LAFH - 17

Romance Series 665659

SELEPAS meletakkan Atan di dalam sangkarnya kembali, Daneen melangkah ke biliknya. Atanlah penyebab dia pulang ke KL sehari lebih awal.

Sebelum ini dia meminta jirannya menjagakan Atan, tapi petang tadi dia mendapat panggilan daripada jirannya mengatakan Atan tiba-tiba muntah. Membuatkan Daneen tak senang duduk dan terus mengambil keputusan untuk pulang ke KL.

Selepas dibawa ke klinik, keadaan Atan sudah kembali pulih seperti biasa. Mujur saja tiada apa-apa buruk berlaku pada kucing kesayangannya itu.

Daneen melangkah ke balkoni biliknya. Dia mendongakkan kepala merenung langit gelap yang hanya disimbahi cahaya bulan. Fikirannya melayang teringatkan Haqq. Ah! Hatinya masih sakit dengan kata-kata lelaki itu.

Entah kenapa, kecewa begitu kemas terpasak di hati. Dia tak pernah rasa kecewa begini. Ada baiknya Atan tidak sihat, sekurang-kurangnya dia ada alasan untuk meninggalkan hari keluarga itu lebih awal. Tak kuasa dia nak terus menghadap muka Haqq lagi. Menyebalkan!

Tersentak lamunan panjangnya saat telefonnya berdering. Daneen terus menapak masuk ke dalam bilik. Telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja solek dicapai. Tertera nama ‘Hulk Hijau’ pada skrin telefonnya.

“Huh! Ni tak lain tak bukan nak mengamuklah ni sebab aku balik awal,” omel Daneen sendiri. Seperti sudah dapat meneka tujuan Haqq menghubunginya.

Malas nak mendengar leteran Haqq, Daneen membuat keputusan untuk tidak menjawab panggilan lelaki itu. Biarlah kalau Haqq nak marah sekalipun nanti. Dia sudah tak peduli.

Daneen menukarkan mood silent pada telefon bimbitnya lalu diletakkan di dalam laci almari solek. Langkah terus dibawa ke balkoni semula untuk menutup pintu balkoni.

HAQQ mencampakkan telefon bimbitnya di atas katil. Naik lenguh jarinya mendail nombor telefon Daneen. Tapi gadis itu langsung tidak menjawab panggilannya. Dia merengus geram.

Terngiang-ngiang di telinganya perbualannya dengan Salwa tadi.

“Daneen ada emergency case apa?” soalnya. Dalam masa yang sama dia mula risau.

“Atan sakit,” jawab Salwa.

Atan? Siapa Atan? Berkerut seribu dahi Haqq. Nama itu kedengaran familiar di telinganya. Tapi dia tidak ingat di mana dia pernah mendengar nama itu.

Haqq meraup perlahan wajahnya. Hatinya dibakar api cemburu. Ikutkan hatinya mahu saja dia pulang ke KL malam ini juga. Dia mahu bersemuka dengan Daneen sendiri. Tapi kalau dia pulang malam ini, pasti nanti stafnya yang lain akan tertanya-tanya. Ah! Serabut!

Terpaksa dia menunggu hari esok. Fikirannya melayang memikirkan Daneen. Entah apa yang gadis itu tengah lakukan sekarang agaknya. Entah-entah Daneen sibuk bermadu kasih dengan si ‘Atan’ tu.

Tiba-tiba telefon bimbit yang dicampakkan di atas tilam tadi berdering. Menggelupur Haqq mendapatkan semula telefon bimbitnya itu. Namun keluhan berat terlepas daripada bibirnya apabila melihat nama yang tertera di skrin telefon. Bukan Daneen yang menghubunginya tetapi Zira.

Dia campakkan semula telefon bimbitnya di atas tilam. Malas nak jawab panggilan Zira. Dia mula naik rimas dengan gadis itu. Dia akui dia cuma gunakan Zira untuk membuat Daneen cemburu. Dia tiada apa-apa perasaan pada Zira. Tapi sekarang dia yang susah bila Zira sangka Haqq benar-benar suka padanya.

SALWA melangkah lemah masuk ke dalam rumah sambil menarik bagasi miliknya. Terasa letih tubuhnya selepas duduk di dalam bas selama tujuh jam.

“Dah balik,” tegur Daneen. Dia melangkah ke ruang tamu sambil membawa secawan milo panas.

“Argh letihnya!” Salwa menghempaskan tubuhnya di atas sofa. Dia tersandar kepenatan. Mata dipejam perlahan.

Daneen geleng kepala melihat reaksi kawan baiknya itu.

“Eleh, macamlah dia yang bawa bas tu.”

“Hei! Ingat tak letih ke? Naik kematu punggung aku ni duduk dalam bas lama-lama. Dah lah kau tak ada.”

Daneen ketawa kecil. Dia menyisip sedikit milo panas yang dibawa tadi lalu diletakkan mug itu di atas meja kopi.

“Si Hulk tu ada cakap apa-apa tak?” Daneen mula korek cerita.

Salwa terus menegakkan badannya.

“Kenapa kau tak beritahu dia yang kau balik awal sebab Atan sakit?”

“Malas.” Daneen angkat bahunya. Wajah selamba ditayangkan.

“Lepas tu aku pula yang nak kena jawab dengan dia.”

“Nanti masuk office aku cakaplah dengan dia.”

“Kau tahu tak Daneen, si Zira tu bukan main gedik lagi. Meluat aku tengok. Waktu kita orang nak balik tadi, sempat jugalah kita orang layan drama swasta dia dengan encik Haqq. Konon-konon sedihlah tu sebab tak dapat jumpa lagi lepas ni.”

Daneen hanya ketawa mendengar cerita Salwa. Tapi fikirannya menerawang jauh. Betul ke lepas ni tak akan ada lagi pertemuan kedua antara Haqq dan Zira? Macamlah Pulau Tioman dengan KL ni jauh sangat. Bila-bila masa jer Haqq boleh pergi ke sana lagi.

SAMPAI saja di pejabat, Haqq terus melangkah ke pejabat Daneen. Daneen sudah berada di meja kerjanya.

“Daneen.” Keras suaranya kedengaran memanggil Daneen. Dia melangkah menghampiri meja kerja Daneen.

Daneen angkat wajah memandang Haqq.

“Kenapa you tinggalkan family day macam tu jer?” soalnya tak puas hati.

“I ada emergency case,” balas Daneen ringkas.

“Kenapa tak jawab call I?” soal Haqq lagi. Lengan ditongkat di atas meja kerja Daneen.

Daneen menjarakkan sedikit kedudukannya dengan Haqq.

“I dah tidur waktu tu.” Daneen memberi alasan. Padahal dia memang sengaja tidak mahu menjawab panggilan Haqq.

“Salwa cakap you balik sebab Atan sakit. Siapa Atan? Scandal you yang nombor berapa pula? I tak suka you campur adukkan urusan kerja dengan urusan peribadi you. Lainlah kalau Atan tu suami you.” Haqq terlihat seperti seorang kekasih yang cemburu ketika ini.

Nak tergelak Daneen dibuatnya. Mesti Haqq fikir Atan itu manusia.

“Sekarang ni you nak tuduh I ada scandal dengan kucing pula?”

Haqq terdiam. Kucing? Jadi Atan tu kucing?

Kejap! Baru dia ingat. Atan tu kucing yang Daneen jumpa atas pokok tempoh hari. Patutlah nama Atan itu familiar di telinganya. Kenapalah dia tak terfikir sebelum ni?

Terasa membahang wajahnya. Pasti Daneen mentertawakannya. Ah! Tu lah kau Haqq. Cepat sangat menghukum.

“Ada apa-apa lagi nak tanya?” Daneen jungkit kening.

Haqq menegakkan kembali badannya. Riak wajah cuba dikawal sehabis baik. Tangan dimasukkan ke dalam poket seluarnya.

“Macam mana dengan Atan?” soal Haqq tiba-tiba. Bukan nak tahu sangat pun. Lebih kepada nak cari topik berbual sebenarnya.

“Dia okay,” jawab Daneen acuh tak acuh. Tak ada mood nak berbual panjang dengan Haqq.

Haqq perasan Daneen berubah menjadi dingin dengannya. Mungkin kerana kejadian di Pulau Tioman tempoh hari. Apa Daneen masih marah dengannya?

Tiba-tiba telefon bimbit Haqq berdering. Tertera nama Zira di skrin telefonnya. Lambat-lambat dia jawab juga panggilan itu.

“You dah ada dekat lobi?” soal Haqq terkejut. Tak sangka Zira sanggup datang ke sini hanya kerana ingin berjumpa dengannya.

Daneen mengangkat wajah. Dia menjeling sekilas pada Haqq. Tertanya-tanya siapa yang menghubungi Haqq. Apabila Haqq memandang semula ke arahnya, Daneen cepat-cepat memandang ke arah lain.

“Tunggu sekejap. I turun.” Panggilan ditamatkan. Haqq terus buka langkah meninggalkan pejabat.

“Perempuan tu ke?” soal Daneen sendiri. Ah Daneen! Kenapa kau sibuk sangat nak ambil tahu? Dia geleng perlahan. Kerjanya yang tertangguh tadi disambung kembali.

ZIRA melambaikan tangannya ke arah Haqq yang baru saja keluar daripada perut lif itu. Haqq terus berjalan menghampirinya.

“Hai Haqq,” sapanya ceria.

“Hai.” Haqq tersenyum nipis.

“I minta maaf tak beritahu awal-awal nak datang sini. Actually malam tadi I sampai KL. Itu yang pagi ni I decide untuk terus jumpa you,” jelas Zira.

Haqq mengangguk kecil. “You stay dekat hotel mana?” soal Haqq.

“Of course lah Majestic Hotel. I baru check in pagi ni. Malam tadi I tertidur dalam kereta. Letih.”

“Kenapa you tak rehat jer pagi ni?” soal Haqq lagi.

“Sebab I nak jumpa you lah. Jom teman I breakfast,” ajak Zira.

Haqq serba salah nak menolak. Tapi sekarang waktu bekerja. Kalau Dato’ Tarmizi tahu yang Haqq curi tulang waktu kerja, mahu bernanah telinganya nanti dengar tazkirah panjang papanya itu.

“Ke you ada plan lain? Atau you tak sudi nak breakfast dengan I?” soal Zira apabila melihat Haqq hanya diam.

“Eh bukan macam tu. Jomlah kita pergi breakfast.” Haqq baru teringat pagi ini Dato’ Tarmizi tak masuk pejabat. Jadi tiada masalah jika dia masuk ke pejabat lewat sikit hari ini.

“CIK, tolong letak pisau tu. Kita bincang baik-baik ya,” Daneen cuba memujuk.

Hampir luruh jantungnya tadi apabila salah seorang housekeeper memberitahunya ada pelanggan di hotel mereka cuba membunuh diri di dalam bilik.

Apabila dia tiba di bilik wanita itu, dia lihat di tangan wanita itu sudah tergenggam sebilah pisau.

Wanita itu menangis teresak-esak. Kepala digeleng perlahan.

“Cik, tak ada masalah dalam dunia ni yang tak ada jalan penyelesaian. Saya akan cuba tolong cik. Saya janji. Cik letak ya pisau tu,” Daneen cuba memujuk lagi.

“Daneen!”

Daneen menoleh ke muka pintu. Dilihat housekeeper tadi tiba bersama dengan Haqq. Pasti Jamil yang memanggil Haqq datang ke sini.

“Cik bagi saya ya pisau tu.” Daneen datang menghampiri wanita itu.

“Jangan dekat!” jerit wanita itu. Mata pisau tadi dihalakan ke arah Daneen.

“Daneen!” Haqq terus mendekati mereka. Bimbang jika wanita itu mencederakan Daneen pula.

“Kalau nak bunuh diri sangat, bunuhlah cepat. Jangan susahkan orang lain. Dah banyak sangat pahala kan?”

“Haqq!” Mencerlung mata Daneen memandang Haqq. Haqq dah gila ke?

Tangisan wanita itu semakin kuat. Wajahnya sudah basah dengan air mata.

“Kalau awak yakin dengan bunuh diri boleh selesaikan semua masalah awak, buatlah,” ujar Haqq lagi.

“Haqq you dah gila ke?!” Daneen mula naik geram. Datang sini bukannya nak membantu.

Wanita itu tunduk menekur lantai. Di kesempatan itu Haqq gunakan untuk merampas pisau di tangannya. Namun sewaktu mahu merebut pisau di tangan wanita itu, pisau itu tertusuk di perutnya.

“Haqq!” Terasa sesak dada Daneen melihat pisau tadi sudah tertusuk di perut Haqq.

“Argh!” Terpejam mata Haqq. Tubuhnya melorot jatuh.

Daneen segera mendapatkan Haqq. Dipangku kepala lelaki itu.

“Jamil call ambulan cepat!” arah Daneen.

Menggigil seluruh tubuh wanita tadi. Dia terduduk jatuh. Kedua belah tangannya menekup wajah.

“Tak... Saya tak bunuh dia... Bukan saya...” Dia menggumam sendiri.

Berkerut-kerut dahi Haqq menahan sakit. Bibirnya berdesir kesakitan.

“Tolong bertahan Haqq.” Daneen benar-benar cemas ketika ini. Tak sedar air matanya menitis.

Dia takut melihat keadaan Haqq begini. Bagaimana kalau Haqq tak dapat diselamatkan?

Happy reading!

Share this novel

Hawani Hashim66
2021-07-13 19:47:00 

next please...tq

Nor Azlina
2021-07-11 12:05:53 

tq update best kisah haqq ngan daneen

Roshasniah Mustafa
2021-07-11 07:33:08 

haqq...tq update...


NovelPlus Premium

The best ads free experience