Noor bertanya macam-macam.

Noor menggenggam tangan Hana yang kesejukan.

"Cepat sihat ye, Hana.. Umi doakan."

"Terima kasih umi."

"Ayah Hazim, dia sibuk. Tak dapat datang. Nanti bila-bila Hana dah sihat, umi suruh Hazim bawak datang rumah umi ye." kata-kata Noor penuh harapan.

Rasa bersalah teramat kepada satu-satunya menantu ini. Rashed masih lagi berkeras tidak mahu berjumpa dengan pilihan hati Hazim, terpaksalah dia beralasan.

Melihat wajah polos itu, tahulah dia mengapa Hazim tertarik dengan Hana. Budi bicara yang lembut dan hormatnya kepada orang tua. Baginya memang sedikit berlainan dengan sikap bekas menantu yang seorang lagi.

"Umi kirim salam kat ayah ye, cakap Hana minta maaf banyak-banyak.."

Pandangan dalam Hana terhadap Noor sedikit sebanyak membuat dia rasa sedih. Tidak pasti mengapa Hana bilang begitu, namun dia tidak mahu banyak bertanya.

"Inshaallah. Umi pun minta maaf sangat-sangat dekat Hana. Harap Hana pun dapat maafkan anak umi."

"Umi maafkan salah silap Hana ye. Restukan hubungan Hana dengan Hazim.."

"Umi restukan, sayang. Umi nak anak-anak umi bahagia. Umi tahu Azim bahagia dengan Hana." tersentuh Noor dengan permintaan Hana.

Hazim mundar mandir di suatu sudut. Terfikir akan keputusan yang baru dibuat. Azleen hendak ke mari. Hazim sudah bimbang dengan penerimaan Hana.

Tampang muka Hazim diraup beberapa kali. Kemungkinan, Hana masih trauma dengan apa yang telah terjadi. Bagaimana jika Hana tidak mahu melihat Azleen lagi?

Noor yang baru keluar dari bilik wad Hana mendapatkan Hazim yang kelihatan runsing. Bahu anak lelakinya di sentuh, terkejut Hazim dibuatnya.

"Kenapa ni Azim?"

"Ah? Er— takda apa. Umi dah nak balik ke?"

"Umi nak jumpa mak ayah Hana kejap. Pastu umi nak balik lah."

"Oh.. okey. Mak ayah Hana ada dekat cafe."

"Takpa lah kalau macam tu, biar umi pergi jumpa dia orang. Kejap ye. Azim ok tak ni? Macam ada masalah je?" Noor meminta kepastian.

Sudah masak dengan telatah Hazim. Kerutan di dahi lelaki berusia 30-an itu menandakan dia sedang dilanda masalah.

"Hmm... sebenarnya kawan Azim nak datang nanti, nak tengok Hana. Umi nak tunggu ke?"

"Tak apa lah, nanti ibu suruh la driver ayah datang. Azim duduk aje sini teman Hana."

Hazim sekadar mengangguk faham. Berpeluh sudah dahinya. Lantas kembali mendapatkan isterinya.

Kepala yang dari pagi tadi terasa mencucuk-cucuk ditahan Hana. Melihat Hazim yang datang mendekat, Hana segera memaniskan wajah. Tidak mahu sekiranya Hazim risau melihat keadaan dia.

"Hey... you okay?" Hazim duduk di sebelah katil mengusap lengan Hana. Jelas terpapar keletihan di wajah isterinya, Hazim makin bimbang.

"Okay." jawab Hana. Sebelah lagi tangan mencengkam erat alas katil, tanpa dilihat Hazim.

"Ada orang nak jumpa Ati.." bisik Hazim.

.

Azleen memegang erat tali beg sandang yang dibawa. Terpaku dia melihat sekujur tubuh Hana yang terlantar, lesu. Serta merta tubir mata basah. Wajah sayu Hana masih memandangnya seperti selalu.

Tiada riak marah, atau benci di wajah sahabatnya itu. Sahabat lama yang telah dia buang sebelum ini. Betapa kejammya dia terhadap Hana.

"H—Hana..." terketar-ketar Azleen mendekati Hana, mulut ditakup agar tangisan tak terhambur.

"Leen.. " suara serak-serak Hana menyambut panggilan Azleen.

Apabila jari Hana bersulaman antara jarinya, Azleen tidak mampu menahan sebak. Wajah dipalingkan ke arah lain kerana malu. Malu terhadap diri sendiri.

Tangan Hana dibawa ke dalam genggaman. Berharap agar Hana dapat memaafkan segala kesalahannya terhadap gadis itu.

"Maafkan aku.. Hana.. aku dah tahu perkara sebenar, Hana.. Aku minta maaf..."

"Aku dah fitnah kau macam-macam, aku tak patut buat kau macam tu.... kau kawan aku... maafkan aku, Hana!" Azleen berasa hina di hadapan Hana sedangkan suatu masa dahulu dia pernah mencaci Hana yang bukan-bukan.

"Aku maafkan, Leen... bukan salah kau.. "

"Aku tak tahu kau sakit, Hana.. Apa jenis kawan aku ni?!"

Azleen mendapat tahu, waktu Hana semakin suntuk. Hancur hati saat melihat keadaan Hana yang sudah tidak serupa dulu.

Cuma hatinya, hati Atilia Hana yang masih kekal tulus seperti selalu. Tidak mudah melatah, jauh sekali membenci dan mencaci orang lain.

"Kau tetap kawan aku, Leen.. Salah aku sebab berahsia dengan kau." Hana ukir senyum sambil menyeka air mata di pipi Azleen.

Dalam hatinya senang, dia gembira melihat kedatangan Azleen. Rindu pada rakan kerjanya itu. Persahabatan yang terjalin bertahun-tahun itu amat berharga buatnya.

"Aku terkejut..Sepatutnya aku tak cepat percaya kata orang.. Aku tak patut fitnah kawan aku sendiri." Azleen menggeleng kepala mengenangkan berita tentang Hana dan Hazim yang sudah lama menjalin hubungan, sungguh dia tidak sangka.

"Takpe Leen, benda dah lepas.." Hana serba salah, lama dia simpan rahsia itu.

"Aku rindu kau kat tempat kerja. Aku sunyi bila kau takda Hana. ." Bersama Hana mengingatkan dia waktu mereka masih berkawan baik.

Sejujurnya setelah Hana berhenti bertugas, dia kesepian. Walaupun cuba rapat dengan Qistina, Azleen merasa bagai ada satu perasaan sunyi yang amat. Selama ini Hana sahaja pendengar setia dia berceloteh.

"Aku pun rindu kau... terima kasih datang jenguk aku."

Hazim membiarkan dua sahabat itu saling berbicara sementara dia keluar dari situ. Lega melihat Hana menyambut baik kedatangan Azleen. Kalau dia di tempat Hana, belum tentu dia mampu memaafkan.

Itulah kekuatan yang ada pada isterinya, mudah memberi maaf walau seribu kali disakiti.

.

Selesai menunaikan solat Isyak, Hazim menadah doa buat Yang Maha Besar. Panjang doanya kali ini. Tidak henti-henti dia memuji kebesaran Illahi sambil meminta hajat.

Serasa waktunya dengan Hana semakin singkat. Hati senantiasa berdebar-debar.
Bagaikan bila-bila masa sahaja dia bakal menerima berita buruk.

Meninggalkan surau hospital, Hazim berjalan kembali ke wad Hana. Hajatnya malam ini dia mahu menemani si isteri sambai besok pagi.

Dalam perjalanan ke wad, Hazim sempat melewati bahagian yang menempatkan bayi-bayi yang baru lahir. Hatinya tercuit untuk melihat dari luar dinding kaca.

Wajah anak kecil yang sedang tidur pulas menyejukkan pandangan. Teringin untuk menimang cahaya mata sendiri, namun belum rezekinya lagi.

Kalau bukan kerana dia dan Hana sering mengambil langkah-langkah pencegahan, pasti kini Hana sudah hamil. Hazim senyum sendiri membayangkan perut isterinya membesar kerana hamil.

Mungkin.... mungkin saja.

Namun matlamat yang utama kini adalah kesihatan Hana. Hazim sedar Hana sedang cuba menahan sakit. Andai mampu dia berkongsi rasa sakit itu, pasti sudah akan dia lakukan. Tidak akan membiarkan Hana sendiri bertarung nyawa.

Sampai di wad, kelihatan Azizah sedang menggosok belakang badan Hana. Pasti Hana muntah lagi kali ini. Bekas muntah di tangan ibu mertua segera Hazim sambut.

"Biar Hazim buat, ma."

Azizah bangun bagi memberi laluan. Masih sahaja tangannya mengurut belakang Hana. Suhu badan Hana meninggi, pasti tidak lama lagi Hana akan demam pula.

"Sayang ok tak?"

Hana menggeleng sesaat sebelum terasa sesuatu naik ke kerongkong, lalu cepat dia memuntahkannya. Tangan Hazim dicapai dan digenggam kemas tanpa kata.

Berkerut Hazim melihat muntah Hana yang berwarna kehijauan. Dibiarkan tangan dicengkam-cengkam oleh Hana, jika itu dapat mengurangkan sakit yang dialaminya.

Waktu jam sudah menginjak lewat malam, Hana masih terjaga. Hazim menemani Hana berbual-bual tentang banyak perkara. Walaupun kurang bertenaga, Hana lancar bercakap tentang macam-macam hal.

"Ati tahu tak.. masa abang on the way pergi apartmen Ati hari tu, abang accident."

"Hahh?" soal Hana tidak percaya.

"Hmm... Tapi tak teruk. Abang bawak kereta macam orang hilang akal waktu tu. Nasib baik cedera sikit je. Tapi abang dah terlambat. Waktu tu jugak...semua rahsia terbongkar. Mona jumpa kad kahwin kita.." terang Hazim.

"Setiap saat abang tanpa Ati, abang rasa bersalah. Abang dah sia-siakan hidup isteri abang yang setia ni. Abang nak cari Ati, tapi abang tak tahu dari mana nak mula." tangan Hana dicapai dan dicium sebelum dibawa ke pipi.

"Maafkan Ati....sebab lari." ada manik jernih yang terbit di mata Hana.

"Shh... don't be."

"Abang janji dengan Ati." Hana memandang tepat ke dalam mata satu-satunya lelaki yang dicintai itu.

"Janji dengan Ati. Kalau Ati dah tak ada—"

"Sayang, apa cakap macam tu—" kata-kata Hazim dipotong.

"Kalau ditakdirkan Ati pergi dulu.. Abang carilah pengganti Ati. Cari yang lebih baik dari Ati.. Yang akan sayang dan jaga abang lebih dari yang Ati mampu." Hana senyum pahit.

Hazim tidak menjawab, hanya sebuah gelengan yang diberi. Mungkin isterinya terlalu penat hingga mula merapu-rapu.

"Look at me. Janji dengan Ati." Hana menarik jari-jemari kasar Hazim supaya memandangnya.

"Abang tak nak janji. Ati penat ni. Rehat okey?"

"I just want you to be happy..." Hana mencebik, makin laju pula air matanya. Dia tahu, selepas ini mungkin tiada lagi peluang untuk membahagiakan Hazim.

Hazim turut tersentuh. Mata dipejam, tidak mahu menangis di hadapan Hana. Permintaan Hana terlalu berat. Dia belum bersedia kehilangan Hana.

"Hana.. You are the best thing... that ever happened in my life. And there will be no one, that can replace you. Tak ada sorang pun." Hazim tidak mampu menahan air mata yang gugur.

"Abang pun.."

"Just stay with me okay?" tangan Hana dikucup Hazim lembut.

"Inshaallah..." mata Hana memberat, makin lemah naik turun dadanya.

"Stay with me, sayang. You are strong.."

"I never am. Ati penat...." bisik Hana dengan suara yang makin perlahan.

"Abang tahu." Sebuah ciuman dihadiahkan di dahi isterinya.

"Jangan tinggalkan abang..... please.." ujar Hazim perlahan setelah dengkuran halus Hana kedengaran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience